HATI ibu mana yang tidak pilu apabila melihat kedua-dua cahaya mata lelakinya dikategorikan orang kelainan upaya (OKU) kerana mengalami masalah lembam.
Ketika dilahirkan, Mohd Zulhairi Abdul Razak yang kini berusia 14 tahun dan adiknya, Mohd Hazim, 13, adalah kanak-kanak normal. Bagaimanapun, kedua-duanya disahkan mengalami permasalahan itu selepas menghidap demam panas yang menyebabkan sawan pada usia empat dan tiga tahun kira-kira 10 tahun lalu.
Bagi Ruhaidah Othman, 48, segala ketentuan dilaluinya dengan penuh kesabaran tanpa sekalipun mengeluh serta menyesal apa yang sudah tersurat dalam hidupnya.
Menurutnya, sungguhpun kedua-dua anaknya tidak seperti kanak-kanak normal lain tetapi baginya tiada istilah membandingkan perbezaan kerana anak-anaknya itu masih membesar seperti biasa walaupun dari segi pembelajaran mereka tidak begitu menyerlah.
“Saya tidak pernah menjadikan kelainan yang ada pada anak sebagai penyebab untuk tidak memberikan pembelajaran sepatutnya kepada mereka mengikut keupayaan dan kemahiran tersendiri kerana ilmu pengetahuan itu amat penting dalam dunia teknologi kini.
“Saya ingin melihat anak-anak berdikari kerana tidak selamanya ibu dan ayah akan berada di sisi. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai pengetahuan yang cukup untuk menyara diri sendiri kemudian hari nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ruhaidah berkata, anak sulungnya, Mohd Zulhairi atau lebih senang dipanggil Along dan adiknya, Mohd Hazim (Angah) memiliki karakter tersendiri dengan Angah agak pemalu tetapi senang mesra, sebaliknya Along lebih banyak menghabiskan masanya di hadapan televisyen mengikuti rancangan diminatinya.
“Mereka juga tidak suka keluar rumah berjalan tanpa tujuan, sebaliknya banyak menghabiskan masa di hadapan televisyen. Walaupun tidak mampu membaca dan menulis tetapi mereka seolah-olah memahami apa yang tersiar dalam akhbar berdasarkan pengamatan gambar yang tersiar,” katanya.
Selain itu, menambahkan lagi cabaran yang dihadapinya, kira-kira enam tahun lalu suami tercinta terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkannya koma selama sebulan.
Sepanjang tempoh berkenaan, Ruhaidah hanya mengharapkan belas ihsan jiran dan keluarga bagi menjaga anaknya ketika dia berada di hospital menjaga suami tercinta.
Katanya, keperitan hidup bersama anak-anak ketika itu makin berterusan apabila wang perolehan bulanan suaminya juga tidak boleh dikeluarkan selama tiga bulan kerana pada ketika itu, suaminya turut menghadapi masalah hilang ingatan.
“Saya hanya mampu berserah kerana tidak mampu untuk melakukan apa-apa bagi meringankan tanggungan dan hanya mengharapkan belas jiran dan keluarga yang bersimpati bagi meneruskan kehidupan kami anak-beranak ketika itu.
“Saya lalui segalanya dengan reda dan berbekalkan harapan suami akan cepat sembuh dan pulih seperti sedia kala,” katanya.
Sebagai suri rumah sepenuh masa, tidak dinafikan Ruhaidah hanya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai pembantu am bagi membekalkan segala keperluan harian mereka sekeluarga.
Oleh itu, bagi meringankan bebanan yang tergalas di bahu suaminya, dia turut mengambil upah menjaga anak jiran tetangga yang memerlukan penjagaan harian ketika mereka keluar bekerja.
Katanya, walaupun pendapatan yang diperoleh hanya sekadar cukup makan tetapi sedikit sebanyak membantu dalam menyediakan perbelanjaan sekolah anak.
“Anak-anak jiran yang saya jaga itu menjadi teman terutama apabila anak ke sekolah, tidaklah saya kesunyian memandangkan kebanyakan masa saya pada waktu siang terluang dengan melayan kerenah anak kecil terbabit.
“Saya menganggap mereka seperti anak sendiri dan hubungan antara anak yang dijaga dengan keluarga kami juga amat rapat. Ia memberikan banyak kelebihan terutama membabitkan kepercayaan ibu bapa mereka,” katanya yang sudah lali dengan segala cemuhan dan umpatan yang dilemparkan kepadanya.
Ruhaidah berkata, bukan niatnya untuk menyebarkan mengenai kedaifan diri kepada sesiapa tetapi sekadar berkongsi dengan mereka yang bertanya mengenainya.
Dia tidak pernah menjadikan pengalaman hidupnya ini sebagai modal untuk meminta, menagih ataupun merayu simpati sesiapa kerana baginya masih ramai lagi yang kurang berkemampuan daripadanya.
“Saya bersyukur kerana walaupun tidak mewah tetapi masih mampu untuk menyekolahkan anak hingga kini termasuk Along dan Angah.
“Malah, anak-anak juga tidak banyak kerenah, mereka makan apa yang terhidang dan pakai apa yang ada mungkin disebabkan mereka tahu ibu dan ayahnya bukan orang senang,” katanya.
No comments:
Post a Comment