POH Sopheak kehilangan kaki kirinya dalam letupan jerangkap samar pada 1990. Namun sehingga kini, ada ketikanya, ‘kaki kirinya’ terasa sakit sehingga dia tidak boleh tidur pada waktu malam. Seperti kebanyakan orang yang dipotong kaki, Supheak mengalami ‘kesakitan khayalan’.
Kini selepas hampir dua dekad dalam ‘kesakitan’, dia memberanikan diri mencuba satu teknik inovatif yang menjanjikan kelegaan dengan hanya menggunakan cermin bagi ‘menipu’ otak supaya ‘menggerakkan’ kaki yang sudah hilang itu, sekali gus mengurangkan kesakitan dialaminya.
Caranya mudah, dia hanya perlu duduk di kerusi dan memegang cermin setinggi badan yang diletakkan di depan kakinya. Sopheak, 50, tersenyum apabila 24 pakar terapi fizikal mengelilinginya.
Itu adalah sesi latihan pertama terapi cermin yang diadakan di Cambodia Trust, pusat rehabilitasi kebajikan untuk orang yang cacat anggota di Kampung Chhnang di wilayah tengah Kemboja.
Itu adalah sesi latihan pertama terapi cermin yang diadakan di Cambodia Trust, pusat rehabilitasi kebajikan untuk orang yang cacat anggota di Kampung Chhnang di wilayah tengah Kemboja.
Sopheak dengan tenang mengikut arahan yang diberikan pakar terapi pelawat dari Kanada, Stephen Summer untuk menggerakkan ibu jari kaki kanannya sambil matanya melihat imej di cermin, imej ‘tindan’ untuk kaki kiri.
“Ini adalah sensasi baru, pelik tetapi baik. Saya lihat kaki di cermin dan berasa gembira. Fikiran saya rasa tenang,” kata bekas askar itu yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Menurut Sumner, imej kaki kanan pada cermin boleh ‘menipu’ otak kerana ia membuatkan seseorang itu melihat dua kaki yang membolehkannya menghantar isyarat kepada kaki yang kudung isyarat yang sebelum ini menyebabkan rasa tertekan apabila melihat kaki sudah dipotong.
“Dengan melihat cermin, otak secara tiba-tiba ‘membolehkan’ anda menggerakkan kaki yang kudung dan melakukan semua pergerakan yang dilakukan kaki sebenar.
Otak kita perlu ditipu sedikit,” kata Sumner, 51, yang juga kehilangan kaki kirinya akibat terbabit kemalangan motosikal lapan tahun lalu.
Teori terapi cermin ini juga berkesan untuk mengurangkan kesakitan khayalan atau rasa kejang pada tangan yang kudung. Teori ini dikemukakan pada 1995 oleh pakar sains saraf, Vilayanur S Ramachandran dari Universiti Carolina, San Diego dan dia dinamakan sebagai orang paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time pada 2011.
Bagaimanapun, perjalanan kaedah ini baru bermula beberapa tahun lalu di Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah. Menurut pakar terapi cermin merangkap pakar sains saraf, Eric Altschuler, kaedah ini banyak digunakan ke atas askar yang kehilangan kaki dalam peperangan di Iraq dan Afghanistan.
Di Pusat Perubatan Askar Walter Reed di Washington, terapi cermin kini digunakan secara meluas untuk orang yang kehilangan anggota badan.
Helah neurologikal ini mendapat perhatian ramai apabila ia dipaparkan dalam drama perubatan terkenal di Amerika Syarikat, ‘House’ pada 2009.
Namun terapi ini masih asing di Kemboja, negara kecil yang mempunyai beribu-ribu rakyat kudung akibat kemalangan, penyakit dan paling banyak disebabkan letupan jerangkap samar peninggalan perang saudara selama puluhan tahun lalu.
Sumner sendiri yang merasakan ‘kesakitan khayalannya’ umpama sakit renjatan elektrik ke seluruh kaki, bertekad untuk menyebarkan teknik berkenaan.
Melalui Projek Tamatkan Kesakitan yang dibiayai sebuah badan di Kanada, dia melatih puluhan doktor dan individu kudung di seluruh Kemboja.
Antara usaha paling penting di negara miskin itu ialah memberikan cermin percuma sepenuh badan kepada individu yang ada satu kaki dan cermin separuh badan kepada orang yang ada satu tangan.
Hampir 80 peratus individu kudung dikatakan mengalami kesakitan khayalan ini dan tiada ubat yang mampu mengatasinya tetapi Sumner menegaskan, terapi cermin dapat membantu dengan cepat.
“Terapi cermin tidak akan menghilangkan kesakitan anda serta-merta. Anda perlu lakukan terapi ini setiap hari sekurang-kurangnya selama empat minggu,” katanya.
Dia mencadangkan dua sesi selama 10 minit sehari. Malah terapi ini juga boleh digunakan individu yang kudung kedua-dua belah kaki atau tangan.
“Prostesis atau anggota palsu yang paling biasa pun boleh digunakan dalam terapi cermin ini. Ia sudah cukup kerana otak kita mahu sangat kita sembuh,” kata Sumner lagi.
Sopheak berharap dia dapat menjadikan terapi cermin itu sebagai amalan hariannya dan menamatkan kesakitan yang dialaminya.
Menurutnya kakinya yang kudung itu dirasakan menggigil dan diikuti rasa sakit mencucuk pada jari-jari kaki.
Sehingga kini dia sudah mencuba banyak kaedah untuk mengalihkan perhatiannya supaya tidak terlalu memikirkan masalahnya itu.
Antara aktiviti yang dilakukan ialah bergendang, menyanyi, mengurut hujung kakinya atau sekali sekala mengambil pil tahan sakit yang dirasakan kurang berkesan.
Walaupun ramai pakar berkata terapi cermin sangat berguna untuk membantu individu kudung, namun pensyarah Perubatan Fizikal dan Rehabilitasi di Pusat Pengajian Perubatan New Jersey, Prof Madya Altschuser berpendapat, apa yang lebih penting ialah tidak memberikan harapan palsu kepada golongan ini.
“Tiada satu kaedah yang berkesan untuk semua orang. Terapi cermin sangat bermanfaat dan berguna bagi masalah yang berkaitan dengan pergerakan seperti kekejangan atau tangan yang tergenggam kaku. Ia tidak berkesan untuk kesakitan akibat kebakaran,” katanya.
Bagaimanapun, Altschuser yang baru balik dari latihan pakar terapi fizikal di Haiti berkata, dia gembira kerana terapi cermin itu sudah sampai ke Kemboja.
“Terapi cermin ini tidak mahal dan sangat mudah. Pesakit boleh melakukannya sendiri di rumah. Melalui cara ini, pesakit boleh menjaga dan memantau kesihatan mereka sendiri. Alat yang diperlukan hanyalah cermin, sebarang cermin pun boleh,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment