Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Monday, June 25, 2012

Rawatan tanpa pembedahan


Pesakit juga tidak patut bergantung kepada ubat penahan sakit kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan dalam jangkamasa panjang seperti kerosakan buah pinggang dan sakit gastrik.



APABILA mengangkat barang, ramai yang lazimnya membongkokkan badan, padahal mereka sepatutnya membengkokkan kaki bagi gerak mengusung yang diperlukan. Pekerja pejabat pula duduk di meja dan menghadap komputer berjam-jam tanpa regangan. Setelah penat bekerja dan pulang ke rumah, ada yang terlena di atas sofa ketika menonton televisyen. Adakah senario itu menyamai rutin harian anda? Jika benar, anda menghampiri insiden sakit belakang.
Menurut Pakar Ortopedik, Trauma dan Pembedahan Tulang, Dr. Chang Kok Chun, sakit belakang adalah masalah biasa pada semua lapisan umur kecuali kanak-kanak.
Tambahnya, boleh dikatakan setiap orang akan mengalami sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
"Jika masalah ini berlarutan, mereka yang mengalaminya perlu segera berjumpa doktor.
Setidak-tidaknya mereka perlu mendapatkan pandangan doktor berkenaan punca sakit belakang yang dialami lebih-lebih lagi jika berlarutan.
Walaupun penyakit serius seperti kanser dan jangkitan kuman tulang belakang, jarang berlaku dalam kalangan wanita muda namun penyakit lain yang juga boleh menyebabkan sakit belakang seperti batu karang perlu dipertimbangkan.
"Pesakit juga tidak patut bergantung kepada ubat penahan sakit kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan dalam jangkamasa panjang seperti kerosakan buah pinggang dan sakit gastrik," ujarnya.
Jenis sakitDr. Kok Chun menjelaskan, sakit belakang secara umumnya dibahagikan kepada dua kumpulan.
Menurutnya, 90 peratus kes adalah dalam kumpulan 'fungsi ' iaitu sakit belakang tanpa perubahan dikesan dalam X-Ray atau Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).
"Ramai daripada pesakit ini wanita bekerja atau berumahtangga. Kebanyakan mereka bekerja dan duduk di kerusi untuk masa yang lama. Postur duduk yang buruk menyumbang kepada sakit belakang.
"Satu lagi ciri kumpulan ini ialah mereka yang kurang bersenam atau aktiviti rekreasi kerana sibuk dengan kerja pejabat dan rumah. Mereka tidak sihat secara fizikal dan mental. Kepenatan, stres dan sedikit sebanyak tekanan menyebabkan mereka merasa kesakitan belakang lebih daripada orang biasa.
"Kerja mengangkat (heavy lifting ) yang jarang dilakukan mencetus lumbago (severe low back pain) kerana teknik yang salah dan kelemahan fizikal," ujarnya.
Dalam pada itu, 10 peratus yang lain menghidap sakit belakang yang asli dengan perubahan dikesan dalam X-Ray dan MRI.
Tambah Dr. Kok Chun, kebanyakan mereka mengalami masalah kemerosotan struktur tulang rawan tulang belakang yang dikenali sebagai degenerative disk disease, dan kadang kala slip disk ( prolapse Intervertebral disk).
"Disk adalah tulang rawan di antara segmen-segmen tulang belakang. Ia terdiri daripada tisu serat annular fibrosus yang mengelilingi tisu gelatin nucleus pulposus di tengah-tengah.
Disk berfungsi sebagai penyerap hentakan dan membolehkan mobiliti tulang belakang. Ia merosot dengan umur iaitu disk kehilangan kelembapannya. Ini boleh dikesan dengan MRI.
"Harus diingatkan bahawa bukan semua disk yang merosot menyebabkan sakit belakang," katanya.
Ini kerana slip disk berlaku apabila disk yang merosot, menonjol dan menekan atas saraf tunjang. Tanda-tandanya adalah sakit belakang yang diiringi oleh sakit menuju ke kaki dan bawah paras lutut (sciatica ).
Biasanya ia berlaku tiba-tiba apabila tunduk mengangkat benda berat. Kemudian, sakit belakang reda dalam masa dua hingga tiga minggu semasa sakit menuju ke kaki semakin bertambah.
"Bertambahnya tekanan axial (paksi) atas tulang belakang semasa mengangkat berat menyebabkan gelang annular fibrosus meletup (sakit belakang) sehingga mengeluarkan bunyi 'pop'. Ini diikuti gelatin daripada nucleus pulposus secara beransur-ansur terlepas keluar dan menekan atas saraf tunjang (sakit saraf sciatica menuju ke kaki)," katanya.
READ MORE - Rawatan tanpa pembedahan

Pil perancang tanpa estrogen


RAMAI wanita hari ini, sama ada suri rumah atau berkerjaya, menjalani kehidupan yang sibuk dan sangat mencabar.
Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Dr. Jamiyah Hassan, senario tersebut menyebabkan wanita terlupa memakan pil tepat pada waktunya atau terlupa memulakannya semula selepas hari-hari bebas pil.
Kini, dengan pelancaran Cerazette, wanita diberi suatu lagi pilihan pencegah kehamilan yang melebihi 99 peratus keberkesanannya namun tetap sesuai bagi wanita yang tidak ingin, tidak boleh atau tidak sepatutnya memakan estrogen. Itulah mesej utama yang disampaikan semasa pelancaran Cerazette baru-baru ini.
Cerazette bertindak seperti pil perancang gabungan (combined oral contraceptive atau COC), iaitu menghalang ovulasi (pelepasan telur) dan juga memekatkan mukus serviks1.
Dalam kajian klinikal, Cerazette berjaya meringankan atau tidak menimbulkan kesan-kesan sampingan yang terkait dengan estrogen seperti sakit kepala dan payu dara serta loya-loya.
"Pil ini pilihan yang sesuai bagi wanita yang menyusukan bayi, perokok, wanita yang obes dan menghidap migrain serta hipertensi," jelas Pengerusi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, University Hospital Basel, Switzerland, Profesor Dr. Johannes Bitzer, yang hadir semasa majlis pelancaran tersebut.
Memilih kaedah perancang keluarga adalah pilihan peribadi dan patut dibuat dengan pengetahuan dan pemahaman yang mencukupi supaya pilihan serasi dengan badan, sejarah perubatan dan gaya hidup seseorang.
Untuk mendapatkan maklumat selanjutnya tentang Cerazette, jumpalah pakar sakit perbidanan dan sakit puan yang berdekatan.
READ MORE - Pil perancang tanpa estrogen

Risiko mewarisi kanser rahim


IBU saya baru dikesan ada sel kanser di bahagian endometrium (dinding rahim). Atas nasihat doktor dia telah menjalani pembedahan untuk membuang keseluruhan bahagian rahim termasuk ovari dan pangkal rahim. Soalan saya apakah rawatan susulan untuk penyakit ini dan adakah ia disebabkan keturunan?
* Terima Kasih,
Ingin Tahu, Kuala Lumpur.
JAWAPAN
Kes kanser rahim di Malaysia tidak setinggi di Barat. Di Amerika Syarikat, kanser rahim yang paling utama selepas kanser payu dara. Di Malaysia, kes kanser rahim adalah paling tinggi dalam kalangan wanita yang berusia 60 hingga 69 tahun.
Kanser rahim merujuk kepada kanser yang terjadi atau berasal daripada bahagian badan rahim. Terdapat dua bahagian utama badan rahim iaitu selaput dinding rahim ataupun endometrium dan dinding rahim yang terdiri daripada tiga lapisan otot dan stroma.
Kanser rahim terbahagi kepada beberapa kumpulan berdasarkan asal usul kanser itu, iaitu kanser yang berasal dari selaput dinding rahim dinamakan kanser endometrium, kanser yang berasal daripada otot dinding rahim dinamakan leiomiosarkoma, kanser yang berasal daripada kedua-dua komponen selaput dan dinding rahim dinamakan karsinosarkoma dan kanser daripada stroma selaput rahim dinamakan endometrial stroma sarkoma.
Kejadian kanser endometrium mempunyai kaitan yang rapat dengan peredaran serta aras hormon wanita yang dipanggil estrogen. Wanita yang mempunyai aras hormon estrogen tinggi sama ada diperolehi dari dalam badan mereka sendiri atau ubat-ubatan yang diambil boleh terdedah kepada kanser endometrium.
Memang benar kanser endometrium juga berkaitan dengan keturunan. Faktor-faktor risiko lain terjadinya kanser endometrium adalah kegemukan. Wanita gemuk mempunyai simpanan hormon estrogen yang tinggi terutama di lapisan lemak badan. Wanita yang sukar mendapatkan anak atau mandul, yang menghidap penyakit hipertensi, diabetes mellitus selain mengambil ubat hormon Tamoxifen untuk rawatan kanser payu dara juga berisiko menghidap kanser endometrium.
Bagaimanapun manfaat yang diperolehi daripada mengambil ubat ini lebih besar daripada mudarat kemungkinan menghidap kanser rahim dan juga wanita yang mengambil hormon estrogen yang berpanjangan.
Wanita yang putus haid (menopaus) perlu mengambil hormon estrogen untuk memulihkan kesihatan badan mereka dan meningkatkan kualiti hidup. Sekiranya mereka masih lagi mempunyai rahim, hormon estrogen ini perlu diambil bersama hormon progesteron. Kadar kejadian kanser rahim akan menjadi tinggi sekiranya mereka mengambil hormon estrogen sahaja. Oleh itu, wanita yang ingin mengambil hormon selepas putus haid perlu mendapat pandangan daripada Pakar Sakit Puan.
RawatanSyukur Alhamdulillah kerana penyakit kanser ibu anda masih di peringkat amat awal. Pembedahan untuk membuang keseluruhan bahagian rahim termasuk ovari dan pangkal rahim dan mungkin kelenjar limfa bukan sahaja penting untuk menentukan peringkat kanser endometrium bahkan mengurangkan masalah pendarahan yang dialami oleh pesakit.
Doktor yang membedah akan menentukan sama ada pesakit itu perlu mengambil rawatan adjuvan ataupun tidak. Rawatan lanjut yang dimaksudkan adalah rawatan adjuvan radioterapi dan hormon. Ia untuk mengesan sel-sel kanser yang tertinggal selepas pembedahan dan seterusnya mengurangkan kemungkinan kanser berulang. Setelah wanita tersebut selesai menjalani rawatan sama ada pembedahan sahaja ataupun pembedahan dan radioterapi, rawatan susulan seterusnya adalah sangat penting.
Rawatan susulan bagi kanser ini lebih kurang sama dengan kanser lain iaitu dalam masa tiga hingga empat bulan sekali dalam dua tahun yang pertama dan selepas itu enam bulan ke setahun sekali untuk tahun berikutnya.
READ MORE - Risiko mewarisi kanser rahim

Melatah berkaitan dengan emosi



Tabiat melatah lebih kerap berlaku di kalangan masyarakat Melayu. - Gambar hiasan
MELATAH didefinisikan sebagai satu fenomena tingkah laku dikaitkan dengan kaum tertentu di Asia Tenggara khususnya kaum Melayu.
Berlaku kebanyakannya di Asia Tenggara terutama di Malaysia, Singapura dan Indonesia, tingkah laku melatah ini dikatakan tidak ketara (mungkin ada) di negara-negara Eropah kerana tidak 'digalakkan' oleh masyarakatnya.
Ini kerana bagi mereka fenomena tersebut dianggap pelik atau seperti satu jenis penyakit.
Tingkah laku melatah bukan satu perbuatan yang dibuat-buat, sebaliknya, ia berlaku spontan kerana sudah tertanam dalam diri individu berkenaan.
Namun sekiranya pada permulaan seseorang itu melakukannya secara berulang kali, lama-lama ia akan menjadi satu kebiasaan iaitu tingkah laku yang akan dilakukan berulangan.
Ini bermakna ia satu situasi yang sukar untuk ditinggalkan apabila tingkah laku baru (perkara yang menjadi kebiasaan) mengambil tingkah laku lama dan perkara itu akan dilakukan berulangan.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman, individu yang melatah suatu waktu dahulu (kira-kira 20 hingga 30 tahun sebelum ini) khususnya di negara ini, mereka menjadi tumpuan hiburan terutama di majlis-majlis keramaian.
"Individu yang melatah suatu waktu dahulu boleh dijadikan sebagai 'kerjaya' kerana mereka diundang ke majlis-majlis untuk memeriahkan suasana keraian.
"Mereka diundang atas fungsi tertentu dan ada peranan dalam masyarakat sebagai penghibur, khususnya di kawasan luar bandar," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Dr. Daniel Zainal berkata, fenomena melatah ini dari segi statistiknya melibatkan 80 hingga 90 peratus daripadanya adalah golongan wanita yang telah agak berumur.
Katanya, dari segi aspek psikologi, orang melatah ini sebenarnya ada ciri personaliti tertentu iaitu neurotik.
"Biasanya dari aspek peribadi, individu yang suka mendapat perhatian dan menonjolkan diri seperti terlibat dalam bidang seni adalah antara mereka yang suka melatah.
"Selain itu mereka yang tergolong dalam perlakuan ini dianggap mempunyai personaliti yang celaru, resah atau darah gemuruh, cepat terkejut dan lemah semangat (easily hyperstartle response) termasuk apabila melihat berita yang menggerunkan serta mudah mendapat serangan panik (panic attack)," katanya.
Melatah juga katanya, dikaitkan dengan faktor genetik turun-temurun dalam keluarga kerana ia ada unsur berjangkit.
Mungkin bukan daripada ibu atau bapa yang melatah tetapi pak cik atau mak cik yang melatah juga dapat dijangkiti oleh anak saudara mahupun cucu mereka.
Ahli keluarga terdedah kepada tingkah laku melatah sekiranya mereka berdepan dengan masalah psikologi. Ia juga boleh dikaitkan dengan aspek keturunan dan persekitaran yang mendorong kepada berlakunya keresahan, kesedihan dan kecenderungan mewarisi personaliti cepat gemuruh.
Menurut Dr. Daniel Zainal, perilaku melatah sepatutnya tidak lagi digalakkan dalam masyarakat sekarang kerana ia boleh menjejaskan harga diri si pelatah.
Malah ketika situasi latah sedang berlaku, orang di sekeliling boleh meredakan si pelatah dengan menenangkan dirinya.
Caranya ialah dengan menampar bahu si pelatah lalu mengajarnya mengucap dan beristighfar beberapa kali sehingga fikirannya kembali tenang dan tenteram.
"Orang melatah ini sebenarnya tidak suka dijadikan bahan ketawa dan ia boleh menyebabkan mereka rasa tertekan. Orang melatah akan memberi hiburan kepada orang lain tetapi pada dirinya ia rasa tidak elok, selain mengundang panik di kalangan awam dan menyebabkan kejatuhan harga diri," katanya.
Dari aspek pengurusan katanya, jangan galakkan ahli keluarga mengusik individu yang ada ciri-ciri melatah jika mereka tahu seseorang itu berpotensi untuk melatah.
Juga jangan tambah usikan berkenaan sekiranya si pelatah sedang melatah sehingga menyebabkan proses berkenaan berlarutan.
Jelas Dr. Daniel Zainal, tiada sebarang ubat untuk merawat latah, namun ia boleh dikawal menerusi sesi kaunseling psikoterapi perkara-perkara yang boleh menjadi pencetus kepada latah yang berhubung dari aspek kognitif dan tingkah laku.
"Ketika melatah, individu ini seolah-olah terpisah dari alam sekeliling, tidak sedar apa yang berlaku yang membentuk keadaan trance state (di bawah sedar). Pada ketika ini tahap kesedarannya amat rendah bagaikan bermimpi, ralit atau seolah-olah dipukau seperti yang berlaku pada pengangkat kavadi ketika Thaipusam, pemain wayang kulit, penari kuda kepang dan sebagainya," katanya.
Menurut Dr. Daniel Zainal lagi, individu yang melatah boleh menggunakan cara hipnosis untuk menyelami keadaan di bawah sedarnya yang menyebabkan punca-punca berlakunya latah.
" Minda manusia terdiri daripada pemikiran sedar (12 peratus) dan pemikiran di bawah sedar (88 peratus). Justeru kaedah hipnosis ini akan mencungkil kisah lalu pengalaman di bawah sedarnya yang mempengaruhi tabiat melatahnya.
"Ini kerana emosi seseorang dipengaruhi dengan apa yang berlaku kepada individu tersebut lama dahulu, ia seolah-olah data yang tersimpan dalam pemikiran minda tidak sedar," katanya.
Menurut beliau, individu yang melatah ini juga perlu belajar teknik pernafasan yang betul seperti senaman yoga atau berzikir untuk menangani masalah ini.
Namun katanya, fenomena melatah ini semakin berkurangan di negara ini khususnya di majlis-majlis keraian kerana persekitaran yang masyarakat tidak lagi menggalakkan perlakuan berkenaan.
"Ramai masyarakat sekarang sudah tidak 'menggalakkan' perlakuan melatah ini. Sekiranya mereka tahu individu berkenaan melatah, mereka tidak akan cuba mengusiknya.
"Bahkan generasi muda mungkin ramai yang tidak tahu apa itu melatah kerana sudah jarang terlihat dalam masyarakat sekarang," katanya Dr. Daniel. - Rosmah Dain
READ MORE - Melatah berkaitan dengan emosi

Atas nama cinta


ATAS nama cinta, hati ini tak mungkin terbagi, sampai nanti bila aku mati, cinta ini hanya untuk engkau.
Atas nama cinta, ku relakan jalanku merana, asal engkau akhirnya denganku, ku bersumpah atas nama cinta".
Cinta mempunyai pelbagai tafsiran. Lirik lagu "atas nama cinta" nyanyian penyanyi Rossa di atas adalah satu contoh bagaimana cinta ditafsirkan dalam bentuk sumpah setia dan pengorbanan.
Benarkah begitu? Cinta adalah pertautan emosi yang berlaku di dalam satu hubungan interpersonal lelaki dan perempuan.
Jatuh cinta adalah normal dan ia sebahagian daripada kehidupan. Bercinta tidak salah asalkan tidak menyimpang daripada landasan agama, moral dan tatasusila budaya.
Dalam proses mencari cinta manusia sering bertemu dengan pelbagai pilihan. Pelbagai pepatah dan ungkapan tercipta.
Ada yang kata mencari cinta bagaikan membeli kasut. Pada mulanya mencari kasut yang cantik dipandang tetapi akhirnya memilih kasut yang selesa dipakai.
Hakikatnya, apa yang dicari tidak lebih daripada satu hubungan yang bahagia. Ia menjadi asas kepada kesejahteraan emosi. Cinta juga berevolusi untuk matang. Mari lihat bagaimana proses ini berlaku.
Pada peringkat awal, pasangan bercinta akan mengalami perasaan yang sangat indah dan berbunga-bunga. Semua kelihatan begitu sempurna tanpa sebarang cacat-cela.
Namun begitu, apabila hubungan tersebut mencapai tempoh tertentu, mereka mula sedar tentang wujudnya perbezaan pendapat di antara mereka.
Bagaimanapun, mereka menafikan kewujudan perbezaan tersebut. Ada pihak yang mengalah walaupun dengan perasaan tidak puas hati. Mereka terus hanyut dibuai asmara dengan harapan keadaan ini akan kekal selamanya.
Masa yang berlalu mendedahkan lebih banyak ketidakserasian.
Mereka kekal dengan cara yang sama, malah tidak pernah menyuarakan hasrat untuk berbincang. Ini disangka untuk mengelakkan perbalahan.
Akibatnya tiada sebarang jalan penyelesaian diperolehi. Perasaan tidak puas hati akhirnya memuncak dan hubungan tersebut mula renggang dengan sendirinya. Tiada lagi keindahan, yang tinggal adalah "jiwa kacau" dan "merana".
Menilai makna cintaHanya ada dua pilihan. Sama ada membiarkan ia berakhir dengan perpisahan atau memulihkan semula perhubungan.
Untuk itu mereka perlu tahu apakah makna cinta sebenar dan menilai sama ada elemen tersebut pernah hadir atau tidak dalam sejarah percintaan mereka.
Elemen paling penting adalah perasaan cinta itu sendiri yang perlu wujud antara satu sama lain. Cinta mungkin tidak pernah wujud sekiranya anda selalu merasa tidak selesa ketika bersama.
Pasangan yang bercinta perlu hormat menghormati antara satu sama lain. Mereka perlu sentiasa menutup keburukan pasangan dan tidak merendah-rendahkan maruah diri antara satu sama lain.
Pasangan bercinta perlu saling memberi dan menerima. Pemberian tidak semestinya dalam bentuk hadiah atau wang ringgit sahaja.
Ia semudah membiarkan pasangan membuat keputusan dalam perkara seharian seperti memilih restoran makan malam atau menentukan tempat percutian.
Cinta memerlukan keserasian pemikiran, personaliti dan seksual. Pasangan perlu mampu meluahkan perasaan secara terbuka di antara satu sama lain. Malah adakalanya perlu tidak merasa malu untuk menangis.
Cinta memerlukan kepercayaan. Kepercayaan biasanya terhakis apabila berlakunya kecurangan.
Ini akan menyebabkan pasangan lebih berhati-hati dan kadangkala menjadi cemburu buta. Percayalah, apabila luka tersebut semakin sembuh, kepercayaan akan kembali.
Cinta juga memerlukan kemaafan dan keikhlasan. Setiap manusia pernah tersilap tetapi bukan bermakna mereka tidak boleh insaf dan berubah.
Pasangan yang tidak mampu memaafkan akan menyimpan dendam dan mudah mengungkit kisah lama dalam pertikaian kecil sekalipun.
Jangan khianati kemaafan dan peluang kedua yang diberi.
Cinta memerlukan kesetiaan dan pengorbanan. Ia perlu dibuktikan untuk membangkitkan perasaan dihargai.
Berkorban tidak bermaksud menyerahkan semua yang kekasih minta. Ingat, cinta sejati tidak merosakkan diri atau menghabiskan wang ringgit.
Cinta tidak membenarkan sebarang bentuk penderaan dan ketagihan. Ini kerana tiada gunanya bercinta sekiranya anda menderita ketiadaan wang atau ditinggal keseorangan oleh pasangan yang ketagihan judi atau dadah.
Buatlah pertimbangan dengan bijak. Perbetulkan makna cinta anda dan jangan sampai tersalah langkah.
READ MORE - Atas nama cinta

Selamatkan si comel!


SERING kali kita dengar bayi meninggal dunia akibat tercekik susu dan ada akibat kelemasan ketika dimandikan.
Bayangkan bayi yang dikandung selama sembilan bulan dan baru saja mahu diwarnakan hidupnya pergi begitu saja akibat kesesakan nafas.
Memang benar, semua itu sudah tersurat. Namun pasti terasa ralat jika anak kecil itu meninggal dunia di pangkuan kita tanpa kita berusaha untuk menyelamatkannya.
Hakikatnya, kita diberi peluang selama empat minit untuk menyelamatkan nyawa mereka yang kesesakan nafas tidak kira bayi, kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Dalam tempoh empat minit saja, nyawa akan melayang akibat kerosakan di otak kerana kehilangan oksigen.
Dalam tempoh sesingkat itu juga, belum tentu bantuan paramedik akan sempat sampai.
Bersediakah kita melakukan pertolongan cemas pemulihan pernafasan dan jantung atau lebih dikenali sebagai kardiopulmonari pernafasan (CPR) andai berdepan dengan situasi sebegitu.
Kita semua berharap tidak berada di situasi cemas menyelamatkan nyawa terutamanya bayi tetapi ia boleh berlaku kepada sesiapa saja.
Bayi boleh tercekik susu, makanan dan mainan, tergelincir ke dalam air ketika berada di dalam tab mandi atau kolam, malah terjerut tali langsir atau wayar.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Klinik Medijaya, Dr. Low kok Thye yang menganjurkan Bengkel CPR untuk Kanak-Kanak dan Bayi baru-baru ini berkata, asas latihan pertolongan cemas berkaitan amat penting terutamanya kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak.
"Kes kematian mengejut bayi dan kanak-kanak sering dipaparkan di dalam akhbar baru-baru ini akibat kesesakan nafas.
"Kami percaya dengan sedikit latihan asas, ibu bapa serta penjaga dapat memberi bantuan ketika saat genting sebegitu dan memberi peluang yang mungkin kecil tetapi amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa mereka.
"Seharusnya, bengkel sebegini diwajibkan untuk ibu, bapa serta penjaga terutamanya pekerja pusat penjagaan bayi dan kanak-kanak.
"Mereka yang berada paling dekat dengan mangsa dan usaha mereka mungkin dapat menyelamatkan nyawa," ujarnya yang menganjurkan bengkel tersebut di Centro Mall, Klang, baru-baru ini.
Menurut Pegawai St John's Ambulance, ,Tan Yeong Kwan, tercekik diakibatkan oleh benda asing tersengkang di dalam tekak atau berlaku kekejangan otot yang menyekat saluran pernafasan.
bayi boleh tercekik susu apabila tertidur semasa sedang menghisap botol susu, susu tersebut akan terus mengalir membuatkan bayi akan tersedak dan susu tersebut akan masuk ke saluran pernafasan.
Jika bayi secara tiba-tiba tidak mampu menangis atau batuk, sesuatu mungkin menghalang laluan pernafasannya.
Dia mungkin akan mengeluarkan bunyi pelik atau tiada langsung sambil membuka mulutnya dan kulitnya bertukar merah terang atau kebiruan.
Dapatkan bantuan dan cuba membantunya melancarkan pernafasan.
Jika mangsa tidak sedarkan diri pula, bantuan CPR perlu dilakukan dengan segera sebelum otak terjejas akibat kehabisan oksigen.
READ MORE - Selamatkan si comel!

Kanser boleh diubati


SEBUT saja kanser semua pasti gerun dan terbayang rawatan kemoterapi dan radioterapi. Apa menyebabkan kanser dan bagaimana kita mendefinisi penyakit kanser. Pakar Runding Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Muhammad Azrif Ahmad Annuar berkata, kanser adalah penyakit ketumbuhan yang bermula dengan sel normal.
"Tetapi disebabkan bahan karsinogen, sel normal mengalami mutasi atau perubahan genetik.
"Sel normal yang membiak tanpa kawalan atau benign tidak membiak dengan laju dan tidak merosakkan tisu keliling," katanya.
Bagaimanapun ketumbuhan boleh menjadi malignant yang membentuk kanser dan boleh merosakkan tisu dan merebak ke tulang, darah, paru-paru, hati dan otak.
Sel 'superman' ini, kata Dr. Azrif mulanya normal kemudian bermutasi menjadi sel kanser yang mempunyai kuasa untuk merebak ke bahagian lain.
"Misalnya kanser paru-paru bermula daripada lapisan paru-paru yang penuh dengan bebola kecil di mana udara masuk ke permukaan.
"Asap rokok yang masuk ke paru-paru membawa lebih 200 bahan karsinogen yang menyebabkan sel normal cedera dan rosak," katanya.
Biasanya badan dapat membunuh sel rosak tetapi ada kalanya sel yang rosak tidak dapat diperbaiki. Sel badan yang didedahkan dengan bahan karsinogen secara berterusan akan bermutasi, masuk ke dalam saluran darah dan merebak ke bahagian lain.
Dr. Azrif berkata, kanser merupakan penyakit biasa di negara ini. Biasanya wanita lebih cenderung mendapat kanser payudara, kolorektor dan serviks manakala lelaki pula dengan kolorektor, paru-paru dan prostat.
Kenapa kanser payudara terletak nombor satu? Apabila wanita didiagnosa pada usia 40 atau 50 tahun risiko kanser payudara lebih tinggi pada kaum Cina berbanding Melayu dan India.
Risiko kanser payudara juga rendah jika perempuan bersalin banyak kali pada usia muda dan menyusukan anak.
Interaksi dengan alam sekitar, gaya hidup, pencemaran dan bahan makanan boleh menyebabkan kanser. Setiap manusia mempunyai metabolisme yang berlainan menyebabkan cara memecahkan penyakit juga berbeza.
Terdapat lebih 200 jenis kanser manakala kanser yang jarang ditemui di negara ini adalah kanser kulit melanoma dan kanser pankreas.
Kanser pankreas sukar dikesan kerana terletak di belakang perut. Kedudukannya yang terlindung, tidak mempunyai saraf menyebabkannya sukar dikesan dan hanya dikesan selepas merebak ke tempat lain seperti hati dan paru-paru.
Kanser pankreas peringkat 1 biasanya boleh dibedah dan dibuang tetapi selepas lima tahun biasanya hanya 20 peratus saja masih hidup. Pengesanan awal memberikan peluang pesakit kanser hidup lebih lama.
"Punca kanser pankreas masih belum diketahui dan paling sukar dikesan kerana tiada ujian pengesanan awal," katanya.
Kanser pankreas tidak seperti kanser payudara yang boleh dikesan melalui mamogram, serviks dengan pap smear.
Risko kanser boleh dikurangkan dengan pengesanan awal, gaya hidup sihat, berat badan ideal, diet sihat dan senaman.
Rawatan kanser terbahagi kepada dua iaitu radioterapi hanya kawasan sasaran dan kemoterapi seluruh badan.
Bagaimanapun disebabkan kesedaran kanser, angka kematian akibat kanser pada akhir 1990an rendah berbanding 10 hingga 15 tahun lalu.
"Kini dua pertiga pesakit kanser dapat disembuhkan dengan pengesanan awal dan rawatan," katanya. Bagaimanapun golongan warga emas dan pesakit kencing manis dan darah tinggi berisiko mendapat kanser.
READ MORE - Kanser boleh diubati

Uji tahap pendengaran anda


Andrew Campbell sedang menunjukkan demo ujian pendengaran yang hanya mengambil masa lima minit.

KAJIAN menunjukkan 60 peratus orang yang berusia lebih 60 tahun mengalami masalah kehilangan pendengaran.
Menurut Pakar Pendengaran di Bay Audio Malaysia, Andrew Campbell, rakyat Malaysia dan penduduk di Asia kurang mengutarakan masalah pendengaran berbanding di Australia.
"Lebih kurang 20 peratus pesakit yang mengalami kehilangan pendengaran akan mencari penyelesaian untuk masalah mereka. Di Malaysia, dianggarkan hanya lebih kurang 0.5 peratus akan melakukan demikian, mungkin disebabkan kurang maklumat di mana untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui di Bay Audio, The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Pendengaran sihatTambah Andrew, bunyi diukur dalam unit desibel. Bunyi dari peti sejuk ialah 45 desibel, perbualan biasa adalah kira-kira 60 desibel, dan bunyi bising dari lalu lintas bandar yang sibuk boleh mencapai 85 desibel.
"Sumber bunyi yang boleh menyebabkan hilang pendengaran akibat bunyi bising termasuklah daripada bunyi motosikal, mercun, dan senjata api, yang menghasilkan kekuatan bunyi daripada 120 hingga 150 desibel," ujarnya.
Sementara itu, pendedahan yang lama atau berulang-ulang terhadap bunyi pada atau melebihi 85 desibel boleh menyebabkan masalah hilang pendengaran.
Semakin kuat bunyi, semakin cepat masalah hilang pendengaran akibat bunyi bising berlaku.
"Bagaimanapun, bunyi yang kurang daripada 75 desibel, walaupun selepas pendedahan yang lama, tidak akan menyebabkan kehilangan pendengaran," katanya.
Ukuran bunyiAndrew menjelaskan, pendengaran diukur pada tahap kebolehan seseorang mendengar bunyi paling perlahan yang boleh didengar. Nada bunyi diukur dalam hertz dan kekuatan bunyi diukur dalam bentuk desibel iaitu daripada 0 ke 140 desibel.
"Kami telah mencipta alat pemeriksaan pendengaran berinovatif untuk membantu pelanggan menguji keadaan pendengaran mereka dalam masa lima minit sahaja melalui skrin sentuh yang mudah.
Ujian pendengaran dijalankan dengan peralatan skrin sentuh selama lima minit menggunakan iPad dan penutup telinga gred 5 (yang digunakan untuk paras kebisingan dalam persekitaran umum). Keputusan ujian ini membantu kami mengenal pasti jika seseorang itu mengalami masalah pendengaran yang ringan, sederhana atau teruk," katanya.
Katanya lagi, berdasarkan keputusan, pelanggan diminta berjumpa pakar pendengaran sekiranya perlu untuk melakukan ujian pendengaran penuh dalam bilik kedap bunyi.
"Periksalah pendengaran anda. Mungkin anda mengalami masalah pendengaran tanpa anda sedari. Justeru, ujian seperti ini membantu memperbaiki kesihatan pendengaran," ujarnya.
READ MORE - Uji tahap pendengaran anda

Pil perancang untuk cantik?


JAWAPAN
Rupa-rupanya pil perancang kehamilan diamalkan untuk mendapatkan kulit yang cantik dalam kalangan anak gadis kita. Sudah tentu mereka perlu mengambilnya untuk jangka masa lama.
Tindakan sebegini bukanlah langkah yang bijak jika tujuan utama pengambilan pil tersebut hanyalah untuk kelihatan cantik dan mempunyai kulit yang licin, mulus serta berseri tanpa jerawat.
Fungsi utama pil perancang kehamilan adalah untuk menjarakkan kehamilan. Ia bertindak menghalang proses ovulasi dan menjadikan seseorang wanita tidak subur.
Di samping itu, ia juga merencatkan pertumbuhan lapisan dalam rahim (endometrium) yang akan meluluh atau gugur menghasilkan darah haid. Darah haid sememangnya dijangka menjadi sedikit berbanding sebelumnya, lebih teratur serta bilangan harinya lebih pendek. Pengambilan pil ini sesuai untuk wanita yang mengalami pendarahan haid yang banyak yang boleh mengakibatkan kekurangan darah (anemia). Dari sini jelas bahawa pil perancang kehamilan ini dapat menghalang ovulasi dan juga mengurangkan pendarahan haid dan memendekkan tempoh bagi wanita yang mengalami pendarahan haid yang banyak dan berpanjangan. Pada masa sama, ia juga dapat menjadikan kitaran haid lebih teratur.
KesihatanPenggunaan pil perancang kehamilan menjamin mutu kesihatan wanita. Apabila wanita dapat merancang keluarga dengan baik, ia menyumbang kepada kurangnya kadar kematian bayi, mengelakkan gangguan haid dan pada masa sama, masalah kulit juga dapat diatasi.
Penggunaan pil perancang kehamilan ini juga menyelamatkan wanita dalam banyak perkara terutama kesihatan wanita ketika hamil. Ketika hamil, banyak risiko dihadapi wanita seperti kandungan yang tidak diingini, bayi mati dalam kandungan, gejala berkaitan sista ovari, barah dan sebagainya.
Dengan pengambilan pil perancang kehamilan, wanita mungkin dapat mengelakkan daripada mengalami gejala berkaitan dan kesihatan mereka juga terpelihara daripada penyakit berkenaan.
READ MORE - Pil perancang untuk cantik?

Penjagaan pesakit diabetes


Obesiti antara penyumbang kepada peningkatan risiko diabetes.
KALAU dulu sebut pasal diabetes atau kencing manis kurang menimbulkan rasa cemas kerana belum ramai yang menghidapinya.
Tapi kini, penghidap penyakit berbahaya itu di negara ini telah meningkat seramai 2.6 juta orang.
Trend yang membimbangkan itu dikenal pasti menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011.
Berdasarkan laporan itu diabetes kini kekal sebagai cabaran kesihatan yang paling besar.
Sama ada mahu percaya atau tidak, kiraan purata menunjukkan seorang daripada tujuh rakyat Malaysia menghidapinya. Tapi bukan setakat di Malaysia sahaja, insiden penghidap penyakit itu sebenarnya makin meningkat di seluruh dunia.
Statistik yang merisaukan itu menyebabkan DiabCare Malaysia merangka Prosiding Pelan Perubahan Diabetes Kebangsaan (NDCP), untuk menggaris satu pelan tindakan bagi meningkatkan tahap penjagaan diabetes di Malaysia.
Penyelidik utama DiabCare, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed berkata , daripada 1,600 pesakit diabetes di hospital kerajaan yang terlibat dalam kajian berkenaan, hanya 22 peratus mencapai sasaran gula dalam darah.
"Sebanyak 75 peratus pesakit mengalami komplikasi mikrovaskular, 28.9 peratus komplikasi makrovaskular manakala 25.4 peratus mengalami komplikasi akhir yang teruk," ujar beliau pada sidang akhbar di Hospital Putrajaya, Putrajaya, baru-baru ini.
Beliau yang juga pengarah kampus dan profesor perubatan di Universiti Sains Malaysia berkata, kajian DiabCare itu dilakukan di lapan negeri dengan cara mengedarkan borang kaji selidik.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Endokrinologi Kementerian Kesihatan, Dr. Zanariah Hussein berkata, hasil perbincangan NDCP tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam Prosiding NDCP sebagai panduan untuk tindakan yang bakal diambil pada masa hadapan.
"Program yang digariskan dalam prosiding ini memerlukan gabungan usaha dan juga penyertaan daripada badan bukan kerajaan, organisasi profesional, pegawai klinik, paramedik, pembuat dasar dan sektor swasta.
"Kami sedang berusaha untuk menjadikan dokumen ini sebagai pelopor untuk pelan perubahan diabetes yang akan memberi panduan kepada semua ke arah mencapai tahap penjagaan pesakit diabetes yang lebih baik di Malaysia," jelasnya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kanan Kesihatan Awam, Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa pendekatan lebih serius dan agresif diperlukan untuk mengatasi cabaran penyakit ini.
Langkah tersebut katanya, dapat meningkatkan tahap penjagaan diabetes di negara ini pada masa depan.
"Kerjasama dengan pemegang kuasa dalam penjagaan primer (klinik) sekunder dan tertiari (hospital) dan penglibatan yang lebih daripada pesakit perlu diwujudkan," jelasnya.
Dalam pada itu NDCP ke-4 juga telah mengesyorkan satu rangka kerja berdasarkan lima strategi utama.
Kelima-lima strategi tersebut ialah, pengurusan klinikal diabetes, peningkatan komplian (kepatuhan) pesakit, tindakan bersama pertubuhan bukan kerajaan, badan profesional dan yang lain, pengawasan, penyelidikan dan pemantauan serta peningkatan kapasiti.
Menerusi lima strategi yang telah disenaraikan dalam prosiding NDCP peningkatan jumlah penghidap diabetes dijangka dapat diuruskan dengan lebih efektif.
READ MORE - Penjagaan pesakit diabetes

Bakar kalori di pejabat


ANDA pasti amat menyukai pekerjaan anda sekarang. Menarik, mendatangkan kepuasan dan mencabar. Namun ia juga mungkin bahaya terhadap tubuh badan anda.
Ruang pejabat yang kecil sememangnya bagus untuk mengurangkan pergerakan, tetapi ia juga menjadi punca berat badan senang bertambah.
Selain peningkatan berat badan, bekerja di pejabat turut menyebabkan rasa tegang pada bahagian belakang, pergelangan tangan, mata dan leher malah boleh menyebabkan stres.
Bagi melawan kesan buruk akibat rutin 9-5 ini - jawapannya adalah bersenam.
Berikut beberapa tip senaman yang boleh dilakukan secara senyap di pejabat, tanpa diketahui oleh bos anda.

1. Sementara menunggu mesyuarat awal pagi bermula, lakukan beberapa regangan badan dari kepala hingga ke kaki bermula dengan leher.
* Sengetkan kepala secara perlahan-lahan ke arah bahu. Tahan selama 10 saat dan tukar arah.
* Pusing kedua-dua belah bahu ke depan dan ke belakang sebanyak 10 kali.
* Regangkan tangan dengan tangan kiri menarik hujung jari tangan kanan dan tahan selama tiga saat. Lakukan pada sebelah tangan lagi.
* Dalam keadaan duduk, pusingkan pergelangan kaki sebanyak 10 kali.

2. Ketika menunggu salinan kerja di mesin fotostat, lakukan senaman kaki.
* Paut tangan pada mesin fotostat dan angkat kaki ke belakang atau tepi secara lurus dan tahan selama beberapa saat.
* Berdiri dengan sebelah kaki dan cuba menendang ke belakang ke arah punggung menggunakan tumit kaki sebelah lagi sebanyak 10 kali setiap kaki.

3. Rakan sekerja anda mungkin menyangka anda sedang tekun membaca laporan mesyuarat semalam tetapi apa yang mereka tidak tahu, anda sebenarnya juga sedang melakukan senaman bagi menguatkan abdomen sambil mengurangkan rasa lenguh pada otot kaki.
* Duduk dalam keadaan pinggang tegak pada kerusi anda, angkat sebelah kaki hingga ia sama tinggi dengan pinggang dan tahan selama 10 saat. Lakukan 15 kali setiap kaki.
* Sambil duduk, silangkan kaki lurus ke depan dan angkatnya. Tekan kaki atas ke bawah dan kaki bawah ke atas sehingga otot berasa lenguh.
* Berdiri tegak lalu rendahkan pinggang sehingga seinci dari kerusi dan berpura-pura sedang duduk. Tahan selama 10 saat dan berdiri tegak kembali.

4. Daripada menghantar e-mel atau menghubungi rakan sekerja yang berada di jabatan lain, apa kata anda merajinkan diri dengan berjalan ke arah mereka. Cuba untuk berjalan pantas dan elakkan lif.

5. Sediakan botol air minuman besar di meja anda dan minum sebanyak mungkin air kosong kerana ia dapat membantu usaha mengurangkan berat badan di samping lebih banyak kalori yang dibakar apabila anda kerap ke tandas.

6. Botol air turut boleh digunakan menggantikan dumbel bagi menguatkan tangan malah membentuk pinggang. Jika ada yang bertanya, terus membuka penutup botol lalu minum air di hadapan rakan sekerja anda.
* Duduk dalam keadaan tulang belakang tegak, pegang botol menggunakan tangan kanan dan angkatnya ke arah bahu. Lakukannya sebanyak 15 kali setiap tangan.
* Pegang botol dan bengkokkan tangan ke sisi lalu angkat ia ke atas.
* Pegang botol air pada paras dada dan pusing ke arah kanan sejauh yang mungkin lalu bawa ia kembali ke depan.
READ MORE - Bakar kalori di pejabat

Hilang kaki akibat diabetes


HUBUNGI doktor anda sekiranya timbul kudis-kudis di kaki yang tidak mahu sembuh dalam masa singkat ataupun masalah lain di kaki yang tidak mahu hilang. Doktor akan memeriksa kaki anda untuk mendiagnoskan penyakit dan memberikan rawatan sewajarnya. Pemotongan anggota merupakan satu komplikasi neuropati yang serius. Diabetes salah satu penyebab utama pemotongan kaki di seluruh dunia, iaitu sebanyak 50 peratus daripada jumlah pemotongan! Risiko pemotongan kaki adalah 27.7 kali lebih besar bagi penghidap diabetes.

Bagaimanakah Kerosakan Saraf Akibat Diabetes (Neuropati) Dirawat?
Langkah rawatan yang pertama adalah menurunkan paras glukosa dalam darah kepada tahap normal untuk membantu mencegah kerosakan saraf selanjutnya. Pemantauan kadar glukosa dalam darah, perancangan makanan, kegiatan fizikal dan mengambil ubat diabetes atau insulin akan membantu mengawal paras glukosa dalam darah.

Gejalanya mungkin jadi bertambah buruk apabila tahap glukosa dalam darah dikawal buat pertama kali, tetapi lama-kelamaan mengekalkan paras glukosa darah yang lebih rendah akan membantu mengurangkan gejala. Pengawalan glukosa dalam darah yang baik akan membantu mencegah dan melambatkan penularan masalah selanjutnya.

Saintis Jepun mendapati saraf yang rosak boleh dipulihkan semula dengan mengambil suplemen yang dikenali sebagai mecobalamin atau methylcobalamin iaitu bentuk Vitamin B12 yang aktif.
Mecobalamin - Vitamin B12 yang Aktif Untuk Pemulihan Semula Saraf
Dengan mecobalamin, hepar tidak perlu lagi menukarkan bentuk Vitamin B12 yang tidak aktif (cyanocobalamin) kepada mecobalamin kerana ia sudah pun aktif dari segi oral. Mecobalamin melindungi daripada penyakit neurologi (saraf) dan penuaan melalui satu mekanisme unik yang berbeza daripada terapi semasa. Sesetengah gangguan yang mungkin boleh dicegah atau dirawat dengan menggunakan terapi vitamin semulajadi ini termasuklah neuropati periferal. Ambil satu kapsul 500 mcg tiga kali sehari.

Anda Berisiko Akan Mengalami Neuropati Diabetes
1. Jika mempunyai paras gula dalam darah yang tinggi
2. Berat badan berlebihan
3. Kandungan lemak dalam darah tidak terkawal
4. Merokok
* Artikel ini disumbangkan oleh Live-well Nutraceuticals, untuk maklumat lanjut, sila rujuk ahli farmasi anda atau hubungi Live-well INFOline: 03-6142 6570 atau e-mail info@livewell2u.com.
READ MORE - Hilang kaki akibat diabetes

Kempen kesedaran kanser serviks


ANDA mungkin boleh menyediakan semangkuk mi segera dalam masa empat minit. Tetapi, sedarkah anda dalam tempoh sesingkat itu juga nyawa seseorang wanita di rantau Asia Pasifik akan melayang? Semuanya bahana kanser pangkal rahim yang meragut sejumlah 143,000 nyawa setiap tahun.
Dalam konteks dunia, sekurang-kurangnya 270,000 kematian ekoran kanser serviks dilaporkan setahun dengan sekitar 80 peratus berlaku di negara-negara membangun. Hanya 41 peratus daripada wanita negara membangun berpeluang mendapatkan rawatan seandainya mereka ingin terus hidup.
Kanser serviks merupakan kanser ketiga paling kerap menyerang wanita di Malaysia . Di seluruh dunia, ia kanser kedua paling kerap menyerang wanita dan mengambil nyawa seorang wanita setiap dua minit. Kanser serviks disebabkan jangkitan berterusan daripada virus biasa yang berjangkit iaitu Human Papillomavirus (HPV). Pelalian berserta pap smear boleh mengurangkan risiko kanser serviks.
Justeru, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bersama-sama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini menjadi hos Perlumbaan Go-Kart untuk Kebajikan - Power Over Cervical Cancer yang julung kali diadakan dan dihadiri lebih 120 orang.
MenyebarkanDisasarkan untuk menggalakkan semua teman baik (BFF) menyebarkan mesej berkenaan kanser serviks untuk mencegah penyakit tersebut, acara ini juga suatu inisiatif di bawah Kempen BFFs Break the Silence, fasa ketiga bagi POCC, sebuah inisiatif kesihatan masyarakat oleh NCSM dan disokong GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK).
Aktiviti ini adalah suatu inisiatif untuk menyemarakkan tema kempen ini - memandu go-kart, setelah anda berjaya mengawal pemanduan, anda sebenarnya berjaya merasai kuasa untuk melakukan kawalan.
Semasa perlumbaan go-kart berlangsung, pengunjung yang tidak terlibat dengan perlumbaan menyertai aktiviti lain di trek termasuklah kereta lumba kawalan jauh serta merakam video atau gambar mereka dengan BFF, sebagai tanda sokongan untuk melindungi.
NCSM turut menyediakan tapak pameran untuk sesiapa yang berminat mendapatkan maklumat lanjut tentang kanser serviks. Soal Selidik Risiko Kanser Serviks turut diadakan untuk menilai risiko seseorang mendapat penyakit tersebut dan telah disediakan untuk pengunjung pameran.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat tentang kanser serviks melalui laman web POCC www.pocc.com.my, laman Facebook POCC (POCC Malaysia) dan talian 1-800-22-POCC (7622).
READ MORE - Kempen kesedaran kanser serviks

Khasiat kurma Ajwa & madu Sidr



Pengarah Eksekutif Rasa Resources Sdn. Bhd., Abdullah Abdul Jalil menunjukkan madu Sidr asli.

ADAKAH berat badan anda berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Kedua-dua keadaan ini boleh berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadan. Namun lebih ramai yang cenderung menambah berat badan gara-gara membeli makanan tidak menilai keperluan tetapi lebih kepada selera.
Amalan pemakanan Rasulullah SAW iaitu dengan mengambil kurma dan madu sepatutnya menjadi contoh.
Menurut Pengarah Eksekutif pengedar utama kurma Ajwa dan madu Sidr asli, Rasa Resources Sdn. Bhd., Abdullah Abdul Jalil, kurma adalah makanan organik sempurna kerana ia sejenis buah yang mengandungi pelbagai mineral dan vitamin, kaya dengan antioksidan seperti beta-karotena, lutein dan zeaxanthin.
''Antioksidan mempunyai keupayaan untuk membantu melindungi sel dan struktur lain dalam tubuh agar bebas daripada radikal oksigen dan mencegah penyakit seperti kanser kolon, prostat, payu dara, endometrium, paru-paru dan pankreas," ujarnya.
Kurma Ajwa mempunyai fadilat seperti menguatkan urat perut, mengendurkan urat saraf dan melembutkan perangai.
Ajwa sejenis kurma lembut dan kering yang ditanam di kota Madinah. Dalam sejarah ada menyebut, kurma Ajwa yang pertama ditanam oleh Rasulullah SAW di tanah berhampiran Masjid Quba, Madinah.
DisembuhkanMenurut Abdullah, madu Sidr pula paling jarang ditemui dan mempunyai nilai yang tinggi.
"Ia memang sentiasa dicari oleh pencinta madu kerana rasanya yang unik di samping banyak faedah kesihatan," katanya.
Tambah Abdullah, madu ini daripada lebah yang hanya memakan bunga daripada pokok Sidr yang berasal dari Hadramaut, Yemen.
Ia cecair pekat yang telah menjadi sebahagian daripada perubatan tradisional bangsa Arab, Syria, Cina, Greek dan Rom kuno untuk merawat luka dan penyakit usus.
Tokoh perubatan Islam, Ibnu Sina turut menyenaraikan insomnia sebagai antara penyakit yang boleh disembuhkan melalui pengambilan madu .
Biarpun tidak terbukti secara saintifik bahawa madu dapat menyembuhkan insomnia, terdapat enam jurnal perubatan yang menggambarkan madu sebagai sumber yang mempunyai unsur antibiotik.
Dalam pada itu, Rasa Resources turut menerima tempahan hamper atau cenderahati kurma Ajwa dan madu Sidr sempena Ramadan dan hari raya yang akan tiba tidak lama lagi.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Sham dgn melayari www.rasaquest.com.
READ MORE - Khasiat kurma Ajwa & madu Sidr

Saturday, June 16, 2012

Ancam lelaki lewat usia


Chin Poon mendengar taklimat daripada Dr. Adel di pusat onkologi Pusat Perubatan Gleneagles Pulau Pinang.
KAJIAN menunjukkan lelaki sebenarnya terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan dan penyakit. Jangka hayat lelaki kurang lima hingga enam tahun daripada wanita. Lelaki yang berumur 45 hingga 54 tahun tiga kali ganda lebih kerap mati akibat serangan sakit jantung berbanding dengan wanita.
Kadar kematian atas sebab penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, penyakit buah pinggang, strok dan kanser di kalangan lelaki juga lebih tinggi.
Antara penyakit yang menjadi risiko utama kaum lelaki kini ialah pembesaran prostat (BPH) dan kanser prostat. Ia merupakan antara pembunuh utama golongan lelaki, tetapi masih ramai di kalangan mereka tidak memiliki kesedaran dan pengetahuan mengenai bahayanya.
Prostat sering dipandang remeh dengan alasan bahawa simptom-simptomnya hanya berkaitan orang tua.
Namun, kanser ini digeruni oleh golongan lelaki kerana ia menduduki tempat teratas dalam carta jenis-jenis kanser yang 'dibenci' lelaki.
Mengapa begitu? Ini kerana prostat yang disifatkan sebagai organ dalaman kaum Adam yang paling berharga mungkin hilang nilai kualitinya apabila ancaman kanser menyerang.
Purata umur kaum lelaki yang kebiasaannya dikenal pasti menghidapi kanser prostat adalah lebih kurang umur 68 tahun.
Bagaimanapun, disebabkan kelenjar prostat mengalami pengembangan dan perubahan dari tahap baligh lagi, adalah digalakkan agar lelaki berumur 50 tahun ke atas menjalani pemeriksaan saringan kanser prostat setahun sekali.
Bagi kaum lelaki yang mempunyai sejarah kanser prostat di dalam keluarga, mereka dinasihatkan supaya membuat saringan tersebut pada usia 45 tahun.
Prostat merupakan kelenjar di pangkal pundi kencing lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai uretra.
Saiznya sebesar kacang walnut sementara fungsinya adalah menghasilkan cecair yang beralkali untuk air mani.
Kanser Kanser prostat terjadi apabila sel-sel prostat mengalami mutasi dan bertambah tanpa terkawal. Pada peringkat awal, kanser prostat tidak menyebabkan apa-apa tanda yang ketara berbanding BPH.
Di Malaysia, kanser prostat mewakili 7.4 peratus daripada kes-kes kanser di kalangan lelaki. Terdapat sejumlah 735 kes yang dilaporkan dan didaftarkan, menjadikannya jenis barah keempat paling biasa di kalangan kaum lelaki. Lazimnya, kanser ini membesar dengan perlahan.
Kajian bedah siasat menunjukkan bahawa ramai lelaki berumur (dan kadangkala lelaki muda juga) yang mati akibat penyakit-penyakit lain, juga menghidapi barah prostat yang tidak pernah mendatangkan masalah semasa hayat mereka .
Menurut Pakar Radioterapi dan Onkologi, Datuk Dr. Adel Zaatar, apabila saiz prostat bertambah, ia akan menyebabkan tanda-tanda yang serupa dengan BPH seperti kesusahan keluar air kencing, aliran kencing yang lemah atau kencing kerap.
"Dalam pada itu, mungkin akan terdapat darah yang keluar bersama air kencing pesakit. Pada ketika ini, kanser prostat boleh dikesan secara pemeriksaan dubur kerana ciri-ciri strukturnya yang berbiji-biji kasar serta keras," ujarnya.
Pada peringkat akhir, sel-sel kanser prostat boleh merebak melalui aliran darah ke organ-organ lain seperti tulang, terutamanya tulang paha, serta ke paru-paru.
Seseorang pesakit akan mengalami sakit pada tulang serta masalah bernafas. Sekiranya tulang belakang juga terlibat, tekanan terhadap saraf tunjang akan menyebabkan seseorang itu lumpuh pada kedua-dua kaki.
Tambah Dr. Adel, kanser ini boleh dirawat secara pembedahan dengan mengeluarkan seluruh kelenjar tersebut (radical prostatectomy).
Berdasarkan prosedur ini, radioterapi (sinaran X) juga boleh digunakan untuk merawat kanser prostat dengan memusnahkan sel-sel kanser .
Ia juga digunakan untuk merawat mereka yang mempunyai sel-sel kanser yang telah merebak ke tulang paha dan tulang belakang.
"Rawatan perlu dilakukan awal sebelum simptom menjadi parah. Justeru itu, pemeriksaan awal tentang kanser ini perlu dilakukan awal khususnya golongan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas," katanya.
Dr. Adel menjelaskan, terdapat rawatan baru, Jevtana (cabazitaxel) yang digunakan bersama rawatan terapi hormon kanser prostat.
"Berbeza dengan ubat-ubat yang ada sebelum ini, ia menunjukkan kesan yang positif pada pesakit. Misalnya, pesakit lebih selesa selepas menjalani rawatan kimoterapi berbanding dahulu. Ini kerana kesan rambut gugur berkurangan dan pesakit boleh berjalan tanpa bantuan tongkat," ujar Dr. Adel.

READ MORE - Ancam lelaki lewat usia

Tanggungjawab bapa semakin mencabar

ADA yang menggelarkan bapa sebagai tukang serba-boleh, pelindung, pencari rezeki, penghibur dan wira dalam hidup anak-anak.
Ini menunjukkan peranan dan tanggungjawab bapa zaman kini semakin mencabar.
Mereka mempunyai peranan besar untuk membina keluarga bahagia dan secara tidak langsung anak-anak yang berjaya.
Itulah cabaran utama membesarkan dan mendidik anak-anak pada zaman serba moden dan dikelilingi teknologi maklumat yang tiada batasnya.
Bagi yang baru bergelar bapa, mereka akan seboleh mungkin meluangkan masa bersama anak. Persoalannya, adakah bapa-bapa pada hari ini boleh melakukannya?
Bagi pelakon dan pelawakHarith Iskandar, setiap masa yang dihabiskan bersama anak merupakan waktu terbaik berbanding masa dahulu,
"Apabila dia membesar, saya mahu menghabiskan masa bersamanya dengan bermain bola sepak, menonton perlawanan bola yang terbaik dan melakukan aktiviti yang menarik. Mungkin ramai yang tidak mengetahui, menjadi selebriti dan bergelar bapa amat sukar bagi saya. Saya mencari nama anak saya dalam Google selama tiga hari. Tetapi selepas saya menamakan bayi saya, orang lain di jaringan Internet lebih dahulu menguar-uarkan daripada saya. Sekarang anak saya adalah selebriti dan saya dan ibunya akan berada di belakangnya. Bahkan, dia jugalah pelakon komedi terbaik di rumah kerana dia sentiasa menghiburkan saya setiap hari," ujarnya pada majlis pelancaran kempen Oreo 'Ucapkan untuk Ayah' baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Smart Reader Worldwide Sdn Bhd, Dr. Richard Ong yang memiliki dua anak lelaki berusia 19 dan 23 tahun percaya, komunikasi antara bapa dan anak-anak sangat penting.
"Saya sangat percaya motivasi daripada ibu bapa menjadi inspirasi kepada anak-anak untuk berjaya apa yang mereka lakukan," katanya.
PerbincanganMenurut keputusan "Global Spirit of Childhood Report" Oreo dan Ipsos yang diumumkan pada Februari lalu, 48 peratus ibubapa Malaysia masa kini berasa bahawa mereka kurang menghabiskan masa bersama anak-anak berbanding zaman ibubapa mereka.
Pakar Psikologi, Dr. Goh Chee Leong, memberitahu, dengan mengimbangi waktu kerja dan masa untuk keluarga dan aktiviti kegemaran anak-anak, ia dapat membantu mengeratkan hubungan kasih sayang bapa bersama anak.
"Fakta ini dikenalpasti sebagai kebimbangan utama para bapa zaman moden ini. Bapa pada hari ini memainkan peranan penting untuk membantu dan membina keyakinan diri anak-anak. Tetapi saya melihat wujudnya perkembangan baik apabila bapa pada zaman sekarang sudah mula membantu isteri dalam hal menjaga anak-anak. Sebagai bapa, sudah pasti anda tidak boleh menyerahkan tugas menjaga anak seratus peratus kepada ibu mereka. Ini kerana anda juga penentu kebahagiaan dan kejayaan keluarga," katanya.
Dalam pada itu, Oreo ingin mengajak orang ramai menyertai kempen Oreo 'Ucapkan untuk Ayah' dari 4 Jun hingga 31 Julai depan. 100 ucapan paling menyentuh hati akan memenangi hadiah menarik bersama keluarga termasuk percutian istimewa ke Disney World Amerika Syarikat dan New York dan Disneyland Hong Kong. Untuk maklumat lanjut, layari www.oreo.com.my

READ MORE - Tanggungjawab bapa semakin mencabar

Nanas punca pendarahan rahim?


Assalamualaikum Doktor
SAYA mempunyai seorang teman yang sama-sama belajar di kampus suatu ketika dahulu. Masalahnya rakan saya apabila dia memakan nanas akan mengalami pendarahan. Baru-baru ini, dia sekali lagi mengalami pendarahan yang agak banyak selepas memakan nanas. Rakan saya telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan doktor yang merawatnya menyatakan bahawa dia akan mengalami masalah untuk mengandung apabila berkahwin kelak kerana rahimnya lemah. Saya mohon agar doktor menjelaskan perkara ini serta apakah rawatan yang perlu dilakukan oleh rakan saya bagi mengatasi masalah ini. Apakah beliau berpeluang untuk mengandung sekiranya masalah ini berlarutan. Saya mohon penjelasan dari doktor. Terima kasih.
Rakan Mahu Bantu Rakan
Terima kasih kepada adik yang sudi mengutarakan soalan yang menarik ini. Sangkaan berkaitan nanas menyebabkan pendarahan haid yang agak banyak adalah tidak tepat. Saya agak perkara ini berlaku secara kebetulan sahaja. Sebenarnya, nanas juga bukanlah penyebab pada keguguran, kalau janin dan ibu sihat.
Nanas atau nama saintifiknya Ananas comosus adalah sejenis tanaman tropika yang dipercayai berasal dari bahagian timur Amerika Selatan. Nanas tergolong dalam keluarga Bromeliaceae. Nanas sebenarnya bukan hanya buah yang sedap dimakan serta dijadikan jus minuman. Nanas juga kaya dengan kandungan mineral dan vitamin yang cukup tinggi. Ramai kalangan kita menggemarinya sebagai makanan pencuci mulut yang menyegarkan atau sayur sampingan (jelatah) selain dimakan dalam bentuk lain seperti jem nanas, halwa, jeruk dan biskut tat nanas. Bukan setakat itu saja, malah nanas juga mempunyai nilai perubatannya yang tersendiri.
Nanas mengandungi khasiat vitamin A, B1 dan bromelain (digunakan untuk melembutkan daging). Ia juga mengandungi asid sitrik yang berkesan untuk menghilangkan lemak dan menguruskan badan. Nanas juga mempunyai nilai khasiat yang penting seperti mineral, serat dan enzim yang baik untuk sistem penghadaman dan membantu mengekalkan berat badan ideal dan keseimbangan nutrisi. Nanas juga merupakan sumber vitamin C yang baik dan boleh dimakan mentah atau digunakan dalam masakan. Nanas mengandungi lemak dan garam yang minimum serta tidak mempunyai kolesterol. Selain itu, nanas juga mengandungi sejumlah kecil vitamin B2, B3, B5 dan B6. Ini jelas menunjukkan nanas merupakan buah yang sedap, berkhasiat dan menyihatkan.
Memerangi penyakitNanas juga dipercayai dapat menyihatkan mata. Kajian menunjukkan amalan memakan nanas melindungi mata daripada masalah berkaitan penuaan kerana ia kaya dengan anti-oksida. Ia juga dapat membantu memerangi pelbagai jenis penyakit. Nanas yang kaya dengan vitamin C merupakan sumber sangat baik untuk melindungi tubuh daripada radikal bebas yang menyerang sel-sel sihat. Banyak radikal bebas dalam tubuh yang menyebabkan penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes mellitus dan kanser. Amalan memakan nanas juga berkesan untuk menghindari selesema dan meningkatkan sistem imunisasi.
Nanas juga kaya dengan serat dan amat berkesan untuk memulihkan masalah sembelit dan masalah membuang air besar yang tidak teratur. Ia juga mengandungi enzim yang menjadikan kulit anjal, lembap dan menyingkirkan sel-sel mati dan rosak. Enzim di dalam nanas juga membantu memerangi radikal bebas yang boleh mengurangkan tanda-tanda penuaan dan garis-garis halus.
Jus nanas ini bukan sahaja merupakan minuman yang lazat tetapi juga dapat mengatasi masalah kekeringan di bahagian bibir dan di bahagian muka. Enzim yang terdapat pada buah nanas boleh meredakan bengkak-bengkak, kuatkan daya tahan badan serta menghapuskan fibrin yang boleh mengakibatkan penyakit jantung dan strok. Selain itu buah ini juga melancarkan perjalanan haid dan bukannya pendarahan haid yang banyak.
Jumpa pakarBerjumpalah dengan doktor pakar sakit puan bagi mengetahui masalah sebenar. Secara amnya, doktor akan mengesyaki seseorang wanita agak susah hamil jika kitar haid mereka tidak teratur kerana kitar sebegitu adalah tidak subur. Doktor tidak dapat mengatakan rahim seseorang wanita lemah atau tidak dan susah untuk hamil hanya jika seseorang wanita tersebut hanya mengalami pendarahan haid yang banyak apabila memakan nanas. Tiada kajian yang mengatakan bahawa nanas adalah penyebabnya. Elok berjumpa doktor bagi memastikan bahawa rakan anda tidak mengalami masalah berkaitan darah atau sistem pembekuan darah. Alangkah baiknya jika rakan anda dapat berjumpa dengan doktor bagi mendapat pemeriksaan perubatan dan juga ujian darah yang tertentu bagi mengetahui penyebab sebenar pendarahan haid yang banyak.
READ MORE - Nanas punca pendarahan rahim?

Melatah berkaitan dengan emosi


Tabiat melatah lebih kerap berlaku di kalangan masyarakat Melayu. - Gambar hiasan
MELATAH didefinisikan sebagai satu fenomena tingkah laku dikaitkan dengan kaum tertentu di Asia Tenggara khususnya kaum Melayu.
Berlaku kebanyakannya di Asia Tenggara terutama di Malaysia, Singapura dan Indonesia, tingkah laku melatah ini dikatakan tidak ketara (mungkin ada) di negara-negara Eropah kerana tidak 'digalakkan' oleh masyarakatnya.
Ini kerana bagi mereka fenomena tersebut dianggap pelik atau seperti satu jenis penyakit.
Tingkah laku melatah bukan satu perbuatan yang dibuat-buat, sebaliknya, ia berlaku spontan kerana sudah tertanam dalam diri individu berkenaan.
Namun sekiranya pada permulaan seseorang itu melakukannya secara berulang kali, lama-lama ia akan menjadi satu kebiasaan iaitu tingkah laku yang akan dilakukan berulangan.
Ini bermakna ia satu situasi yang sukar untuk ditinggalkan apabila tingkah laku baru (perkara yang menjadi kebiasaan) mengambil tingkah laku lama dan perkara itu akan dilakukan berulangan.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman, individu yang melatah suatu waktu dahulu (kira-kira 20 hingga 30 tahun sebelum ini) khususnya di negara ini, mereka menjadi tumpuan hiburan terutama di majlis-majlis keramaian.
"Individu yang melatah suatu waktu dahulu boleh dijadikan sebagai 'kerjaya' kerana mereka diundang ke majlis-majlis untuk memeriahkan suasana keraian.
"Mereka diundang atas fungsi tertentu dan ada peranan dalam masyarakat sebagai penghibur, khususnya di kawasan luar bandar," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Dr. Daniel Zainal berkata, fenomena melatah ini dari segi statistiknya melibatkan 80 hingga 90 peratus daripadanya adalah golongan wanita yang telah agak berumur.
Katanya, dari segi aspek psikologi, orang melatah ini sebenarnya ada ciri personaliti tertentu iaitu neurotik.
"Biasanya dari aspek peribadi, individu yang suka mendapat perhatian dan menonjolkan diri seperti terlibat dalam bidang seni adalah antara mereka yang suka melatah.
"Selain itu mereka yang tergolong dalam perlakuan ini dianggap mempunyai personaliti yang celaru, resah atau darah gemuruh, cepat terkejut dan lemah semangat (easily hyperstartle response) termasuk apabila melihat berita yang menggerunkan serta mudah mendapat serangan panik (panic attack)," katanya.
Melatah juga katanya, dikaitkan dengan faktor genetik turun-temurun dalam keluarga kerana ia ada unsur berjangkit.
Mungkin bukan daripada ibu atau bapa yang melatah tetapi pak cik atau mak cik yang melatah juga dapat dijangkiti oleh anak saudara mahupun cucu mereka.
Ahli keluarga terdedah kepada tingkah laku melatah sekiranya mereka berdepan dengan masalah psikologi. Ia juga boleh dikaitkan dengan aspek keturunan dan persekitaran yang mendorong kepada berlakunya keresahan, kesedihan dan kecenderungan mewarisi personaliti cepat gemuruh.
Menurut Dr. Daniel Zainal, perilaku melatah sepatutnya tidak lagi digalakkan dalam masyarakat sekarang kerana ia boleh menjejaskan harga diri si pelatah.
Malah ketika situasi latah sedang berlaku, orang di sekeliling boleh meredakan si pelatah dengan menenangkan dirinya.
Caranya ialah dengan menampar bahu si pelatah lalu mengajarnya mengucap dan beristighfar beberapa kali sehingga fikirannya kembali tenang dan tenteram.
"Orang melatah ini sebenarnya tidak suka dijadikan bahan ketawa dan ia boleh menyebabkan mereka rasa tertekan. Orang melatah akan memberi hiburan kepada orang lain tetapi pada dirinya ia rasa tidak elok, selain mengundang panik di kalangan awam dan menyebabkan kejatuhan harga diri," katanya.
Dari aspek pengurusan katanya, jangan galakkan ahli keluarga mengusik individu yang ada ciri-ciri melatah jika mereka tahu seseorang itu berpotensi untuk melatah.
Juga jangan tambah usikan berkenaan sekiranya si pelatah sedang melatah sehingga menyebabkan proses berkenaan berlarutan.
Jelas Dr. Daniel Zainal, tiada sebarang ubat untuk merawat latah, namun ia boleh dikawal menerusi sesi kaunseling psikoterapi perkara-perkara yang boleh menjadi pencetus kepada latah yang berhubung dari aspek kognitif dan tingkah laku.
"Ketika melatah, individu ini seolah-olah terpisah dari alam sekeliling, tidak sedar apa yang berlaku yang membentuk keadaan trance state (di bawah sedar). Pada ketika ini tahap kesedarannya amat rendah bagaikan bermimpi, ralit atau seolah-olah dipukau seperti yang berlaku pada pengangkat kavadi ketika Thaipusam, pemain wayang kulit, penari kuda kepang dan sebagainya," katanya.
Menurut Dr. Daniel Zainal lagi, individu yang melatah boleh menggunakan cara hipnosis untuk menyelami keadaan di bawah sedarnya yang menyebabkan punca-punca berlakunya latah.
" Minda manusia terdiri daripada pemikiran sedar (12 peratus) dan pemikiran di bawah sedar (88 peratus). Justeru kaedah hipnosis ini akan mencungkil kisah lalu pengalaman di bawah sedarnya yang mempengaruhi tabiat melatahnya.
"Ini kerana emosi seseorang dipengaruhi dengan apa yang berlaku kepada individu tersebut lama dahulu, ia seolah-olah data yang tersimpan dalam pemikiran minda tidak sedar," katanya.
Menurut beliau, individu yang melatah ini juga perlu belajar teknik pernafasan yang betul seperti senaman yoga atau berzikir untuk menangani masalah ini.
Namun katanya, fenomena melatah ini semakin berkurangan di negara ini khususnya di majlis-majlis keraian kerana persekitaran yang masyarakat tidak lagi menggalakkan perlakuan berkenaan.
"Ramai masyarakat sekarang sudah tidak 'menggalakkan' perlakuan melatah ini. Sekiranya mereka tahu individu berkenaan melatah, mereka tidak akan cuba mengusiknya.
"Bahkan generasi muda mungkin ramai yang tidak tahu apa itu melatah kerana sudah jarang terlihat dalam masyarakat sekarang," katanya Dr. Daniel. - Rosmah Dain
READ MORE - Melatah berkaitan dengan emosi

Monday, June 11, 2012

Cara cegah masalah penghadaman

SIAPA yang tidak pernah mengalami gejala akibat masalah gastrousus seperti pedih ulu hati, ketidakhadaman, kembung dan sembelit? Ramai menganggapnya masalah biasa, tetapi ketidakselesaan akibat masalah penghadaman ini sebenarnya boleh dicegah.
Masalah penghadaman menjejaskan kesihatan ramai orang dan ia boleh menyebabkan keadaan yang lebih teruk seperti barah usus iaitu barah kedua paling lazim di Malaysia baik pada lelaki mahupun wanita.

Malah, masalah penghadaman juga dikenali sebagai punca kematian biasa yang keenam di hospital kerajaan. Justeru, sempena Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2012 (WDHD) dengan sokongan Pertubuhan Gasteroenterologi Sedunia (WGO), rakyat negara ini diseru berikrar dan bersatu bagi mengatasi peningkatan masalah penghadaman yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan keseluruhan dan kualiti hidup seseorang.

Sambutan WDHD kali ini yang dirasmikan Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Perubatan, Datuk Dr Azmi turut disokong oleh Program Kesihatan Penghadaman Vitagen (VHDP).


Menurut Dr Azmi, berdasarkan laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan (Statistik Kanser Malaysia) yang dikeluarkan pada 2007, barah kolorektal (usus) mewakili 12 peratus daripada jumlah kanser yang direkodkan di Malaysia. Ia adalah barah kedua utama dalam kalangan lelaki dan wanita.

Lebih menyedihkan, lebih 90 peratus penyakit penghadaman seperti ini sebenarnya boleh dicegah, namun kebanyakan orang tidak sedar kepentingan menjaga kesihatan sistem penghadaman. Inilah sebabnya diadakan sambutan WDHD bagi meningkatkan kesedaran orang ramai supaya memberi lebih perhatian terhadap kesihatan sistem penghadaman di samping menggalakkan rakyat negara ini berikrar untuk menjalani gaya hidup lebih sihat.

Dengan kerjasama VHDP, Lembaga Penasihat Kesihatan Penghadaman (DHAB) melancarkan kempen ‘Lindungi Usus Anda’ ke seluruh negara bertujuan mengajak rakyat negara ini berubah dan berusaha menjaga sistem penghadaman melalui tiga langkah mudah - amalkan tabiat makan yang sihat, amalkan gaya hidup sihat dan juga pemeriksaan kesihatan dengan kerap.

“Kempen dengan tema ‘Daripada Pedih Hulu Hati hingga Sembelit: Gejala Biasa Gastrousus dalam Masyarakat: Kesan & Tafsiran’, DHAB menyeru semua lapisan masyarakat untuk memainkan peranan aktif menjaga kesihatan masing. Ikrar ‘Lindungi Usus Anda’ bukan saja melambangkan permulaan baik dalam usaha ke arah kesihatan sistem penghadaman,” kata Perunding Gastroenterologi merangkap Pengerusi DHAD, Datuk Dr Muhammad Razi Abu Hassan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bulan Pemakanan Malaysia (NMM), Dr Tee E Siong, pemakanan dan gaya hidup sihat penting untuk kesihatan penghadaman dan keseluruhannya. Pengambilan probiotik sebagai pemakanan seharian dapat membantu memperbaiki kesihatan penghadaman.

Pelawat yang berikrar pada majlis itu boleh berkongsi keinginan mereka bersama rakan melalui facebook dan twitter, seterusnya layak mengambil bahagian dalam peraduan ‘Take the Test’ Vitagen untuk memenangi hadiah menarik.

Untuk kempen ini, DHAB dan Vitagen menerbitkan majalah sulung ‘Guard Your Gut Info Guide’ yang boleh didapati dalam talian. Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat tambahan ‘Perjalanan Penghadaman Yang Sihat’ melalui pameran bergerak WDHD secara interaktif yang sesuai bagi semua peringkat umur. Pameran bergerak seterusnya akan diadakan di Kuantan, Pulau Pinang dan Seremban.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai ikrar Lindungi Usus Anda
dan memuat turun majalah Info Guide, sila layari www.vitagen.com.my/digestivehealth.
READ MORE - Cara cegah masalah penghadaman

Jangan salahkah nasi

RAMAI yang menyalahkan nasi kerana beranggapan sumber karbohidrat itulah punca masalah kegemukan. Justeru, mereka elak makan nasi semasa ingin kuruskan badan, tetapi adakah kita boleh makan nasi untuk kekalkan atau kurangkan berat badan?
Banyak salah faham mengenai nasi. Hakikatnya, nasi menyumbang kepada jumlah kalori yang sama seperti jika anda mengambil gandum. Apa yang penting adalah jumlah nasi yang dimakan.

Nasi adalah sumber karbohidrat kompleks yang baik dan bertindak sebagai sumber protein yang baik bagi menggantikan daging untuk mereka yang mengamalkan diet sayur-sayuran.

Selain itu, ramai juga yang bertanya kepada saya kalau hendak makan nasi, berapa kuantiti yang sepatutnya diambil? Jawapannya, pasti saja boleh untuk anda mengambil nasi dan nasihat saya, ia perlu diambil sebanyak segenggam sebelah tangan anda saja.


Ia sudah memadai dan mengenyangkan ditambah dengan sumber protein lain seperti ikan atau ayam dan sayur-sayuran. Ingat, nasi dalam kuantiti segenggam itu adalah jumlah sumber karbohidrat untuk sekali makan saja.

Anda mungkin makan nasi sekali, dua, tiga atau lima kali sehari, tetapi ia harus dalam kuantiti segenggam itu. Jika anda menukar nasi dengan mengambil roti, pasta atau mihun, cuba bayangkan kuantitinya sebanyak segenggam tangan saja.

Sebenarnya, memang lebih elok anda makan nasi lima kali sehari supaya kadar metabolisme badan tinggi. Namun ia bergantung juga kepada kemampuan diri seseorang.

Lain orang lain keadaan dirinya dan anda mesti memahami diri sendiri sebelum melakukan sesuatu yang drastik dalam usaha mengekalkan atau menurunkan berat badan.

Saya tidak nafikan tanpa nasi, ia boleh membuatkan berat badan seseorang turun, tetapi ia perlu diimbangi dengan bentuk makanan termasuk sarapan yang mengandungi kalori sewajarnya.

Mengenai amalan tidak makan nasi semata-mata untuk menurunkan berat badan, saya juga akui ramai yang melakukan hal sedemikian.

Namun, banyak aspek yang perlu diambil kira sama ada daripada segi ketinggian, berat badan dan umur seseorang kerana diet yang betul akan memberikan impak yang lebih baik untuk kesihatan diri.

Seseorang yang ingin berdiet boleh makan nasi, tetapi hendaklah mengurangkan kuantitinya seperti separuh daripada segenggam tangan itu. Ia diimbangi pula dengan pengambilan sayur atau lauk.

Selain itu, tenaga yang keluar dan masuk harus diseimbangkan mengikut cara yang betul. Semakin berusia seseorang itu, metabolisme semakin berkurangan. Oleh itu, perlu dicari formula untuk menyeimbangkannya.

Contohnya, anda lepak di kedai mamak dan makan segenggam nasi, lauk ayam, sedikit sayur dan minum segelas air kosong. Hidangan ini elok bagi mereka yang mahu mengekalkan ataupun cuba untuk menurunkan berat badan. Ini disebabkan ia seimbang kerana hanya ada satu bentuk karbohidrat saja iaitu melalui nasi.

Namun berbeza sekiranya anda mengambil segenggam nasi, lauk ayam, sayur dan minum air manis seperti teh tarik atau jus oren. Ini kerana di dalam menu ini terdapat dua sumber karbohidrat iaitu nasi dan minuman manis tadi. Sebab itu saya katakan, anda mesti tahu dan pandai mengimbangi jumlah pengambilan makanan seharian.

Saya tidak galakkan anda meninggalkan nasi malah berasa ia sesuatu yang praktikal lebih-lebih lagi ia makanan ruji kita sebagai masyarakat Asia. Tetapi semua itu terpulang kepada anda sendiri.

Sekali lagi saya tegaskan, jangan salahkan nasi dan amalkan diet praktikal setiap masa. Kemudian, pastikan kuantiti pengambilan protein cukup. Sebagai panduan, pastikan anda mengambil dua hingga 2.5 gram untuk setiap kilogram berat badan anda. Harus diingat, protein lebih mengenyangkan berbanding karbohidrat.
READ MORE - Jangan salahkah nasi

Keloid boleh diatasi

SEKSA...kesan keloid pada tangan.
SEKSA...kesan keloid pada tangan.



ANTARA perkara yang menjadi kebimbangan wanita ialah kehadiran parut terutama pada muka apatah lagi jika parut itu timbul yang membuatkan ia tampak lebih nyata. Kehadiran parut boleh menjejaskan keyakinan diri seseorang terutama jika kerjaya individu berkenaan menuntutnya untuk berurusan dengan orang ramai.
Parut adalah proses penyembuhan luka yang normal, tetapi ada sesetengah keadaan ia menjadi timbul iaitu apabila berlaku penghasilan tisu berlebihan pada bahagian luka.

 CACAT...keloid boleh jejaskan keyakinan diri.
BURUK...parut merisaukan.



 Apabila tisu mengalami kecederaan, tisu penghubung yang dipanggil fibroblas akan membahagi (menjadikan jumlahnya berganda) dan mengisi luka supaya bahagian ini bercantum. Proses penyembuhan luka biasanya meninggalkan parut. Kadangkala parut ini menjadi tebal, tetapi jika ia hanya di atas garisan luka, ia dipanggil parut hipertrofi. Parut jenis ini boleh surut selepas satu tempoh yang mungkin mengambil masa satu tahun atau lebih.

Namun, ada juga keadaan di mana saiz parut yang menebal ini menjadi semakin besar sehingga melepasi kawasan luka dan ia dipanggil keloid. Oleh kerana saiznya yang boleh bertambah, ada orang menggelar keloid sebagai ‘parut yang tidak tahu bila hendak berhenti membesar’. Berita sedihnya, ia tidak mudah untuk dihilangkan.


Keloid terjadi apabila tisu penghubung terus membahagi walaupun bahagian luka sudah dipenuhi dengan tisu baru sehingga menyebabkan kawasan luka ini menjadi timbul. Jika tidak dirawat dari awal, keloid atau parut yang timbul lebih sukar untuk ditangani.

Ia boleh berlaku pada sesiapa saja, tetapi sesetengah bahagian badan lebih cenderung mengalami keloid contohnya belakang badan, telinga, lengan, bahu dan dada. Mengapa? Tiada siapa yang tahu jawapannya, kata Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif Hospital Assunta, Dr Kuladeva Ratnam. Pun begitu, keloid jarang berlaku pada muka.

Apa yang menyebabkan keloid? Sehingga sekarang pakar perubatan masih
tidak tahu apa yang menyebabkan keloid berlaku atau mengapa sesetengah orang mengalami masalah ini. Walaupun punca sebenar keloid tidak diketahui, tetapi penyelidikan mendapati keloid adalah keadaan yang diwarisi, maknanya ada kaitan dengan faktor genetik.

Sesetengah bangsa seperti keturunan Afrika juga mempunyai kebarangkalian lebih tinggi mendapat keloid. Malah tiada beza risiko mendapat keloid antara lelaki, perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa.

Namun individu yang mengalami walaupun satu keloid berisiko tinggi untuk mendapat lebih banyak keloid. Biasanya keloid terbentuk apabila berlaku kecederaan kulit disebabkan tindik, jerawat, tatu, luka (sama ada akibat terbakar, pembedahan, terkena objek tajam), calar dan suntikan.

Menurut Dr Kuladeva, keloid boleh dikawal, tetapi tidak dapat dicegah kerana tiada siapa tahu bagaimana dan kenapa ia terjadi. Malah pemakanan juga tidak mempunyai kaitan dengan pembentukan keloid.

Gejala dan faktor risikoKeadaan parut dipengaruhi banyak faktor seperti saiz dan kedalaman luka, bekalan darah ke kawasan luka, ketebalan parut dan kecenderungan sama ada ia sama rata dengan kulit atau timbul.

Parut yang timbul ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu keloid dan parut hipertrofi. Keloid adalah parut timbul yang boleh membesar melepasi kawasan luka manakala parut hipertrofi yang tebal dan berwarna kemerahan hanya berkumpul di atas kawasan luka. Bagaimanapun, parut hipertrofi akan surut sedikit selepas satu tempoh sedangkan saiz parut keloid akan terus kekal dan tidak mengecil melainkan diberikan rawatan.

Parut keloid mempunyai beberapa ciri seperti licin, berkilat, benjolan yang agak keras dan berkumpul. Warnanya berbeza antara individu, ada yang mengikut warna kulit, merah atau coklat. Ia juga mungkin kelihatan berombak yang sekata atau tidak sekata. Keloid boleh jadi bengkak, sakit dan gatal terutama ketika pembentukannya.

Biasanya keloid berlaku selepas kulit alami kecederaan. Namun ada juga keadaan di mana parut keloid ini berlaku secara spontan, tetapi kes seperti ini sangat jarang terjadi. Pun begitu, menurut Jurnal Persatuan Perubatan Kanada, pakar percaya ia bukanlah kejadian spontan, tetapi mungkin berlaku akibat reaksi keradangan yang tidak jelas kelihatan atau terlalu remeh untuk diingati.

Menurut Dr Kuladeva, keloid boleh berlaku pada sesiapa saja, baik lelaki, perempuan, kanak-kanak atau dewasa tetapi kebanyakan orang mengalami masalah ini pada usia 20-an. Keloid juga didapati lebih kerap berlaku pada golongan berkulit gelap seperti keturunan Afrika dan Mediterranean.

Ada yang berpendapat ia juga kerap berlaku pada wanita, tetapi ia mungkin disebabkan wanita lebih sensitif dan peka pada keadaan kulit mereka. Ini menyebabkan lebih ramai wanita berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.

“Ada ramai orang bimbang jika keloid akan bertukar menjadi sel kanser. Jangan bimbang, parut yang timbul ini bukan sel kanser, malah ia juga tidak akan meningkatkan risiko seseorang mendapat kanser kulit. Kebanyakan orang mendapatkan rawatan untuk keloid atas tujuan kosmetik atau memperbaiki keadaan kulit,” katanya.

Individu yang cenderung mendapat keloid disarankan supaya tidak menjalani sebarang pembedahan kulit atau prosedur yang mencederakan kulit kecuali jika terpaksa. Individu yang pernah mengalami masalah keloid diingatkan supaya lebih berhati-hati kerana mereka boleh mendapat keloid pada masa akan datang.

Justeru, dalam soal keloid, pencegahan amat penting kerana rawatan yang ada kini masih belum berjaya menghilangkan kesan parut ini sepenuhnya. Malah dalam sesetengah keadaan, rawatan yang diberikan tidak berkesan langsung.


Rawatan

Kaedah terbaik mengatasi keloid ialah jangan benarkan ia berlaku, dalam kata lain, elakkan diri daripada mengalami sebarang perkara yang boleh menyebabkan kecederaan kulit. Terlebih dulu, doktor akan membuat pengesahan dulu sama ada parut itu keloid atau parut hipertrofi kerana kaedah rawatannya berbeza.

“Ada satu perkara yang perlu diingat iaitu setiap pesakit berhadapan dengan 50 peratus kemungkinan keloid berulang semula jika rawatan tidak dilakukan dengan baik.

“Buat pemantauan sendiri terhadap parut anda selama setahun. Jika didapati parut semakin membesar, sakit dan gatal, pergilah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Kebanyakan pesakit yang datang disebabkan parut mereka berasa sakit dan gatal atau mereka risau selepas menyedari berlaku perubahan pada parut yang membuatkan rasa tidak selesa dan malu.

“Biasanya untuk keloid yang kecil, doktor akan rawat menggunakan kaedah bukan pembedahan. Kaedah pembedahan lazimnya dilakukan untuk tujuan kosmetik atau mengembalikan fungsi satu-satu anggota yang terhalang akibat pembentukan keloid, contohnya keloid yang terbentuk pada luka kebakaran sehingga pesakit tidak boleh mengangkat tangan,” kata Dr Kuladeva.

Secara umumnya rawatan keloid boleh dibahagikan kepada dua jenis sama iaitu pembedahan dan bukan pembedahan. Dalam kebanyakan kes, doktor akan memulakan rawatan dengan memberi suntikan steroid. Jika kaedah ini tidak berkesan, barulah doktor akan beralih kepada pembedahan.


Antara kaedah yang digunakan untuk merawat keloid ialah:

  • Suntikan ubat steroid pada keloid. Ia kaedah yang selamat dan tidak menyakitkan yang bertujuan mengurangkan ketebalan keloid serta mengawal pertumbuhannya. Suntikan biasanya diberikan setiap enam minggu sehinggalah kesannya dapat dilihat dengan jelas. Ia membantu meleperkan keloid, tetapi dalam steroid juga boleh menyebabkan keloid menjadi lebih merah kerana ia merangsang pembentukan salur darah baru pada kulit.

  • Pembedahan. Untuk mengurangkan ketebalan keloid. Keloid tidak boleh dibuang kerana ia boleh tumbuh semula. Namun, doktor mungkin mencadangkan untuk anda menjalani teknik graft kulit untuk mengurangkan ketegangan pada kulit dan menggalakkan penyembuhan secara normal. Pada masa sama ia juga mengurangkan peluang pembentukan keloid.

  • Jika anda mengalami masalah ini, pastikan anda mendapatkan rawatan daripada pakar kerana peluang untuk keloid muncul semula selepas pembedahan adalah sangat tinggi.

  • Rawatan laser. Selepas pembedahan, rawatan boleh disusuli dengan laser atau radioterapi. Kemudian rawatan diteruskan dengan kaedah bukan pembedahan untuk mendapatkan kesan yang lebih baik.

  • Urutan. Individu yang ada masalah keloid boleh melakukan sendiri urutan pada parut dengan memicit dan menekan-nekan bahagian yang timbul. Selain itu anda juga boleh membalut kawasan berparut dengan tujuan memberi tekanan kepada bahagian berkenaan.


    Langkah yang perlu diambil:

  • Beritahu doktor jika anda pernah mengalami keloid atau sebarang masalah berkaitan parut supaya strategi pencegahan boleh dirancang. Individu yang mempunyai sejarah keloid berkemungkinan tinggi mendapat masalah sama pada masa akan datang jika berlaku luka.

  • Elakkan daripada bertatu, bertindik atau menjalani sebarang rawatan ‘ubah suai’ jika anda ada kecenderungan mengalami keloid. Ini kerana keloid boleh berlaku pada bahagian berkenaan.

  • Minta pakar bedah anda merawat luka pembedahan dengan sebaiknya bagi mengelakkan pembentukan keloid.

  • Balut bahagian luka dan keloid yang sedia ada dengan kain pembebat sebelum anda melakukan aktiviti luar dan terdedah kepada cahaya matahari. Cahaya matahari boleh menyebabkan keloid menjadi gelap dan nampak lebih ketara.
  • READ MORE - Keloid boleh diatasi
    Powered By Blogger