Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Thursday, September 13, 2012

Kehamilan terancang


DOKTOR, saya sudah berumur 38 tahun dan mempunyai empat orang anak. Saya ingin merancang keluarga. Apakah kaedah terbaik saya lakukan? Sebelum ini saya tidak mempunyai masalah dalam tempoh mengandung dan saya bersalin secara normal. Satu lagi doktor, benarkah bersalin pada usia lewat 35 ke atas mengundang risiko kesihatan pada bayi dan diri saya sendiri? Terima kasih.
n Ju, Perlis
JAWAPAN:
Alhamdulillah, Puan telah pun dikurniakan empat cahaya mata yang sihat. Syabas! perancangan Puan amat tepat sekali. Teruskan dengan perancangan tersebut.
Pelbagai kaedah merancang keluarga yang selamat, berkesan, mudah diguna, tiada kesan sampingan dengan kadar kos yang berpatutan mudah didapati kini.
Sama ada kaedah yang digunakan bersifat sementara atau kekal, perancangan keluarga sebenarnya bermanfaat untuk kesihatan ibu dan anak serta memberi kesejahteraan kepada keluarga secara keseluruhannya.
Fatwa mengenai perancang keluarga seperti dikemukakan ulama terkenal, Dr Yusuf al-Qardhawi membenarkan umat Islam merancang keluarga atas alasan kukuh. Alasannya membabitkan kesihatan ibu serta bebanan anak hingga menyebabkan seseorang melakukan perkara haram untuk memenuhi keperluan hidup. Pengguguran bukan kaedah merancang keluarga apatah lagi perbuatan itu memang tidak dibenarkan di negara ini kecuali membabitkan kesihatan atau nyawa si ibu.
Lebih rendahBagi pasangan berumur 35 tahun ke atas dan masih ingin mendapatkan cahaya mata, perlu sedar bahawa peluang untuk hamil lebih rendah berbanding wanita muda serta berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi. Kesuburan berkurangan dengan peningkatan umur disebabkan beberapa perkara iaitu kurangnya bilangan telur dan juga telur yang berkualiti, kekurangan sperma berkualiti, kekurangan kadar hubungan seks dan masalah perubatan dan juga peranakan seperti endometriosis, fibroid dan masalah pada salur Fallopio.
Kehamilan selepas umur 35 tahun itu berisiko mendapat komplikasi. Malah peluang untuk melahirkan anak cacat seperti Sindrom Down juga meningkat dengan peningkatan umur. Dianggarkan insiden bayi Sindrom Down bertambah kepada satu kes bagi 100 kelahiran apabila umur ibu memasuki 40 tahun.
KeguguranMalah risiko keguguran juga agak tinggi iaitu 25 peratus jika ibu berumur 40 tahun. Biasanya masalah kesihatan seperti hipertensi (tekanan darah tinggi) dan diabetes mellitus (kencing manis) bermula apabila seseorang memasuki pertengahan 30-an atau awal 40-an. Adalah penting untuk anda pastikan penyakit ini dikawal sepenuhnya sebelum berusaha untuk hamil, kerana ia meninggikan risiko terhadap kesihatan ibu dan bayi. Rawatan yang optimum sebelum hamil dan semasa hamil akan mengurangkan komplikasi penyakit ini.
Walaupun perubatan moden boleh menolong wanita berusia lebih 35 tahun mengalami kehamilan yang selamat, komplikasi perubatan pada usia sebegini adalah lebih tinggi berbanding dengan wanita lebih muda. Kejadian bayi meninggal di dalam kandungan juga tinggi di kalangan wanita berusia 35 tahun ke atas. Wanita berusia juga lebih cenderung melahirkan anak yang lebih kecil saiznya. Kelahiran secara pembedahan cesarean juga tinggi terutamanya di kalangan mereka yang hamil anak pertama.
Meskipun sering mendengar risiko kehamilan oleh wanita usia 40-an, nampaknya peringatan itu makin kurang diberi perhatian kerana ada juga berpendapat, berapa pun usia menjangkau, wanita boleh hamil selagi tubuhnya sihat. Ada juga berpandangan, hamil pada usia muda tidak semestinya lebih baik kerana ada kala berlaku juga keadaan di luar jangkaan.
Justeru, ada yang tidak kisah untuk hamil dalam usia lewat walaupun kebanyakan rakan seusia dari awal-awal lagi sudah merancang 'tutup kilang' terutama apabila mencecah usia 35 tahun ke atas.
Kaedah perancangan keluargaDi negara kita ada banyak jenis kaedah perancangan keluarga dan antara yang popular adalah kaedah semula jadi (contohnya penyusuan bayi atau ejakulasi di luar). Kaedah ini bagaimanapun kurang berkesan. Kaedah halangan seperti kondom adalah cara pencegahan kehamilan yang baik, murah, mudah dan dapat mengelak jangkitan penyakit seksual, pemandulan iaitu mengikat salur Fallopio bagi wanita, pil perancang (wanita), alat intrauterin (IUD), sistem intrauterin (IUS), implan (susuk), suntikan, tampalan (ditampal di atas kulit badan) dan cincin vagina (dimasukkan ke dalam vagina). Walaupun kaedah disenarai di atas sudah lama ada di negara kita, masih ramai wanita bimbang menggunakannya.
Kaedah perancang keluarga dapat mencegah kehamilan dengan menghalang proses persenyawaan atau memperlambatkan percantuman sperma dan telur. Pemilihan kaedah perancang keluarga yang terbaik bergantung kepada beberapa faktor seperti tahap kesihatan wanita, umur wanita, kekerapan hubungan seks dan kehendak pasangan suami isteri untuk mendapatkan anak. Kaedah perancang keluarga yang dipilih mungkin berubah dari semasa ke semasa. Antara faktor yang menentukan pilihan kaedah bergantung kepada kesesuaian dengan cara hidup pasangan suami isteri, keberkesanan kaedah, ciri keselamatan dan kemampuan untuk mengamalkan kaedah tersebut.
Oleh kerana ia membabitkan saiz keluarga, sebaik-baiknya perkara itu dibincangkan, bukan untuk mendapatkan persetujuan suami tetapi bagi mendapat maklum balas di samping menyalurkan ilmu. Biasanya kebanyakan suami tidak membantah jika isteri mahu menggunakan kaedah perancangan keluarga bagi kebaikan bersama. Elok Puan dan suami berjumpa doktor bagi membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan setiap kaedah perancang keluarga agar dapat membuat keputusan untuk mengamalkan kaedah yang terbaik bagi Puan.

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger