Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Sunday, March 11, 2012

Hidup cacat bagaikan sumpahan


APABILA doktor memotong tangan kanannya yang hancur akibat ditimpa runtuhan batu ketika gempa bumi di Haiti pada 2010, Marjorie Benoit termasuk dalam golongan terpinggir yang terdiri daripada orang buta, pekak dan kudung.
Tetapi ketika ibu beranak empat berusia 33 tahun itu berhadapan masalah peribadi dan kewangan, satu perkara tidak disangka-sangka berlaku, dia menemui rumah perlindungan yang mengalu-alukan kedatangannya.

Ketika 1.3 juta penduduk Haiti yang kehilangan tempat tinggal dalam gempa bumi ditempatkan di bandar ‘khemah’, golongan terpinggir dan tidak berumah seperti Benoit sampai ke komuniti yang boleh dijadikan contoh.

Mereka berpindah ke perkampungan dilengkapi rumah papan lapis dan jalan batu kerikil yang dibuat khas untuk mereka. Mereka membentuk satu kelompok masyarakat yang rapat. Mereka bina landasan condong sebagai laluan kerusi roda daripada peralatan kolam renang terpakai dan memasang lampu menggunakan kuasa solar untuk membantu orang pekak berkomunikasi dengan bahasa isyarat.


Kemudahan yang memberi kelegaan kepada lebih 500 penduduk itu bagaimanapun akan berakhir tidak lama lagi apabila kerajaan bercadang mengambil semula tanah berkenaan.

Sedihnya, tiada pelan pemindahan untuk golongan terbabit, contohnya sumbangan kewangan untuk membayar sewa rumah dan membeli keperluan harian. Malah kawasan alternatif untuk kumpulan pekak juga masih belum ditetapkan.

“Saya rasa lebih bersemangat dan kuat apabila tinggal di sini bersama-sama orang kurang upaya lain. Kalau kami terpaksa pindah, saya harap biarlah kami dipindahkan ke tempat yang sama,” kata Benoit.

Dia masih belajar menggunakan tangan kiri supaya dia boleh menyambung kembali kerjayanya sebagai penjaja jalanan.

Hidup orang kelainan upaya memang tidak mudah di negara termiskin di dunia itu. Orang buta, pekak dan kudung sejak dulu sentiasa dirundung stigma masyarakat yang memandang rendah kepada mereka.

Kecacatan mereka sering dianggap kesan sumpahan dan hanya segelintir saja ada akses kepada terapi fizikal atau khidmat sosial. Ini menyebabkan orang cacat di Haiti menjadi golongan paling miskin di negara itu.

Dalam koloni baru itu, penduduknya berkata, mereka tidak lagi berhadapan dengan renungan masyarakat kerana kehilangan penglihatan, pendengaran atau kaki dan tangan.

Claudius Joseph, pelajar buta berusia 25 tahun berkata, gurunya percaya dia tidak boleh belajar kerana tidak dapat melihat. Kanak-kanak juga takut hendak memegang tangannya.

“Di sini saya rasa normal kerana ada orang lain cacat seperti saya,” katanya.

Perkampungan terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Port-au-Prince itu dipanggil La Piste sempena landasan penerbangan tentera di seberang jalan. Ia ditubuhkan Persekutuan Palang Merah Antarabangsa yang membina 368 rumah untuk individu bermasalah pendengaran dan pertuturan serta kecacatan lain.

Keluarga pertama pindah ke situ pada 7 Januari 2011, beberapa hari sebelum ulang tahun gempa bumi dan setiap keluarga menerima RM450 untuk memulakan kehidupan mereka. Kini penduduknya lebih pelbagai, ada yang cacat akibat kemalangan atau jangkitan berikutan gempa bumi.

Palang Merah melaporkan, mereka menandatangani perjanjian dengan kerajaan sebelum ini pimpinan Presiden Rene Preval untuk menggunakan tanah berkenaan sehingga Januari 2013.

Pegawai daripada kerajaan Presiden Michel Martelly berkata, mereka mahukan tanah itu semula dan penduduk di situ perlu berpindah.

“Itu bukan tanah mereka, pemiliknya mahukan ia balik,” kata Setiausaha Negara untuk Integrasi Golongan Cacat, Gerald Oriol Jr.

Bagaimanapun, dia enggan memberitahu siapa pemilik tanah berkenaan dan merujuk kepada soalan mengenai golongan pekak, dia mengulas ‘mereka perlu pindah dalam masa enam hingga sembilan bulan ini’.

Apabila mendengar berita yang mengecewakan itu, penduduk La Piste mula risau.
Alix Baptise, 37, yang bisu menarik tangan rakan untuk menterjemahkan fikirannya. Dia berkata: “Kami akan protes. Kami tiada tempat lain hendak dituju.”

Dua kumpulan agama dari Amerika Syarikat kini sedang membina bangunan di tempat lain terletak 30 kilometer di barat-laut Port-au-Prince untuk menempatkan sebahagian penduduk La Piste tetapi dijangka ramai tidak mahu meninggalkan kampung itu.

Mission of Hope dari Fort Meyers, Florida dan 410 Bridge, Inc dari Alpharetta, Georgia kini dalam usaha membina 500 rumah untuk disiapkan dalam tempoh dua tahun di bandar Leveque.

Sebanyak 160 rumah dikhaskan untuk keluarga pekak La Piste, kata jurucakap Mission of Hope Haiti, Austin Holmes.

Buat masa ini, 50 keluarga sudah berpindah ke situ dan 20 keluarga lagi dijangka masuk ke rumah baru yang bakal siap hujung bulan ini. Namun nasib keluarga di La Piste masih menjadi tanda tanya. Malah di kalangan keluarga yang dijanjikan rumah juga masih tidak tahu ke mana hendak dituju jika perlu berpindah sekarang kerana rumah mereka masih belum siap.

Sesetengah penduduk La Piste seperti Felicia Joseph, 58, mengambil sikap ‘ikut saja’ jika mereka terpaksa berpindah ke Leveque. Namun ramai tidak mahu berpindah kerana mereka bekerja sebagai tukang jahit di kilang berhampiran atau belajar di Port-au-Prince.

Koordinator Perlindungan Palang Merah, James Bellamy, berkata, jika kerajaan merampas tanah berkenaan sebelum Januari depan, bermakna penduduk layak untuk mendapat subsidi sewa rumah sebanyak RM1,500 selama setahun dan RM1,500 lagi untuk keperluan hidup. Mereka juga boleh mengambil kursus belajar kemahiran dalam pertukangan kayu dan batu serta jahitan.

“Kami akan berbincang dengan kerajaan dan penduduk, jika boleh mendapat penyelesaian jangka panjang. Jika tidak, susahlah kerana kerajaan tiada pelan untuk memindahkan mereka ke mana-mana,” katanya.

Pihak pentadbiran Martelly dan kumpulan bantuan antarabangsa sudah menutup beberapa kem dan memindahkan penduduk ke rumah yang dibayar sewanya selama setahun. Tetapi, itu hanya membabitkan lima peratus daripada setengah juta penduduk yang masih tinggal di kem perlindungan yang mudah dilanda banjir.

Meskipun dilanda pelbagai masalah, penduduk La Piste bersyukur ditempatkan di situ.

“Syukur masih dapat hidup dengan baik. Di sini tiada pergaduhan. Memang kami ada macam-macam masalah tetapi kami tidak akan mengalah,” kata Mason Egene berusia 63 tahun. - AP

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger