2012/02/16
IPOH: Sebanyak 188 kes jangkitan Akut Gastroenteritis (AGE) dikesan di dua daerah di Perak, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya meningkat kepada 3,444.Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata daripada jumlah itu sebanyak 114 kes baru dikesan di Hilir Perak dan 74 kes di Batang Padang
"Di Hilir Perak, seramai enam orang dimasukkan ke wad hari ini manakala di daerah Batang Padang seramai tiga orang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini jumlah keseluruhan kes itu di Hilir Perak mencatatkan 2,220 kes manakala di Batang Padang sebanyak 1,224 kes.
Pada 10 Feb lalu, dua bayi masing-masing berusia dua dan 10 bulan meninggal dunia di daerah Hilir Perak dipercayai akibat dijangkiti sejenis virus dikenali "Rotavirus" yang menyebabkan kes AGE.
Sementara itu, Dr Mah berkata, sebanyak 94 sampel najis pesakit diuji kehadiran virus dan ia menunjukkan 59 daripada sampel yang diuji itu di dapati mengandungi virus jenis Rotavirus manakala 10 tidak mengandungi virus dan 25 lagi sampel masih diuji.
"Setakat ini sembilan sampel air yang diuji mikroskop elektron dan ia menunjukkan semuanya negatif manakala 14 masih dalam proses. Sebanyak 1,000 sampel liter perlu tertumpu kepada 50 ml pertama sebelum pemprosesan makmal dan ujian lanjut," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengurangkan pemakanan mentah ulam-ulaman, memasak air sebelum minum serta mengamalkan membasuh tangan menggunakan sabun dan air bersih sebelum dan selepas makan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment