Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Sunday, December 18, 2011

Rumah selamat

pix_gal0
Tip bersih kediaman elak si kecil alami alahan

ALAHAN adalah masalah kesihatan lazim yang dihadapi semua golongan tanpa mengira usia. Namun, tidak semua orang terdedah atau berisiko mengalami alahan. Pemerhatian menunjukkan, jika ibu bapa mengalami alahan, anak-anak lebih berisiko tinggi untuk menghadapi situasi sama.

Perunding Pediatrik DEMC Specialist Hospital, Shah Alam, Dr Iftikhar Ahmad Mohamed Akup berkata, allergic rhinitis atau alahan adalah radang yang biasanya berlaku di sekitar hidung akibat terdedah kepada faktor alergen terutama alam sekitar seperti debunga, hama, debu, habuk, kulapuk dan haiwan.
Dalam hal ini, adalah mustahil untuk mengelak anak-anak dari terdedah kepada faktor alergen. Ini kerana penyumbang ini ada di mana-mana. Namun, pelbagai cara boleh dilakukan bagi menyediakan persekitaran baik dan sihat bagi mengelak berlakunya masalah alahan. Langkah pertama ialah dengan mengenalpasti faktor alergen itu terlebih dulu.

Ini disusuli langkah membasmi atau mengurangkan risiko terdedah kepada faktor alergen bermula dari rumah.

Ibu bapa boleh mula melakukannya dengan memperbaiki kualiti udara dalam rumah. Antara langkah yang boleh diambil ialah menjadikan rumah sebagai zon larangan merokok; mengelak pembakaran kayu api dan jangan gunakan penyegar udara, sabun atau penyembur serangga berbau wangi. Selain itu, anda digalakkan untuk memasang penghawa dingin dan menukar penapisnya secara berkala.

Jika langkah itu tidak mencukupi, anda boleh memasang penapis udara di bilik anak-anak atau bilik permainan mereka.
Perlu diingatkan, habuk dan hama adalah satu lagi faktor lazim yang menyebabkan alahan di rumah. Hama adalah pepijat bersaiz mikroskopik yang hidup dengan memakan sel kulit mati manusia dalam habuk di serata kediaman. Ini terutamanya pada perabot, cadar, tilam dan karpet. Hama lazimnya banyak ditemui di bilik tidur.

Bagi mengurangkan hama, bersihkan rumah terutama bilik anak anda secara kerap dengan vakum seminggu sekali. Kesat habuk dengan kain lembap supaya ia tidak melayang. Elak bantal kekabu atau bulu, sebaliknya pilih batal diperbuat daripada sintetik.

Selain itu, cuci cadar anak-anak seminggu sekali dengan air panas. Alihkan karpet dan tanggalkan dari dinding bilik anak anda dan ruang permainan mereka. Pastikan hamparan di rumah mudah dibasuh dan dibersihkan dengan air panas.

Anda juga dinasihat menyimpan koleksi buku anak-anak di bilik lain. Ini kerana ia boleh menjadi perangkap habuk. Permainan anak-anak yang boleh memerangkap habuk dan hama perlu disimpan dalam beg plastik berasingan. Bagi permainan kegemaran, basuhlah ia sekerap mungkin.

Selain itu, kulapuk dan kulat pula boleh membiak di permukaan lembap seperti bilik mandi dan bilik bawah tanah. Seperti debunga, kulapuk membiak dengan melepaskan debunga di udara. Dalam hal ini, kanak-kanak yang sensitif dengan debunga kulapuk, boleh mendapat alahan termasuk lelah.

Sehubungan itu, pastikan bilik air mempunyai peredaran udara yang baik dengan kebocoran dan kerosakan diperbaiki segera. Selain itu, tanggalkan kertas dinding dan karpet dinding di bilik air dan bilik bawah tanah; elak pokok hiasan; ganti atau cuci langsir pancuran; tukar marmar yang sudah berkulat di siling dan periksa paip bocor yang menyebabkan kehadiran kulat.

Seperkara lagi, haiwan juga boleh menjadi punca alahan. Kajian menunjukkan kira-kira 30 peratus daripada mereka yang menghidap lelah, alah kepada haiwan. Ini kerana tubuh memberi tindak balas protein tertentu terhadap air liur, air kencing atau sel mati haiwan terbabit.

Bulu haiwan bagaimanapun tidak menyebabkan alahan, tetapi ia memerangkap hama, debunga dan kulapuk. Haiwan yang dikurung seperti burung akan menghasilkan najis yang menarik kulapuk dan habuk.

Jika anda memiliki haiwan peliharaan di rumah dan anak-anda alah kepadanya, saranan terbaik ialah mendapatkan kediaman baru untuk haiwan terbabit.

INFO: Lima langkah mudah kurangkan risiko alahan
  • Alas semua tilam anak anda dengan cadar bersih

  • Simpan semua permaidani

  • Kurangkan habuk

  • Hapuskan serangan haiwan perosak

  • Jadikan kediaman zon bebas merokok.
  • READ MORE - Rumah selamat

    Risau uri melekat

    pix_gal0
    Ibu hamil bimbang fibroid, anak lahir tak cukup bulan

    Soalan: Assalamualaikum doktor, saya berusia 33 tahun dan memiliki tiga anak. Anak ketiga lahir secara normal pada minggu ke-28 dengan berat 950 gram pada September 2010. Ketika itu, air ketuban mula turun selama dua minggu dan saya mengalami kontraksi

    Saya turut alami masalah uri melekat dan pendarahan yang banyak. Selepas bersalin, saya mengambil pil perancang. Namun, dua bulan lalu saya mengesyaki diri kembali hamil dan berhenti mengambil pil perancang.
    Hasil ujian air kencing juga positif. Baru-baru ini, saya melakukan ujian ultrasound dan mendapati kandungan sudah berusia 12 minggu. Namun, ada satu lapisan tompok hitam sebesar janin kandungan saya di bawah rahim yang berkemungkinan fibroid.

    Walaupun saya diberitahu fibroid ketika hamil tidak merbahaya, namun persoalan sekarang ialah apakah saya berdepan kemungkinan anak tidak cukup bulan lagi serta uri lekat? Bolehkah bersalin secara normal? Jika kandungan ini memudaratkan, apa pilihan yang ada untuk saya?

    Zalina, Cheras

    Jawapan: Waalaikumsalam Zalina. Sukar dipastikan punca sebenar air ketuban kandungan yang lalu pecah seawal 28 minggu. Majoriti kes kes air ketuban pecah awal adalah berpunca jangkitan kuman dalam vagina.
    Kuman yang kerap memberi masalah adalah kumpulan B streptococcus. Radang jangkitan kuman ini menyebabkan membran atau selaput ketuban lembut dan mudah pecah. Apabila air ketuban pecah, majoriti kandungan akan dilahirkan secara pramatang dalam masa seminggu. Komplikasi pramatang bergantung kepada usia janin dan berat badan. Lebih awal bayi dilahirkan, maka banyak komplikasi boleh berlaku.

    Bagaimana kita boleh mencegah kelahiran pramatang berulang lagi? Sekiranya ia berpunya dari jangkitan kuman, maka anda perlu menjalani ujian kultur lelehan vagina sedari peringkat awal kandungan.

    Dengan cara ini kita dapat mengetahui wujudnya kuman yang berpotensi untuk menyebabkan air ketuban pecah. Rawatan antibiotik boleh mengurangkan risiko air ketuban pecah awal.

    Selain itu, imbasan ultrabunyi boleh digunakan untuk mengukur ketebalan serviks. Sekiranya serviks kian menipis, ia boleh diikat supaya dapat bertahan sehingga bayi mencapai usia yang diingini dan selamat apabila dilahirkan.

    Masalah kedua, uri melekat ketika bersalin adalah di luar jangkaan. Ini kerana anda ada dua anak sebelum ini dan kedua-duanya dilahirkan secara normal cukup bulan dan tiada masalah uri.

    Masalah ini mungkin boleh berulang dan tiada cara boleh dilakukan bagi mengelaknya. Nasihat saya, anda mesti bersalin di hospital yang lengkap dengan dewan bedah, darah dan pakar. Ketulan sebesar janin yang ditemui ketika ultrabunyi tempoh hari sukar untuk ditentukan. Ia mungkin fibroid dan mungkin tidak.

    Saya berpendapat tiada apa boleh dilakukan sekarang. Lazimnya, saya akan memantaunya dengan ultrabunyi. Kebanyakannya akan hilang sendiri walaupun mengalami fibroid ketika mengandung.

    Saya amat prihatin dengan kehamilan anda yang rapat. Adakah anda bersedia menerima anak keempat pada waktu terdekat? Sebaiknya, anda perlu mengambil langkah seperti menggunakan cara moden bagi mengelak kehamilan awal.

    Saya berharap, anda melakukan rawatan susulan antenatal dengan doktor di hospital kerana masalah di atas yang sudah saya bincangkan.

    Risiko pramatang memang ada jika seseorang pernah mengalaminya. Oleh itu, saya syorkan berjumpa dengan doktor pakar untuk ujian dan pemeriksaan seperti saya terangkan. Cara untuk bersalin tidak ada kena mengena dengan masalah anda kecuali uri anda di bawah atau fibroid menghalang pintu rahim.

    Saya juga cadangkan anda menggunakan IUCD selepas bersalin anak keempat ini sebaik habis berpantang bagi mengelak kehamilan luar jangkaan.

    INFO: Jika anda musykil mengenai kesihatan, sila hantarkan soalan kepada 'Doktor di Berita Minggu' melalui e-mel, bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
    READ MORE - Risau uri melekat

    Wednesday, December 14, 2011

    Adalah lebih bijak untuk menjaga kesihatan diri di rumah berbanding penjagaan di hospital.

    Menjaga kesihatan diri berupaya menjauhi rumah sakit. Mulakannya dengan memantau kesihatan jantung anda secara tetap diikuti dengan pengambilan diet yang seimbang serta melakukan rutin senaman tetap.

    Pemantauan di Rumah

    Pemantauan di rumah memaklumkan tentang tahap kesihatan anda berdasarkan pantauan hari ke hari ketika pengesanan 3 faktor utama penentu kesihatan jantung dilakukan iaitu kadar tekanan darah (BP), kandungan glukosa dalam darah (BG) dan lemak dalam badan (BF). Anda boleh menambah kesihatan jantung dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat seperti melakukan senaman secara tetap dan sikap pemakanan yang seimbang.

    Senaman Secara Tetap

    Senaman secara tetap boleh membantu anda mencapai tahap berat badan yang sesuai disamping mempertingkatkan keseluruhan kesihatan fizikal dan mental. Ia juga membantu menguruskan kadar BP, BG dan BF anda sejajar dengan usaha merendahkan risiko kepada sakit jantung.

    Diet Seimbang

    Diet harian anda boleh memberi kesan kepada kadar BP, BG dan BF anda. Maka itu, amatlah penting untuk mengamalkan pengambilan pelbagai jenis makanan pada hidangan yang disarankan supaya anda memilih pemakanan yang lebih sihat tanpa menjejas kesihatan jantung anda. Meskipun pelbagai jenis makanan boleh didapati, merancang pemakanan terlebih dahulu boleh membantu mencapai matlamat anda agar sentiasa mengamalkan cara pemakanan yang lebih baik.
    READ MORE - Adalah lebih bijak untuk menjaga kesihatan diri di rumah berbanding penjagaan di hospital.

    Sunday, December 11, 2011

    Menguap boleh berjangkit

    LONDON: Tabiat menguap mempunyai kesan negatif kerana ia boleh berjangkit kepada orang lain, lapor satu kajian.

    Hasil kajian itu yang disiarkan jurnal Public Library of Science, menyatakan menguap adalah ikatan empati yang terjadi dalam sesuatu kelompok sosial.


    Kami berusaha memahami faktor paling penting yang mempengaruhi penularan menguap kepada manusia dengan mengumpulkan data selama setahun dari beberapa negara berlainan di dunia, kata ketua pengkaji di Universiti Pisa Itali, Prof Elisabetta Palagi.
    Beliau berkata pihaknya melakukan kajian ke atas 109 dewasa, 53 daripadanya lelaki di Eropah, Amerika Utara, Asia dan Afrika selama 12 bulan. Sebelum ini menguap sering kali dikaitkan dengan tanda keletihan, tekanan atau perasaan bosan.

    Kami membahagikan mereka kepada dua kumpulan dengan kelompok pertama menjadi orang yang mula menguap dan satu kelompok adalah pihak yang menghadapi mereka yang menguap, katanya.

    Prof Palagi berkata, sepanjang tempoh kajian, pihaknya mendapati ada 480 kes menguap dengan setiap seorang mula menguap dalam tempoh tiga minit.

    Kajian menunjukkan hampir separuh daripada responden yang mudah terjangkit menguap adalah mereka yang kenal satu sama lain seperti keluarga, teman rapat dan orang asing atau baru dikenali. 
    Faktor paling penting yang menyebabkan seseorang itu boleh menularkan tabiat menguap bukanlah kaum, warna kulit, jantina atau usia, tetapi lebih kepada bentuk hubungan dan keakraban antara mereka, katanya. - Agensi
    READ MORE - Menguap boleh berjangkit

    Tuesday, December 6, 2011

    Cara mudah rawat katarak



    Katarak ialah kekaburan pada kanta semula jadi mata menghalang cahaya masuk ke dalam mata. - Gambar hiasan



    APABILA usia seseorang mencecah 45 tahun, badan pasti menjadi semakin kurang bertenaga. Anggota lain juga turut tidak secergas dahulu. Mata juga tidak terkecuali turut mengalami proses penuaan menyebabkan semakin kabur.
    Jika dahulu semua aktiviti mudah dilakukan seperti melihat paparan pada telefon bimbit atau membaca surat khabar tetapi kini penglihatan menjadi semakin tidak jelas.
    Keadaan ini berpunca daripada katarak yang dikatakan menyerang satu daripada enam individu yang telah melangkau usia 45 tahun ke atas.
    Katarak ialah kekaburan pada kanta semula jadi dalam mata yang menyebabkan menghalang laluan cahaya ke dalam mata.
    Lazimnya masalah ini berlaku disebabkan proses penuaan, namun ada juga yang berlaku kepada bayi yang baru lahir dikenali sebagai katarak kongenital.
    Biasanya seseorang yang dijangkiti katarak akan mula mengalami kekaburan penglihatan dan silau apabila melihat ke arah cahaya yang terang.
    Bagaimanapun dengan kecanggihan teknologi yang ada, katarak kini boleh disembuhkan melalui pembedahan yang hanya mengambil masa yang sangat singkat.
    Keajaiban untuk menangani masalah katarak kini boleh diperoleh dari Pusat Pakar Mata Vista yang terletak di The Curve, Damansara, Kuala Lumpur.
    Pusat rawatan yang beroperasi sejak tahun 2003 itu diakui selamat, mesra pesakit dan dianggap prosedur terbaik dalam menangani masalah katarak dan juga pembedahan laser.
    Tanggungjawab untuk memberi rawatan terbaik turut dipikul oleh Ketua Pakar Bedah Ophthalmik Vista, Dr. Aloysius Low.
    Kaedah yang dikenali sebagai pembedahan katarak tanpa pisau LenSx ini adalah satu prosedur dan teknologi terbaru dalam perubatan merawat masalah katarak menggunakan laser.
    Menurut Dr. Low, teknologi baru yang diperkenalkan itu membolehkan pakar bedah melakukan pembedahan dengan teliti dan tepat yang biasanya tidak mampu dilakukan dengan peralatan yang dipegang dengan tangan.
    "Rawatan ini yang hanya mengambil masa kurang 30 minit dan tanpa pembedahan besar.
    "Melaluinya masalah katarak yang dihadapi bertahun-tahun lamanya selesai dalam waktu yang cukup singkat,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini .
    Malah, melalui Laser LenSx , ia membolehkan pakar bedah membuat potongan 2.2 mm ke atas kapsul lensa untuk memecahkan katarak tanpa menggunakan pisau secara manual.
    "Serpihan lensa kemudiannya dikeluarkan untuk dihancurkan katarak yang keras dan pada masa sama mengekstrak serpihan tersebut,'' katanya .
    Dalam pada itu, doktor juga akan membersih kapsul belakang mata untuk mengurangkan kejadian kegelapan kapsul belakang iaitu katarak yang kedua.
    Uniknya kaedah ini, pesakit tidak akan merasai kesakitan sepanjang berlangsungnya pembedahan tersebut.
    Selain itu, manfaat lain termasuklah pengurangan risiko komplikasi termasuk buta dan penurunan tekanan pada mata.
    Beliau tidak menafikan, terdapat segelintir pesakit yang agak gemuruh apabila prosedur ini dimulakan.
    Bagaimanapun, peringkat awal sebelum pesakit bersetuju melakukan rawatan, mereka akan menjalani sesi kaunseling.
    ''Keadaan ini penting supaya pesakit lebih 'realistik' dengan hasil pembedahan yang akan dilakukan," katanya.
    Ditanya mengenai jangka masa yang diambil untuk membuat rawatan, Dr. Low memberitahu ia cukup singkat iaitu hanya kurang daripada setengah jam.
    Katanya, rawatan moden ini yang dilakukan tanpa rasa sakit, tanpa meninggalkan parut, cepat dan efektif hanya boleh dilakukan kepada individu yang berusia 45 tahun ke atas.
    Di Malaysia, lebih 55,000 orang menjalani pembedahan katarak setiap tahun, menjadikannya prosedur pembedahan besar yang paling banyak dijalankan kini.
    READ MORE - Cara mudah rawat katarak

    Buku nukilan pesakit kanser


    Halimahton Shaari (kiri) bersama Mariana Hussein menunjukkan buku Taking The Bull By The Horns - A Journey Of Cancer Survivors, ketika ditemui, baru-baru ini.



    SETIAP insan ada kisahnya yang tersendiri. Kisah itu pastinya akan diabadikan dalam diri menjadi satu sejarah kenangan silam. Sama ada pahit dan manis, pengalaman itu bergantung kepada kedudukan kisah yang dialami.
    Begitupun tidak semua sanggup mengalami pengalaman yang pahit apatah lagi menjadi pesakit kanser payu dara. Sebutlah kepada semua wanita pun, tiada siapa yang mahu menjadi mangsa kepada penyakit ini, namun sekiranya ia telah ditakdirkan kepada diri, apa yang perlu ialah menangani krisis kesihatan ini dengan cara yang positif.
    Sewajarnya, apabila pengalaman pahit itu digarap menjadi sebuah buku hasil nukilan daripada bekas-bekas pesakit kanser untuk tatapan pembaca, semangat seperti ini sepatutnya harus diberikan pujian.
    Memandangkan hanya mereka yang mengalami detik disahkan sebagai pesakit kanser payu dara sehingga ke jajaran seterusnya, berubat yang mengakibatkan keadaan emosi berlarutan adalah pengalaman yang perlu dibaca dan diambil tahu bukan sahaja oleh pesakit kanser, malah setiap ahli keluarga yang pernah mengalami keadaan ini atau yang sedang menghadapi masalah itu mahupun yang tidak pernah melaluinya.
    Justeru dengan adanya buku bertajuk Taking The Bull By The Horns - A Journey Of Cancer Survivors yang ditulis oleh pesakit-pesakit kanser payu dara yang sekarang berada di pasaran sedikit sebanyak membantu insan-insan yang memerlukan sokongan dalam permasalahan ini khususnya.
    Menurut Profesor Madya Dr. Halimahton Shaari, 53, buku istimewa itu merupakan himpunan kisah-kisah perit 21 penulis wanita yang terdiri daripada bekas pesakit kanser payu dara.
    Jelasnya, hasil tulisan penulis-penulis ini memang bersandarkan dari hati memandangkan mereka yang menulisnya terdiri daripada kisah benar pengalaman individu itu sendiri dalam menangani masalah kanser payu dara sejak mereka didiagnos, bagaimana perasaan mereka, sehinggalah ke proses perubatan, kemoterapi dan sebagainya.
    Kata Halimahton, buku nukilan ini seharusnya dibaca oleh semua masyarakat kerana ia berlandaskan kepada pengalaman sebenar pesakit kanser payu dara dalam mengharungi detik-detik kepahitan melawan penyakit berkenaan.
    Beliau yang merupakan penulis utama buku berkenaan memberitahu, inisiatif untuk melahirkan buku seperti ini adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran dan maklumat kepada orang ramai mengenai kanser payu dara serta berkongsi maklumat pengalaman sebenar menjadi pesakit kanser berkenaan.
    ''Apabila kita menerima kanser ini, ia bukanlah penghalang untuk kita hidup. Saya sendiri didiagnos sebagai penghidap kanser payu dara pada tahun 2009 apabila merasa ketulan di payu dara saya.
    ''Biarpun pada mulanya saya menganggap ia diakibatkan perubahan hormon terutama ketika saya didatangi haid, namun seterusnya saya bertindak melakukan mamogram dan doktor mengesahkan saya menghidap kanser payu dara tahap kedua," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
    Bertugas sebagai seorang Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Komunikasi dan Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Halimahton memberitahu, dia tidak menafikan sebaik menerima khabar daripada doktor yang dirinya didiagnos menghidap kanser payu dara, hanya kematian yang berada di fikirannya.
    Ujarnya, di sinilah betapa pentingnya kumpulan sokongan bagi pesakit-pesakit kanser payu dara untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan panduan dan paling penting di saat mereka menghadapi masalah ini, mereka tidak keseorangan.
    Jelasnya, pada mulanya projek Buku Taking The Bull By The Horns ini diilhamkan oleh Presiden Pink Unity pada waktu itu, Datin Azura Tan Sri Bahaman yang kemudian direalisasikan oleh para ahli dalam Pink Unity itu sendiri. Kini terdapat kira-kira 250 ahli dalam Pink Unity yang merupakan kumpulan sokongan bagi pesakit kanser payu dara yang bernaung di bawah Persatuan Kanser Kebangsaan.
    ''Buku setebal 158 muka surat ini dijual dengan harga RM23 sahaja menggunakan bahasa Malaysia dan Inggeris dan semua hasil jualan akan diberikan kepada Pink Unity untuk digunakan sebagai kerja-kerja kebajikan dalam menangani kes-kes kanser payu dara.
    ''Buku ini telah dilancarkan pada 3 November lalu dan kini telah berada di pasaran," katanya.
    Sementara itu rakannya yang juga turut menyumbangkan karyanya untuk buku berkenaan, Mariana Hussein, 49, memberitahu, dia menerima berita yang disahkan sebagai pesakit kanser payu dara tahap ketiga pada tahun 2007.
    Sejak itu, Mariana melalui pelbagai proses perubatan sebagaimana pesakit kanser payu dara lain.
    ''Saya rasa tidak semua orang boleh berhadapan dengan keadaan ini sekiranya tiada sebarang bentuk sokongan kepada pesakit kanser. Di sini perlunya bantuan ahli keluarga dalam memberikan sinaran positif buat pesakit kanser meneruskan kehidupan mereka.
    ''Memandangkan itu, dengan terbitnya buku seperti ini pastinya sedikit sebanyak membantu ahli keluarga yang mahukan penjelasan mengenai penyakit berkenaan dan bagaimana mengharungi hidup dengan penyakit tersebut," jelas ibu kepada dua cahayamata yang berasal dari Kedah ini.
    Menurutnya, antara lain aktiviti Pink Unity ialah mengadakan lawatan ke rumah pesakit kanser, lawatan ke hospital dan melakukan program out reach atau kesedaran mengenai penyakit berkenaan kepada orang ramai.
    Kepada mereka yang mahu memiliki buku Taking The Bull By The Horns - A Journey Of Cancer Survivors boleh menghubungi Pink Unity sendiri mahupun talian 012-2105070 (Mariana) atau 016-311 1958 (Halimahton) untuk pertanyaan lanjut.
    READ MORE - Buku nukilan pesakit kanser

    Monday, December 5, 2011

    Khasiat Belimbing Tanah

    Pokok Belimbing Tanah (nama sainsnya Tacca spp. (Cristata/integrifolia) atau juga dikenali sebagai Janggut Adam, Janggut Baung, Kelemoyang Air, Sebiak merupakan sejenis pokok herba tempatan yang semakin popular dikalangan masyarakat di Malaysia sebagai pokok perubatan, kerana khasiatnya yang dapat menurunkan tekanan darah. Pokok belimbing tanah mampu mencecah ketinggian sehingga 1 [meter]. Ia mempunyai daun yang lebar dan panjang (menyerupai daun kunyit). Daunnya juga berbentuk bujur telur ('ovate') dan bewarna hijau tua dengan permukaan daun yang berkedut.
    Pokok belimbing tanah mempunyai bunga yang besar berwarna ungu keputihan terbit dihujung tangkai yang tumbuh tegak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 60 cm. Pokok Belimbang Tanah juga dikenali sebagai Belimbing Bukit, yang merujuk kepada habitatnya yang tumbuh liar dikawasan lembap hutan tanah pamah dan lereng bukit. Ia merupakan tumbuhan berumpun yang biasanya dijumpai dikawasan yang agak lembab dan terlindung dari cahaya matahari serta mempunyai kandungan humus yang tinggi seperti dikawasan kebun getah.
    Tumbuhan ini agak popular dikawasan Pantai Timur, Semenanjung Tanah Melayu. Air rebusan akar tumbuhan ini digunakan secara tradisi untuk merawat penyakit darah tinggi, buasir dan juga sebagai air mandian bagi perawatan wanita selepas bersalin iaitu untuk membuang angin dalam badan. Di samping ini, air rebusan ubi dan akarnya yang dicampur dengan pokok selayar hitam (Goniothalamus malayanus) dikatakan berkhasiat bagi menguatkan buah pinggang. Pelepah daunya pula boleh digunakan untuk merawat gatal-gatal pada kulit akibat terkena ulat bulu
    READ MORE - Khasiat Belimbing Tanah
    Powered By Blogger