Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Tuesday, July 10, 2012

Lelaki kurang sedar

DUNIA hari ini menyaksikan pelbagai jenis penyakit ‘menyerang’ manusia di mana ia seakan-akan berlumba untuk menduduki carta teratas.
Hari ini juga menyaksikan tanpa mengira jantina, baik lelaki mahupun wanita, mereka tidak terlepas dijangkiti ataupun ‘diserang’ penyakit-penyakit yang berbahaya akibat daripada gaya hidup yang diamalkan.
Dan yang terkini, amaran untuk kaum Adam di mana Hiperplasia Prostat Tidak Berbahaya (BPH) iaitu pembesaran kelenjar prostat boleh ‘menyerang’ tanpa anda ketahui akan kewujudannya.
Lazimnya, mereka yang berumur 50 tahun ke atas berisiko mendapat penyakit ini.
Menurut Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Azad Hassan A. Razack, angka untuk penyakit ini akan meningkat setiap tahun dan peningkatan tersebut adalah bersangkutan dengan populasi penduduk negara ini yang semakin meningkat atau dalam erti kata mereka yang meningkat usia (warga emas) semakin banyak.
Tambah beliau, keadaan ini semakin membimbingkan ditambah pula dengan tahap kesedaran di kalangan lelaki terhadap penyakit ini masih rendah.
“Walaupun penyakit ini tidak boleh membawa maut, tetapi jumlahnya semakin meningkat dari sehari ke sehari.
“Perlu diingatkan, penyakit ini tidak seperti penyakit-penyakit lain. Untuk itu, sekiranya ia dapat dikesan dari awal, penyakit ini mampu diubati.
“Jadi dinasihatkan agar sekiranya mereka (lelaki) mengalami masalah dengan sistem atau saluran kencing, segeralah berjumpa doktor," ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.
Kata beliau lagi, BPH adalah antara penyakit yang menjadi risiko utama kaum lelaki, tetapi masih ramai di kalangan mereka tidak memiliki kesedaran dan pengetahuan mengenai bahayanya penyakit ini.
Mereka mengambil mudah terhadap ancaman kesihatan ini malah sesetengahnya berasa malu, rendah diri dan bimbang jika disahkan menghidap penyakit ini.
Keadaan ini menyebabkan mereka lebih rela menanggung kesakitan dalam diam daripada berusaha mendapatkan rawatan awal.
BPH adalah keadaan pembesaran kelenjar prostat yang kebiasaannya terjadi di kalangan lelaki berumur lebih daripada 50 tahun.
“Lebih daripada 50 peratus penghidap BPH ialah di kalangan lelaki yang berumur 60 tahun ke atas, sementara bagi mereka yang berumur 85 tahun ke atas BPH adalah lebih daripada 90 peratus.
“Daripada kajian yang dilakukan mendapati sebanyak 72 peratus lelaki yang diserang penyakit ini tidak mengetahui simptom-simptomnya, manakala 40 peratus lagi tidak berbuat apa-apa setelah mengetahui mereka menghidap penyakit ini," kata Prof. Azad.
Menurut beliau lagi, kelenjar prostat ini biasanya bersaiz sebesar buah berangan, membaluti uretra di antara tulang puik dan rektum, dan berada di bawah pundi kencing.
Pada peringkat awal pembesaran prostat, otot pundi kencing menjadi lebih tebal dan memaksa kencing melalui uretra yang sempit dengan mengecut dengan lebih kuat.
Kesimpulannya, otot pundi kencing mungkin menjadi lebih sensitif, mengakibatkan keinginan untuk kencing lebih kerap dan secara tiba-tiba.
Apabila kelenjar prostat semakin besar maka uretra akan ditekan dengan lebih kuat, pundi kencing mungkin tidak dapat membendung masalah ini sepenuhnya dan mengosong dengan sempurna.
Kelenjar prostat menjadi lebih besar akibat pertambahan bilangan sel (hyperplasia) dan beberapa jenis faktor yang mungkin terlibat dalam berlakunya kejadian ini, termasuk androgen (hormon lelaki), estrogen atau faktor pembesaran.
Aliran kencing lemah
Jelas Prof. Azad, antara simptom-simptom BPH yang dialami pesakit ialah keluar masuk tandas berulang kali (kekerapan), sukar menahan daripada membuang air kecil (terdesak) dan kerap bangun di tengah malam untuk membuang air kecil.
Sudah tentu katanya, simptom-simptom ini tidak menyenangkan dan mempengaruhi gaya dan kualiti hidup pesakit.
Selain itu, Prof. Azad turut menyatakan BPH boleh menyebabkan masalah kencing seperti pengaliran kencing yang lemah, gagal mengosongkan pundi kencing sepenuhnya serta air kencing meleleh atau menitis semasa kencing.
Beliau memberitahu, pemeriksaan awal amat penting bagi memastikan sejauh mana seriusnya pembengkakkan tersebut dan rawatan yang sesuai akan ditentukan.
Katanya lagi, setakat ini ada ubat untuk rawatan penyakit ini yang bertindak mengecutkan kelenjar prostat dan sekali gus membolehkan kencing menjadi lawas.
Ada juga ubat yang berfungsi untuk melonggarkan kelenjar prostat bagi tujuan memudahkan proses membuang air kecil.
Namun menurut Prof. Azad, sekiranya pesakit berada di peringkat serius pembedahan perlu dilakukan sama ada secara sistem laser ataupun pembedahan.
- Mariatul qatiah zakaria

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger