Ibu hamil bimbang fibroid, anak lahir tak cukup bulan
Soalan: Assalamualaikum doktor, saya berusia 33 tahun dan memiliki tiga anak. Anak ketiga lahir secara normal pada minggu ke-28 dengan berat 950 gram pada September 2010. Ketika itu, air ketuban mula turun selama dua minggu dan saya mengalami kontraksi
Saya turut alami masalah uri melekat dan pendarahan yang banyak. Selepas bersalin, saya mengambil pil perancang. Namun, dua bulan lalu saya mengesyaki diri kembali hamil dan berhenti mengambil pil perancang.
Walaupun saya diberitahu fibroid ketika hamil tidak merbahaya, namun persoalan sekarang ialah apakah saya berdepan kemungkinan anak tidak cukup bulan lagi serta uri lekat? Bolehkah bersalin secara normal? Jika kandungan ini memudaratkan, apa pilihan yang ada untuk saya?
Zalina, Cheras
Jawapan: Waalaikumsalam Zalina. Sukar dipastikan punca sebenar air ketuban kandungan yang lalu pecah seawal 28 minggu. Majoriti kes kes air ketuban pecah awal adalah berpunca jangkitan kuman dalam vagina.
Kuman yang kerap memberi masalah adalah kumpulan B streptococcus. Radang jangkitan kuman ini menyebabkan membran atau selaput ketuban lembut dan mudah pecah. Apabila air ketuban pecah, majoriti kandungan akan dilahirkan secara pramatang dalam masa seminggu. Komplikasi pramatang bergantung kepada usia janin dan berat badan. Lebih awal bayi dilahirkan, maka banyak komplikasi boleh berlaku.
Bagaimana kita boleh mencegah kelahiran pramatang berulang lagi? Sekiranya ia berpunya dari jangkitan kuman, maka anda perlu menjalani ujian kultur lelehan vagina sedari peringkat awal kandungan.
Dengan cara ini kita dapat mengetahui wujudnya kuman yang berpotensi untuk menyebabkan air ketuban pecah. Rawatan antibiotik boleh mengurangkan risiko air ketuban pecah awal.
Selain itu, imbasan ultrabunyi boleh digunakan untuk mengukur ketebalan serviks. Sekiranya serviks kian menipis, ia boleh diikat supaya dapat bertahan sehingga bayi mencapai usia yang diingini dan selamat apabila dilahirkan.
Masalah kedua, uri melekat ketika bersalin adalah di luar jangkaan. Ini kerana anda ada dua anak sebelum ini dan kedua-duanya dilahirkan secara normal cukup bulan dan tiada masalah uri.
Masalah ini mungkin boleh berulang dan tiada cara boleh dilakukan bagi mengelaknya. Nasihat saya, anda mesti bersalin di hospital yang lengkap dengan dewan bedah, darah dan pakar. Ketulan sebesar janin yang ditemui ketika ultrabunyi tempoh hari sukar untuk ditentukan. Ia mungkin fibroid dan mungkin tidak.
Saya berpendapat tiada apa boleh dilakukan sekarang. Lazimnya, saya akan memantaunya dengan ultrabunyi. Kebanyakannya akan hilang sendiri walaupun mengalami fibroid ketika mengandung.
Saya amat prihatin dengan kehamilan anda yang rapat. Adakah anda bersedia menerima anak keempat pada waktu terdekat? Sebaiknya, anda perlu mengambil langkah seperti menggunakan cara moden bagi mengelak kehamilan awal.
Saya berharap, anda melakukan rawatan susulan antenatal dengan doktor di hospital kerana masalah di atas yang sudah saya bincangkan.
Risiko pramatang memang ada jika seseorang pernah mengalaminya. Oleh itu, saya syorkan berjumpa dengan doktor pakar untuk ujian dan pemeriksaan seperti saya terangkan. Cara untuk bersalin tidak ada kena mengena dengan masalah anda kecuali uri anda di bawah atau fibroid menghalang pintu rahim.
Saya juga cadangkan anda menggunakan IUCD selepas bersalin anak keempat ini sebaik habis berpantang bagi mengelak kehamilan luar jangkaan.
INFO: Jika anda musykil mengenai kesihatan, sila hantarkan soalan kepada 'Doktor di Berita Minggu' melalui e-mel, bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment