Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Sunday, January 29, 2012

Dugaan jaga suami tercinta

BENAR kata pepatah, teman ketawa mudah dicari tapi tidak ramai pula yang ingin mendekati kala diri dirundung duka. Itu antara rencah dalam kehidupan manusia dan yang pasti, penulis mula kenal apa itu erti persahabatan sebenar serta sokongan dan kasih sayang keluarga yang sememangnya tiada sempadan ketika berdepan situasi getir, baru-baru ini.
Ketika diberitahu mengenai keadaan suami yang tenat selepas terbabit kemalangan bulan lalu, segala perasaan saling bercampur-baur. 
Terkejut, kecewa, sedih, gembira, lega, resah dan 1,001 rasa mula menghambat diri sepanjang perjalanan ke pusat perubatan yang terletak di Petaling Jaya.
Fikiran mula berkecamuk mengenang�kan apa yang akan berlaku meskipun diri seakan-akan sudah bersedia dengan segala kemungkinan. 

Syukur suami diberi peluang kedua untuk menjalani kehidupannya biarpun keadaan mental belum stabil sepenuh�nya. Dia kadangkala keliru dengan suasana sekelilingnya berpunca daripada kesan pendarahan dalam kepala akibat kemalangan itu.
Dek keadaannya begitu, bermulalah fasa kehidupan penulis ‘berumah tangga’
di pusat perubatan itu selama 38 hari (ketika artikel ini disiapkan) tanpa panduan bagaimana untuk menangani orang sakit di wad hospital.

Sebelas hari pertama amat mendebarkan kerana suami masih di wad unit rawatan rapi (ICU) neurologi dan tidak sedarkan diri. Pihak hospital tidak membenarkan ahli keluarga pesakit bermalam atau menjaga pesakit dalam wad itu kerana boleh mengganggu proses rawatan pesakit.

Ahli keluarga hanya dibenarkan melawat mengikut waktu ditetapkan dan sesekali boleh masuk ke dalam wad bagi melihat keadaan pesakit jika perlu.

Setiap pesakit juga dihadkan kepada dua pelawat dan kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk kerana dikhuatiri membawa jangkitan kepada pesakit.

Justeru, berbekalkan stoking dan baju panas, penulis bermalam di ruang legar wad ICU terbabit bertemankan beberapa ahli keluarga pesakit lain.

Gelisah, penat dan tidak selesa sememangnya perkara biasa bagi yang menjadikan hospital sebagai rumah kedua mereka.

Biarpun pihak hospital me�nyediakan ruang rehat lengkap televisyen dan sofa di tingkat bawah untuk ahli keluarga yang menjaga pesakit, ahli keluarga biasanya lebih suka berada di kawasan berhampiran wad serta tidak kisah jika perlu tidur di atas kerusi mahupun di lantai kerana mudah untuk masuk menjenguk pesakit.

Bagaimanapun, aspek keselamatan diri dan barangan peribadi perlu juga dititikberatkan. Atas faktor itu jugalah penulis hanya berani bermalam di ruang legar wad itu selama tiga hari.

Seorang jururawat menasihati penulis agar waspada dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan diri dirompak berikutan pelbagai aduan yang diterima.

Ada rakan yang meminjamkan beg tidurnya kepada penulis tetapi sehingga kini masih belum dapat menggunakannya kerana penulis lebih rasa selamat apabila tidur di atas kerusi sambil memeluk erat beg sandang.

Pernah berlaku seorang pembantu rumah yang menjaga anak majikannya kehilangan dompet serta segala dokumen penting yang disimpan rapi dalam beg lampin ketika dia ke tandas bersebelahan dengan katil pesakit.

Pada hari ke-12, keadaan suami bertambah baik dan tidak lagi memerlukan bantuan mesin pernafasan lalu dibawa ke wad surgikal di tingkat atas.

Wad ini menempatkan pesakit yang mula memberikan perkembangan positif dalam rawatan dan menjalani proses pemulihan. Di wad ini seorang ahli keluarga saja dibenarkan bermalam dan menjaga pesakit, namun tiada had untuk bilangan pelawat pada waktu melawat yang ditetapkan.

Apa yang penulis kesalkan apabila masyarakat kita masih enggan menurut arahan biarpun jelas terpampang di pintu masuk wad. Masih ada yang masuk selepas tamat waktu melawat dan datang beramai-ramai bagaikan rombongan ke majlis kenduri perkahwinan.

Setiap bilik menempatkan empat pesakit, jadi apabila seorang pesakit menerima kunjungan saudara-mara dan rakan hampir 20 orang jumlahnya, ia pasti menggang�gu ketenteraman pesakit lain yang ingin berehat, sekali gus mengganggu ketenteraman ahli keluarga pesakit lain yang datang melawat. Walaupun ditegur jururawat dan pengawal keselamatan, masyarakat kita nyata tidak ambil peduli dengan arahan itu.

Telefon bimbit kini dibenarkan penggunaannya di kebanyakan hospital awam dan swasta, tetapi ramai yang menyalahgunakan kelonggaran itu.

Mereka juga bagaikan tiada adab dan tidak hormat kepada pesakit lain apabila sesuka hati berbual dalam suara tinggi dan bergelak ketawa sesama sendiri.

Masyarakat kita juga suka mengambil tahu hal orang lain, dalam kata lain menjaga tepi kain orang. Mereka bertanyakan bermacam-macam soalan kepada ahli keluarga pesakit kerana pelik apabila keadaan pesakit itu sama sekali berbeza dengan ahli keluarga mereka yang terlantar.

Situasi ini bukan saja memberi kesan kepada psikologi dan tekanan mental pada pesakit, malah mengganggu kestabilan emosi ahli keluarga yang menjaganya.

Pesakit membabitkan kecederaan kepala misalnya, kebanyakan mereka perlu diikat kaki dan tangan kerana diri yang belum stabil untuk bangun serta berjalan.

Jika tidak diikat, dikhuatiri pesakit itu boleh membahayakan dirinya sendiri atau berdepan risiko hentakan kepala jika terjatuh dari katil. Keadaan itu sama sekali berbeza dengan pesakit yang mengalami masalah jantung atau barah prostat.

Sememangnya kekuatan mental dan fizikal perlu ada pada diri jika ingin bermalam di hospital. Bawa kerusi lipat jika perlu bagi meluruskan kaki ketika tidur tetapi penulis biasanya lebih senang tidur di atas kerusi tegak biasa.

Dalam keadaan ini, tidur dan makan bukan perkara utama di fikiran walaupun
dua perkara itu amat penting bagi si penjaga pesakit.

Bagi penulis, kekentalan emosi banyak memainkan peranan dalam menghadapi keadaan sekeliling. Selain itu, kesedaran terhadap adab dan tatasusila di hospital masih kurang di kalangan masyarakat kita.

Apapun, pengalaman ini membuatkan penulis tabik hormat kepada barisan jururawat yang bukan saja perlu membantu doktor memastikan pesakit makan, minum, berehat dan mengambil ubat mengikut waktu ditetapkan tetapi mereka turut bijak menghadapi pelbagai situasi yang dicetuskan ahli keluarga pesakit.

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger