Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Wednesday, December 28, 2011

Glukos tinggi rosakkan retina



Penyempitan saluran darah pada saraf retina mata juga akan menyebabkan aliran darah yang terhad.



JIKA dilihat pada penyakit yang 'menyerang' manusia hari ini bagaikan boleh ditafsirkan semuanya seolah-olah berebut-rebut untuk menduduki carta paling atas.
Ini tidak termasuk penyakit-penyakit kronik yang sudah pasti jumlahnya semakin meningkat setiap tahun.
Salah satunya ialah kencing manis atau diabetes yang merupakan antara penyakit paling menular di negara ini dan juga di seluruh dunia.
Diabetes adalah sejenis penyakit di mana kandungan gula di dalam darah lebih tinggi daripada normal.
Penyakit ini bukan sahaja mampu membawa maut malah ia juga sebenarnya berkeupayaan membawa pelbagai penyakit lain dan secara tidak langsung menjadikannya lebih berbahaya dan membimbangkan.
Kandungan glukos yang tinggi di dalam darah pada kadar jangka panjang akan menyebabkan kerosakan dan penyempitan pada saluran darah di dalam badan.
Ini akan mengundang pelbagai komplikasi seperti kerosakan buah pinggang, sakit jantung, darah tinggi, luka kaki dan buta kedua-dua mata.
Menurut Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretina Hospital Pusrawi, Dr. Barkeh Hanim Jumaat, penyempitan saluran darah pada saraf retina mata juga akan menyebabkan aliran darah yang terhad.
Katanya lagi, kesan jangka panjang akan menyebabkan kerosakan pada saraf retina mata dan kerosakan ini dikenali sebagai retinopati diabetik.
Retinopati diabetik dicirikan sebagai kerosakan pada lapisan retina yang melapisi bahagian dalam bebola mata akibat pembuluh darah yang tersumbat, bocor atau bertambah terlalu banyak.
Ini merupakan sebab utama buta kekal di kalangan pesakit diabetes.
"Ini adalah komplikasi yang berlaku apabila seorang penghidap diabetes tidak mengawal paras gula darah dengan baik dan jika tidak dirawat atau tidak dirawat dengan betul, ia akan membawa kepada kemerosotan penglihatan dan akhirnya pesakit akan menjadi buta.
"Tetapi selalunya, pesakit diabetes tidak sedar akan kesan penyakit tersebut kerana pada peringkat permulaan kerosakan, penglihatan pesakit masih lagi sempurna.
"Kerosakan saraf retina hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan mata oleh pakar mata.
"Oleh itu, amat penting bagi setiap pesakit diabetes mendapatkan pemeriksaan mata sebaik sahaja dikesan menghidap diabetes," ujarnya pada ceramah kesihatan umum sempena Bulan Kesihatan di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, selanjutnya, pemeriksaan berkala akan dilakukan oleh pakar mata supaya kerosakan dapat dirawat segera ketika penglihatan masih lagi elok.
Ini merupakan cara terbaik untuk mencegah buta berkekalan akibat diabetes.
Hakikatnya menurut Dr. Barkeh, rakyat Malaysia harus mengetahui bahawa terdapat peningkatan mendadak bagi penyakit ini dan kebanyakannya menyerang orang muda.
Secara purata, seorang daripada tujuh rakyat di negara ini menghidap diabetes dan ini berlaku disebabkan gaya hidup harian.
Dan sehingga kini penyakit maut ini masih belum dapat disembuhkan sepenuhnya dan ia merupakan penyakit seumur hidup.
Apa yang boleh dilakukan oleh pesakit ialah kesedaran pada peringkat awal.
"Sebaik-baik sahaja dikesan menghidap diabetes, pesakit perlu memastikan pengawalan paras gula darah yang baik pada setiap masa, serta mengamalkan gaya hidup yang sihat," katanya.
READ MORE - Glukos tinggi rosakkan retina

Vaksin mencegah penyakit



Suntikan vaksin membantu meningkatkan sistem imunisasi pada kanak-kanak.



MEMANG terbukti pemberian vaksin kepada bayi dan kanak-kanak di Malaysia telah banyak mengurangkan kes kecacatan serta meningkatkan perlindungan terhadap penyakit berjangkit dan penyakit bahaya lain.
Apabila Kementerian Kesihatan mewajibkan pengambilan vaksin seperti BCG, Hepatitis B, DPT dan MMR terhadap bayi yang baru lahir, telah berjaya melindungi berjuta rakyat daripada penyakit seperti polio, tetanus, difteria, meningitis dan banyak lagi.
Malah kes seperti kecacatan kaki akibat polio juga amat jarang dilihat kini, semuanya kerana inisiatif yang telah diambil oleh pihak ibu bapa dan kerajaan dalam memberikan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat.
Namun ada sesetengah golongan di peringkat antarabangsa yang giat mempromosikan gerakan anti vaksin.
Dan dengan hebahan yang diadakan menerusi Internet dan sebagainya telah sedikit sebanyak berjaya menghakis segelintir pandangan ibu bapa tentang kebaikan vaksin ini.
Perunding kesihatan kanak-kanak dari Hospital Pakar An-Nur, Dr. Khairul Azman Mohd. Khalidberkata, vaksin secara umumnya memang halal.
"Ada fatwa sudah dikeluarkan dan mengatakan bahawa beberapa jenis vaksin yang dulu diragui halal kini sudah disahkan halal seperti rotavirus.
"Memang vaksin tiada mengandungi unsur babi dan fatwa mengatakan kita boleh mendapatkan vaksin tanpa was-was," jelasnya.
Menurut Dr. Khairul Azman, kurangnya pengetahuan di kalangan ibu bapa menyebabkan mereka meragui kebaikan suntikan vaksin untuk anak-anak.
Malah ada yang mempersoalkan tentang kesan sampingan pengambilan vaksin yang dikatakan mempunyai kesan mudarat untuk jangka masa panjang.
"Memang ada kesan sampingan tapi terlalu sedikit seperti demam atau tempat suntikan membengkak. Melalui kemajuan dalam bidang perubatan, ahli sains telah menghasilkan vaksin dengan kesan sampingan yang sangat minimum," katanya.
Dr. Khairul juga menangkis tanggapan mengatakan bahawa apabila anak demam selepas disuntik bermakna vaksin memberikan tindak balas positif.
"Itu tidak benar, kemajuan dalam penyelidikan dan penghasilan vaksin telah meminimumkan kesan sampingan pada anak-anak hingga mereka tidak demam atau berasa tidak selesa selepas disuntik vaksin," ujarnya.
Tegas Dr. Khairul Azman, vaksin sebenarnya meningkatkan sistem imunisasi kanak-kanak, dengan itu mereka akan menjadi lebih aktif dan boleh mengikuti pelajaran dengan lebih berkesan.
Sesetengah vaksin hanya perlu diambil sekali untuk seumur hidup sebagai contoh kanak-kanak yang mengambil vaksin cacar (chicken pox).
"Bayangkan manfaatnya, selepas mengambil vaksin tubuh badan mereka terlindung daripada virus tersebut dan jika alaminya pun tidaklah seteruk tanpa vaksin," jelasnya.
Tambah Dr. Khairul, tanggapan sesetengah ibu bapa yang mengatakan anak-anak lasak di kampung kurang terkena jangkitan penyakit dan lebih sihat berbanding di bandar adalah kerana faktor keadaan sekeliling.
"Pengudaraan ibu yang menjaga anak sendiri di rumah berbanding dengan di pusat jagaan di bandar adalah amat berbeza.
"Adalah salah jika membandingkan kanak-kanak di luar bandar lebih sihat berbanding di bandar walaupun mereka tidak mengambil vaksin," katanya.
Tambah Dr. Khairul lagi, kanak-kanak yang tidak mengambil vaksin di waktu kecil tetap boleh mengambilnya apabila remaja atau dewasa.
Cuma ada vaksin seperti rotavirus yang ada peringkat umur dan jika terlepas tidak boleh mendapatkannya kembali.
Bagi sesetengah kanak-kanak yang menghidapi penyakit seperti Down Sindrom amat disarankan pengambilannya.
Begitu juga dengan bayi yang lahir pra matang, bayi berpenyakit jantung, lelah juga sebaiknya memiliki pelalian ini.
"Bila ada imuniti yang diambil menerusi vaksin maka sistem imunisasi kanak-kanak ini akan menjadi lebih kuat.
"Ibu bapa perlulah menambah ilmu. Memang saya tidak nafikan adanya pergerakan yang melarang pengambilan vaksin ini secara besar-besaran, bukan sahaja di luar negara malah di Malaysia juga.
"Ibu bapa perlu tahu bahawa tidak mengambil sebarang pelalian menyebabkan anak-anak berpotensi untuk mendapat penyakit yang mencacatkan mereka.
"Memang vaksin yang kerajaan sarankan sudah cukup namun bagi ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak di bandar perlu mengambil inisiatif untuk mendapatkan pelalian tambahan kepada anak-anak.
" Dengan pencegahan ini kita bukan sahaja mendapatkan ketenangan fikiran malah dapat menyelamatkan anak-anak daripada penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa. Perlu juga ingat, kos rawatan lebih mahal daripada imunisasi yang diambil," ujarnya.
Sementara itu, bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai imunisasi, orang ramai boleh menyertai siri ceramah awam bertajuk Menguatkan Pertahanan Semulajadi Anak-Anak dari Dalam sempena kempen pembelajaran oleh NAN® Grow 3.
READ MORE - Vaksin mencegah penyakit

Monday, December 26, 2011

Bahaya tibi

pix_gal0Ramai alami simptom lengah jumpa pakar, ada percaya terkena ilmu hitam hingga batuk makin kronik

ANTARA 1945 hingga 1957, batuk kering atau nama saintifik perubatannya, Tuberkulosis (tibi) menjadi penyakit paling digeruni masyarakat dan pembunuh No 1 negara ketika itu.
Senario waktu itu, berikutan ketiadaan penawar berkesan untuk mengubati wabak berkenaan, tibi akhirnya berleluasa menyerang orang ramai sehingga pesakit terpaksa dikuarantin bagi mengelak jangkitan lebih meluas.
kesedaran yang tinggi berhubung penyakit ini perlu ada dalam diri setiap penduduk Malaysia. Jadi, jika anda mengalami apa saja simptomnya, tolong segera bertemu pakar tibi sama ada di hospital swasta, kerajaan atau IPR. - Dr Abdul Razak Muttalif, Pengarah IPR
Pada 1961, kerajaan memperkenalkan Program Kawalan Tibi Kebangsaan dan semua individu yang dikesan mempunyai tanda penyakit ini dirujuk ke Pusat Tibi Negara atau kini dikenali sebagai Institut Perubatan Respiratori (IPR), Jalan Pahang, Kuala Lumpur, untuk rawatan susulan.

Sejak itu, diperkukuhkan dengan kaedah bidang perubatan yang makin moden, tibi mula terkawal sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan Malaysia sebagai 'Negara Tibi Sederhana'.

Bagaimanapun, sejak 1955, kes baru tibi yang dilaporkan kembali meningkat dan membimbangkan setiap tahun. Pada 2000, sebanyak 15,051 kes direkodkan berbanding 10,873 kes pada 1990.

Terbaru, sehingga November lalu, kes tibi di seluruh negara bertambah kepada lebih 19,000 kes berbanding 16,000 kes beberapa tahun lalu.
Pengarah IPR, Datuk Dr Abdul Razak Muttalif, berkata sikap segelintir masyarakat yang terlalu taksub dengan amalan rawatan tradisional yang dikendalikan bomoh serta menganggap simptom tibi sebagai tanda terkena ilmu hitam, menjadi antara punca utama bilangan kes penyakit itu meningkat.

"Kebanyakan pesakit tibi dalam keadaan teruk yang datang kepada kita mengatakan pada awalnya, mereka menyangka masalah kesihatan seperti batuk berpanjangan lebih dua minggu; hilang selera makan; demam dan berpeluh pada waktu malam; susut berat badan serta batuk berdarah adalah disebabkan terkena buatan orang.

"Sangkaan ini menyebabkan mereka bertemu bomoh atau pengamal rawatan ilmu hitam untuk berubat. Namun, apabila penyakit dialami tidak sembuh dan semakin serius, barulah mereka berjumpa doktor pakar.

"Tempoh lama yang diambil menyebabkan masalah tibi dialami makin merebak dalam paru-paru," katanya ketika ditemui kolum Sihat di IPR, baru-baru ini.

Dr Abdul Razak berkata, antara punca utama lain menyebabkan peningkatan tibi adalah tindakan seseorang yang melengah-lengahkan waktu untuk bertemu pakar perubatan walaupun mengalami gejalanya.

Mereka lazimnya akan bertemu doktor di klinik biasa yang tidak mempunyai kepakaran khusus membabitkan tibi terlebih dulu, malah ada antara mereka yang berkunjung ke klinik berkenaan secara berulang.

Selepas mendapati penyakit masih tidak sembuh, mereka akan bertemu pakar di pusat perubatan swasta atau hospital kerajaan untuk rawatan susulan. Namun, kelewatan ini menyebabkan tibi makin merebak.

Dr Abdul Razak berkata, rekod menunjukkan ada pesakit yang sudah dikesan awal tetapi tidak mengikut nasihat perubatan disaran doktor. Menurutnya, pesakit terbabit tidak mengambil ubat secara teratur sepanjang tempoh rawatan, iaitu sekurang-kurangnya enam bulan lalu menyebabkan penyakit dialami bertambah teruk hingga terpaksa dikuarantin di IPR.

Beliau juga pernah berdepan kes di mana seorang pendatang asing tampil ke IPR selepas tidak bermaya untuk berjalan akibat dijangkiti tibi. Apabila ditanya mengapa tidak datang mendapatkan rawatan lebih awal, dia memberi alasan takut dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana tiada permit pekerjaan sah.

"Kesimpulannya, walaupun kaedah perubatan makin moden dan berkesan, punca utama yang menyebabkan semakin ramai penduduk Malaysia menghidap tibi adalah sikap melengah-lengahkan rawatan terbaik untuk penyakit itu.

"Justeru, kesedaran yang tinggi berhubung penyakit ini perlu ada dalam diri setiap penduduk Malaysia. Jadi, jika anda mengalami apa saja simptomnya, tolong segera bertemu pakar tibi sama ada di hospital swasta, kerajaan atau IPR.

"Sikap melewatkan rawatan tibi bukan saja memberi kesan yang makin buruk kepada kesihatan anda dan menyebabkan lebih ramai orang di sekeliling dijangkiti, tetapi juga menjejaskan perkembangan negara," katanya.

Menurut Dr Abdul Razak, setiap bayi yang lahir di negara ini sudah dibekalkan dengan suntikan vaksin Bacille Calmette Guerin (BCG) bagi membantu mencegah penyakit tibi. Namun, ia bergantung kepada keadaan antibodi, amalan kehidupan dan persekitaran ketika membesar.

Antara golongan berisiko tinggi menghidap tibi, katanya, adalah pesakit HIV; penghidap diabetes; perokok; banduan; individu berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 40 tahun; 60 tahun hingga 80 tahun; kerap berada di tempat sesak; berdepan dengan mereka yang tidak sihat serta pendatang asing.

Selain itu, katanya, di negara ini, sebanyak 90 peratus penduduk menghidapi 'Tibi Dalam Paru-Paru' yang masih boleh dirawat tanpa kesan sampingan. Manakala bakinya mengalami 'Tibi Luar Paru-Paru', iaitu kuman sudah merebak ke otak, jantung, tulang serta kelenjar, mengakibatkan pesakit akan menderita penyakit kronik lain walaupun tibi sembuh sepenuhnya.

Jadi, pengesanan dan rawatan dalam kadar paling awal mampu mengelak seseorang dijangkiti penyakit pada peringkat 'Tibi Luar Paru-Paru' yang mampu mengakibatkan kematian.

Dr Abdul Razak berkata, dari segi pengesanan penyakit, IPR akan menggunakan tiga kaedah iaitu pemeriksaan kahak, x-ray paru-paru dan ujian Mantoux (mencucuk jari) yang keputusannya sangat berkesan walaupun penyakit belum berada pada tahap kritikal.

Manakala, daripada segi perubatan, IPR akan membekalkan empat jenis antibiotik dikenali sebagai Respiratori Cripple yang perlu diambil dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan iaitu Rifampicin, Isoniazid, Pyrazinamide dan Ethambutol selain Vitamin 6.

Sementara itu, katanya, pada masa depan, IPR mensasarkan untuk mengurangkan kes baru tibi dan paling penting mengurangkan kadar korban akibat penyakit berkenaan yang kini mencapai lapan peratus, berikutan tibi bukan penyakit yang sepatutnya menyebabkan kematian.

"Bagi mengurangkan kes tibi, ia memerlukan kerjasama semua pihak seperti bertemu doktor secepat mungkin jika mengalami simptom serta memakai topeng mulut dan hidung dalam keadaan tertentu. Ini kerana penyakit ini, berjangkit melalui udara akibat batuk dan bersin.

“Doktor di klinik juga perlu memahami serta mempunyai kemahiran mengesan simptom sebenar tibi dan menasihatkan pesakit untuk bertemu pakar penyakit itu dengan segera, bukan hanya membekalkan ubat.

"Kerajaan juga perlu menambah doktor tibi di negara ini bagi memastikan proses rawatan terus berjalan lancar dan cepat. Ini kerana ketika ini, walaupun kaedah kawalan perubatan baik, jumlah pakar tibi sangat kurang," katanya.

Nora sangka batuk biasa, paru-paru jadi hitam akibat kuman

SEJARAH keluarga dan latar belakang rakan yang bebas tibi membuatkan Nora Nazmin, 19, tidak menyangka akan menghidapi penyakit itu pada tahap serius.

Apatah lagi dengan usia yang masih muda, Nora cukup yakin batuk dialami hanya masalah kesihatan biasa, berpunca daripada cuaca kurang baik walaupun ia berpanjangan beberapa minggu.

Ketika ditemui penulis, pelajar Diploma Perakaunan Institut Profesional Baitulmal itu hanya duduk di atas katil wad di Institut Perubatan Respiratori (IPR) kerana kurang bermaya. Nada suaranya perlahan kerana sakit tekak dialami akibat tibi.

Bertemankan ibunya di sisi, Nora berkata, selepas kira-kira sebulan batuk yang dialaminya tidak sembuh, beliau akhirnya bertemu doktor, April lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ujian awal mendapati, beliau disyaki menghidap tibi dan diminta terus datang ke IPR pada hari sama untuk pemeriksaan lanjut pakar.

Alangkah terkejutnya Nora apabila doktor mengesahkan beliau positif tibi. Namun, Nora bernasib baik kerana hasil x-ray dijalankan, penyakit itu belum berada pada tahap serius.

Sejak itu, Nora berulang-alik ke IPR untuk menjalani rawatan susulan. Doktor memberi jaminan tibi dihidapi akan sembuh sepenuhnya, dengan syarat Nora mengambil ubat setiap hari sepanjang tempoh enam bulan seperti disarankan.

"Bagaimanapun, selepas tempoh tertentu, saya makan ubat secara tidak teratur hanya kerana malas dan saiz empat biji ubat yang perlu diambil itu besar.

“Akibatnya, selepas tempoh enam bulan, hasil x-ray dijalankan doktor mendapati, paru-paru saya makin berwarna hitam kerana kuman tibi merebak.

"Dalam tempoh hanya empat bulan, berat saya susut dari 58 kilogram kepada 41 kilogram dan saya terpaksa menunda semester pengajian kerana perlu menjalani rawatan susulan di wad selain tidak bermaya untuk berjalan," katanya.

Nasib baik masih menyebelahinya apabila anak kedua daripada enam adik-beradik itu mempunyai peluang besar untuk sembuh dalam tempoh sembilan bulan seperti dijangka doktor.

Kali ini, Nora benar-benar nekad untuk menjalani rawatan secara teratur sehingga benar-benar pulih kerana menyesal dengan tindakannya sebelum ini. Tambahan, apabila melihat ada pesakit yang dijangka doktor tidak mampu hidup lama akibat kuman tibi yang sudah merebak di luar paru-paru.

Nora juga menasihatkan mana-mana individu yang mempunyai simptom tibi terutama batuk berpanjangan supaya usah ambil bagi mengelak penyakit itu bertambah serius.

INFO: Antara simptom Tibi
  • Batuk berpanjangan (lebih dua minggu)
  • Hilang selera makan
  • Demam
  • Berpeluh waktu makan
  • Susut berat badan
  • Batuk berdarah

    Golongan berisiko
  • Pesakit HIV
  • Penghidap diabetes
  • Perokok
  • Banduan
  • Individu berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 40 tahun dan 60 tahun hingga 80 tahun
  • Kerap berada di tempat sesak
  • Berurusan atau berhampiran dengan mereka yang tidak sihat
  • Pendatang asing.

    Kaedah cegah
  • Jalani pemeriksaan kesihatan dengan pakar berkaitan penyakit tibi dengan segera apabila mengalami simptom
  • Gunakan topeng mulut dan hidung apabila berada di kawasan awam terutama apabila anda mengalami batuk atau selsema
  • Doktor di klinik awam perlu memahami serta mempunyai kemahiran mengesan simptom sebenar tibi dan menasihatkan pesakit bertemu pakar.
READ MORE - Bahaya tibi

Risau bedah waktu haid

pix_gal0
Mahu buang buang fibroid, cyst tetapi jadual bertembung tempoh datang bulan 

Soalan: ASSALAMUALAIKUM doktor, saya berumur 38 tahun dan seorang obes. Saya akan menjalani pembedahan membuang fibroid dan cyst, tidak lama lagi. Masalah saya, tarikh pembedahan itu adalah pada hari yang lazimnya saya datang haid.

Apakah pembedahan boleh dilakukan ketika saya datang haid? Apakah kesan sampingan akibat pembedahan itu? Saya amat risau memikirkan perkara ini. Harap doktor dapat memberi jawapan sebelum saya menjalani pembedahan.Zunaini Zakaria, Kuala Lumpur 

Jawapan: ASSALAMUALAIKUM Zunaini, secara amnya, pembedahan ketika haid tidak membawa apa-apa kesan sampingan yang lebih daripada pembedahan yang dilakukan selepas haid. Bagi kebanyakan wanita, mereka akan merasa kurang selesa jika pembedahan dilakukan ketika haid kerana mereka menganggap, darah haid adalah darah kotor. 

Jadi, mereka merasakan tidak sesuai melakukan perkara yang berhubung dengan rahim. Dari segi perubatan, darah haid adalah bersih. Maksudnya, ia adalah lelehan dinding rahim yang steril yang berbentuk darah. 

Kebiasaannya, doktor akan menunggu sehingga haid habis kecuali pembedahan itu amat kritikal di mana jika ditangguhkan, ia boleh membawa kemudaratan kepada pesakit. Ini disebabkan pesakit berasa kurang selesa ketika itu. Kami juga berasa kurang sesuai terutama pembedahan atau prosedur yang membabitkan vagina, servik dan rongga rahim. 
Contohnya, ujian pap-smear, histeroskopi, kolposkopi dan sistoskopi. Semasa haid, keputusan ujian mungkin tidak tepat. 

Anda tidak jelaskan sama ada anda akan menjalani pembedahan pembuangan fibroid dan cyst secara laparaskopi atau laparatomi. Kaedah secara laparaskopi selalunya memerlukan satu peralatan yang dipanggil ‘uterine manipulator’ untuk membantu kami dalam pembedahan. 

‘Manipulator’ ini perlu dimasukkan ke dalam rahim bagi mengangkat atau mengubah posisi rahim ketika pembedahan. Jadi, jika anda sedang haid, amat kurang sesuai melakukan laparaskopi. 

Laparaskopi adalah satu kaedah pembedahan yang menggunakan satu set kamera kecil dan beberapa peralatan pembedahan dan dilakukan melalui lubang-lubang kecil di atas perut. 

Pembedahan secara laparatomi adalah kaedah biasa di mana fibroid dan cyst dikeluarkan melalui pembedahan di atas perut seperti pembedahan caesarean. Kaedah ini tidak memerlukan apa-apa peralatan untuk masukkan ke dalam rongga rahim atau vagina. 

Selalunya, pada pengalaman saya, pembedahan ketika haid akan mengalami perdarahan yang lebih sedikit. Ini kerana ketika ini, saluran darah akan timbul dan bengkak kerana reaksi dari hormon. 

Tetapi tidaklah membawa perkara yang buruk kerana doktor dapat mengawalnya ketika pembedahan. Salah satu risiko pembuangan fibroid adalah perdarahan yang berlaku. 

Kami tahu pembedahan fibroid akan menyebabkan perdarahan yang lebih, kadangkala membimbangkan. Salah satu cara kami lakukan sekiranya fibroid ini terlalu besar atau banyak, kami akan memberi satu suntikan gonadotrofin satu atau dua bulan sebelum pembedahan. 

Ini dapat mengecutkan fibroid dan menyebabkan saluran darah di keliling fibroid mengecil. Kaedah dapat mengurangkan perdarahan. 

Kesimpulannya, saya berpendapat, anda perlu berbincang dengan doktor jika haid berlaku pada tarikh ditetapkan untuk menjalani pembedahan. Kes ini tidak kritikal. Jika anda berasa kurang selesa dan khuatir ada perkara yang kurang baik berlaku, anda boleh meminta doktor menangguhkan pembedahan itu sehingga selepas haid. 

INFO: Bagi anda yang memiliki kemusykilan mengenai kesihatan, sila hantarkan soalan kepada “Doktor di Berita Minggu” melalui e-mel, bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdb Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
READ MORE - Risau bedah waktu haid

Monday, December 19, 2011

Warga tua 60 tahun ke atas tak perlu bayar ketika pendaftaran

KOTA BHARU: Mulai 1 Januari ini, Kementerian Kesihatan akan melaksanakan pengecualian caj pendaftaran pesakit sebanyak RM1 kepada semua warga emas berusia 60 tahun ke atas, di Jabatan Pesakit Luar Am, semua hospital atau klinik kerajaan.

Setiausaha Bahagian Kewangan kementerian, Wong Foong Lai, berkata pelaksanaan itu bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang diumumkan dalam Bajet 2012 bertujuan menghargai jasa warga emas menikmati kemudahan awam terutama perkhidmatan kesihatan.
“Semua hospital dan klinik kerajaan dikehendaki melaksanakan pengecualian caj pendaftaran itu, sebagaimana ditetapkan mengikut Jadual A, Bahagian 1, Perintah Fi (Perubatan) 1982 kepada semua warga berusia 60 tahun ke atas,” katanya dalam Pekeliling Bahagian Kewangan, Bilangan 4 tahun 2011, yang dikeluarkan dalam laman sesawang kementerian, semalam.

Ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara’ baru-baru ini, Najib mengumumkan, semua warga berumur 60 tahun ke atas tidak perlu lagi membayar caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan.

Foong Lai berkata, bagi membolehkan pesakit menikmati pengecualian itu, mereka perlu mengemukakan dokumen pengenalan diri iaitu MyKad bagi membolehkan pihak klinik atau hospital terbabit membuat pengesahan.

“Bagi membolehkan pesakit terbabit mendapatkan perkhidmatan itu nanti, mereka perlu mengemukakan MyKad bagi membuat pengesahan kewarganegaraan dan umur berdasarkan tarikh lahir pesakit,” katanya.
Sementara itu, kementerian mengumumkan 60 klinik kesihatan melaksanakan waktu bekerja selepas waktu pejabat di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu berkata, rakyat menyambut baik perkhidmatan yang mula dilaksanakan sejak 2008 itu, menyaksikan perkhidmatan dilanjutkan dari jam 5 petang hingga 9.30 malam setiap hari bekerja, manakala hari Sabtu daripada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Antara klinik terbabit ialah Klinik Kesihatan Kuala Perlis, Perlis; Alor Setar, Kedah; Seberang Jaya, Pulau Pinang; Taiping, Perak; Shah Alam, Selangor; Putrajaya; Masjid Tanah, Melaka; Seremban, Negeri Sembilan dan Batu Pahat, Johor.

Turut dilanjut masa rawatan Klinik Kesihatan Kuantan, Pahang; Kuala Terengganu, Terengganu; Bandar Kota Bharu, Kelantan; Miri, Sarawak dan Lahat Datu, Sabah.
READ MORE - Warga tua 60 tahun ke atas tak perlu bayar ketika pendaftaran

Sakit mata diberi ubat telinga/Ibu dakwa HPP silap hingga anak tanggung kesakitan lebih satu jam

NURQISTINA Qalysha menunjukkan ubat enclor diberi farmasi dari HPP.
NURQISTINA Qalysha menunjukkan ubat enclor diberi farmasi dari HPP.

Ibu dakwa HPP silap hingga anak tanggung kesakitan lebih satu jam

BALIK PULAU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam selepas Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat didakwa tersilap memberinya ubat sakit telinga untuk dititiskan di matanya, baru-baru ini.
Nurqistina Qalysha Azmi yang mengalami radang pada kedua matanya, menggelupur kesakitan selepas ubat berkenaan dititiskan ke mata kanannya.
Ibunya, Noorliza Abd Razak, 34, berkata anaknya mengalami radang mata sejak enam bulan lalu dan beberapa kali mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta, namun penyakitnya berlanjutan.

Beliau kemudian membawa anaknya mendapatkan rawatan di klinik kerajaan di Bayan Baru dan doktor di situ meminta mereka merujuknya kepada doktor pakar di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Kami diberi surat rujukan meminta anak saya dirawat doktor pakar tetapi apabila tiba ke HPP, Nurqistina hanya menerima rawatan pesakit luar.

“Anak saya kemudian diberi ubat titis dikenali 'Enclor' di kaunter farmasi dan keesokan harinya, saya menitiskan ubat itu ke matanya. Secara tiba-tiba, anak saya menggelupur kesakitan serta mengadu matanya seperti dibakar.
“Saya ke HPP semula dan merujuk perkara itu kepada petugas di farmasi yang memaklumkan Enclor bukan ubat sakit mata, tetapi bagi merawat sakit telinga.

“Bimbang dengan nasib anak, saya membawanya berjumpa seorang lagi doktor HPP dan terkejut apabila diberitahu bahawa label ubat itu mungkin salah dilekatkan dan tidak sepatutnya diberi kepada Nurqistina,” dakwanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Bharu, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah HPP, Dr Yasmin Sulaiman ketika dihubungi berkata, pengadu perlu membuat aduan di HPP dan membawa ubat diberikan doktor terbabit bagi memudahkan siasatan.
READ MORE - Sakit mata diberi ubat telinga/Ibu dakwa HPP silap hingga anak tanggung kesakitan lebih satu jam

Sunday, December 18, 2011

Bimbang saiz bayi dalam kandungan

SAYA berusia 30 tahun, kini hamil anak ketiga dan dijangka bersalin pada Mac 2012. Saya bersalin anak sulung (kini berusia lima tahun) secara normal dan anak kedua (kini berusia tiga tahun) melalui kaedah Caesarean disebabkan bayi lemas dalam kandungan.
Anak sulung saya seberat tiga kilogram manakala anak kedua 3.75 kilogram dan mengalami sumbing. 

Semasa saya mengandung�kan kedua-dua anak, saya mengalami anemia teruk hingga terpaksa mengambil suntikan imferon semasa hamil anak kedua. 

Kemusykilannya:

 1. Adakah saya boleh bersalin secara normal untuk kandu�ngan sekarang dan apakah risikonya?

2. Adakah kemungkinan berat badan anak ketiga lebih daripada sebelumnya? 

3. Saya terbaca di Internet jika terdapat salah seorang ahli keluarga (datuk, nenek, mak, ayah, kakak atau abang) sumbing, besar kemungkinan gen sumbing itu akan diwarisi. Benarkah dakwaan itu? 

4. Bagaimanakah untuk mengelak daripada anemia sedangkan saya mengambil sukatan ferrous fumarate seperti yang disyorkan doktor? 

ITA,
Shah Alam, Selangor
 


1. Boleh. Bayi lemas dalam kandungan atau fetal distress bukanlah penyebab yang ia semestinya akan berulang. Sekiranya anda terpaksa menjalani pembedahan 
Caesarean juga dalam kehamilan akan datang, ia tidak berkait dengan keadaan bayi lemas dalam kandungan itu untuk kehamilan kedua. Bagaimanapun, keadaan pembedahan dahulu penting untuk diketahui contohnya corak potongan (sekiranya ia membabitkan segmen atas misalnya potongan ‘T’ terbalik), jangkitan kuman setelah itu dan seumpamanya yang mempengaruhi keutuhan parut atau rahim. 


2. Ya, lebih berkemungkinan. Lazimnya jarak di antara kehamilan dengan kelahiran terdahulu mempengaruhi kesihatan am ibu misalnya paras hemoglobin darah serta mempengaruhi berat badan anak. 

Pemerhatian juga mendapati berat kelahiran anak ketiga lazimnya melebihi berat kelahiran dua anak sebelumnya. Ini mungkin dipengaruhi jarak kelahiran yang lebih jauh kerana setelah kelahiran anak kedua, ibu terbabit lazimnya lebih prihatin untuk menggunakan kaedah pencegah kehamilan berbanding setelah kelahiran anak pertama dan ini mempengaruhi tahap kesihatan ibu. 

Pada saiz yang sama, bayi lelaki juga lazimnya sedikit lebih berat berbanding bayi perempuan. Anda tidak memberikan maklumat lanjut mengenai usia kandungan ketika melahirkan anak kedua sama ada ia ‘terlebih hari’ dan sekiranya anda mengalami penyakit diabetes sewaktu kehamilan kedua kerana kedua-duanya mempengaruhi berat kelahiran bayi. 


3. Ya. Tetapi ada juga keadaan sumbing yang tidak berkait dengan keturunan (berlaku walaupun tiada sejarah ahli keluarga yang mempunyai sumbing). 


4. Terdapat beberapa penyebab berlainan anemia. Doktor lazimnya melakukan ujian darah untuk mengetahui jenis anemia yang dialami dan puncanya. Suplemen yang anda ambil mengandungi zat besi dapat mengubati jenis anemia kekurangan zat besi, serapan zat ini daripada usus dapat dioptimumkan dengan pengambilan suplemen vitamin C. 

Selain anemia kekurangan zat besi, terdapat juga anemia jenis lain. Tahap keterukan anemia juga mempengaruhi jenis ubat yang diberikan. 

Selain itu, bagi wanita, haid yang terlalu kerap atau ba�nyak serta jarak kelahiran yang kerap juga boleh menyebab�kan anemia kekurangan zat besi
READ MORE - Bimbang saiz bayi dalam kandungan

Impian ranap/Suami terlantar diserang strok uji kesabaran isteri lalui dugaan getir

Suami terlantar diserang strok uji kesabaran isteri lalui dugaan getir

"MACAM nak gila melihat suami terlantar tak dapat bergerak selepas dimasukkan ke hospital kerana serangan strok.

“Kejadian berlaku secara mendadak. Paginya dia ceria ke pejabat, tetapi pada sebelah tengah hari, saya dikejutkan dengan berita, suami kena strok selepas terjatuh di pejabat.
“Saya bagai tidak percaya nasib suami dan hidup kami sekeluarga berubah sekelip mata,” kata seorang isteri dikenali sebagai Mey ketika ditemui di sebuah hospital pakar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kongsi Rasa kali ini akan mengupas perasaan isteri yang berdepan konflik dan dilema selepas suami yang sihat ceria dan menjadi tonggak utama ekonomi keluarga, tiba-tiba ditimpa bencana yang tidak terduga.

Selain Mey, ada beberapa lagi isteri yang sempat Kak Ani selami perasaan dan cara mereka bertindak apabila berdepan dugaan yang dianggap mencabar ini.

Mey, seorang suri rumah sepenuh masa menganggap kejadian yang menimpa suami, bagai meranapkan masa depannya dan keluarga.
“Semua rancangan saya dan suami untuk menikmati hidup yang lebih selesa selepas suami bersara nanti tinggal impian saja.

“Melihat keadaan suami yang sudah hilang upaya bergerak menyebabkan saya berasa seperti orang gila. Saya tidak tahu berapa lama suami akan terlantar di katil.

“Saya tahu sepanjang bekerja, suami seorang kakitangan yang komited dengan tugasnya. Selagi tak siap kerja, dia tak akan pulang ke rumah. Walaupun masa kerja sudah tamat, dia akan pastikan semua kerja beres sebelum meninggalkan pejabat.

“Hanya tinggal beberapa bulan lagi dia akan bersara. Suami sudah pun merancang untuk melalui waktu persaraan dengan suasana tenang. Tak sangka hasrat itu terhalang dengan bala yang menimpanya sekarang,” kata Mey yang menaruh harapan suami pulih seperti sedia kala.

Untuk itu dia nekad memberikan rawatan terbaik kepada suami, tetapi harapan untuk melihat suami pulih sepenuhnya dalam masa yang singkat sukar diramalkan.

Doktor sudah membuat pembedahan kepala suami selepas mengesan ada darah beku. Hasil pemeriksaan juga mengesahkan suami Mey menghidap darah tinggi.

Penyakit yang termasuk dalam kategori ‘pembunuh senyap’ sudah lumrah boleh dihidapi sesiapa saja tidak mengira usia.

Selain suami Mey, ada lagi beberapa kenalan Kak Ani yang berdepan dengan penyakit ini.

Seorang teman sekerja yang Kak Ani perkenalkan sebagai Z diserang strok peringkat awal ketika bertugas.

“Ketika sibuk menguruskan kerja, saya perasan kertas jatuh bertaburan. Saya cuba mengambil kertas itu, tetapi tangan yang sepatutnya mengambilnya tidak mengikut arahan otak saya,” kata Z mengingati kejadian yang menyebabkan dia terpaksa bercuti panjang.

Selepas berasa ada sesuatu tidak kena pada tangannya, Z terus berjumpa doktor panel.

Doktor meminta dia membuat pemeriksaan lanjut di hospital.

Hari itu kata Z, cukup susah untuk dia memandu kereta kerana tangan kirinya tidak berupaya untuk menggerakkan gear.

Pelbagai perasaan bermain dalam fikirannya terutama apabila memikirkan penyakit yang menyerangnya secara tiba-tiba.

Z bimbang kehilangan pekerjaan. Jika itu berlaku siapa yang akan menguruskan anaknya yang masih bersekolah.

Doktor yang merawatnya memberi perangsang kepada Z untuk tidak memikirkan perkara yang belum tentu akan berlaku.

Isterinya meminta Z fokus kepada rawatan yang dilaluinya. Selain membuat fisioterapi di hospital, Z juga menjalani rawatan tradisional di kampungnya.

Sejak melalui proses kedua-dua rawatan itu, keadaan Z bertambah baik.

Menurut isteri Z, dia dan anak-anak banyak memberi perangsang kepada suami untuk bersikap positif terhadap ujian yang dihadapinya itu.

Seorang lagi teman yang juga diserang strok kini menunggu keputusan lembaga perubatan bagi membolehkannya bersara awal.

Menurut teman yang dikenali sebagai M, ketika diserang strok, dia sedang menikmati hidangan makan tengah hari bersama pelanggan.

Tiba-tiba dia merasa kaki sebelah kanan kebas. Apabila rasa kebas itu sampai ke pinggang dan mula rasa tidak selesa dan lenguh di leher, M cuba menggerak-gerakkan kepalanya.

Melihat M dalam keadaan tidak selesa, rakan-rakan yang ada bersamanya menyorong dia ke kereta untuk dibawa ke hospital.

Lama juga dia terlantar di hospital sebelum dibenarkan pulang. M kini membuat rawatan fisioterapi intensif berdasarkan temu janji dengan pihak hospital.

Apabila berada dalam situasi begini, M mengakui dia cepat panas baran, berasa diri sudah tiada nilainya kerana semua urusan terpaksa diuruskan isteri dan emak mentua.

M bernasib baik kerana tinggal berdekatan rumah emak mentua yang sedia memberi bantuan ketika isteri keluar bekerja.

M memang tidak patah semangat untuk menjalani rawatan fisioterapi, tetapi jika banyak benda yang dulunya boleh dibuat sendiri dan kini kena mendapatkan bantuan orang lain, M mudah memberontak.

“Apabila difikirkan balik, saya menyesal kerana tindakan saya itu juga membuatkan ahli keluarga tertekan,” kata M.

Mey, isteri Z dan M bukan saja berdepan ujian menguruskan rumah tangga seorang diri, tetapi kena banyak bersabar untuk berdepan kerenah suami masing-masing.

Penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung boleh menyerang siapa saja tanpa mengenal usia.

Dalam keadaan sekarang, banyak kerja dilakukan tanpa memerlukan pergerakan fizikal. Suasana tempat kerja berhawa dingin menyebabkan kita terlalu selesa sehingga mengabaikan untuk melakukan kegiatan bersenam.

Keadaan bertambah buruk apabila sistem pemakanan pula tidak dikawal menyebabkan antara punca kita mudah diserang penyakit yang dianggap `pembunuh senyap’.

Walaupun syarikat tempat kita bekerja menyediakan kemudahan perubatan, berapa ramai yang mengambil berat untuk memeriksa kesihatan masing-masing.

Sikap tidak apa dan tunggu dulu sehingga penyakit dalam diri tenat antara punca ramai yang terperangkap dalam penyakit dianggap pembunuh senyap.

Untuk menangani gejala ini, kita yang perlu berubah, mengutamakan kesihatan diri dan tidak membiarkan diri terlalu tertekan dengan bebanan kerja yang tiada kesudahan.
READ MORE - Impian ranap/Suami terlantar diserang strok uji kesabaran isteri lalui dugaan getir
Powered By Blogger