sakit jantung dan strok merupakan pembunuh nombor satu wanita di Malaysia. Menggerunkan tetapi inilah hakikat yang berlaku di mana penyelidikan mendapati ia berlaku ke atas seorang daripada setiap empat wanita.
READ MORE - Pembunuh utama wanita
Malangnya berdasarkan hasil kaji selidik melalui program Kesedaran Kesihatan Jantung Wanita yang telah dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Jantung Wanita (WH2O) mendapati, pengetahuan umum dan kesedaran mengenai penyakit ini masih rendah sama ada di kalangan wanita mahupun lelaki.
Pengerusi WH2O, Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari berkata, kematian akibat serangan jantung dan strok di kalangan wanita hampir dua kali lebih lazim daripada kematian akibat kanser.
"Maka dengan itu, apa yang terjadi lebih banyak kematian di kalangan wanita akibat serangan jantung atau strok dan ia menjadi satu trend yang tidak berubah sejak 10 tahun lalu.
"Hasil tinjauan menunjukkan di kalangan responden memberi tanggapan salah bahawa sakit jantung dan strok tidak selalunya terjadi dan tidak pernah berlaku pada wanita sebelum putus haid.
"Bagaimanapun, majoriti responden mengetahui faktor-faktor risiko yang menyumbang kepada penyakit tersebut seperti diabetes, masalah berat badan dan mempunyai bahagian pinggang yang besar.
"Selain itu mereka juga menyedari hakikat bahawa penurunan berat badan yang sederhana akan mengurangkan dengan jelas risiko sakit jantung," jelasnya pada sidang akhbar di Institut Jantung Negara (IJN), di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IJN menyatakan, kaji selidik dijalankan ke atas 5,195 responden berumur di antara 20 tahun hingga 70 tahun.
Responden dipilih terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pelajar, profesional, pekerja pejabat, suri rumah, pesara dan sebagai.
Menurut Robaayah, WH2O, yang ditubuhkan pada Mei tahun lalu, mempunyai objektifnya tersendiri iaitu ingin meningkatkan kesedaran dalam penyediaan penjagaan kesihatan.
Ini terutamanya berkaitan aspek membangunkan strategi pencegahan terhadap serangan jantung dan strok di kalangan wanita serta menyediakan pendidikan perubatan yang berterusan kepada masyarakat.
Sehubungan itu, katanya, terdapat pelbagai rawatan yang disediakan untuk penyakit jantung kardiovaskular termasuk ubatan, pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) dan percutaneous coronary intervention (PCI) yang lebih dikenali sebagai belon angioplasti.
Angioplasti adalah rawatan apabila doktor memasukkan tiub ke dalam salur arteri koronari dan mengembungkan belon di dalamnya lalu 'stent' yang menyerupai dawai kasa dibiarkan bagi memastikan arteri terbuka dan tidak menyempit kembali.
Terdapat pelbagai jenis stent yang digunakan dalam teknik angioplasti iaitu yang menggunakan logam (BMS), ubat (DES) dan kejuruteraan biologi (BES).
"Setiap pesakit berbeza dari segi tahap stenosis koronarinya, sama ada mengecil atau tersumbat serta keadaan fizikalnya. Maka jenis terapi akan disyorkan sewajarnya," katanya.