Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Monday, January 23, 2012

Merah simbol kebaikan

SETIAP kali tiba Tahun Baru Cina, pasti kita terbayangkan limau. Malah setiap pelosok pasar ataupun pasar raya dipenuhi limpahan buah-buahan berwarna oren itu, tidak kira besar ataupun kecil.
Dalam kebudayaan masyarakat Cina, buah-buahan segar terutama oren yang menjadi simbol melambangkan kekayaan perlu disediakan untuk memastikan nasib baik dan tuah sentiasa berada di persekitaran. 
Warna merah tidak terkecuali dan menjadi perhatian utama untuk dijadikan perhiasan dalaman rumah kerana ia membawa simbol kebahagiaan dan kegembiraan yang ingin dikecapi bagi menghadapi kedatangan tahun baru.

Bagi masyarakat Cina, kehadiran tahun baru juga tidak akan lengkap sekiranya tidak menikmati hidangan yee sang iaitu makanan tradisi yang menjadi hidangan utama ketika makan besar pada malam sebelum sambutan perayaan itu.

Penyediaan hidangan ini amat ditekankan kerana dengan menjamah yee sang, mereka percaya hidup seseorang akan diberkati dengan kesejahteraan serta dipanjangkan umur.

Kebiasaannya, yee sang disajikan dengan sos, serbuk cili serta keropok rangup yang akan digaul bersama. Makin tinggi sajian berkenaan diangkat, maka makin banyak tuah yang akan diperoleh.

Selain itu, terdapat pelbagai lagi hidangan menarik disediakan ketika sambutan tahun baru ini yang pasti amat dinanti-nantikan kerana ada antaranya hanya boleh dinikmati setahun sekali.

Menurut kepercayaan, hidangan yang disajikan untuk sambutan tahun baru perlu dipilih dengan teliti. Bukan sekadar berasa ia baik untuk disediakan kerana setiap satu mempunyai nilai simbolik tertentu yang boleh mempengaruhi tuah mereka pada tahun itu.

Menurut Candice Ong, 25, mengikut adat tradisi masyarakat Cina, mereka menyajikan hidangan nian gao dalam bahasa Mandarin dan tikoy (Kantonis) yang diperbuat daripada tepung beras pulut.

Cara untuk menikmati hidangan ini juga berbeza mengikut kawasan kerana ada yang menyediakannya dengan cara mengukus, digoreng, dibakar, dimasak dalam kuali hingga tebal serta boleh disediakan pedas ataupun manis.

“Kek Tahun Baru ini melambangkan kenaikan pangkat ataupun kemakmuran yang diperoleh individu ataupun keluarga terbabit tahun demi tahun.

“Setiap hidangan makanan yang disediakan memiliki makna tersendiri dan ia menjadi satu amalan turun temurun, tidak dapat tidak ia perlu disajikan bagi memastikan keluarga tidak ditimpa musibah,” kata graduan Universiti Putra Malaysia ini.

Masyarakat Cina juga menyediakan hidangan mi, mewakili kehidupan yang panjang dan jika disediakan, ia tidak boleh dipotong kerana menggambarkan nasib malang.

Tetapi, kini hidangan ini tidak lagi terhad pada sambutan tahun baru saja kerana pada hari kebiasaan, sajian mi mudah didapati.

Sementara itu, katanya, ikan turut dihidangkan dan dimakan sehari sebelum Tahun Baru Cina dan sebagai makanan penting, ikan ini tidak akan dimakan habis, sebaliknya baki sajian akan disimpan semalaman.

“Ia memberi makna ‘semoga ada lebihnya setiap tahun’ memandangkan sebutan perkataan Cina bagi ikan serupa dengan sebutan ‘lebihan’.

“Ia bertujuan mengharapkan agar tidak ada kekurangan pada keluarga dan diri supaya ada lebih untuk hidup pada baki tahun berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sambutan sesuatu perayaan pasti tidak akan meriah tanpa kehadiran hidangan pencuci mulut sama ada manisan ataupun buah-buahan kering yang diletakkan dalam kotak manisan Cina berwarna hitam ataupun merah.

“Pemanis mulut ini dijadikan sebagai penyeri untuk dimakan ketika berkumpul bersama keluarga sebelum dan selepas majlis makan besar pada tahun baru.

“Sekurang-kurangnya ini membuatkan kanak-kanak ingin turut serta ketika berkumpul dalam mengingati semula pengalaman indah bersama sebagai keluarga,” katanya.

Candice berkata, Tahun Baru Cina dikenali sebagai Tahun Baru Lunar yang menandakan permulaan musim bunga, malah individu berbangsa Cina di seluruh dunia pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina.

“Walau jauh sekalipun mereka berhijrah, ketika sambutan Tahun Baru ini, mereka pasti balik ke pangkuan keluarga untuk berkumpul bersama-sama dan berkongsi pengalaman berada di perantauan sepanjang tahun sebelum ini.

“Oleh itu, masyarakat Cina pasti menghidangkan pelbagai hidangan enak untuk dinikmati bersama keluarga kerana ia melambangkan tuah, kesihatan dan kemakmuran untuk seisi keluarga,” katanya.

Di samping itu, Tahun Baru Cina bukan saja diraikan masyarakat Cina seluruh dunia, malah turut diraikan di Korea (Seollal), Vietnam, Mongolia dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi kebudayaan dan keagamaan Cina.

Bersesuaian dengan sudut pandangan feng shui, tahun 2012 adalah tahun naga air yang dipercayai membawa banyak kebaikan dan rezeki kepada manusia.

Hidangan buah naga merah turut menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada sajian tahun baru sempena tahun naga kali ini.

Ini disebabkan buah naga merah dilihat sebagai simbol pembawa tuah dan dipercayai mampu menangkis roh jahat manakala buah naga putih pula kurang digemari kerana kurang menyerlah.

Dalam teori unsur Cina, air menghasilkan kayu yang menandakan pertumbuhan dan naga mewakili elemen semula jadi. Justeru, kedua-dua faktor ini menjadikannya gabungan tuah yang cukup menarik bagi mereka.

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger