Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Wednesday, May 2, 2012

Dilema sista

pix_gal0
Risau ketumbuhan beri risiko jika hamil 

SOALAN ASSALAMUALAIKUM Dr Suhaimi,
Untuk makluman, saya lewat datang haid selama lapan hari dari biasa. Ini bagi saya agak luar biasa. Gerak hati mendorong saya membuat ujian air kencing dan ia menunjukkan bacaan positif, bagaimanapun garisan kedua tidak begitu jelas. 

Selain itu, saya juga disahkan doktor menghidap sista normal sebulan yang lalu. Persoalannya, adakah saya mengandung? Atau bacaan positif itu disebabkan oleh penyakit sista yang saya alami? 

Saya jadi buntu dan keliru. Jika saya mengandung, adakah ia mengganggu sista yang saya hadapi ini? Bagaimana pula dengan kandungan saya? Ketika saya melakukan imbasan dulu, saiz sista adalah 3.5 sentimeter. 
Adakah sista ini akan membesar bersama pembesaran kandungan saya jika saya mengandung? Selain itu, apakah saya perlu menjaga pemakanan jika saya mengandung dan perlu banyak rehat kerana tugas memerlukan saya banyak bergerak. 

Sejak kebelakangan ini saya sering sakit pinggang dan perut berdenyut. 
Apakah ia normal bagi pesakit seperti saya? Bantulah saya. Terima kasih doktor. 

Syikin 

JAWAPAN
 

ASSALAMUALAIKUM Syikin, 

Penjelasan kepada masalah anda akan saya bahagikan kepada dua. Pertamanya, anda mengandung dan mempunyai sista ovari. Keduanya, anda tidak mengandung tetapi mengalami masalah sista ovari dan ujian air kencing positif. 

Bagi masalah pertama, ujian air kencing bagi pengesahan kehamilan adalah tepat tetapi tidaklah setepat dan sensitif seperti ujian Beta hCG dalam darah. Ujian kehamilan sama ada kencing atau darah akan merekodkan kewujudan Beta hCG. 

Bezanya ujian darah dapat merekodkan jumlah atau kadar Beta hCG dalam darah itu. Ini bermakna, ia dapat merekodkan kadar yang paling minimum atau positif tetapi ujian air kencing menunjukkan negatif. 

Apabila ujian air kencing menunjukkan samar-samar atau positif lemah, ada dua kemungkinan. Pertama, ujian ini dilakukan terlalu awal di mana kadar Beta hCG dalam kencing terlalu sedikit. Jika terlalu awal, puan boleh ulang semula dalam masa seminggu. Jika ujian darah dilakukan dan keputusannya positif, maka berkemungkinan besar puan mengandung. 

Ujian darah ini akan menjadi lebih tepat jika diulang selepas 48 jam kerana kandungan yang normal akan menunjukkan kadar Beta hCG bertambah dua kali ganda. Kemungkinan yang kedua ujian air kencing itu bersifat False Positive kerana ujian ini merekodkan hormone LH (Lutenising hormone) yang tinggi dalam air kencing. Hormon LH ini mempunyai struktur molekul yang hampir serupa dengan Beta hCG iaitu hormon kandungan. Jika ujian darah dilakukan, Beta hCG akan negatif. 

Sekiranya puan mengandung dengan sista ovari sebesar 3.5 sentimeter, majoriti tidak akan memberi apa-apa masalah kepada puan dan kandungan anda. Jika sista ini besar, ia boleh terpulas atau mengalami torsion semasa mengandung. Jika ia berlaku, puan akan mengalami kesakitan di bahagian bawah perut, memulas-mulas dan boleh muntah-muntah. Ini memerlukan pembedahan pembuangan sista semasa puan mengandung. 

Pembedahan ini mempunyai risiko kecil yang kandungan puan boleh mengalami keguguran. Sakit yang puan alami sekarang sukar saya katakan berpunca dari mana kerana pada peringkat awal mengandung masalah sakit di bahagian ari-ari dan belakang boleh terjadi. Ini adalah normal. 

Jadi saya cadangkan puan melakukan imbasan ultrasound semula untuk menentukan saiz sista itu sekarang dan doktor akan menasihati puan apa yang perlu dilakukan. Tentu sekali puan didapati mengandung memang digalakkan berehat dan makan makanan yang seimbang tapi puan perlu mengesahkan dengan doktor puan. 

Bagi masalah kedua di mana puan disahkan tidak mengandung tetapi mempunyai masalah sista ovari yang normal dan juga ujian kencing positif. Bagi saya akan disahkan dengan ujian darah paras beta hCG dalam darah. Kalau paras beta hCG tinggi dalam darah, maka kita perlu beberapa ujian darah untuk melihat petanda-petanda kanser dalam darah. 

Ada berapa kanser dalam manusia yang mengeluarkan hormon-hormon yang boleh dipastikan dengan ujian darah. Contohnya kanser ovari petanda kanser adalah ujian CA 125,CEA,AFP dan juga Beta hCG tadi. Di sini kita lihat, selain dari mengandung, ovari juga boleh menghasilkan Beta hCG. Saya syorkan puan berjumpa doktor untuk ujian selanjutnya seperti yang saya terangkan tadi termasuk ujian seperti imbasan CT dan MRI. 

Perlu diingat jika ujian kencing positif tetapi tidak terdapat kehamilan dalam rahim, kita kena fikirkan kemungkinan kehamilan berada di luar atau ektopik. Rumusannya, puan perlu berjumpa dengan doktor pakar ginekologi bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger