Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Monday, October 8, 2012

Lumpur ajaib di Kampung Meritam



Kawah lumpur bebuak bersaiz sehingga mencecah 2 meter lebar boleh memuatkan tiga empat orang dalam satu masa di Kampung Meritam, Limbang, Sarawak.
PERMUKAAN tanahnya sentiasa lecak tidak mengira musim, sama ada tengkujuh mahupun kemarau. Lebih luar biasa, ia boleh membentuk busut secara perlahan-lahan sebelum meletus dan mengeluarkan bunyi seakan-akan cecair likat yang sedang membuak-buak.
Kejadian sama berulang selang beberapa minit kemudian. Setelah beberapa hari, ia akhirnya menghasilkan kawah besar dipenuhi lumpur kehitaman yang lembik dan hangat.
Fenomena menakjubkan itu menyebabkan sebuah kawasan lapang di pinggir Kampung Meritam, Limbang, Sarawak yang dulunya lengang bertukar meriah dengan kehadiran orang ramai.
Ketua Kampung Meritam, Mahmud Gampal memberitahu, sifatnya yang sering meletus dan menghasilkan bunyi pelik menyebabkan penduduk tempatan menggelar lumpur ajaib berkenaan sebagai 'lumpur bebuak'.
"Bukan satu, malah ratusan kawah seumpamanya muncul di kawasan berkenaan.
"Saiznya pula berbeza-beza. Ada yang hanya sebesar penumbuk. Ada juga bersaiz cukup besar sehingga mencecah dua meter lebar," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Apabila semakin ramai keluarga berpindah di kawasan berhampiran lumpur bebuak, populariti lumpur itu meningkat lebih-lebih lagi apabila ada yang mendakwa ia mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kulit.
"Penduduk memberitahu penyakit gatal-gatal dan kudis berkurangan yang dihidapi beransur pulih apabila disapu dengan lumpur bebuak, malah ada juga yang mendakwa penyakit asma mereka sembuh selepas minum air yang ditapis daripada lumpur itu.
"Khabar tersebut tersebar dengan cepat menyebabkan orang ramai termasuk pelancong Brunei dan Sabah berpusu-pusu datang semata-mata mahu mandi lumpur dan mengubati penyakit masing-masing," ujar Mahmud.
Populariti lumpur bebuak menyebabkan Majlis Daerah Limbang (MDL) memutuskan untuk membina beberapa kemudahan asas seperti tandas, bilik mandi awam serta jambatan kayu untuk digunakan oleh pengunjung.
Malah kawasan itu juga diiktiraf sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka di Limbang oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
Berpeluang merasai sendiri berendam di dalam kawah lumpur bebuak bersama beberapa pengunjung lain, penulis mengakui ia merupakan pengalaman menyeronokkan dan amat berbaloi untuk dicuba.
Abaikan seketika rupa lumpur yang pekat likat dengan bau yang kurang menyenangkan. Sebaik sahaja anda 'berkubang' di dalam kawahnya, perasaan geli hilang serta-merta.
Malah, ada yang tidak mahu keluar dari kawah itu yang boleh diibaratkan seperti rendaman terapi untuk menyegarkan badan serta minda.
Apa yang menakjubkan, kawah yang mampu memuatkan empat atau lima orang lelaki dewasa dalam satu-satu masa itu sebenarnya tidak berdasar.
Bagaimanapun usah risau kerana sifatnya seakan-akan laut mati. Apa sahaja objek yang terjatuh ke dalam kawah berkenaan akan timbul serta-merta termasuk penulis yang mempunyai berat badan mencecah 70 kilogram!
Ditanya sejak bila lumpur bebuak terhasil, Mahmud memberitahu tiada sesiapa tahu asal-usul kejadian tersebut yang mempunyai persamaan dengan tanah lumpur di kawasan kaki gunung berapi.
"Namun yang peliknya, Limbang bukanlah kawasan yang mempunyai gunung berapi
"Mengikut cerita yang saya dengar daripada orang lama, ia memang ada di situ sebelum Limbang diteroka, iaitu lebih 100 tahun lalu," katanya.
Bercerita lanjut, Mahmud berkata, puluhan tahun dulu iaitu sewaktu beliau masih muda, pelbagai haiwan seperti kerbau, burung dan rusa gemar menjilat lumpur bebuak yang dikatakan mempunyai rasa masin.
"Sewaktu menjilat lumpur itu, haiwan tersebut menjadi leka tanpa menyedari kehadiran manusia yang berada berdekatan dengannya. Jadi orang kampung mengambil kesempatan itu untuk menangkap haiwan berkenaan menggunakan jerat.
"Sekarang sudah jarang haiwan liar singgah di sini. Mungkin mereka takutkan manusia," katanya.
Sementara itu, salah seorang pengunjung, Dayangku Salmah Pengiran Tajuddin, 42, berkata, kewujudan lumpur bebuak yang dipercayai menjadi penawar kepada penyakit kulit menjadi tarikan utama dia dan keluarganya berkunjung ke Limbang.
Surirumah dari Brunei itu berkata, apabila melumurkan lumpur tersebut pada kudis salah seorang anaknya, penyakit kulit itu kering dan sembuh dalam masa tiga hari.
"Jadi kami sekeluarga kerap datang ke sini untuk mandi lumpur. Kami juga menyimpannya di dalam botol untuk dibawa pulang ke rumah sebagai bekalan atau untuk diberi kepada saudara-mara," katanya.
Seorang pelajar, Shianizz Pulang, 17, pula berkata, dia dan rakan-rakan sering mengunjungi kawasan itu semata-mata ingin berendam sambil bermain lumpur.
"Berendam di dalam kawah amat menyeronokkan kerana lumpurnya suam-suam kuku. Kalau bosan berendam, kami bermain gelongsor menggunakan lumpur yang meleleh di sekitar kawah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20120930/kn_01/Lumpur-ajaib-di-Kampung-Meritam#ixzz28gqhI4sr
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Lumpur ajaib di Kampung Meritam

Positif hadapi menopaus


DR., umur saya sekarang sudah mencapai 45 tahun. Alhamdulillah, selepas menjalani pemeriksaan, tahap kesihatan saya masih berada di tahap yang baik. Untuk pengetahuan Dr., saya kini juga bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan penyakit terutamanya menopaus. Cuma saya ingin bertanya dengan, apakah risiko penyakit-penyakit yang akan dihadapi wanita lewat usia 40-an dan bagaimana pencegahannya.
Terima kasih, Suzana, Selangor.
JAWAPAN:
Penuaan merupakan masalah kesihatan utama bagi wanita berumur 40-an. Ia sering dikaitkan dengan menopaus. Masalah menopaus, biasa melanda wanita peringkat umur 50-an. Jika mereka hidup sehingga 80 tahun, golongan ini ada 30 tahun untuk menempuh hidup ini. Selain gejala menopaus, wanita terbabit juga mengalami masalah lain. Antaranya osteoporosis (tulang rapuh), berat badan meningkat, kulit kering, berkedut dan gatal-gatal, rambut mudah gugur, kerap letih, mengantuk, pergerakan dan tindak balas menjadi perlahan, sukar mengawal pundi kencing, misalnya selalu terkencing ketika batuk, masalah perubatan seperti diabetes mellitus (kencing manis), hipertensi (darah tinggi), hiperkolesterol dan risiko kanser termasuk kanser payu dara, kolorektal (usus), rahim dan juga kilang telur (ovari).
Bagi menempuh tempoh masa ini, pelbagai persediaan perlu dilakukan. Simptom yang akan merubah wanita 40-an yang mengalami proses penuaan antaranya cepat letih, mengah, tidur tidak lena, asyik nak tidur dan mudah sangat nak tidur. Bagi menopaus, wanita akan sentiasa berasa hangat memerah (hot flushes), paling ketara dari segi psikiatri iaitu tekanan perasaan dan mudah berasa tersisih. Ini berlaku kerana hormon wanita turun dan menyebabkan mood tiada. Golongan ini turut berisiko tinggi mengalami osteoporosis. Ketika usia semakin meningkat, tulang-tulang sendi mula rasa sakit khususnya tulang belakang.
Tidak semua wanita akan menghadapinya, tetapi kemungkinan itu ada. Namun bagi wanita, ini bukan penamat kehidupan kerana masih ada rawatan untuk mengatasi masalah ini. Yang penting, masing-masing mengambil inisiatif menjalani ujian saringan seperti ujian darah bagi mengetahui paras glukosa dan juga kolesterol, ujian mamogram, pap smear, ujian imbasan ultrabunyi pada bahagian pelvis dan juga ujian densitometri tulang. Ujian saringan ini penting dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun. Misalnya, kanser tidak mengira umur dan pemeriksaan awal perlu dilakukan untuk pencegahan awal.
SuplemenDalam membuat persediaan mengawal penyakit, setiap wanita perlu mengawal cara hidup mereka dengan bijak. Selain menjaga kesihatan dengan pengambilan vitamin serta suplemen, golongan ini perlu mengambil diet yang elok. Misalnya, bagi wanita yang mengalami menopaus, metabolisma badan akan menjadi rendah. Justeru mereka disaran mengurangkan makan, pilih makanan berkualiti, protein tinggi, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain itu, mereka perlu mengawal pengambilan glukosa dan karbohidrat.
Selaras gaya hidup sihat, setiap orang perlu melakukan senaman. Antara kelebihan senaman mengurangkan tekanan dan risiko obesiti. Ramai wanita tidak tahu masalah kitaran haid dipengaruhi oleh masalah obesiti. Oleh itu, pengawalan berat badan amat perlu. Selain itu, senaman dapat mengimbangkan dan menguatkan otot. Namun, senaman yang dilakukan perlu mengikut kemampuan peringkat umur. Bagi mereka yang tidak larat, tidak perlu berlari. Hanya banyakkan berjalan seperti waktu pagi sekurang-kurangnya hingga berpeluh.
Berfikiran positifDengan ilmu pengetahuan dan berfikiran positif, wanita dapat menghadapi fasa menopaus dengan keceriaan dan lebih berkualiti. Oleh itu saya sarankan untuk puan membaca buku yang berjudul Menopaus: Menghadapinya Tanpa Kepiluan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa & Pustaka pada 2010. Buku itu mengandungi maklumat yang diperlukan oleh wanita bagi menyiapkan diri masing-masing bagi menangani kehidupan semasa dan selepas menopaus. Ia memperincikan semua fakta yang perlu diketahui serta maklum balas daripada pengamal perubatan berkenaan isu yang dianggap peribadi ini. Di samping itu, terdapat keterangan tentang gejala yang dialami oleh wanita yang menghampiri fasa menopaus, serta bagaimana rawatan yang boleh diambil bagi melegakan golongan wanita yang memerlukan bantuan ini. Sesungguhnya menopaus bukan titik noktah untuk sebuah kehidupan. Raikannya dengan senyum kegembiraan. Hadirnya menopaus melambangkan kelangsungan hidup yang hakiki untuk setiap wanita.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20120930/kn_02/Positif-hadapi-menopaus#ixzz28gqMgEYP
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Positif hadapi menopaus

Kaji tentang kecelaruan


PERASAAN bimbang sebahagian daripada intuisi dalam diri seseorang yang turut membantu membuatkan kita lebih bersedia dan sentiasa berjaga-jaga.
Namun kebimbangan yang berpanjangan dan tidak dikawal boleh menganggu kehidupan seharian terutamanya bagi kaum wanita.
Wanita memerlukan kestabilan minda untuk berfungsi dengan sempurna lebih-lebih bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu, anak dan tuntutan sebagai seorang pekerja.
Ironinya tanggungjawab tersebut kerap menjadi beban yang menghimpit kehidupan sehingga membuatkan mereka mudah mengalami kecelaruan fikiran dan kebimbangan dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Bagi penyelidik muda, Dr. Firdaus Mukhtar, masalah kebimbangan dan kecelaruan ini memberi kesan terhadap mutu kerja kaum wanita sedangkan peranan mereka sangat dituntut oleh keluarga, masyarakat mahupun negara.
Lebih malang katanya, masalah ini sering dipandang remeh biarpun ia sebenarnya boleh menjejaskan hidup individu berkenaan.
"Rasa bimbang yang tidak terkawal menyebabkan perubahan pada sistem psikologi dan imunilogi seseorang jika tidak mendapat rawatan yang betul dan segera," katanya.
Sebuah kajian yang menumpukan keberkesanan terapi kognitif tingkah laku (CBT) bagi mengatasi masalah kebimbangan kecelaruan di kalangan wanita telah dicadangkan oleh Firdaus bagi membantu golongan ini.
Menurut beliau, kebanyakan kajian di Malaysia mahupun luar negara banyak menumpukan mengenai kajian terhadap kesan ubat-ubatan dalam mengatasi masalah kebimbangan dan kecelaruan ini.
Namun katanya, penekanan pada psiko-imunologi atau peranan otak dalam berhadapan dengan tekanan perlu diperjelaskan di mana apabila seseorang tidak dapat menyesuaikan diri dengan masalah yang dihadapi menyebabkan homeostasis (kawal atur badan) tidak dapat dikekalkan.
Menurut beliau, tekanan memberi kesan terhadap sistem imun badan dan ini meningkatkan risiko untuk berhadapan dengan pelbagai penyakit yang antaranya adalah masalah kebimbangan kecelaruan ini.
"Secara ringkasnya, terapi bagi kajian ini melibatkan terapi secara berkumpulan di mana ia yang melibatkan lapan sesi yang merangkumi sesi penerangan secara jelas mengenai penyakit ini, serta beberapa strategi menangani dan cara berhadapan dengan tekanan.
"Terapi ini mampu membuatkan pesakit belajar menyedari tekanan yang dialami dan dapat mengurangkan tekanan dengan cara CBT tanpa mengambil sebarang ubat penenang atau sebagainya," katanya.
Memiliki ijazah dalam bidang Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan master dalam Psikologi Klinikal di Universiti Edith Cowan, Perth, Australia, beliau telah menjadikan projek ini sebagai tajuk tesisnya sewaktu menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Phd).
Beliau yang sekarang merupakan pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) menyatakan, kemudaratan yang lebih serius adalah risiko berdepan dengan masalah mental, cubaan membunuh diri, konflik dalam sesuatu perhubungan, kesan terhadap prestasi kerja dan penyalahgunaan dadah.
Firdaus, yang merasakan sendiri tugas sebagai seorang wanita begitu berat membuatkan beliau tekad menjayakan projek ini bagi membantu golongan wanita yang berhadapan masalah sedemikian.
Kajian Firdaus yang dianggap luar biasa itu membolehkan beliau dipilih sebagai salah seorang daripada tiga penerima Anugerah National Fellowship untuk Wanita dan Sains (FWIS) 2012 anjuran L'Oreal dengan sokongan Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia bagi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Dua lagi saintis wanita yang terpilih Prof. Madya Dr. Wan Azlina Wan Abdul Karim Ghani dan Dr. Hakimah Osman.
Wan Azlina yang juga pensyarah di UPM telah menjalankan kajian awal mengenai Pembangunan Komposit Hidrogel biochar (HBC), Bahan Hibrid untuk Pemerangkapan Gas Rumah Hijau.
Kajian tersebut memfokus peranan HBC dalam menukarkan karbon dioksida ke dalam bentuk pepejal yang boleh dimanfaatkan dan ditukar kepada baja atau bahan binaan.
Dr. Hakimah dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap) pula menjalankan kajian awal mengenai Latek Semulajadi daripada Pokok Ubi Kayu sebagai Model Koloid.
Beliau lebih menumpu kepada pembangunan alternatif secara besar-besaran mengenai pengeluaran getah asli daripada ubi kayu yang akan mengurangkan pergantungan terhadap bekalan getah semula jadi.
Kesemua wanita ini diiktiraf oleh L'Oreal atas usaha dan semangat yang telah dilakukan bagi penciptaan- penciptaan baru yang dapat dimanfaatkan oleh orang ramai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121002/kn_02/Kaji-tentang-kecelaruan#ixzz28gqDSqcg
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Kaji tentang kecelaruan

Hargai setiap kandungan


DI Malaysia pula, data daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2004, menunjukkan hanya 50 peratus daripada remaja Malaysia mempunyai pengetahuan yang cukup dan betul tentang organ reproduktif lelaki dan wanita, selain hanya 47 peratus tahu bagaimana cara bayi dihasil dan dilahirkan.
Dalam pada itu, hanya 52 peratus wanita berusia 15 hingga 49 tahun yang menggunakan kaedah merancang kehamilan.
Jumlah ini merupakan paling terendah di rantau ini yang sekali gus menggambarkan beberapa persepsi iaitu sama ada wanita di negara ini sememangnya tidak memerlukan sebarang kaedah merancang kehamilan atau pun mungkin juga kerana kurang kesedaran mengenainya.
Presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Dr. Suresh Kumarasamy, berpendapat rakyat negara ini amat kurang kesedaran dan lemah pengetahuan bahawa kaedah kontraseptif adalah efektif dan selamat.
"Isu seperti perancangan kehamilan memang tidak dibicarakan secara terbuka terutama di sekolah dan kalangan ibu bapa.
"Ibu bapa berpendapat ia terlalu sensitif untuk dibicarakan. Ada juga yang berpendapat bahawa mereka tidak akan mengandung dengan mudah dan berpegang hanya dengan kepercayaan tuah menyebelahi mereka semata-mata," jelasnya sempena sambutan Hari Kontraseptif Sedunia 26 September lalu.
Dr. Suresh menambah, isu ini bukanlah hanya tertumpu di luar bandar malah di bandar pesat membangun keadaannya tidak jauh berbeza.
Sebagai pengamal perubatan, beliau menyarankan setiap lelaki dan perempuan terutama yang telah berumah tangga patut mengambil tahu tentang kaedah-kaedah perancang kehamilan dan mempunyai ilmu tentangnya.
"Cara moden yang kita ada pada hari ini ialah kombinasi antara pil kontraseptif dan progesterone yang dimakan pada hari pertama haid datang.
"Jika tidak yakin boleh berdisiplin dengan cara pil terdapat cara suntikan yang diambil sekali setiap tiga bulan. Kalau tidak mahu disuntik boleh memilih teknik implan di mana cara ini memerlukan bantuan para doktor bertauliah yang dilakukan sekali untuk tempoh tiga tahun.
"Selain cara di atas terdapat juga cara di mana wanita boleh menggunakan cincin vagina yang dimasukkan ke dalam vagina sebelum memulakan hubungan seks.
"Alat intrauterine yang akan dimasukkan oleh pakar juga salah satu cara yang boleh digunakan untuk merancang kehamilan selain kondom yang digunakan oleh lelaki.
"Satu lagi cara ialah pensterilan lelaki dan wanita yang mana operasi tersebut dilakukan oleh doktor dan cara ini adalah cara yang kekal iaitu tidak akan memperolehi anak sampai bila-bila," ujar beliau.
Kaedah kontraseptif
Kaedah perancangan keluarga perlu diambil tahu sebaik sahaja kali pertama berhubungan.
Cara yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia ialah Intrauterine device (IUD) sebab ia mudah diaplikasikan.
"Dengan hanya satu cara dilakukan oleh pakar, wanita tidak perlu susah mengingati bila waktu untuk makan pil atau menggunakan kondom setiap kali mengadakan hubungan seks. Ia juga satu kaedah yang murah," jelasnya.
Dr. Suresh berkata, memang ada pasangan yang selesa mengawal kehamilan dengan cara pancutan luar bagaimanapun ia tidak begitu efektif berbanding kaedah kontraseptif.
"Ada juga yang mengira waktu subur dan tidak subur untuk mengawal kehamilan tapi cara tersebut mungkin tidak sesuai bagi wanita yang menghadapi kitaran haid tidak tetap."
Kebaikan kontraseptif
Selain merancang kehamilan, perlu diketahui juga kaedah kontraseptif yang digunakan seperti pil merupakan salah satu cara untuk mengawal haid yang banyak.
"Pil kontraseptif ini juga mampu membuatkan kitaran haid lebih ringan dan tetap. Ia sekali gus mengurangkan kes anemia di kalangan wanita yang menghadapinya setelah makan pil tersebut.
"Ada juga wanita yang tidak lagi mengalami senggugut setelah makan pil kontraseptif malah jerawat juga boleh dikawal dengan pil ini.
"Ada juga pil yang direka untuk merawat sindrom pra haid (PMS) dan kecelaruan pra haid dystrophic (sindrom yang lebih teruk dari PMS) di mana ia memberi kesan buruk kepada kualiti hidup wanita yang mengalaminya.
"Ada yang mengalami radang pelvik menerusi jangkitan uterus dan tiub fallopio juga semakin kurang sakit sebanyak 50 peratus dengan pengambilan pil kontraseptif.
"Saya amat berharap agar kempen Hari Kontraseptif Sedunia ini memberikan impak buat rakyat Malaysia. Rakyat perlu tahu bahawa terdapat banyak cara yang boleh digunakan untuk merancang kehamilan dan pastinya ada satu cara yang sesuai dengan keadaan tubuh mereka," katanya - NOOR FAZRINA KAMAL


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121002/kn_01/Hargai-setiap-kandungan#ixzz28gpuitbh
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Hargai setiap kandungan

Kenali diri sebelum kurus



VANESSA Anne Lee dan rakan kongsinya Mark Pajich di Pinnacle Fitness yang terletak di Kelab Victoria, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur.
Tiada dua individu di dunia ini yang serupa. Bukan saja gaya hidup, malah cara pembesaran dan rutin harian juga berbeza.
Sudah pasti apabila bercakap tentang cara pengurusan badan yang efektif, tentunya mesti berbeza antara satu individu dengan individu lain.
Jurulatih kesihatan, Vanessa Anne Lee, 44, berkata, setiap individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes memerlukan tunjuk ajar serta cara yang betul untuk mengembalikan semula berat badan mereka ke tahap ideal.
Memaksa diri mencuba pelbagai cara menurunkan badan seperti senaman keterlaluan atau sekatan makanan secara drastik mungkin akan lebih memudaratkan kesihatan individu terbabit.
"Sebelum mengambil keputusan untuk menurunkan berat badan, mereka perlu berfikir tentang serangan jantung yang mungkin berlaku.
"Selain itu risiko badan mengalami penghidratan juga amat tinggi dan tidak kurang juga yang mengalami hiperventilation atau pernafasan yang tidak terkawal.
"Malah ada yang boleh pengsan, muntah, timbul masalah kulit, kejang, dan kesakitan pada bahagian dada akibat senaman yang tidak sesuai.
"Bagi wanita pula ada risiko untuk tekanan darah mereka menjadi rendah," jelas Vanessa yang ditemui di gimnasium miliknya, Pinnacle Fitness, di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Maka sebaik-baiknya, sebelum memulakan program menurunkan berat badan, perlunya dilakukan sedikit kaji selidik yang merangkumi pelbagai soalan tentang latar belakang diri dan gaya hidup mereka yang terlibat.
Vanessa berkata, penilaian ini dilakukan dalam masa lebih kurang sejam untuk mendapatkan pelbagai maklumat penting sebelum jurulatih kesihatan merangka cara terbaik untuk mereka mendapatkan berat badan ideal.
"Setiap program yang dirangka di Pinnacle Fitness berbeza daripada satu individu ke satu individu. Kami bukan saja mahukan turun berat badan malah kesihatan otot dan sistem kardiovaskular i lebih diutamakan. Sebab itu program spesifik dirangka untuk setiap peserta pusat kecergasan ini.
"Selain senaman, kami juga menyediakan diari pemakanan untuk diisi oleh peserta supaya kami boleh melihat dan memantau apa yang mereka makan," ujar Vanessa yang telah sembilan tahun menetap di Malaysia.
Perlu komitmen
Menurut Vanessa, program menurunkan berat badan ini memerlukan komitmen berterusan daripada peserta kerana mereka hanya dipantau jurulatih selama dua jam dan selebihnya iaitu 22 jam lagi adalah diri mereka sendiri.
"Kadangkala tidak setiap hari mereka datang ke gim ada yang datang dua kali seminggu, jadi disiplin diri amatlah penting.
"Menurunkan berat badan bukanlah satu matlamat semata-mata, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada cara hidup dan mesti seimbang," jelasnya.
Kata Vanessa lagi, penurunan berat badan yang berkesan mengambil masa yang 'lebih lama' untuk' tahan lebih lama'.
Apa yang dimaksudkan wanita kelahiran Australia ini ialah penurunan berat badan yang tidak terlalu drastik akan memberikan kesan penurunan berat badan yang lebih baik berbanding yang turun mendadak.
"Menurunkan berat badan dengan mendadak mungkin juga boleh menyebabkan berat badan naik mendadak.
"Dengan ada bimbingan jurulatih, mereka akan mengajar cara mengira kalori dan protein tetapi tidaklah sampai tidak boleh makan nasi. Semuanya bergantung kepada sukatan yang dimakan.
Katanya, kegemukan seseorang bergantung kepada kalori yang mereka ambil dalam pemakanan jadi amatlah penting untuk mengetahui sukatan kalori dalam makanan yang bakal diambil.
"Air adalah satu keperluan yang perlu dicukupkan sepanjang tempoh menurunkan berat badan kerana ia akan memastikan setiap organ berfungsi dengan baik.
"Apabila organ berfungsi dengan baik, maka proses mendapatkan badan yang sihat akan lebih mudah sekali gus memudahkan proses menurunkan berat," jelasnya.
Seperkara yang perlu dititik beratkan dalam proses menurunkan berat badan ialah kesihatan kulit.
Apabila gemuk mendadak katanya, kulit akan meregang dan menghasilkan permukaan kulit yang memang tidak lembut dan tidak cantik.
Bahagian yang teregang ketika gemuk akan bertukar menjadi kendur dan kehitaman.
"Maka sebab itulah disarankan juga untuk memakai minyak Bio Oil tiga kali sehari pada bahagian berparut akibat regangan.
"Cara menggunakannya untuk mendapatkan kesan yang terbaik ialah pada waktu pagi dan selepas mandi air panas di waktu petang.
"Pada ketika ini liang roma kulit akan melonggar dan memudahkan proses penyerapan khasiat untuk menghilangkan parut.
"Kesan pemakaian yang konsisten dapat dilihat dalam masa tiga minggu sahaja," ujarnya lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121003/kn_01/Kenali-diri-sebelum-kurus#ixzz28gpPRnRV
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Kenali diri sebelum kurus

Kenali diri sebelum kurus



VANESSA Anne Lee dan rakan kongsinya Mark Pajich di Pinnacle Fitness yang terletak di Kelab Victoria, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur.
Tiada dua individu di dunia ini yang serupa. Bukan saja gaya hidup, malah cara pembesaran dan rutin harian juga berbeza.
Sudah pasti apabila bercakap tentang cara pengurusan badan yang efektif, tentunya mesti berbeza antara satu individu dengan individu lain.
Jurulatih kesihatan, Vanessa Anne Lee, 44, berkata, setiap individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes memerlukan tunjuk ajar serta cara yang betul untuk mengembalikan semula berat badan mereka ke tahap ideal.
Memaksa diri mencuba pelbagai cara menurunkan badan seperti senaman keterlaluan atau sekatan makanan secara drastik mungkin akan lebih memudaratkan kesihatan individu terbabit.
"Sebelum mengambil keputusan untuk menurunkan berat badan, mereka perlu berfikir tentang serangan jantung yang mungkin berlaku.
"Selain itu risiko badan mengalami penghidratan juga amat tinggi dan tidak kurang juga yang mengalami hiperventilation atau pernafasan yang tidak terkawal.
"Malah ada yang boleh pengsan, muntah, timbul masalah kulit, kejang, dan kesakitan pada bahagian dada akibat senaman yang tidak sesuai.
"Bagi wanita pula ada risiko untuk tekanan darah mereka menjadi rendah," jelas Vanessa yang ditemui di gimnasium miliknya, Pinnacle Fitness, di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Maka sebaik-baiknya, sebelum memulakan program menurunkan berat badan, perlunya dilakukan sedikit kaji selidik yang merangkumi pelbagai soalan tentang latar belakang diri dan gaya hidup mereka yang terlibat.
Vanessa berkata, penilaian ini dilakukan dalam masa lebih kurang sejam untuk mendapatkan pelbagai maklumat penting sebelum jurulatih kesihatan merangka cara terbaik untuk mereka mendapatkan berat badan ideal.
"Setiap program yang dirangka di Pinnacle Fitness berbeza daripada satu individu ke satu individu. Kami bukan saja mahukan turun berat badan malah kesihatan otot dan sistem kardiovaskular i lebih diutamakan. Sebab itu program spesifik dirangka untuk setiap peserta pusat kecergasan ini.
"Selain senaman, kami juga menyediakan diari pemakanan untuk diisi oleh peserta supaya kami boleh melihat dan memantau apa yang mereka makan," ujar Vanessa yang telah sembilan tahun menetap di Malaysia.
Perlu komitmen
Menurut Vanessa, program menurunkan berat badan ini memerlukan komitmen berterusan daripada peserta kerana mereka hanya dipantau jurulatih selama dua jam dan selebihnya iaitu 22 jam lagi adalah diri mereka sendiri.
"Kadangkala tidak setiap hari mereka datang ke gim ada yang datang dua kali seminggu, jadi disiplin diri amatlah penting.
"Menurunkan berat badan bukanlah satu matlamat semata-mata, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada cara hidup dan mesti seimbang," jelasnya.
Kata Vanessa lagi, penurunan berat badan yang berkesan mengambil masa yang 'lebih lama' untuk' tahan lebih lama'.
Apa yang dimaksudkan wanita kelahiran Australia ini ialah penurunan berat badan yang tidak terlalu drastik akan memberikan kesan penurunan berat badan yang lebih baik berbanding yang turun mendadak.
"Menurunkan berat badan dengan mendadak mungkin juga boleh menyebabkan berat badan naik mendadak.
"Dengan ada bimbingan jurulatih, mereka akan mengajar cara mengira kalori dan protein tetapi tidaklah sampai tidak boleh makan nasi. Semuanya bergantung kepada sukatan yang dimakan.
Katanya, kegemukan seseorang bergantung kepada kalori yang mereka ambil dalam pemakanan jadi amatlah penting untuk mengetahui sukatan kalori dalam makanan yang bakal diambil.
"Air adalah satu keperluan yang perlu dicukupkan sepanjang tempoh menurunkan berat badan kerana ia akan memastikan setiap organ berfungsi dengan baik.
"Apabila organ berfungsi dengan baik, maka proses mendapatkan badan yang sihat akan lebih mudah sekali gus memudahkan proses menurunkan berat," jelasnya.
Seperkara yang perlu dititik beratkan dalam proses menurunkan berat badan ialah kesihatan kulit.
Apabila gemuk mendadak katanya, kulit akan meregang dan menghasilkan permukaan kulit yang memang tidak lembut dan tidak cantik.
Bahagian yang teregang ketika gemuk akan bertukar menjadi kendur dan kehitaman.
"Maka sebab itulah disarankan juga untuk memakai minyak Bio Oil tiga kali sehari pada bahagian berparut akibat regangan.
"Cara menggunakannya untuk mendapatkan kesan yang terbaik ialah pada waktu pagi dan selepas mandi air panas di waktu petang.
"Pada ketika ini liang roma kulit akan melonggar dan memudahkan proses penyerapan khasiat untuk menghilangkan parut.
"Kesan pemakaian yang konsisten dapat dilihat dalam masa tiga minggu sahaja," ujarnya lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121003/kn_01/Kenali-diri-sebelum-kurus#ixzz28gpPRnRV
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Kenali diri sebelum kurus

Sunday, October 7, 2012

Diabetes kanak-kanak meningkat



Pengambilan makanan manis secara berlebihan boleh menyebabkan obes dan menghadapi risiko diabetes.
SECARA umumnya masyarakat juga mengetahui penyakit diabetes ini hanya akan ‘menyerang’ orang dewasa yang berumur 30 tahun dan ke atas.
Bagaimanapun sukar untuk mempercayai apabila kanak-kanak atau remaja turut dilaporkan mengalami diabetes di negara ini.
Tetapi realitinya senario ini berlaku malah kanak-kanak atau remaja yang menghidap penyakit kencing manis ini selalunya adalah jenis 1.
Yang pasti pada usia muda sekiranya individu tersebut menghidap diabetes ini adalah disebabkan antibodi dalam badan telah merosakkan organ pankreas yang mengeluarkan insulin hingga mengakibatkan mereka ini mengalami kekurangan insulin.
Ini bermakna diabetes tidak lagi mengenal usia dan sesiapa sahaja berisiko untuk menghidapinya.
Menurut Pakar Perunding Physician & Endocrinologist, Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Vijay Anada Paramasvaran, angka untuk penyakit diabetes di kalangan penduduk Malaysia pasti akan bertambah setiap tahun.
Bukan itu sahaja, penyakit diabetes ini akan berganda setiap 10 tahun dan sudah pasti situasi ini amat membimbangkan.
Katanya lagi, satu kajian yang dilakukan dalam kumpulan kecil populasi di negara ini mendapati 15 peratus golongan kanak-kanak pra sekolah dan hampir 30 peratus kanak-kanak sekolah rendah mengalami masalah obesiti.
Masalah tersebut merupakan salah satu penyebab utama mereka mendapat diabetes.
“Bagi kanak-kanak, simptom-simptom mereka menghidap diabetes ini sebenarnya tiada.
“Masalah diabetes di kalangan kanak-kanak tidak datang sendiri malah sering dikaitkan dengan masalah kegemukan atau obesiti yang semakin meningkat dari sehari ke sehari serta mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat.
“Pada masa yang sama kanak-kanak yang menghidap diabetes adalah daripada jenis 1 di mana mereka memerlukan rawatan suntikan insulin sepanjang hayat," ujar Dr. Vijay ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah beliau, secara keseluruhan di negara ini sebanyak 30 peratus pesakit diabetes yang terdiri daripada orang dewasa tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit tersebut.
Ini kerana mereka tidak pernah melakukan ujian saringan kesihatan di mana ujian ini adalah penting untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing.
Pada masa yang sama, jelas Dr. Vijay, ujian saringan kesihatan perlu dilakukan dalam usaha mengesan sesuatu jenis penyakit pada peringkat awal dan seelok-eloknya ia haruslah dilakukan setahun sekali terutama mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit ini.
Dr. Vijay turut menyarakan agar kanak-kanak turut melakukan ujian saringan kesihatan untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing.
Memetik statistik yang sedia ada, antara 2006 hingga 2008 seramai 630 kanak-kanak dan remaja dikesan menghidapi diabetes di mana 80 peratus daripada mereka menghidap diabetes jenis 1 manakala 20 peratus lagi penghidap diabetes jenis 2.
Malah daripada statistik tersebut, Dr. Vijay turut menjelaskan bahawa dahulu lazimnya kanak-kanak yang menghidap penyakit ini hanya adalah dari jenis 1.
Tetapi sekarang dengan pelbagai masalah kesihatan yang dihidapi terutama sekali masalah obesiti, mereka (kanak-kanak dan remaja) juga sudah boleh mendapat diabetes jenis 2.
Beliau menerangkan bahawa diabetes jenis 2 kebiasaannya dialami oleh orang dewasa.
Kata beliau lagi, diabetes di kalangan kanak-kanak bukan hanya berpunca daripada faktor keturunan atau riwayat keluarga, pemakanan dan cara hidup, tetapi boleh juga disebabkan oleh jangkitan virus.
“Semua sedia maklum, penyakit ini tidak boleh dirawat tetapi masih boleh dikawal sekiranya kanak-kanak ini memiliki disiplin dan semangat yang tinggi serta mengamalkan cara hidup dan pemakanan yang sihat.
“Walaupun ada statistik menunjukkan diabetes jenis 1 kurang daripada 5 peratus manakala 95 peratus adalah penghidap jenis 2, tetapi angka ini boleh berubah pada bila-bila masa sahaja," katanya lagi.
Beliau berkata, dalam hal ini, ibu bapa, guru dan anggota masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam memotivasi dan menyokong kanak-kanak yang menghidapi diabetes agar mereka tidak rasa tersisih.
Pada masa yang sama mereka juga seharusnya didedahkan dengan pengetahuan terhadap diabetes dan cara penjagaannya.
Gaya hidup yang tidak sihat selain kurang bersenam dan kegilaan generasi muda kepada permainan video dan asyik menonton televisyen, menjadikan masyarakat kita terdedah kepada pelbagai penyakit.
Oleh yang demikian, amalkanlah gaya hidup yang sihat dan cegahlah sebelum terlambat. - mariatul qatiah zakaria


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121004/kn_02/Diabetes-kanak-kanak-meningkat#ixzz28gdGVXxp
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Diabetes kanak-kanak meningkat
Powered By Blogger