Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Monday, March 5, 2012

Muzammil mahu ubah tafsiran OKU


DALAM hidup ini, saya ingin ubah satu perkara sahaja iaitu tukar pengertian orang kurang upaya (OKU) kepada orang kuat usaha,'' kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohamad Muzammil Mohamad Noor yang merupakan seorang OKU.
Pensyarah Sejarah Politik dan Pemikiran ini pada Isnin lalu diangkat sebagai ikon OKU oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).
Pandangan pertama ketika berjumpa dengannya di lobi sebuah hotel terkemuka baru-baru ini, sememangnya tidak mungkin ramai menyangka lelaki berkerusi roda ini memiliki Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Malaya (UM).
''Benar, saya ingin ubah persepsi masyarakat terhadap OKU. Hasrat itu mula berputik apabila berjaya menggenggam PhD pada 2006. Sejak itu, saya terfikir bahawa kami bukan sahaja lain daripada lain tetapi juga orang yang kuat dan bersemangat.
''Mungkin bagi sesetengah orang, setakat PhD itu perkara biasa, tetapi tidak bagi saya kerana saya bukan orang yang normal, saya cacat, sebab itu saya ingin ubah persepsi terhadap OKU," katanya.
Bukan bermaksud untuk riak dengan kejayaan itu, sebaliknya beliau mengakui cukup puas apabila berjaya memiliki PhD setelah melalui pelbagai dugaan dan saat-saat yang memeritkan sebelum memperoleh kejayaan.
Beliau sedar kejayaannya itu bukan atas usahanya seorang kerana tanpa jasa baik Bakti, tidak mungkin beliau dapat menjejakkan kaki di institusi pengajian tinggi (IPT) kerana kesempitan hidup keluarganya.
Beliau amat bersyukur dan berterimakasih kepada Bakti dan USM, malah, turut berjanji untuk berkongsi kejayaannya itu dengan Bakti dalam apa jua bentuk yang termampu dilaksanakannya.
Mohamad Muzammil mengakui bertuah apabila mendapat tajaan pengajian daripada Bakti sejurus ditawarkan tempat di USM dalam bidang Sejarah dan Sains Politik di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Sejarah Politik Malaysia.
Berkat ketekunan serta kerja keras anak bongsu daripada lapan beradik itu selama enam tahun, akhirnya membuahkan hasil apabila beliau mendapat tawaran biasiswa daripada USM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di UM.
Berkongsi kisahnya zaman kanak-kanak, Mohamad Muzammil yang dilahirkan cacat memberitahu tidak bernasib baik kerana tidak seperti kanak-kanak lain, sewaktu berusia tujuh tahun beliau tidak dapat ke sekolah kerana keluarganya tidak mampu menyediakan kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya.
''Saya pernah minta supaya ditempatkan sahaja di sekolah khas untuk orang cacat tetapi ayah berkeras tidak mahu menghantar saya ke sekolah itu kerana khuatir hanya menjadi seorang penganyam tikar atau pembuat sampul surat.
''Ternyata hasrat ayah untuk melihat saya menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan negara tercapai apabila mula bersekolah ketika berumur sembilan tahun dan sejak itu saya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh,'' katanya.
Namun, Mohamad Muzammil terkilan kerana kejayaannya itu tidak dapat disaksikan oleh kedua orang tuanya yang meninggal dunia ketika beliau masih belajar di USM.
''Saya terkilan dan sedih, ayah serta ibu yang ingin sangat melihat saya berjaya. Ayah pergi ketika saya baru memulakan pengajian di USM manakala ibu pula semasa saya telah mendapat sarjana,'' katanya.
Lebih memedihkan Mohamad Muzammil, persepsi masyarakat sekeliling terhadap orang sepertinya.
Bakti
"Walaupun seseorang OKU itu berjaya dengan usahanya sendiri tetapi masyarakat masih melabelkan mereka sebagai berjaya atas simpati," katanya.
Beliau berterimakasih kepada Bakti kerana tidak berpandangan sedemikian sebaliknya badan itu melihat kejayaan Mohamad Muzammil yang pernah dinobatkan Mahasiswa Gigih Yayasan Sultanah Bahiyah sebagai antara pencapaian tertinggi oleh OKU di negara ini dan bersedia menanggung pengajiannya.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku Yang Dipertua Bakti ketika ditemui baru-baru ini berkata, usaha gigih pensyarah itu seharusnya memberi tamparan hebat kepada golongan senasib dengannya supaya berusaha kerana mereka juga berpeluang memperoleh kejayaan.
Baginya, dalam pada reda dengan ketentuan-Nya, mereka harus menjadikan keistimewaan itu sebagai cabaran untuk menjadi individu yang lebih istimewa.
Sebab itu, beliau cukup bangga apabila melihat Mohamad Muzammil tidak putus semangat untuk menggenggam cita-citanya walaupun perit untuk beliau yang perlu berusaha dua kali ganda daripada orang normal.
''Saya yakin beliau tidak akan berhenti mencari ilmu demi menjadi pendidik yang berguna kepada agama, bangsa dan negara,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger