APABILA ingin keluar rumah pasti pelbagai keperluan akan ‘diusung’ bersama terutama jika membawa bayi, sama ada menyediakan bekalan susu, lampin, baju dan paling penting ialah kereta sorong bagi memberi lebih keselesaan terutama jika berada lama di luar rumah.
Namun, adakah ia praktikal untuk dibawa terutama jika berada di tempat tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah ataupun kawasan karnival?
SELESA...Syazrina bersama anaknya, Adryn Johanna Khairold Safri,
satu setengah bulan yang lena dalam gendongan menggunakan gelung
silang.
BEG SILANG BAYI...bahaya jika digunakan untuk membawa bayi keluar beriadah.
SUKAR BERNAFAS...posisi bayi yang diletakkan dalam beg silang boleh menyebabkannya sukar bernafas.
PRAKTIKAL...Nordziah Bakri menggunakan gendong lelilit pada kedua-dua bahu untuk menggendong anaknya.
Malah, penulis sendiri cukup tidak gemar membawa kereta sorong sekiranya berada di luar bersama anak kerana ia mengganggu kelancaran ‘aktiviti’ yang ingin dilakukan.
Sungguhpun terpaksa bersusah-payah, penulis sanggup mendukung ataupun menggunakan pembawa bayi walaupun untuk jangka masa lama kerana ia lebih praktikal daripada terpaksa berebut dengan orang ramai.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Malaysian Babywearers, Adriana Thani, kebanyakan ibu bapa yang menggunakan pembawa bayi biasanya bukan saja menyebabkan ketidakselesaan pada badan tetapi juga si anak itu sendiri.
Katanya, posisi badan mereka yang menggunakan pembawa bayi biasa juga berada dalam keadaan tidak baik iaitu badan akan membongkok ke hadapan bagi menampung berat bayi yang dibawa.
“Keadaan ini akan memberikan tekanan pada bahagian pinggang dan belakang ibu atau bapa dan jika menggunakannya untuk jangka masa lama, ia juga boleh memburukkan lagi keadaan.
“Begitu juga dengan bayi, pembawa bayi biasa tidak direka untuk memberikan sokongan terutama di bahagian pinggang dan pinggul bayi dan ini boleh memberi kesan apabila mereka belajar berjalan nanti,” katanya ditemui pada Expo Motherhood di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.
Di samping itu, penggunaan beg silang yang didakwa mampu memberikan lebih keselesaan kepada bayi serta memudahkan aktiviti harian juga turut mengundang bahaya yang lebih buruk kepada bayi.
Reka bentuk beg silang ini lebih kepada bentuk segitiga dengan bahagian bawah yang rata serta tinggi di bahagian tepinya.
Adriana berkata, bentuk sebegini akan menyebabkan muka bayi berada terlalu rapat dengan bahagian tepi beg berkenaan. Jika bergerak sedikitpun, bayi terbabit makin merapati bahagian tepi beg dan ini boleh menyebabkan bayi mengalami kekurangan oksigen dan lemas.
“Bentuknya yang terlalu labuh serta bahagian dalaman beg juga terlalu dalam hingga menyebabkan kedudukan bayi terperosok ke bawah.
“Ibu atau bapa pasti susah untuk melihat wajah bayi yang dibawa di dalam beg silang sebegini hinggakan sukar untuk memastikan mereka boleh bernafas dengan baik ataupun tidak disebabkan strukturnya yang lebih kepada bentuk beg biasa,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, apabila bayi diletakkan di dalamnya, posisi badannya akan berada dalam keadaan merengkok hinggakan dagu boleh menyentuh dadanya.
“Posisi sebegini amat berbahaya bagi bayi kerana boleh menyebabkan pernafasan bayi terganggu akibat terlalu menekan lehernya hinggakan bayi terpaksa berusaha bernafas dengan lebih kuat.
“Malah, jika ibu atau bapa memberi susu kepada bayi dalam keadaan ini juga boleh menyebabkannya tersedak tanpa disedari ibu bapa kerana keadaan kain tepi beg yang berlebihan menutupi mukanya,” katanya.
Disebabkan itulah, katanya, cara paling mudah untuk membawa bayi adalah dengan menggendongnya menggunakan kain yang diikat secara manual sama seperti yang biasa menjadi amalan golongan ibu di kawasan pedalaman.
Melalui kaedah menggendong bayi seperti ini ia dapat menguatkan kemesraan antara si pemakai dan bayi kerana bayi berada kedap dan rapat pada badan si ibu, malah ia juga membolehkan si ibu melakukan kerja rumah dengan lebih mudah tanpa perlu berasa risau anak menangis ataupun sebaliknya.
Bagaimanapun kini, terdapat pelbagai kelengkapan mengendong yang ada dalam pasaran antaranya dompet gantung, gelung silang, mei tai, pembawa bertali lembut dan kain lelilit yang direka semula mengikut kesesuaian fesyen terkini.
Selain itu, Adriana berkata, penggunaan peralatan menggendong mempunyai banyak kelebihan antaranya dari sudut fisiologi iaitu bayi yang digendong ketika keluar rumah mampu tidur dengan lebih mudah serta kurang meragam.
Paling penting ialah mengetahui kaedah yang digunakan betul iaitu memastikan bayi berada dalam kedudukan terbaiknya iaitu punggungnya perlu terletak lebih rendah daripada lutut.
“Boleh dikatakan bayi berada dalam kedudukan ‘M’ dengan kakinya berada dalam keadaan terkangkang luas memeluk badan ibunya.
“Malah, kedudukan bayi yang digendong juga perlu berada tinggi iaitu pada aras dada dan dagu ibunya serta kain yang digunakan untuk melilit perlu ketat bagi memberikan sokongan kepada tulang belakang dan pinggul apabila dikendong,” katanya.
Ini diakui sendiri ibu kepada tiga anak, Faridah Halina Zairi, 34, apabila menggunakan kaedah menggendong jenis lelilit untuk anaknya, Khadeeja Azmin, lima bulan.
“Mungkin pada pandangan orang ramai cara sebegini agak menyusahkan kerana kain digunakan perlu dililit pada badan tetapi yang nyata bayi menyukainya kerana lebih selesa dan berada dekat dengan ibu.
“Posisi badan bayi juga berada dalam keadaan tidak terlalu melengkung seperti penggunaan pembawa bayi biasa kerana kain yang digunakan memberikan sokongan penuh di bahagian pinggul bayi,” katanya.
Faridah Halina berkata, tidak dinafikan isu utama yang menjadi persoalan adalah keselamatan bayi dan melalui kaedah ini, si ibu tidak perlu risau bayi akan terjatuh kerana ikatan kain yang digunakan kukuh mengikut saiz bayi.
Sementara itu, Syazrina Ismail, 31, pula berkata, dia menggunakan kaedah sebegini bertujuan memastikan anaknya berada dalam keadaan lebih tenang serta kurang menangis.
Katanya, kaedah menggendong begini amat mudah dan hanya menggunakan silangan kain pada satu bahu saja bergantung pada berat bayi.
“Penting untuk memastikan kedudukan anak berada dalam posisi betul bagi memastikan keselesaan serta kita tidak mengalami sebarang masalah ketika membawanya iaitu anak perlu berada dalam keadaan duduk sepenuhnya.
“Ini akan memastikan bayi anda selesa ketika membawanya terutama jika berada di kawasan sesak dan mereka akan tidur lena tanpa mengganggu sebarang aktiviti dilakukan,” katanya.
Pengasas perniagaan barangan kelengkapan bayi secara dalam talian JumpSacBaby.com ini berkata, anak pertamanya sebelum ini mengalami masalah kolik iaitu kerap menangis apabila dia tiada di sisi.
“Disebabkan itu, saya mencari sesuatu yang praktikal untuk digunakan dan mula menggunakannya ketika anak berusia tiga bulan dan boleh dikatakan ia agak lewat tetapi berjaya mengurangkan masalah itu sepenuhnya.
“Kini untuk anak kedua, saya menggunakannya sejak awal dan nyata dia tidak banyak ragam dan saya mampu melakukan banyak tugasan di rumah,” katanya.
No comments:
Post a Comment