"MACAM nak gila melihat suami terlantar tak dapat bergerak selepas dimasukkan ke hospital kerana serangan strok.
“Kejadian berlaku secara mendadak. Paginya dia ceria ke pejabat, tetapi pada sebelah tengah hari, saya dikejutkan dengan berita, suami kena strok selepas terjatuh di pejabat.
Kongsi Rasa kali ini akan mengupas perasaan isteri yang berdepan konflik dan dilema selepas suami yang sihat ceria dan menjadi tonggak utama ekonomi keluarga, tiba-tiba ditimpa bencana yang tidak terduga.
Selain Mey, ada beberapa lagi isteri yang sempat Kak Ani selami perasaan dan cara mereka bertindak apabila berdepan dugaan yang dianggap mencabar ini.
Mey, seorang suri rumah sepenuh masa menganggap kejadian yang menimpa suami, bagai meranapkan masa depannya dan keluarga.
“Semua rancangan saya dan suami untuk menikmati hidup yang lebih selesa selepas suami bersara nanti tinggal impian saja.
“Melihat keadaan suami yang sudah hilang upaya bergerak menyebabkan saya berasa seperti orang gila. Saya tidak tahu berapa lama suami akan terlantar di katil.
“Saya tahu sepanjang bekerja, suami seorang kakitangan yang komited dengan tugasnya. Selagi tak siap kerja, dia tak akan pulang ke rumah. Walaupun masa kerja sudah tamat, dia akan pastikan semua kerja beres sebelum meninggalkan pejabat.
“Hanya tinggal beberapa bulan lagi dia akan bersara. Suami sudah pun merancang untuk melalui waktu persaraan dengan suasana tenang. Tak sangka hasrat itu terhalang dengan bala yang menimpanya sekarang,” kata Mey yang menaruh harapan suami pulih seperti sedia kala.
Untuk itu dia nekad memberikan rawatan terbaik kepada suami, tetapi harapan untuk melihat suami pulih sepenuhnya dalam masa yang singkat sukar diramalkan.
Doktor sudah membuat pembedahan kepala suami selepas mengesan ada darah beku. Hasil pemeriksaan juga mengesahkan suami Mey menghidap darah tinggi.
Penyakit yang termasuk dalam kategori ‘pembunuh senyap’ sudah lumrah boleh dihidapi sesiapa saja tidak mengira usia.
Selain suami Mey, ada lagi beberapa kenalan Kak Ani yang berdepan dengan penyakit ini.
Seorang teman sekerja yang Kak Ani perkenalkan sebagai Z diserang strok peringkat awal ketika bertugas.
“Ketika sibuk menguruskan kerja, saya perasan kertas jatuh bertaburan. Saya cuba mengambil kertas itu, tetapi tangan yang sepatutnya mengambilnya tidak mengikut arahan otak saya,” kata Z mengingati kejadian yang menyebabkan dia terpaksa bercuti panjang.
Selepas berasa ada sesuatu tidak kena pada tangannya, Z terus berjumpa doktor panel.
Doktor meminta dia membuat pemeriksaan lanjut di hospital.
Hari itu kata Z, cukup susah untuk dia memandu kereta kerana tangan kirinya tidak berupaya untuk menggerakkan gear.
Pelbagai perasaan bermain dalam fikirannya terutama apabila memikirkan penyakit yang menyerangnya secara tiba-tiba.
Z bimbang kehilangan pekerjaan. Jika itu berlaku siapa yang akan menguruskan anaknya yang masih bersekolah.
Doktor yang merawatnya memberi perangsang kepada Z untuk tidak memikirkan perkara yang belum tentu akan berlaku.
Isterinya meminta Z fokus kepada rawatan yang dilaluinya. Selain membuat fisioterapi di hospital, Z juga menjalani rawatan tradisional di kampungnya.
Sejak melalui proses kedua-dua rawatan itu, keadaan Z bertambah baik.
Menurut isteri Z, dia dan anak-anak banyak memberi perangsang kepada suami untuk bersikap positif terhadap ujian yang dihadapinya itu.
Seorang lagi teman yang juga diserang strok kini menunggu keputusan lembaga perubatan bagi membolehkannya bersara awal.
Menurut teman yang dikenali sebagai M, ketika diserang strok, dia sedang menikmati hidangan makan tengah hari bersama pelanggan.
Tiba-tiba dia merasa kaki sebelah kanan kebas. Apabila rasa kebas itu sampai ke pinggang dan mula rasa tidak selesa dan lenguh di leher, M cuba menggerak-gerakkan kepalanya.
Melihat M dalam keadaan tidak selesa, rakan-rakan yang ada bersamanya menyorong dia ke kereta untuk dibawa ke hospital.
Lama juga dia terlantar di hospital sebelum dibenarkan pulang. M kini membuat rawatan fisioterapi intensif berdasarkan temu janji dengan pihak hospital.
Apabila berada dalam situasi begini, M mengakui dia cepat panas baran, berasa diri sudah tiada nilainya kerana semua urusan terpaksa diuruskan isteri dan emak mentua.
M bernasib baik kerana tinggal berdekatan rumah emak mentua yang sedia memberi bantuan ketika isteri keluar bekerja.
M memang tidak patah semangat untuk menjalani rawatan fisioterapi, tetapi jika banyak benda yang dulunya boleh dibuat sendiri dan kini kena mendapatkan bantuan orang lain, M mudah memberontak.
“Apabila difikirkan balik, saya menyesal kerana tindakan saya itu juga membuatkan ahli keluarga tertekan,” kata M.
Mey, isteri Z dan M bukan saja berdepan ujian menguruskan rumah tangga seorang diri, tetapi kena banyak bersabar untuk berdepan kerenah suami masing-masing.
Penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung boleh menyerang siapa saja tanpa mengenal usia.
Dalam keadaan sekarang, banyak kerja dilakukan tanpa memerlukan pergerakan fizikal. Suasana tempat kerja berhawa dingin menyebabkan kita terlalu selesa sehingga mengabaikan untuk melakukan kegiatan bersenam.
Keadaan bertambah buruk apabila sistem pemakanan pula tidak dikawal menyebabkan antara punca kita mudah diserang penyakit yang dianggap `pembunuh senyap’.
Walaupun syarikat tempat kita bekerja menyediakan kemudahan perubatan, berapa ramai yang mengambil berat untuk memeriksa kesihatan masing-masing.
Sikap tidak apa dan tunggu dulu sehingga penyakit dalam diri tenat antara punca ramai yang terperangkap dalam penyakit dianggap pembunuh senyap.
Untuk menangani gejala ini, kita yang perlu berubah, mengutamakan kesihatan diri dan tidak membiarkan diri terlalu tertekan dengan bebanan kerja yang tiada kesudahan.
No comments:
Post a Comment