Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Sunday, October 7, 2012

Penyakit bawaan genetik



Faktor tulang belakang yang membengkok.
PERNAHKAH anda mendengar mengenai Persatuan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia (PPJJM) atau jenis-jenis penyakit yang didaftarkan di bawah persatuan ini?
Terdapat 60 jenis penyakit yang telah didaftarkan menerusi PPJJM setakat ini antaranya ialah Osteogenesis Imperfecta (tulang rapuh), Duchenne Muscular Dystrophy (DMD), Sindrom Prader-Willi, keabnormalan kromosom, Sindrom Marfan dan lain-lain lagi.
Kebanyakan penyakit-penyakit berkenaan berkaitan dengan unsur genetik namun ada juga yang berlaku secara 'spontan' tanpa melibatkan pihak ibu bapa mahupun adik-beradik. Ada juga yang berlaku kerana faktor alam sekitar.
Ada suatu masa dahulu pesakit yang menderita penyakit-penyakit ini tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat.
Pesakit berasa malu, enggan keluar rumah, tidak mendapat layanan yang sempurna malah persepsi masyarakat terhadap mereka menimbulkan masalah psikososial terhadap pesakit selain tidak mendapat kepakaran secukupnya daripada pihak doktor.
Atas dasar tidak mahu perkara seperti ini berlarutan, Ketua Unit Genetik dan Metabolisma dan Pakar Perunding Pediatrik Kanan dan Genetik Klinikal di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr. Thong Meow Keong berkata, Unit Genetik telah ditubuhkan pada tahun 1995 di bawah Jabatan Pediatrik, PPUM.
''Masa itu sehingga sekarang sebenarnya tidak ramai doktor yang benar-benar pakar dalam bidang Penyakit Jarang Jumpa (PJJ) ini.
''Ramai yang tidak tahu mengenai penyakit-penyakit ini malah ada di kalangan doktor sendiri tidak memahami status PJJ ini menyebabkan kesukaran pesakit untuk mendapatkan rujukan dan rawatan," katanya.
Walaupun bilangan pesakit setiap penyakit jarang jumpa adalah sedikit, namun bilangan pesakit dalam semua kategori penyakit jarang jumpa adalah ramai. Di Eropah sahaja terdapat 6,000 kategori penyakit genetik dilaporkan.
Ini berbeza daripada penyakit kronik yang amat ketara seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya yang mana penyakit ini hanya satu tetapi penghidapnya adalah beribu-ribu.
Sehubungan itu, penyakit ini jarang mendapat perhatian di kalangan pengamal perubatan sendiri kerana persepsi bahawa ia adalah penyakit yang 'jarang' dijumpai.
''Justeru atas perbincangan demi perbincangan dengan pesakit dan keluarga mereka, PPJJM ditubuhkan pada tahun 2007 sebagai 'payung besar' untuk memayungi ahli-ahlinya yang menghidap penyakit yang tiada dalam senarai 'pengetahuan' masyarakat agar mereka tidak terus terbiar dan terabai," katanya yang menekankan betapa pentingnya memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai individu yang mengalami masalah PJJ ini.
Sindrom Marfan
Apabila berbicara mengenai penyakit-penyakit PJJ, salah satu daripadanya ialah Sindrom Marfan.
Menurut Dr. Thong, maksud sindrom itu sendiri bermakna satu penyakit yang mempunyai profail yang melibatkan pelbagai organ atau sistem badan, yang dapat dikenal pasti oleh pengamal perubatan.
Dalam situasi ini, pesakit Sindrom Marfan akan menghadapi masalah yang melibatkan mata, tulang, jantung, kulit dan pada mulanya penyakit ini memang sukar untuk dikesan hanya dengan sekali pandang.
Ciri-ciri sindrom ini pastinya berlainan antara satu pesakit dengan yang lain dan ciri utama sindrom ini adalah kelemahan tisu penghubung (connective tissue disorder) atau otot pengikat di dalam tubuh pesakit.
Antaranya ialah pesakit mempunyai anggota badan yang panjang, jari panjang boleh dilentur-lentur, saiz badan adalah terlalu tinggi, kurus dan kanta mata mudah tertanggal. Lama kelamaan ada pesakit yang akan mengalami masalah tulang belakang membengkok (scoliosis) menyebabkan tubuh mereka bongkok, lengan tidak boleh didepakan, mengalami masalah penglihatan, pergerakan dan lain-lain lagi.
''Bahagian badan yang perlu tenaga kental adalah mata. Urat-urat kecil yang boleh merenggang memegang kanta mata. Bagi pesakit Sindrom Marfan, urat-urat kecil ini adalah longgar yang menyebabkan kanta mata boleh tertanggal ataupun tercabut dengan mudah (subluxation).
''Pesakit yang menghidapi sindrom ini bakal mengalami penglihatan terhad dan kabur serta rabun," katanya.
Sementara itu pesakit sindrom ini juga akan menghadapi masalah jantung apabila tisu jantung yang berkembang menjadi longgar ketika proses pengepaman darah. Ini menyebabkan injap yang membenarkan darah bergerak hanya satu hala menjadikan keadaan injap 'prolapse' kerana injap mitral menjadi panjang dan longgar.
Salur darah utama daripada jantung iaitu salur aorta mungkin akan mengembang di pangkal (dilated aortic root). Ini menyebabkan berbahaya kerana salur darah utama tersebut mungkin pecah dan menyebabkan maut secara tiba-tiba.
Katanya lagi, gejala penyakit Sindrom Marfan yang lain melibatkan sendi dan tulang, jari-jemari panjang, sendi yang longgar, masalah saraf, tulang belakang yang bengkok dan rongga badan yang berpusing diakibatkan oleh scoliosis menyebabkan pesakit menjadi semakin rendah biarpun pada masa kanak-kanaknya pesakit adalah seorang yang bersaiz tinggi.
''Selain itu pesakit juga akan mengalami rekahan kulit di tempat-tempat yang tidak sepatutnya seperti di bahu, punggung, lengan dan sebagainya kerana regangan kulit yang bermasalah," katanya.
Simptom, gen sindrom
Dr. Thong menambah, penyakit Sindrom Marfan adalah sejenis penyakit yang hanya ketara kecacatannya secara beransur-ansur. Ini bermakna kecacatan penghidap sindrom ini akan dilihat apabila mereka sudah semakin dewasa.
Selalunya apabila bayi itu lahir, tidak nampak di mana kecacatan bayi itu. Sebilangan kecil bayi tersebut mungkin mempunyai tubuh badan yang berukuran panjang yang lebih daripada biasa.
Sekiranya ibu bapa mempunyai latarbelakang penyakit sindrom Marfan dan mengalami masalah bayi tersebut, dia perlu dibawa berjumpa doktor dengan segera untuk mengesan penyakitnya awal.
Sindrom ini adalah berkaitan dengan kecelaruan genetik tisu-tisu penghubung (connective tissue). Individu yang bercirikan sindrom ini selalunya akan bersaiz tinggi yang luar biasa dengan tangan dan kakinya adalah panjang dan jari jemari yang kurus.
Sindrom ini diwariskan sebagai sifat-sifat yang dominan dibawa oleh gen FBN1, yang menghasilkan protein penghubung fibrillin-1. Manusia mempunyai sepasang gen FBN1- satu diwarisi daripada ayah dan satu lagi daripada ibu.
Oleh kerana mutasi (perubahan kod gen) gen FBN1, individu yang mewarisi satu gen FBN1 yang bermutasi tersebut sama ada daripada ibu atau bapa, akan mempunyai sindrom ini.
Mutasi gen FBN1 tersebut menyebabkan protein tisu penghubung itu tidak dihasilkan dengan sempurna.
Sindrom ini mempunyai julat ekspresi daripada sederhana sehinggalah ke tahap serius seperti komplikasi injap jantung dan aorta. Ia juga boleh menjejaskan paru-paru, mata, lapisan dura tunjang saraf , tulang dan lelangit keras.
''Apabila bertemu dengan doktor, riwayat salasilah keturunan akan dilakarkan untuk mengetahui dari manakah ciri sindrom Marfan itu didapati sama ada dari keturunan (sebanyak 3/4 kes adalah dari ibu atau bapa atau kedua-duanya) atau secara spontan.
''Penurunan penyakit ini secara genetik di mana pesakit sindrom Marfan ini mempunyai risiko 1 dalam 2 (50%) setiap kali kehamilan melahirkan anak dengan sindrom Marfan.
''Oleh itu, setiap pesakit sindrom Marfan perlu mendapatkan perkhidmatan kaunseling genetik dan nasihat penjagaan kesihatan daripada pakar genetik perubatan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121004/kn_01/Penyakit-bawaan-genetik#ixzz28gd5IOhq
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Penyakit bawaan genetik

Stoking melegakan kaki


WANITA moden hari ini sentiasa berkejar ke sana ke mari untuk mencapai kejayaan dan kepuasan peribadi sehingga sering terlupa tentang keperluan asas seperti mengamalkan pemakanan seimbang serta bersenam.
Amalan pemakanan pada zaman moden ini mendedahkan wanita kepada makanan yang tinggi kandungan garam dan gaya hidup yang kurang aktif.
Ini akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuklah aliran darah yang perlahan dan pengumpulan air di bahagian kaki tanpa disedari berasa cepat letih, sakit badan, dan bengkak kaki.
Bagi membantu menangani masalah ini, Scholl, jenama penjagaan kaki yang terkemuka, memperkenalkan Stoking Scholl Compression untuk wanita memperoleh kelegaan daripada keletihan dan bengkak kaki.
Pengarah Pemasaran, Reckitt Benckiser di Malaysia dan Singapura, Nikhilesh Kalra, berkata, stoking ini direka secara ergonomik dan memiliki teknologi tekanan separa berpaten yang berfungsi untuk meningkatkan aliran darah dan mengurangkan pengumpulan air di bahagian kaki.
"Memang tidak dapat dinafikan bahawa wanita moden mempunyai masa terhad untuk benar-benar menjaga kesihatan mereka termasuklah keadaan kaki mereka.
"Menyedari hal ini, inovasi kami dicipta untuk mengurangkan beban wanita dengan memberikan mereka penjagaan kaki yang selesa," katanya.
Menurut beliau, dengan mengambil kira rutin dan gaya hidup wanita, Scholl telah mengaplikasikan ergonomik yang boleh membantu wanita mendapat kelegaan daripada kaki yang sakit, letih dan bengkak ketika mereka tidur.
Melalui teknologi tekanan separa berpaten Scholl, stoking berfungsi dengan menghasilkan pemampatan yang berbeza di tiga titik tumpuan iaitu bahagian pergelangan kaki, betis dan paha.
Pemampatan paling tertumpu di bahagian pergelangan kaki bagi menggalakkan darah yang terkumpul di kaki untuk mengalir ke atas ke bahagian betis.
Stoking Scholl Compression terdapat dalam dua pilihan, Sleeping Short, dengan ukuran panjang sehingga bawah lutut (RM92.40) dan Sleeping Long, dengan ukuran panjang sehingga melepasi lutut (RM102.90).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121005/kn_02/Stoking-melegakan-kaki#ixzz28gcrbaB7
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Stoking melegakan kaki

Evolusi kasut plastik


Kasut getah jelly Bunny yang berwarna-warni.
BOSAN dengan kasut lama yang semakin hari berubah warna dan bentuk? Pasti anda mengimpikan sepasang kasut yang cantik, selesa dipakai, dan tahan lama dengan harga berpatutan.
Kini anda berpeluang merasai pengalaman berjalan seolah-olah di atas jeli yang lembut dengan pemilihan warna dan rekaan yang menarik seperti kendi yang manis.
Jelly Bunny, produk yang mula bertapak pada pertengahan 2011 di Bangkok, Thailand, kini bakal menjadi satu fenomena dan kegilaan rakyat Malaysia.
Membawa rekaan yang menarik dan mempesonakan dengan padanan warna yang begitu memikat mata yang memandang, Jelly Bunny pasti menepati cita rasa mereka yang mementingkan keselesaan dalam pemakaian kasut.
Produk yang telah menjadi kegilaan di beberapa buah negara ASEAN seperti Vietnam, Filipina dan Indonesia ini, telah melancarkan pembukaan butik pertamanya di Suria KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Yosathep Singhsachathet (tiga dari kanan) bersama tetamu dan model pada pelancaran Jelly Bunny di Suria KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Produk yang menumpukan rekaan kasut wanita ini, sesuai untuk semua peringkat usia sama ada kanak-kanak, remaja mahu pun dewasa.
Disediakan dengan saiz yang paling kecil iaitu saiz tiga sehingga sembilan, kasut ini sesuai dipakai sama ada untuk majlis rasmi, kasual atau ketika bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan.
Menurut Pengarah Urusan Jelly Bunny, Yosathep Singhsachathet, kasut yang diperbuat daripada gabungan unik PVC yang lembut dan licin ini begitu fleksibel dan tidak mudah memeri atau berubah bentuk atau warna apabila terdedah pada hujan mahupun panas.
Menyediakan rekaan daripada selipar, sandal galdiator sehinggalah ke kasut tumit tinggi dan baji, produk ini mampu menjadi persaing hebat kepada jenama kasut terkemuka dunia yang lain.
Antara koleksi yang menjadi kegemaran dalam kalangan pembeli luar negara adalah Beth, Olga Bow, Alice, Larissa, Taira, Helena, dan Luiza.
Terdapat koleksi eksklusif yang terdiri rekaan kasut yang lebih menarik bakal menemui pengguna pada pertengahan bulan November ini.
"Kami sedang membuka beberapa butik kami di sekitar Kuala Lumpur seperti di Mid Valley, Megamall, 1 Utama Shopping Center, dan Sunway Pyramid," kata Singhsachathet .
Kasut Jelly Bunny ini boleh didapati pada harga serendah RM29 sehingga RM149 di butik-butik Jelly Bunny.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121005/kn_01/Evolusi-kasut-plastik#ixzz28gciqDYu
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Evolusi kasut plastik

Lebih yakin tanpa jeragat, keputihan



Zarin menjadi seorang yang pemalu dan lebih suka menyendiri gara-gara kurang keyakinan disebabkan masalah jeragat yang agak serius dialaminya.
SAYA tak tahu lagi apa yang perlu saya buat. Bermacam-macam ubat dan petua saya dah cuba tapi jeragat tak mahu hilang juga. Kadang-kadang malu juga melihat keadaan wajah saya lebih-lebih lagi apabila bertemu dengan orang. Pernah saya tidak mahu keluar dari rumah kerana malu dengan muka saya yang penuh jeragat."
Demikian antara luahan hati Pengurus ZZ Beauty Line, Zarin Che Nor, 36 menceritakan pengalamannya mengalami masalah jeragat yang teruk kira-kira dua tahun lalu.
Zarin menjadi seorang yang pemalu dan lebih suka menyendiri gara-gara kurang keyakinan disebabkan masalah jeragat yang agak serius dialaminya.
Dia pernah menggunakan ubat krim tetapi hasilnya masih sama.
"Bagi orang lain, masalah ini adalah biasa tetapi bagi wanita seperti saya, jeragat mengubah hidup saya. Jeragat menyebabkan saya kurang yakin lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan orang ramai.
"Saya juga berasa cemburu setiap kali melihat wanita lain mencuba pelbagai alat solek. Saya pula tidak boleh menggunakan alat solek kerana memberi kesan yang sensitif pada kulit," katanya.
Tambah Zarin, adakalanya kulit wajahnya menjadi kemerahan-merahan akibat penggunaan produk yang salah.
Baginya, dia perlu segera merawat masalah ini kerana dia juga mahu kelihatan cantik seperti orang lain.
"Saya mahu memiliki kulit yang sihat untuk berasa yakin setiap kali berkomunikasi dengan orang lain," katanya.
Tiada perubahanZarin turut mengalami keputihan dan masalah haid selepas berusia 30-an.
Dia tidak berputus asa mencari pelbagai alternatif dengan berurut tradisional, bermacam jenis jamu, pelbagai ubat suplemen malah ubat doktor dari klinik swasta dan hospital kerajaan setiap hari.
Namun tetap tiada perubahan.
"Doktor hanya memberi jawapan masalah hormon. Kata doktor, masalah haid seperti senggugut adalah perkara biasa bagi semua wanita. Hari demi hari, masalah yang saya hadapi semakin buruk.
"Sesetengah orang menganggap masalah keputihan dan haid sesuatu yang lazim. Bagi saya, penyakit ini perlu diatasi segera. Supaya kita menjadi wanita yang lebih yakin.
Saya berasa sedih mendengar cerita kawan-kawan yang mengalami masalah keputihan dan kekuningan, lendir berbau busuk, senggugut setiap kali datang haid, kegatalan, buasir, bau badan busuk dan sering pitam. Berdasarkan pengalaman saya sendiri dan mereka inilah, saya mendapat idea untuk menghasilkan sendiri suplemen berasaskan ramuan asli. Saya tidak perlu risau kerana saya adalah testimoni kepada produk saya sendiri yang diberi nama Beaurose. Suplemen ini mengandungi 100 peratus bahan semulajadi berasaskan ekstrak bunga ros, manjakani, asid phytohyrulonic dan L-glutathione.
Alhamdulillah sejak adanya produk ini setahun lalu, masalah saya semakin hari semakin pulih setelah penggunaan berterusan selama tiga bulan," katanya yang boleh dihubungi di talian 019-6678108 atau Facebook, Zzbeauty Line.
Sambil tersenyum, Zarin memberitahu, masalah jeragat yang dialaminya semakin pulih.
Kini dia tidak perlu risau kerana masalah keputihan dan haid yang sering menganggu emosinya turut beransur pulih.
"Saya percaya sekiranya kita berusaha dan tidak pernah putus asa, pasti ada rawatan sesuatu penyakit itu.
Selain itu, gaya hidup sihat juga membantu mengurangkan masalah saya. Saya kini lebih tertumpu kepada hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain itu, saya juga tidak ketinggalan bersenam," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121007/kn_04/Lebih-yakin-tanpa-jeragat-keputihan#ixzz28gcReFdy
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Lebih yakin tanpa jeragat, keputihan

Masalah mati putik



Kini ramai wanita semakin bersikap terbuka dan tidak segan meluahkan perasaan terutama kepada pakar perubatan.
- Gambar hiasan
KEGAGALAN fungsi seksual lelaki banyak dikaitkan dengan mati pucuk tetapi bagaimana pula dengan wanita? Sememangnya sejak dahulu dilema seks wanita amat jarang dibincangkan secara terbuka. Adakah wanita juga menghadapi masalah kegagalan fungsi seksual?
Jika dulu persoalan mengenai seks boleh dikatakan 'taboo' dan tidak elok dibincangkan secara terbuka kerana ramai menganggapnya sesuatu yang memalukan.
Tetapi kini ramai wanita semakin bersikap terbuka dan tidak segan meluahkan perasaan terutama kepada pakar perubatan.
Menurut pakar runding Obsetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Dharmini Veerakumaran, kini semakin ramai wanita yang tampil menceritakan masalah berkaitan seksual.
Beliau yang juga mengendalikan program kesuburan mendapati masalah kurangnya kekerapan melakukan hubungan intim menyebabkan pasangan berkenaan sukar hamil.
"Ketika itu pesakit akan menjalani sesi kaunseling dan amat memeranjatkan apabila mereka mendedahkan mengadakan hubungan intim sekali dalam sebulan," katanya.
Masalah kurangnya keinginan melakukan intim bersama-sama pasangan semakin meningkat di kalangan wanita.
"Terdapat dua kategori besar yang menyumbang kepada masalah berkenaan iaitu fizikal dan psikologi," katanya.
Masalah fizikal biasanya berkaitan dengan kesihatan seperti anemia atau kekurangan darah.
Dr. Dharmini berkata, apabila seorang mengalami anemia, badan mereka mudah menjadi letih dan lemah.
"Secara tidak langsung, ini akan menjejaskan keinginan untuk berhubungan intim dengan pasangan," katanya.
Selain itu, jelas Dr. Dharmini, penyakit kronik seperti diabetes dan jantung juga bukan saja menyebabkan mati pucuk bagi lelaki tetapi juga pada wanita.
Penyakit berkenaan akan menyebabkan gangguan kepada saraf di hujung anggota badan seperti hujung kaki dan juga kemaluan.
"Biasanya hujung anggota akan menjadi kebas dan tidak lagi dapat menerima rangsangan," katanya.
Selain itu trauma sakit selepas bersalin atau post baby coolness menyebabkan wanita kurang berminat untuk mengadakan hubungan intim.
Sementara itu perubahan hormon semasa hamil dan selepas bersalin menyebabkan wanita tiada perasaan untuk hubungan intim dengan pasangan.
Dr. Dharmini berkata, ubat-ubatan yang diambil seperti ubat sawan, ubat anti psikotik juga menyebabkan pesakit seperti tidak mempunyai 'perasaan' yang menjalinkan hubungan intim.
"Kajian menunjukkan kekurangan hormon tertentu dalam badan seorang wanita juga boleh menyebabkan keinginan seksualnya berkurangan.
"Bagaimanapun ia masih lagi dalam kajian," katanya.

Dr. Dharmini Veerakumaran
Penyalahgunaan dadahSelain itu penggunaan najis dadah dan ketagihan alkohol juga menyumbang kepada gangguan seksual wanita.
"Jangan salah sangka kerana penagih najis dadah dan alkohol masih boleh melakukan hubungan intim tetapi tidak mempunyai sebarang perasaan," katanya.
Dr. Dharmini menambah, adalah tidak benar mengatakan menopaus menyebabkan keinginan seksual wanita semakin menurun.
Wanita yang telah menopaus, mengambil terapi hormon, sentiasa menjaga kesihatan dan melakukan senaman ringan secara berterusan dapat mengembalikan keinginan seksual seperti wanita muda.
Sementara itu penyumbang yang kedua adalah berkaitan dengan psikologi seperti stres, tekanan, penat bekerja, cemas, ketakutan, mempunyai sejarah penderaan seksual atau pasangannya yang mempunyai pasangan lain.
Wanita bekerjaya yang sibuk dengan tugasan pejabat selain terpaksa melayan kerenah anak dan membuat pelbagai kerja rumah akan menolak permintaan pasangan.
"Biasanya pada usia menopaus, pasangan suami isteri telah stabil dari segi kewangan selain kurang tanggungjawab terhadap anak-anak.
"Ini memberikan lebih masa untuk bersama-sama pasangan," katanya.
Dr. Dharmini berkata, wanita yang mempunyai masalah berkenaan perlu keluar daripada kepompong dan berbincang dengan keluarga, komuniti atau pakar perubatan.
Jika masalah berkaitan dengan fizikal, pesakit perlu berbincang dengan doktor bagi mengatasi masalah yang dihadapi.
"Jika disebabkan pengambilan ubatan akibat penyakit kronik, mungkin doktor boleh menasihatkan agar menukar atau mengurangkan pengambilan ubat.
"Mereka juga boleh melakukan senaman ringan selain pasangan perlu menghadiri kaunseling bagi membincangkan masalah yang dihadapi," katanya.
Dr. Dharmini berkata, terdapat juga wanita mati putik yang mengambil viagra dengan harapan meningkatkan fungsi seksual mereka.
Menurutnya, viagra hanya berfungsi untuk meningkatkan pengaliran darah di alat sulit lelaki dan tidak berkesan kepada wanita.
"Buat masa ini saintis masih menjalankan penyelidikan mencari penawar bagi meningkatkan libido wanita tetapi masih menemui jalan buntu," katanya.
Ditanya sama ada mati putik boleh diubati, Dr. Dharmini berkata, masalah berkenaan boleh diubati apabila puncanya dapat dikenalpasti.
Apabila punca telah dikenalpasti, jelasnya, maka penyelesaian akan menjadi lebih mudah.
"Apa yang penting pesakit perlu datang jumpa doktor mendapat rawatan," pesan Dr. Dharmini.
Menurut beliau, mati putik boleh berlaku pada wanita tidak kira usia tetapi lebih kepada hubungan dengan pasangan.
Biasanya hubungan akan menjadi hambar selepas usia perkahwinan lima tahun dan mungkin akan meningkat semula jika pasangan melakukan aktiviti bersama-sama seperti bercuti.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121007/kn_03/Masalah-mati-putik#ixzz28gbt3iQv
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Masalah mati putik

Cara merawat penyakit tiroid




Gambar sekadar hiasan
Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi)
Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan
Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan. ">

SAYA pernah mendengar tentang penyakit tiroid lebih kerap menyerang wanita berbanding lelaki. Baru-baru ini kakak ipar saya disahkan menghidap penyakit ini semasa hamil. Dr, apakah yang menyebabkan ibu hamil berisiko menghidap penyakit ini dan apakah rawatannya. Mohon Dr menjelaskan lebih lanjut mengenainya.
* Su, Johor.

JAWAPAN:
Penyakit tiroid lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Penyakit ini boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Bagaimanapun penyakit ini selamat serta mudah dirawat jika diagnosis dan rawatan pada peringkat awal dilakukan.
Kelenjar tiroidSecara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua, seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan juga triiodotiroksin (T3). Hormon ini mengawal metabolisme (pengeluaran tenaga) manusia. Jika tiroid tidak berfungsi dengan sempurna, ia memberi kesan terhadap aspek kesihatan, terutama berat badan, kemurungan dan tahap tenaga.
Dengan metabolisme tinggi, anda mungkin berasa panas dan sebaliknya. Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan berjalan pada kadar selamat dan berkesan. Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid. Apabila aras hormon tiroid tinggi, akan timbul penyakit hipertiroidisme dan jika aras hormon terlalu rendah, penyakit hipotiroidisme pula berlaku. Penyakit lain seperti diabetes mellitus juga boleh menganggu pengeluaran hormon tiroid.
Terdapat ujian, pemeriksaan dan juga simptom tertentu yang boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit tiroid. Anda juga mungkin akan menghidap penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.
Ada dua jenis penyakit tiroid iaitu hipertiroidisme dan hipotiroidisme yang biasa menyerang wanita berbanding lelaki. Empat nisbah satu penyakit tiroid menyerang wanita berusia 20 tahun ke atas kerana sebab dan alasan yang tidak diketahui hingga kini.
Penyakit hipotiroidismePenyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara optimum sehingga hormon tidak dikeluarkan secukupnya. Ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisme.
Lazimnya, penyakit hipotiroidisme disebabkan keradangan pada kelenjar tersebut, yang dipanggil tiroiditis. Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto iaitu sejenis penyakit autoimun yang merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid. Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid berkerja lebih kuat. Akibatnya, kelenjar tersebut membesar dan dipanggil goiter. Akhirnya, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.
Simptom hipotiroidisme adalah bengkak kaki, ingatan terganggu, lembap, malas, kuat tidur, badan sering terasa sejuk dan boleh mengakibatkan masalah jantung jika tidak segera dirawat. Pesakit yang mengalami penyakit ini mudah dirawat, tetapi terpaksa mengambil hormon tiroksin seumur hidup. Dos ubat juga mungkin diubah secara berkala bergantung kepada aras hormon tiroid.
HipertiroidismePenyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid mengeluarkan hormon berlebihan. Biasanya ia disebabkan penyakit autoimun manakala badan manusia pula menghasilkan antibodi yang mampu merangsang kelenjar tiroid. Hipertiroidisme berlaku apabila kelenjar tiroid terlalu aktif dan menghasilkan terlalu banyak hormon tiroksin. Penyakit Grave adalah penyebab utama peningkatan aktiviti kelenjar. Selain itu, ubat yang diambil untuk hipotiroidisme mungkin menyebabkan hipertiroidisme, jadi pengawasan doktor amat penting. Simptom hipertiroidisme adalah hilang berat badan, kerap buang air besar, berpeluh, berdebar-debar, menggeletar, penglihatan terjejas dan bertambah selera makan.
Rawatan yang diberikan akan mengurangkan pengeluaran hormon tiroid. Ubat untuk mengurangkan debaran jantung mungkin perlu diberikan. Sekiranya rawatan yang diberikan gagal, mungkin rawatan menggunakan iodin beradioaktif diberikan untuk memusnahkan sebahagian kelenjar tiroid. Pembedahan juga salah satu daripada kaedah rawatan.
Penyakit tiroid semasa hamil Penyakit tiroid memberikan risiko pada anda dan juga kandungan. Sebab itulah pentingnya anda menjalani pemeriksaan kesihatan semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung.
Dengan rawatan, anda boleh mengandung secara normal dan selamat. Rawatan anda juga mungkin diubah dos ubat secara berkala di samping ujian darah dan ujian lain yang difikirkan perlu akan dilakukan.
Rawatan iodin beradioaktif tidak akan diberikan pada pesakit hamil. Ada sesetengah ibu mengalami masalah tiroid selepas bersalin. Ini dipanggil postpartum tiroiditis. Lazimnya aras hormon tiroid ibu terbabit kembali ke normal dengan pantas. Namun, ada segelintir ibu mungkin mengalami hipotiroidisme pada masa hadapan. Perlu ditegaskan ujian pengesanan atau ujian darah hormon tiroid bukan pemeriksaan rutin semasa pemeriksaan antenatal.
Sebenarnya, tiroid boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera, apatah lagi kepada ibu hamil serta bayi dalam kandungan yang menyebabkan keguguran, kelahiran pra matang, janin kecil dan kecacatan mental. Kes ini biasanya di bawah pengawasan doktor pakar yang biasanya akan dipantau di 'combine clinic' iaitu doktor pakar perbidanan dan doktor pakar endokrin. Usah gusar, ia selamat dan mudah dirawat. Sama-sama juga saya doakan agar kakak ipar anda dan bayi yang dikandung selamat dilahirkan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121007/kn_01/Cara-merawat-penyakit-tiroid#ixzz28ga3mDrW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

READ MORE - Cara merawat penyakit tiroid

Bahaya gula berlebihan


BUKAN senang untuk menerima hakikat jika ibu atau bapa anda didiagnos menghidapi diabetes. Perkara pertama yang pasti diminta oleh doktor ialah menjauhi gula. Ia tidak senang dilakukan kerana mereka telah biasa dengan gula sepanjang hayat. Lagipun, rasa gula mencetuskan sejenis hormon dalam otak yang membuatkan kita berasa senang. Inilah yang menyebabkan mengapa ramai orang mendapati sangat susah hendak meninggalkan gula.
Bagi penghidap diabetes, gula akan meningkatkan paras gula darah yang seterusnya akan meningkatkan risiko komplikasi yang melibatkan saraf, mata, buah pinggang dan jantung.
Kini, Persatuan Jantung Amerika (American Heart Association (AHA)) telah meletakkan gula tambahan dalam senarai penyebab yang boleh menjejaskan jantung selain daripada pengambilan terlalu banyak garam, lemak, kolesterol dalam diet. Menurut AHA, pengambilan gula yang tinggi dikaitkan dengan kesihatan yang tidak baik, termasuk kegemukan (obesiti), diabetes, tekanan darah tinggi, radang, paras trigliserida tinggi, semuanya ini merupakan faktor risiko penyakit jantung dan strok.
Apakah itu gula?
Gula pasir putih, juga dikenali sebagai sukrosa adalah bentuk gula paling biasa, tetapi bukan satu-satunya jenis gula. Bentuk-bentuk lain termasuk gula perang, fruktosa, maltosa, gula melaka, glukosa, madu dan sirap mapel.
Adakah kita mengambil terlampau banyak gula?
Rakyat Malaysia pada amnya mengambil lebih kurang sebanyak 19 sudu teh (76 gram) gula tambahan setiap hari. Ini bermakna kira-kira 300 kalori daripada jumlah kalori harian anda datangnya daripada gula. Pakar kesihatan menganggap ini adalah jauh melebihi had. Kita sepatutnya mengambil gula tidak lebih daripada enam sudu teh (100 kalori) bagi wanita dan sembilan sudu teh (150 kalori) bagi orang lelaki( yang disyorkan oleh Persatuan Jantung Amerika).
Tahukah anda bahawa minuman 3-dalam-1 sarat dengan gula. Satu cawan minuman kopi putih dan malt coklat mungkin mengandungi tiga hingga empat sudu teh gula. Bayangkan, jika anda meminum hanya dua hingga tiga cawan minuman ini sehari. Anda pasti sudah melebihi had harian yang disyorkan oleh AHA. Ini belum lagi diambil kira beberapa jenis gula yang terkandung dalam makanan-makanan biasa anda.
Pemanis tiruan
Seperti yang anda ketahui, pemanis tiruan dikatakan'bebas gula' dan boleh menjadi satu pilihan baik untuk menggantikan gula. Persoalannya, adakah ia benar dan selamat? Munkin anda boleh melayari laman web untuk mengetahui lebih lanjut tentang 'aspartame; sucralose; side effects; dangers.'
Mungkin anda pernah terbaca bahawa makanan dan minuman, minuman berkarbonat, yogurt, makanan yang dimasak dengan ketuhar, malah minuman segera tiga dalam satu mengandungi pemanis tiruan. Sebelum membeli, periksa label makanan untuk mengesan sebarang pemanis tiruan yang tersembunyi.
Pemanis semula jadi - ekstrak stevia
Ia dikenali sebagai 'daun manis' atau stevia rebaudiana. Stevia 300 kali lebih manis daripada gula tetapi tidak mengandungi sebarang kalori. Ekstrak ini diperbuat daripada bahagian yang paling manis dalam daun stevia.
Di samping rasanya yang sedap, ekstrak stevia adalah selamat dan tiada kesan sampingan. Ekstrak stevia tidak mengandungi kalori dan tidak menaikkan paras gula darah. Oleh itu, ia adalah pilihan bijak bagi penghidap pra-diabetes, diabetes dan mereka yang mengambil berat tentang kesihatan.
Sebagai pemanis semula jadi, rasa stevia tidak seperti gula tetapi ia tetap menjadi pengganti gula yang terbaik.
Terkini, terdapat minuman segera tiga dalam satu bebas gula yang dimaniskan dengan ekstrak stevia di pasaran. Minuman ini bebas gula mengandungi tiga perisa iaitu putih, coklat malt dan oat dan bijirin (vanilla) dimaniskan dengan stevia, pemanis semulajadi. Minuman segera ini bebas gula ini disyorkan untuk anda dan pesakit diabetes untuk hidup lebih sihat.
Minuman segera Eversweett bebas gula ini boleh dibeli di semua kedai farmasi persendirian, rangkaian-rangkaian farmasi terpilih, kedai runcit dan pasar mini di seluruh negara.
Jika anda ingin tahu lebih lanjut mengenai minuman Eversweett 3-dalam-1 bebas gula, sila hubungi INFOline Eversweett 03-6142 6570 (Isnin-Jumaat: 9pg-5ptg) atau email: enquiries@eversweett.com atau layari www.eversweett.com


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121007/kn_02/Bahaya-gula-berlebihan#ixzz28gaj3Ij2
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Bahaya gula berlebihan
Powered By Blogger