WALAUPUN stres dikatakan ada baiknya, namun jika ia berpanjangan pasti mengundang kemudaratan. Banyak kajian membuktikan bahawa tekanan minda serta bebanan tanggung jawab yang banyak dan berterusan mempertingkatkan risiko penyakit dari aspek kardiovaskular, muskular dan yang paling membimbangkan ialah penyakit mental.
Kekuatan mental amat penting malah minda yang sihat mampu menjana tenaga yang maksimum.
Ahli terapi minda dari Annabella House of Therapy, Shamsilawati Abdul Rahmanberkata, apabila minda seseorang positif, tubuh badan yang kurang sihat juga pasti dapat menjana tenaga.
"Propaganda kekayaan itu segala-galanya adalah tidak benar. Buktinya ramai pelanggan yang datang ke pusat terapi saya memang tidak mempunyai masalah kewangan namun tetap tidak merasai kehidupan yang tenang.
"Apabila resah mereka didatangi pelbagai sakit seperti pening kepala, lenguh-lenguh badan yang secara tidak langsung menambah keresahan hati mereka.
"Formula saya, bukanlah kekayaan itu segala-galanya, jika kita tenang pasti kekayaan itu akan datang. Apabila kita tenang tubuh yang mengalami sakit sedikit juga akan merasa lebih sihat," jelasnya ketika ditemui di pusat terapinya yang terletak di Prima Saujana, Kajang, Selangor, baru-baru ini.
Shamsilawati juga berkongsi cerita salah seorang pelanggannya iaitu seorang remaja yang tertekan dan mahu membunuh diri.
Malah beberapa selebriti antarabangsa yang kaya dan terkenal juga akhirnya menamatkan riwayat hidup mereka sendiri.
"Ketenangan sesuatu yang telah dikurniakan dalam diri setiap manusia, tetapi manusia adakalanya tidak tahu atau terlupa untuk mencarinya.
"Jika buntu, maka bantuan amat diperlukan bagi memastikan diri tidak terjebak dengan tindakan yang negatif. Terapi minda adalah salah satu caranya.
"Bercakap soal keberkesanan terapi minda, sebenarnya ia amat bergantung kepada diri individu itu sendiri manakala ahli terapi sebenarnya hanya memberi panduan untuk cara mereka 'memprogram' semula pemikiran yang telah bercelaru.
"Selain itu kerjasama daripada ahli keluarga, keadaan sekeliling juga merupakan faktor agar individu terbabit tidak terjebak semula dalam kekacauan jiwa yang telah dialaminya sebelum ini.
"Ia ibarat benih yang kalau diletak di tempat yang salah, ia pasti tidak akan bercambah dengan sempurna," jelas Shamsilawati yang berpengalaman lebih lima tahun dalam bidang terapi minda.
Sempat berkongsi satu kes yang pernah dikendalikannya, iaitu seorang anak tunggal yang mana ayah dan ibunya masing-masing berpendapatan kira-kira RM7,000 sebulan.
"Anak ini bermasalah dari segi sikap dan pergaulannya. Dia dihantar ibunya ke sini. Setelah proses mengenali dan bersoal jawab dia sebenarnya tertekan dengan sikap ayahnya yang suka berjudi nombor ekor, panas baran dan tidak pernah solat.
"Akibat terlalu bencikan keadaan tersebut, anak ini memberontak dengan cara psikologi, malah dia juga dimasukkan ke hospital kerana tekanan darah rendah.
"Dia juga seorang remaja yang amat malas untuk melakukan apa-apa, ibunya pula bersikap terlalu defensif. Dalam kes ini sebenarnya yang memerlukan terapi minda ialah ibu dan bapanya juga, sebab jikalau hanya anak yang dirawat kemungkinan besar masalah yang sama akan timbul kembali," cerita Shamsilawati lagi.
Minda dan tubuh perlu harmoni
Shamsilawati berkata, apabila tubuh, minda dan jiwa tidak selari dan harmoni, akan timbul kecelaruan dan akhirnya memberi kesan kepada tubuh.
"Dengan terapi yang betul, semua faktor penting ini boleh diprogram semula.
"Pendekatan terapi empat elemen seperti tanah, angin, api dan air memberi kelebihan buat fizikal individu yang lemah. Sesi terapi empat elemen ini boleh dilakukan secaraone-to-one atau secara berkumpulan bergantung kepada jenis masalah mereka.
"Terapi empat elemen ini mengutamakan teknik pernafasan selain beberapa teknik alami lain. Yang paling utama adalah keberkesanannya.
"Untuk itu, individu yang mahu terlibat perlu mempersiapkan diri dengan rela, jujur pada diri sendiri dan berdisiplin untuk mengulang sesi terapi selagi perlu.
"Jika semua ini ada pasti ia akan memberikan satu lembaran baru dalam hidup anda," katanya
No comments:
Post a Comment