Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Sunday, January 15, 2012

Bagaimana menghadapi tekanan di tempat kerja

SELURUH warga kerja pelbagai sektor pasti akan menyiapkan diri dengan perancangan strategik kerja masing-masing bagi melalui tahun baru, dengan azam dan semangat baru sambil menilai kebelakangan segala pencapaian kerja sepanjang tahun yang baru ditinggalkan.

Kakitangan perkhidmatan awam Malaysia khususnya, wajar memanjatkan syukur di atas keputusan kerajaan menstruktur skim perkhidmatan iaitu menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) dengan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Walau apa tanggapan, SBPA melalui falsafah dan strateginya perlu disambut dengan semangat yang semakin meninggi oleh seluruh kakitangan awam Malaysia untuk menterjemah tanggungjawab mengisi jangkaan ‘stake holder’.
Golongan pensyarah contohnya, yang juga terbabit mendapat faedah SBPA akan mula sibuk membuat persiapan menerima kedatangan sesi baru persekolahan. Dalam beberapa hari akan datang, ruang tempat letak kereta sekolah seluruh negara yang lama sepi, akan mula dipenuhi dengan kenderaan warga pendidik untuk menghadiri mesyuarat dan membuat persiapan prasarana menyambut pelajar tahun pertama dan juga lama.
Banyak yang telah didengari mengenai kesibukan guru membuat persiapan termasuk menyediakan bahan-bahan persediaan pengajaran, yang sesetengahnya memberikan tekanan kepada mereka.

Tekanan dalam pekerjaan adalah lumrah. Sepanjang 2009, guru-guru di England menghadapi tekanan mengajar yang berat. Akibatnya lebih kurang 15,000 daripada 465,672 guru mereka mengambil cuti sakit setiap hari. Bagaimana pula statistik di Malaysia?

Definisi umum tekanan atau ‘stress’ ialah sebarang jenis desakan yang memberi kesan kepada kehidupan harian seseorang individu mahupun dalam bentuk kumpulan individu dalam sesebuah jabatan atau organisasi.

Tekanan membentuk tingkah laku dan memberi kesan terhadap emosi individu. Ia secara amnya adalah reaksi dihasilkan oleh individu terhadap makna yang diberinya bagi sesuatu punca tekanan itu.
Umpamanya, tugasan biasa yang diterima oleh seorang pekerja pada ketika dia sedang menyiapkan kerja lain, akan menjadi satu tekanan kepadanya berbanding pada ketika menerima kerja yang sama ketika dia tiada kerja lain.

Banyak faktor menjadi punca tekanan di tempat kerja. Faktor ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu faktor tempat kerja dan faktor diri pekerja. Faktor tempat kerja antaranya ialah peraturan tempat kerja, tugasan melebihi batasan dan juga perkara yang berkaitan teknologi di tempat kerja. Antara faktor diri pekerja pula, dan sering terlepas pandang oleh banyak pihak ialah salah padanan kerjaya.

Seorang pengkaji keselarasan kerjaya individu iaitu John L Holland menyatakan bahawa individu akan gembira dan cemerlang bekerja dalam persekitaran kerja yang selaras dengan ciri dirinya. Ini bermakna seorang itu akan seronok bekerja sebagai guru, jika ciri dirinya sepadan dengan ciri seorang guru.

Menurut Holland lagi, seorang guru harus mempunyai ciri diri S, A, E (Sosial, Artistik dan Enterprising). Bagi guru yang tidak mempunyai ciri-ciri itu, tidak akan seronok dan cemerlang dalam kerjaya guru.

Berdasarkan teori yang diketengahkan oleh Holland, ada kemungkinan guru di England, di Malaysia dan di mana-mana juga mengalami tekanan kerana salah padanan kerjaya.

Maka adalah sangat penting untuk individu menyemak ciri diri sebelum memilih kerjaya yang akan diceburi. Ketepatan ciri diri dengan kerjaya akan menyebabkan individu seronok bekerja dan akan mengelakkan daripada menganggap bahawa menerima sesuatu tugasan kerja itu sebagai satu tekanan.

Kesepadanan ciri diri dengan kerjaya terpakai kepada semua jenis pekerjaan. Semua jenis pekerjaan mempunyai cirinya tersendiri. Ringkasnya, tidak semua orang seronok atau selesa dan seterusnya cemerlang dalam semua jenis pekerjaan. Isunya, bagaimana ingin mengenal ciri diri? Setiap individu mampu mengenal ciri diri melalui inventori minat kerjaya yang boleh dilakukan dengan bimbingan kaunselor.

Bagi pekerja yang tergolong dalam kumpulan salah padanan kerjaya tidak bermakna tidak adalah jalan untuk mengurus tekanan kerja. Strategi berkesan mendepani tekanan kerja adalah strategi yang berbentuk proaktif. Tiga kaedah proaktif yang ingin dicadangkan adalah; (1) Log Aktiviti, (2) ”To Do List”, dan (3) Analisis Tugas.

Log Aktiviti ialah kaedah di mana individu mencatatkan semua aktiviti yang dilakukannya pada setiap masa dalam waktu kerjanya. Segala aktiviti perlu dicatatkan sekurang-kurangnya bagi tempoh satu minggu.

Setelah selesai catatan dibuat, individu perlu menilai segala aktivitinya dan mengenepikan serta menggugurkan semua aktiviti yang tidak berfaedah dan tiada kaitannya dengan tugas hakiki, seperti membaca akhbar, berborak dan ‘bersembang’ melalui laman sosial atas talian.

Dengan pengguguran semua aktiviti tidak berkaitan tugas itu, akan memberikan individu itu banyak masa terluang untuk bekerja yang seterusnya akan mengelak kerja tertangguh. Menguruskan kerja tertangguh alah satu punca yang memberi tekanan dalam pekerjaan.

‘To Do List’ ialah kaedah yang cukup berkesan kepada ramai orang. Individu menyenaraikan segala kerja yang ingin dilakukan pada setiap kali memulakan kerja. Senarai ini perlu dipamerkan atau mudah dilihat, yang akan menjadi senarai semak tugasan yang yang perlu dilakukan.

Senarai ini boleh disediakan pada permulaan hari bekerja atau pada akhir masa bekerja untuk tugasan yang tidak dapat disiapkan atau kerja yang telah dijangkakan untuk dilakukan pada hari berikutnya.

Analisis tugas ialah satu kaedah di mana individu menyemak segala prosedur tugasan berdasarkan kepada senarai tugas yang disediakan oleh pihak pejabat atau majikannya. Individu perlu sentiasa menyemak dokumen-dokumen ini untuk mengetahui bidang tanggungjawab masing-masing.

Secara umumnya banyak juga tekanan yang dilalui oleh pekerja kerana tidak faham dengan bidang tugas masing-masing. Dalam sistem perkhidmatan awam, satu sistem seperti Manual Prosedur Kerja (MPK) dan Fail Meja ialah satu dokumen yang sedia diguna pakai, yang perlu sentiasa pekerja rujuk dalam melaksanakan tugas.

Kesimpulannya, tekanan dalam kerja perlu dihadapi sama ada pekerjaan itu sepadan dengan ciri dirinya atau tidak, individu perlu menyediakan diri dengan kemahiran untuk bekerja dalam tekanan.

Konsep bekerja dalam tekanan akan membuatkan individu menguruskan tekanan kerja secara positif kerana kerja itu adalah tanggungjawab mereka, dan sebenarnya bukanlah tekanan. Selamat maju jaya dan cemerlang dalam kerjaya kepada semua.

Penulis adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger