Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Sunday, February 26, 2012

Risiko kehamilan tak dirancang

RISIKO TAK MERANCANG...lebih muda umur ketika hamil, risiko kehamilan dan kelahiran lebih tinggi malah boleh membawa kepada kematian.
RISIKO TAK MERANCANG...lebih muda umur ketika hamil, risiko kehamilan dan kelahiran lebih tinggi malah boleh membawa kepada kematian.
 DR FORAN...masih banyak salah faham mengenai kaedah kontraseptif berhormon.
 PROF BITZER...suami perlu terbabit dalam pemilihan kaedah kontraseptif.
 DR WEISBERG...jenis kontraseptif perlu ikut keperluan dan keadaan tubuh wanita.
RISAU BERAT BERTAMBAH...kajian menunjukkan pil perancang tiada kaitan dengan pertambahan berat badan


“SUAMI keberatan hendak membenarkan saya menggunakan kaedah perancang keluarga. Tidak kira sama ada pil, suntikan, implan atau cara lain. Alasannya buat apa hendak memasukkan benda asing ke dalam badan, bimbang nanti ada kesan sampingan kerana kebanyakan kaedah mengandungi hormon.
“Katanya dia masih mampu menanggung keluarga kalau saya mengandung lagi. Cuma bagi saya cukuplah dengan apa yang ada, ini pun sudah tidak terkawal rasanya.
Pernah juga terfikir untuk buat diam-diam, tetapi saya tetap rasa takut. Apatah lagi apabila dengar macam-macam cerita daripada kawan yang menggunakan kaedah perancang keluarga,” keluh seorang teman, ibu empat anak yang mengandung setiap tahun.

 Antara cerita yang didengar ialah kesan sampingan seperti peningkatan berat badan, jerawat, sakit kepala, haid yang banyak dan lama sehingga berbelas hari.
Malah ada pula kawannya yang mengeluh apabila haid terlalu sedikit, risau ia juga akan menyebabkan penyakit lain terutama kanser apabila darah tidak keluar seperti sepatutnya.

Salah faham mengenai kaedah perancangan keluarga memang berlaku di seluruh dunia tidak kira negara maju, membangun atau miskin. Salah faham dan kekurangan akses terhadap kaedah perancangan keluarga mengakibatkan ramai menggunakan kaedah pencegahan kehamilan tradisional yang diwarisi turun temurun tetapi tidak berkesan.

Risiko daripada salah faham dan kurang pengetahuan ini ialah kehamilan yang tidak dirancang. Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 208 juta kehamilan berlaku di seluruh dunia pada 2008. Daripada jumlah ini, 41 peratus atau 86 juta adalah kehamilan yang tidak ‘disengajakan’ dengan 33 juta kelahiran tidak dirancang dan 11 juta wanita mengalami keguguran.

Sedihnya, 41 juta kehamilan di seluruh dunia berakhir dengan pengguguran dan 50 peratus daripadanya dilakukan dalam keadaan tidak selamat yang kebanyakannya berlaku di negara membangun.

Nasib bayi yang tidak dikehendaki kelahirannya seperti di negara kita lebih menyedihkan kerana ada ditinggalkan di tandas, tepi jalan, longkang atau dibuang di longgokan sampah. Bagi bayi yang lebih baik nasibnya akan dibiarkan di hospital, diletakkan di depan rumah, surau, masjid atau mana-mana tempat yang dikunjungi orang.

Kejahilan kita mengenai kaedah selamat perancangan keluarga atau pencegahan kehamilan ini jugalah yang membuatkan 152,182 anak luar nikah dilahirkan dari 2008 hingga 2010 seperti direkodkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menurut Dr Anneliese Schwnekhagen daripada Pusat Endokrinologi Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Jerman, kebanyakan kehamilan yang tidak dirancang di kalangan remaja berlaku pada perempuan muda berumur 15 hingga 19 tahun. Lebih muda umur ketika hamil, risiko kehamilan dan kelahiran lebih tinggi malah boleh membawa kepada kematian.

Katanya, kehamilan tidak dirancang ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu 60 peratus kehamilan berlaku pada masa yang salah (lebih cepat daripada yang diinginkan) dan 40 peratus pula kehamilan yang tidak dikehendaki langsung (tidak sepatutnya terjadi).

“Ada banyak sebab berlakunya kehamilan tidak dirancang. Berdasarkan maklumat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, antara puncanya ialah kekurangan perkhidmatan dalam perancangan keluarga khususnya di Afrika, Selatan Amerika dan Asia.
Kemiskinan dan kekurangan pendidikan menyebabkan banyak berlakunya kehamilan yang tidak dirancang.

“Pun begitu, tidak bermakna di negara maju tidak berlaku masalah kehamilan yang tidak dirancang. Perkara ini masih menjadi isu penting di seluruh dunia walaupun kita sudah ada pelbagai kaedah kontraseptif (pencegahan kehamilan) yang berkesan dan selamat.

“Biasanya kehamilan tidak dirancang di negara maju disebabkan kegagalan kaedah pencegahan kehamilan, cara penggunaan yang tidak konsisten atau salah selain faktor sosio ekonomi, budaya, politik, undang-undang serta penerimaan masyarakat,” katanya pada Persidangan Kontraseptif Asia Pasifik anjuran Merck Sharp & Dohme (MSD) di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Menurutnya, kehamilan yang tidak dirancang ini memberi kesan besar terhadap sosio ekonomi sesebuah negara. Contohnya di Filipina, sebanyak 3.9 juta peso (RM275,000) untuk pembiayaan kos penjagaan perubatan.

“Lebih membimbangkan ialah pengguguran anak dengan cara tidak selamat sama ada dilakukan oleh orang yang tidak bertauliah, dalam keadaan tidak steril atau menggunakan peralatan yang boleh mengundang risiko dan membahayakan nyawa.
Malah pengguguran kehamilan bukan saja berlaku di kalangan wanita bujang malah membabitkan wanita yang sudah berkahwin atas pelbagai sebab.

“Di seluruh dunia dianggarkan 529,000 wanita meninggal dunia setiap tahun atas pelbagai punca yang berkaitan dengan kehamilan dan 20 juta wanita pula mengalami komplikasi kehamilan seperti pengguguran, pendarahan, tekanan darah tinggi dan pembentukan darah beku.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana sekarang sudah ada pelbagai kaedah pencegahan kehamilan yang berkesan dan selamat. Pendidikan dan kesedaran mengenai wujudnya kaedah perancangan keluarga ini boleh mengurangkan 22 juta kes kehamilan yang tidak dirancang,” katanya.


Kaedah

Kontraseptif adalah kaedah pencegahan berlakunya persenyawaan antara telur dan sperma. Ia juga mencegah telur yang sudah disenyawakan daripada melekat pada dinding rahim yang seterusnya menyebabkan kehamilan.

Secara umumnya pencegahan kehamilan ini boleh dibahagikan kepada empat iaitu:
Kaedah halangan - Contoh�nya kondom (lelaki atau wanita), span (span berbentuk donut mengandungi spermisid iaitu bahan yang membuatkan sperma tidak aktif), diafragma, penutup servik atau rahim atau pelindung rahim. Semuanya mengandungi spermisid.

Alat dalam rahim tanpa hormon - Alat ini dimasukkan ke dalam rahim oleh doktor. Ia dibuat daripada kuprum di mana sejumlah kecil kuprum akan dikeluarkan setiap hari. Kuprum ini akan menghalang sperma daripada sampai ke telur dan telur yang sudah tersenyawa tidak boleh melekat pada dinding rahim.

Kontraseptif berhormon - Ada banyak jenis seperti cincin vagina, implan, pil perancang, suntikan, alat dalam rahim dan tampalan pada kulit. Dalam kaedah ini, hormon akan dibebaskan pada kuantiti tertentu untuk mencegah ovari daripada mengeluarkan telur. Ia juga akan menyebabkan perubahan pada lapisan endometrium (pada dinding rahim) dan mukus (cecair) dalam rahim bagi mengelakkan sperma daripada bersatu dengan telur. Hormon yang dimaksudkan ialah estrogen dan progestin (sama dengan progesteron yang wujud secara semula jadi dalam badan wanita).

Kontraseptif berhormon boleh mengandungi satu jenis hormon saja (progestin) atau kedua-duanya. Perbezaan dalam kaedah ini ialah jenis hormon yang digunakan, tempoh dan bagaimana hormon dikeluarkan (jangka pendek atau panjang).

Ada yang memberi perlindungan pendek seperti pil yang perlu diambil setiap hari, tampalan (seminggu sekali), cincin vagina (sebulan sekali). Kaedah perlindungan jangka panjang termasuk suntikan (tiga bulan), implan dan alat dalam rahim (tiga hingga lima tahun).

Pemandulan - Ia kaedah yang memansuhkan kemampuan untuk hamil. Di kalangan masyarakat kita ia dikenali sebagai ‘kaedah ikat’ iaitu mengikat tiub fallopio (bagi wanita) dan vasektomi (ikat saluran sperma bagi lelaki). Kaedah yang dilakukan secara pembedahan tidak boleh dibalikkan, justeru perlu timbangkan semasak-masaknya dan hanya dijadikan pilihan terakhir.


Pemilihan perlindungan

Ada yang mempersoalkan, apa perlunya perlindungan kehamilan jangka panjang jika apabila sudah ada perlindungan jangka pendek? Ini disebabkan masih berlaku kehamilan apabila menggunakan kaedah jangka pendek. Secara purata sebanyak dua hingga enam peratus kehamilan berlaku di kalangan pengguna kaedah jangka pendek.

Jangan salah faham, bukan kaedah itu yang tidak berkesan tetapi kehamilan berlaku akibat sifat manusia, kata Pensyarah Klinikal Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Sydney, Australia, Dr Edith Weisberg. Antara faktor yang menyebabkan kaedah itu dilihat kurang berkesan ialah terlupa mengambil pil, pengambilan tidak tetap atau mengikut waktu diarahkan.

Kaedah perlindungan jangka panjang mempunyai banyak kelebihan kerana wanita tidak perlu mengingatnya setiap hari yang sekali gus memberi ketenangan kepada mereka.

Pun begitu, kesesuaian jenis perlindungan ini berbeza antara wanita mengikut keperluan dan keadaan tubuh masing-masing. Justeru berbincanglah dengan doktor supaya anda dapat membuat pilihan sebaiknya. Dalam proses ini, lebih baik datang berjumpa doktor bersama pasangan supaya perkara yang penting ini dapat difahami kedua-dua pihak.

“Penggunaan kontraseptif atau perancangan keluarga adalah perkara yang membabitkan suami dan isteri. Sokongan suami sangat penting dalam hal ini.
Malah kefahaman mereka dalam perkara ini boleh membantu meningkatkan kesejahteraan rumah tangga,” kata Pengerusi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Hospital Basel, Switzerland, Prof Johannes Bitzer.

Kefahaman mengenai kaedah kontraseptif juga akan mengelakkan timbulnya kepercayaan yang tidak berasas. Menurut Penyelia Kursus Kontraseptif dan Menopaus, Universiti New South Wales, Dr Theresa Foran, kajian di Jerman mendapati wanita mendapatkan maklumat mengenai kontraseptif daripada doktor, kawan-kawan, saudara-mara, sekolah, ibu dan media. Punca maklumat yang tidak tepat menyebabkan timbulnya banyak salah faham mengenai kaedah kontraseptif terutama pil perancang - antara kaedah paling mudah dan murah. Antara kepercayaan itu termasuk:

Kepercayaan: Hormon yang ada dalam pil akan memberi kesan buruk kepada badan.

Fakta:
 Hormon yang terkandung dalam pil perancang atau kaedah pencegahan kehamilan lain adalah sama dengan hormon yang ada dalam badan kita. Kebanyakan pil perancang mengandungi dua jenis hormon yang mencegah kehamilan iaitu estrogen dan progestin. Badan wanita memang menghasilkan dua jenis hormon ini ketika haid. Jadi ia tidak akan mendatangkan kesan buruk.


Kepercayaan: Pil perancang akan membuatkan saya tidak subur jika saya mengandung kelak.

Fakta:
 Kajian menunjukkan pil perancang tidak akan menyebabkan kemandulan atau ketidaksuburan.

Sesetengah wanita tidak sedar bahawa mereka atau pasangan sudah ada masalah ketidaksuburan sebelum mengambil pil. Kebanyakan pasangan hanya sedar masalah ini apabila mereka berusaha mendapatkan anak.

Selain itu, faktor menangguhkan kehamilan sehingga selepas umur 35 tahun menyebabkan banyak pasangan sukar mendapatkan anak. Selepas umur 35 tahun, tahap kesuburan semua wanita secara semula jadi akan menurun. Penurunan kesuburan ini bukan disebabkan oleh pengambilan pil perancang. Kesan kebanyakan jenis pil perancang akan hilang selepas 24 jam.

Inilah sebabnya pil perancang perlu diambil setiap hari untuk mencegah kehamilan. Seseorang wanita boleh hamil selepas dua hari berhenti mengambil pil perancang. Secara purata proses ovulasi tertunda dua minggu apabila seseorang wanita menghentikan pengambilan pil perancang.


Kepercayaan: Pil perancang membuatkan berat badan saya bertambah.

Fakta:
 Kajian membuktikan pil perancang tiada kaitan dengan pertambahan berat badan.

Ketika pil perancang mula diperkenalkan dulu, paras hormon di dalamnya sangat tinggi. Ramai saintis berasakan ia menyebabkan pertambahan berat badan wanita yang mengambilnya. Bagaimanapun kini, kandungan hormon dalam pil perancang tidak setinggi dulu dan didapati ia tidak menyebabkan pertambahan berat badan.

Ramai juga wanita tersalah anggap antara retensi air (cecair yang terkumpul dalam badan) dengan pertambahan berat badan. Retensi air akan membuatkan kita berasa lebih berat. Berita baiknya, retensi air ini akan hilang perlahan-lahan selepas pengambilan pil perancang dihentikan.


Kepercayaan: Saya rasa tidak sihat apabila mengambil pil perancang.

Fakta:
 Tindak balas seseorang terhadap semua jenis ubat termasuk pil perancang adalah berbeza. Apa yang dialami wanita lain tidak semestinya berlaku pada anda. Pil perancang generasi baru mengandungi tahap hormon yang rendah, ini secara tidak langsung mengurangkan kemungkinan terjadinya kesan sampingan.

Antara kesan sampingan yang biasa dilaporkan ialah rasa mual, sakit kepala dan payudara. Kesan ini akan hilang perlahan-lahan dalam satu tempoh. Anda juga mungkin pernah mendengar kesan sampingan yang lebih serius seperti pembentukan darah beku atau masalah jantung, bagaimanapun ia sangat jarang berlaku.


Kepercayaan: Pil perancang akan menjejaskan hubungan seks.

Fakta:
 Kebanyakan wanita yang mengambil pil perancang mendapati ia tidak memberi kesan kepada kepuasan seks mereka.

Malah satu kajian mendapati lebih ramai wanita yang berasa lebih puas selepas mengambil pil perancang. Ini mungkin disebabkan mereka berasa lebih tenang. Pil perancang adalah kaedah pencegahan kehamilan yang sangat berkesan jika diambil mengikut jadual yang ditetapkan.


Kepercayaan: Pil perancang tidak berkesan. Ramai wanita masih mengandung walaupun mengambil pil perancang sepanjang masa.

Fakta:
 Keberkesanan pil perancang untuk mencegah kehamilan adalah sangat tinggi iaitu 99 peratus jika diambil dengan cara yang betul.

Kebanyakan jenis pil perancang mempunyai keberkesanan sehingga 99 peratus.

Ini bermakna kemungkinan untuk hamil adalah sangat rendah iaitu satu peratus di kalangan wanita yang mengambil pil perancang dengan betul. Untuk pengetahuan anda, pil perancang perlu diambil setiap hari dan dalam tempoh yang ditetapkan.
Jika anda tertinggal satu pil atau terlewat mengambilnya, anda berkemungkinan untuk hamil.


Kepercayaan: Saya perlu berehat beberapa bulan daripada mengambil pil perancang.

Fakta:
 Pil perancang selamat diambil secara berterusan dan tidak perlukan masa ‘berehat’.

Tindakan ‘berehat seketika’ daripada mengambil pil perancang bukanlah tindakan bijak terutama bagi pasangan yang tidak mahu anak dalam tempoh terdekat.
Apabila anda mengambil pil perancang, badan anda akan membuat pelarasan supaya paras hormon dalam badan menjadi stabil. Jika anda berhenti dengan tujuan ‘berehat’ maka badan perlu membuat pelarasan baru.

Apabila anda menyambung lagi pengambilan pil, maka badan perlu membuat pelarasan semula. Ini menjadikan badan anda sedikit ‘haru biru’. Namun satu fakta penting yang perlu anda ketahui ialah peluang mengandung dalam tempoh berehat ini adalah tinggi.


Kepercayaan: Kitaran haid saya terganggu apabila mengambil pil perancang.

Fakta:
 Pil perancang sebenarnya boleh membantu memperbaiki kitaran haid.

Apabila pil perancang diambil dengan cara yang betul, kitaran haid akan distabilkan dan kedatangannya boleh dijangka setiap bulan. Kebanyakan wanita yang mengambil pil perancang mendapat haid setiap bulan seperti sepatutnya.
Malah berita baiknya ialah jumlah darah haid menjadi sedikit dan kurang sakit.


Kepercayaan: Pil perancang boleh menyebabkan kanser.

Fakta:
 Pil perancang boleh melindungi anda daripada beberapa jenis kanser.

Banyak kajian menunjukkan pil perancang mempunyai banyak manfaat perubatan dan ia boleh membantu mengurangkan risiko mendapat kanser tertentu. Ia boleh mengurangkan risiko mendapat kanser ovari sebanyak 34 peratus dan kanser endometrium (40 peratus).

Lebih lama anda mengambil pil perancang, maka risiko mendapat kanser ini lebih rendah. Kajian mendapati jika anda mengambil pil perancang melebihi 10 tahun, anda boleh merendahkan risiko mendapat dua kanser ini sehingga 80 peratus.

Pil perancang juga mengurangkan risiko terbentuknya sista ovari, mengalami masalah pada pelvik, fibroid dalam rahim, kehilangan ketumpatan tulang dan masalah kekurangan zat besi (anemia).


Kepercayaan: Pengguguran kehamilan lebih selamat berbanding memasukkan hormon ke dalam badan setiap hari.

Fakta:
 Pengambilan pil perancang jauh lebih selamat daripada pengguguran kehamilan.

Dos ubat untuk menggugurkan kehamilan adalah sangat tinggi dan proses ini mengambil masa beberapa hari. Pengguguran secara pembedahan juga ada risiko tersendiri kerana prosedur invasifnya membabitkan pelalian keseluruhan. Antara risikonya ialah pengguguran yang tidak lengkap, jangkitan, pendarahan (banyak) dan kerosakan organ dalaman.

Dianggarkan 42 juta pengguguran kehamilan berlaku di seluruh dunia setiap tahun, 20 juta daripadanya dilakukan secara tidak selamat. Ia mungkin dilakukan oleh orang yang tidak bertauliah, di tempat yang tidak bersih atau tidak mempunyai peralatan lengkap. Keadaan ini menyebabkan 70,000 wanita meninggal dunia dan lima juta lagi hilang keupayaan.


Kepercayaan: Kaedah yang saya gunakan membuatkan haid saya sedikit atau tidak datang langsung. Saya bimbang jika ia terkumpul dalam rahim dan menyebabkan penyakit.

Fakta:
 Ramai wanita anggap pengeluaran darah haid yang banyak itu baik. Malah ramai juga menganggap kedatangan haid setiap bulan itu sebagai satu kemestian.

Penggunaan kaedah perancangan keluarga seperti sistem dalam rahim (IUS) yang mengeluarkan hormon setiap bulan akan menipiskan lapisan endometrium. Secara semula jadi lapisan dinding ini akan menebal, tertanggal dan keluar sebagai haid jika kehamilan tidak berlaku. Kehadiran hormon akan membuatkan lapisan ini menjadi nipis, jadi darah haid yang keluar adalah sedikit, bukannya tertinggal dalam rahim.

Hormon daripada IUS bukan sekadar mengelakkan proses persenyawaan berlaku malah ia turut mengurangkan masalah berkaitan haid seperti senggugut dan kurang darah atau anemia.



READ MORE - Risiko kehamilan tak dirancang

Wednesday, February 22, 2012

Mengatasi jerawat

BERTINDAK sebagai ejen antikulat dan antibakteria terutama bagi produk penjagaan kulit, ekstrak pokok tea atau nama saintifiknya Melaleuca alternifolia adalah bahan semula jadi yang membantu untuk mengatasi masalah jerawat.
Tumbuhan berasal dari benua Australia yang juga dikenali sebagai pokok gelam wangi ini boleh hidup subur di kawasan beriklim tropika. 
Pokoknya mempunyai ketinggian empat hingga tujuh meter dengan daun berbentuk halus dan tersusun rapi secara berlingkar di sepanjang ranting manakala pada permukaan bawah daun terdapat dua baris bintik kecil sel minyak tersusun memanjang sehingga ke pangkalnya.

Kulit pokok ini pula seakan kertas dan boleh disiat dalam bentuk kepingan malah, tumbuhan ini berbunga dengan banyak apabila tiba musim bunga.

Ekstrak minyak asli berwarna kekuningan ini adalah ejen semula jadi untuk mengubati tiga jenis organisma menyebabkan jangkitan kulit iaitu cendawan, bakteria, dan virus.

Selain itu, minyak pokok tea juga membantu untuk menga�tasi masalah pernafasan seperti sakit tekak, batuk serta memperkuat sistem kekebalan tubuh. Ia juga boleh digunakan untuk penyakit mulut seperti jangkitan mulut dan tekak.

Di samping itu, ekstrak barli turut dijadikan sebagai sebahagian bahan utama kerana memiliki kesan penyejukan terbaik bagi memberikan lebih perlindungan serta mengurang�kan kesan kemerahan tidak sekata pada kulit.

Justeru rangkaian penjagaan kulit, Clean Face daripada TheFaceShop menggunakan khasiat diperoleh daripada pokok tea serta barli merangkumi 11 produk bagi memberikan penjagaan kulit secara menyeluruh mengikut masalah dihadapi.

Menurut Pengurus Latihannya, Amelyn Tay, penting bagi setiap wanita mengetahui bentuk penjagaan kulit wajah terbaik bagi memastikan tiada masalah lebih serius di kemudian hari.

Untuk itu, penting bagi melakukan proses penyahtoksin bukan hanya bersifat luaran tetapi juga dalaman kerana seperti masalah pada kulit berpunca daripada masalah dalaman.

“Selain penyahtoksin, wanita juga perlu memahami jenis kulit mereka sendiri sebelum memutuskan untuk menggunakan sesuatu produk penjagaan kulit dan untuk itu, mereka perlu mendapatkan bantuan pakar bertauliah.

“Sebagai contoh jika anda memiliki kulit kering dan berpigmen, perlu mendapatkan produk yang berupaya merawat bagi mengurangkan masalah terbabit. Jangan bersikap sambil lewa kerana ia boleh menyebabkan kesan lebih buruk berlaku pada kulit,” katanya ditemui pada majlis pelancaran rangkaian produk penjagaan kulit Clean Face di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Antara rangkaian produk yang diperkenalkan termasuk buih pembersih wajah penyelesaian jerawat, penyegar dan losen lembut, esen kawalan tanpa minyak, krim kawalan tanpa minyak, krim pelindung matahari SPF35PA++ tanpa minyak, krim BB tanpa minyak serta topeng muka sebum kawalan.

Buih pembersih wajah penye�lesaian jerawat jenama ini mengandungi bahan penjagaan jerawat efektif iaitu triclocarban yang menghalang kelenjar sebum daripada menghasilkan enzim.

Ia juga mampu membantu mengurangkan kesan cela termasuk minyak berlebihan dan kulit mati yang menghalang bukaan liang roma.

Produk penyegarnya pula membantu mengawal lebihan minyak pada kulit kerana ia mengandungi ekstrak pokok tea yang membantu membuang bakteria penyebab jerawat.

Losen pula membantu menenangkan kesan iritasi pada kulit kerana ia juga mengandungi ekstrak pokok terbabit yang membantu untuk menghalang pembentukan jerawat.

Ia juga membantu membaik pulih sel kulit bagi menghilangkan kesan parut jerawat lama.

Esen kawalan tanpa minyak pula mengandungi ekstrak pokok tea dan teh hijau yang membantu memberikan kesan lebih me�nyegarkan pada kulit selepas penggunaannya.

Selain itu, krim kawalan tanpa minyak dihasilkan bertujuan membantu mengawal lebihan minyak yang terkumpul untuk mengelakkan kulit daripada mengalami rasa melekit seharian. Malah, ia dipertingkatkan dengan kompleks Quick-clear bagi membantu menyegarkan kulit.

Bagi penggunaan krim pelindung matahari SPF35PA++ tanpa minyak, ia bertujuan melindungi kulit daripada berterusan terdedah kepada pancaran cahaya ultra ungu (UV). Ia sesuai digunakan bagi mereka yang memiliki kulit berminyak serta berjerawat.

Krim BB tanpa minyaknya direka dengan formula me�ngurangkan iritasi bagi membantu melindungi parut jerawat serta kesan kemerahan pada kulit.

Untuk produk topeng muka sebum kawalan, ia mengandungi ekstrak pokok birch dan pokok tea yang membantu membersihkan kulit dengan lebih insentif di samping memberikan kesan menyegarkan.

Malah, ia juga dirumus bersama ekstrak daun pokok tea, teh hijau, limau gedang dan akar arctium majus bagi memberikan kesan penghidratan tanpa minyak yang berkesan terutama bagi jenis kulit berminyak serta membantu mengurangkan masalah radang pada kulit.
READ MORE - Mengatasi jerawat

Gel rambut formula mengatasi kelemumur

SAMA seperti perempuan, rambut juga penting bagi lelaki. Golongan lelaki juga begitu mementingkan penampilan rambut mereka agar sentiasa kemas dan bergaya.

Justeru, penggunaan krim atau gel rambut dilihat begitu sinonim dalam kamus hidup mereka sebagai bahan pemudah menggayakan pelbagai jenis fesyen.

Tidak hanya mempunyai fungsi sebagai pelengkap gaya, malah kini terdapat juga krim atau gel rambut yang menawarkan pelbagai formula bagi mengatasi masalah yang biasa dihadapi seperti kelemumur, rambut gugur dan terbaru perlindungan daripada sinaran ultraungu (UV) sepanjang hari.

Jenama Safi turut memperkenalkan rangkaian produk penjagaan rambut, Safi Men yang dicipta khas untuk memudahkan kaum lelaki menggayakan mahkota mereka, sekali gus dapat membantu melindunginya daripada sinaran UV.

Dirumus tanpa alkohol, ia juga mengandungi multivitamin bagi membantu menguatkan struktur rambut agar tidak mudah gugur ketika menggayakan pelbagai fesyen terkini.

Rumusan perlindungan UV, multivitamin dan mentol pada penghasilan gel rambut kawalan efektif membantu memberikan rambut lebih sihat dan tidak meninggalkan sisa yang merosakkan penampilan.

Gel itu sesuai digunakan bagi menggayakan rambut yang lebih ranggi dan berani, khusus bagi mereka yang ingin mencuba pelbagai jenis fesyen terkini setiap hari.

Bagi lelaki yang bergerak aktif, pemakaian gel rambut kawalan ekstrem tampak lebih sesuai untuk membantu mengekalkan gaya yang lebih sempurna agar bebas sepanjang hari.

Untuk tampil segar dan bersahaja dengan gaya rambut ringkas, sapuan krim rambut formula biasa membantu memudahkan pengurusan rambut.

Walaupun ringkas, kekemasan rambut yang ditampilkan sesuai digayakan untuk ke pejabat atau bersantai bersama teman pada hujung minggu.

Berbeza bagi lelaki yang inginkan kesegaran dan kemasan berpanjangan, penggunaan krim rambut ZPT membantu mengurangkan kegusaran terhadap masalah kelemumur.

Rumusan perlindungan UV, multivitamin dan mentol serta kawalan antikelemumur ZPT membantu menyegarkan rambut agar tidak kelihatan kusam.

Keunikan rumusan gel rambut H2O berasaskan air pula membantu menjadikan rambut terasa lebih ringan sesuai untuk lelaki yang ingin bergaya santai.

Ia tidak melekit dan membantu memberi kesegaran sepanjang hari untuk kekal sihat serta kemas dengan penampilan rambut sempurna tanpa meninggalkan sisa yang merosakkan gaya.

Kesemua rangkaian penjagaan rambut Safi Men itu boleh diperoleh di pasaran bermula pada harga RM3.90
READ MORE - Gel rambut formula mengatasi kelemumur

Analisis terperinci

LEDAKAN teknologi terkini ditambah dengan ‘kegilaan’ pengguna terhadap tablet seperti iPad menjangkaui sehingga ke industri kecantikan dunia.
Susulan kepada pembukaan butik kendirinya yang mengetengahkan rekaan serta teknologi moden berkonsepkan ‘Servis As You Like’ di Pavilion, hujung tahun lalu, Clinique mengorak selangkah lagi dengan memperkenalkan inovasi kecantikan terkini menerusi Apple iPad(R)1 Skincare Diagnostic Tool yang hanya ada di butik itu. 
Aplikasi seumpamanya di dunia itu dicipta khusus untuk membolehkan pengguna melakukan analisis kulit secara terperinci bagi mengenal pasti masalah yang dialami sebelum mendapatkan produk yang disyorkan daripada cetakan lengkap diagnosis terbabit.

Pada 1968, Clinique memperkenalkan sistem Clinique Computer dalam usaha memberi maklumat kepada pengguna serta memberikan saranan atau penyelesaian pada setiap masalah berkaitan kulit.

Sistem terbabit disifatkan revolusi dalam dunia kecantikan antarabangsa - dengan kombinasi klasik Clinique - untuk membantu perunding kecantikan Clinique mengenal pasti jenis serta masalah kulit menerusi soalan diagnosis mudah yang dicipta sekumpulan pakar dermatologi.

Cetusan inspirasi warisan unik itu, Clinique menggunakan semula kaedah terbabit dengan janaan aplikasi iPad yang memaparkan lebih banyak maklumat, padat dan mudah diselenggarakan.

“Clinique dibina atas janji untuk menyediakan hasil terbaik kepada pengguna dengan memberikan pengalaman menarik dan bermaklumat berkaitan masalah kecantikan.

“Dengan menyepadukan teknologi digital dalam pengalaman beli-belah di Clinique, kami juga dapat menawarkan pengguna salah satu cara merangsang pembelian bijak dan perhubungan moden dengan jenama ini,” kata Pengurus Besar Jenama Clinique, Sharyn Wong.

Menerusi alat intuitif Apple iPad(R) Skincare Diagnostic Tool itu, soalan diagnostik digandakan dengan tambahan butiran peribadi seperti umur, tahap tidur dan tekanan yang dialami, juga tabiat gaya hidup serta kebimbangan pengguna mengenai produk kecantikan.

Aplikasi ini membuka ruang dialog yang lebih memberangsangkan, sekali gus membolehkan pengguna memperoleh tip serta panduan khas mengenai masalah mereka.

Selain itu, Apple iPad(R) Skincare Diagnostic Tool ini bertujuan memberi perkhidmatan kepada pengguna yang inginkan kebebasan ketika membeli-belah produk kecantikan tanpa gangguan jurujual.

“Pengguna zaman ini mempunyai banyak cara komunikasi untuk mendapatkan maklumat pada satu-satu produk.

Bermula dengan perkembangan telefon bimbit pintar hinggalah kepada Google dan fenomena Facebook, pengguna kini mencari pengalaman berbeza dan bukan pada satu dimensi saja.

“Kami merasakan ia masa sesuai untuk memperkenalkan Apple iPad(R) Skincare Diagnostic Tool ini untuk meningkat�kan lagi pengalaman di butik Clinique yang seiring dengan konsep ‘Service As You Like It’ bagi memperkasakan pengguna dengan keperluan produk serta khidmat yang diperlukan,” tambah Sharyn.

Konsep ‘Service As You Like It’ adalah pilihan perkhidmatan di Clinique iaitu sama ada mahukan perkhidmatan lengkap atau layan diri yang lebih mesra pengguna.

Perkhidmatan lengkap merangkumi rundingan bersemuka antara pelanggan dan pakar runding Clinique.

Ini bermakna, pelanggan yang punya masa bukan saja boleh melakukan analisis kulit secara komprehensif menggunakan peralatan diagnostik terkini, malah mendapat maklumat lengkap mengenai rejim penjagaan wajah yang betul berdasarkan keadaan kulit.

Layan diri pula lebih kepada ‘cuba dan bayar’ yang membolehkan pelanggan menguji, memilih dan mendapatkan produk kegemaran mereka.
READ MORE - Analisis terperinci

Bantu seri kulit bak kristal

UMUM mengakui serum mempunyai banyak kebaikan kepada kulit. Ia adalah sejenis cecair yang digunakan untuk merawat ketidaksempurnaan wajah seperti kulit kering serta mengurangkan garis penuaan.

Mengandungi pati bahan semula jadi berformula tinggi serta molekul yang jauh lebih kecil daripada pelembap kulit, serum lebih mudah menyerap jauh ke dalam kulit dan menghasilkan kesan yang lebih baik.

Selain mengurangkan bintik hitam, pemakaian secara berterusan menjadikan kulit tampak lebih sihat dan berseri serta merangsang penghasilan kolagen. Pemakaian serum pada mata boleh membantu untuk mengurangkan lingkaran gelap dan sembap bawah mata, sekali gus menghilangkan garis halus dan kedutan pada kulit.

Menyedari kebaikan serum kepada kulit wanita, jenama kecantikan wajah Lancome memperkenalkan serum pencerah terbarunya Blanc Expert Derm-Crystal Crystal Brightness Activating Essence yang membantu wanita memperoleh kulit berseri bak kristal dalam masa seminggu.

Penemuan saintifik terkini mendapati kehadiran sel kulit muda dan aktif dikenali sebagai fibroblast, mampu mengawal pigmentasi menjadikan kulit lebih berseri. Bertindak atas penemuan ini, Lanc�me menghasilkan produk pencerah paling lengkap bagi menangani masalah pigmentasi pada peringkat permukaan kulit.

Teknologi Blanc Expert Derm-Crystal Crystal Brightness Activating Essence direka dan disasarkan pada dermis, bagi mengaktifkan semula kecerahan kristal kulit secara dari dalam.

Ia menggunakan formula pencerah utama mengandungi kompleks eksklusif Dermactyl iaitu sebatian unik pati soya, bunga matahari, daun pudina dan mawar untuk bahagian dermis. Setiap titisan menyerap jauh ke dalam menjadikan kulit segar, berseri, lembap dan harum sepanjang masa.

Dalam satu kajian klinikal yang dijalankan ke atas 56 wanita menggunakan serum ini selama lapan minggu, ia menunjukkan 14 peratus peningkatan dalam indeks kulit bak kristal selepas lapan minggu penggunaannya.

Mereka mengakui kulit lebih mulus sebanyak 19 peratus dan keserian wajah meningkat sebanyak 22 peratus. Selain itu, penilaian klinikal bagi kontras warna antara kawasan berbintik dan tidak berbintik semakin berkurangan sebanyak 30 peratus.

Penilaian kendiri wanita ini juga menunjukkan 86 peratus mengakui kulit nampak lebih mulus dan 88 peratus mengatakan warna bintik pada kulit semakin berkurangan. Sebanyak 91 peratus daripada mereka merasakan kulit tampak lebih cerah dan ton lebih sekata manakala 93 peratus mengatakan kulit lebih cerah dan berseri.

Pada majlis itu juga, untuk menonjolkan kecantikan kilauan kulit berseri bak kristal Lanc�me bersama pereka Carven Ong menampilkan gaun koktel berhias kristal swarovski inspirasi daripada serum pencerah terkini Blanc Expert Derm-Crystal.

Gaun ini dipakai tiga ratu cantik iaitu Ratu Cantik Astro 2007, Joanne Yew; pemenang kedua Ratu Cantik Malaysia 2008, Cindy Chen dan pemenang kedua Ratu Cantik Universe Malaysia 2009/2010, Cassandra Patrick.

Ketika menerangkan rasional di sebalik persembahan fesyen mini ini, menurut Pengurus Pemasaran Lanc�me, Joanne Leong, Lancome mahu menunjukkan kecantikan kilauan kristal kepada wanita Asia menerusi fesyen dan menerangkan kepada mereka bagaimana kulit berseri bak kristal boleh dicapai dengan mudah menggunakan serum Blanc Expert Derm-Crystal.

“Kami sungguh bertuah kerana pereka fesyen terkenal, Carven Ong dan tiga ratu cantik sudi meluangkan masa bersama-sama menunjukkan erti kecantikan kepada wanita,” katanya.

Gaun koktel cantik ini akan dijadikan hadiah kepada pelanggan yang menyertai peraduan Blanc Expert Derm-Crystal. Maklumat lanjut mengenai peraduan ini boleh didapati di www.facebook.com/LancomeMY mulai Mac ini.
READ MORE - Bantu seri kulit bak kristal

Solekan ala photoshop

SETIAP wanita mendambakan solekan wajah yang sempurna dan kemas untuk tampil lebih yakin di khalayak ramai. Bagi mendapatkannya tidak sukar asalkan bijak memilih rangkaian item solekan yang baik sejak mula lagi.
Dipercayai, bermula daripada pemilihan produk berkualiti seperti bedak asas, penyamar noda atau pembayang mata, wanita mampu mengecapi kepuasan definisi kecantikan ini. 
Tampil mahu membantu wanita memiliki kecantikan hasil solekan sempurna lagi kemas, pengeluar barangan penjagaan diri dan kosmetik antarabangsa, L’Oreal Paris, memperkenalkan produk terbarunya, L’Oreal Paris Base Magique, krim asas kepada kesempurnaan solekan.

Ia seakan-akan salap yang mempunyai tekstur seperti kain baldu tetapi mudah disapu pada permukaan kulit wajah sebelum pemakaian bedak asas mahupun bedak padat.

Produk ini juga dikatakan dapat membuatkan pemakainya berasa ‘senang’ kerana dapat menyempurnakan solekan dan hasilnya, kulit wajah menjadi lembut dan licin apabila disentuh.

Sapuan Base Magique yang berwarna merah jambu muda ini membantu untuk mengurangkan kesan garis halus dan pori-pori agar sapuan bedak asas dan bedak padat lebih halus serta rata sambil bertindak meresap lebihan minyak di kulit.

Bahan solekan seperti ini yang dikenali juga sebagai alat solek primer banyak digunakan jurusolek profesional yang mana mereka amat mementingkan kekemasan pada lapisan asas kulit wajah sebelum pemakaian bedak asas dan bedak padat.

Ia bertujuan mendapatkan ton kulit yang sekata pada wajah agar memudahkan proses solekan seterusnya dapat melahirkan wajah yang kelihatan lebih licin serta bersinar.

Selain itu, sapuan produk primer ini juga membolehkan solekan mampu bertahan dalam jangka waktu yang lama.

Perkara paling menarik mengenainya apabila pemakai akan memiliki wajah lebih licin, lembut dan sempurna, seakan-akan sudah melalui teknik photoshop.

Bagaimana semua ini dilakukan? Ia diperoleh melalui dua langkah mudah.

Pertama, gosokkan Base Magique di antara jari-jemari supaya memudahkan ia diratakan pada wajah.

Kemudian, sapukan ia pada bahagian wajah yang kurang terkena cahaya matahari seperti kawasan bawah mata dan dahi, dagu serta tepi hidung yang agak kasar.

Pastikan anda memberi tumpuan sapuan yang lebih pada garis halus dan liang pori wajah untuk mendapat hasil terbaik.

Langkah kedua, ratakan sapuan Base Magique itu ke seluruh wajah. Ia boleh digunakan sebelum atau selepas sapuan bedak asas dan bedak padat.

Selain itu, ia juga boleh dioles pada bibir agar mengekalkan kelembapan dan memastikan gincu kekal lama.

Dengan formula inovatif Base Magique yang mengandungi ramuan eksklusif seperti minyak silikon, polimer konsentrasi tinggi, serbuk lembut dan tekstur kemerahan untuk kesempurnaan kulit, produk ini bakal memulihkan kulit wajah secara perlahan-lahan.

Minyak silikon contohnya, memudahkan peluncuran sapuan dan tidak berminyak bagi memastikan ia licin dan sekata.

Polimer terbabit pula memberikan kesan kabur yang agak kuat untuk kemasan lebih berseri dan bersinar.

Sementara itu, serbuk lembut bertindak melembutkan kulit dari setiap sudut wajah manakala tekstur kemerahan dapat membantu mengembalikan ton kulit supaya lebih jelas dan sekata.

Semua formula Base Magique menjalani ujian dermatologi dan sesuai untuk semua jenis kulit.

Ia boleh didapati pada harga RM45.90 di semua peruncit dan farmasi utama.
READ MORE - Solekan ala photoshop

Denggi: Satu lagi kematian dilapor bagi tempoh 12 hingga 18 Feb

PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat demam denggi dilapor di Selangor bagi tempoh 12 hingga 18 Feb, membabitkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini berkata hasil pemeriksaan di kediaman pesakit mendapati kadar pembiakan Aedes adalah tinggi iaitu 5.8 peratus. 
Dalam tempoh itu juga sejumlah 585 kes dicatat dengan peningkatan sebanyak 72 kes berbanding minggu sebelumnya.

Sembilan negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya dengan Selangor mencatat kes paling tinggi iaitu 44 kes, diikuti Kelantan 41 kes, Sarawak (12 kes), Pahang (enam), Johor (empat), Melaka (tiga), Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing dua kes dan Pulau Pinang mencatat satu kes.

Jumlah lokaliti juga meningkat iaitu daripada 116 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 126 lokaliti, dua lokaliti 'panas' dikenalpasti di Kuala Lumpur iaitu di Taman Miharja (Miharja Kondo Fasa 3) dan Flat Sri Melaka B (Blok 24-40) di Bandar Tun Razak, Cheras.

Sepanjang tempoh itu juga sebanyak 78,570 premis telah diperiksa dengan 1,083 premis didapati mempunyai pembiakan Aedes.

Lapan negeri menunjukkan kadar pembiakan Aedes melebihi satu peratus iaitu Perlis, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Terengganu. -- BERNAMA

READ MORE - Denggi: Satu lagi kematian dilapor bagi tempoh 12 hingga 18 Feb

Tuesday, February 21, 2012

Tukar berus gigi 3 bulan sekali

SETIAP orang mempunyai tabiat tersendiri. Sama ada perlakuan itu positif atau negatif pastinya akan mempengaruhi kehidupan. Contoh yang paling mudah tabiat makan pada waktu malam dan tidak memberus gigi tentunya akan memberi kesan kepada kesihatan gigi. Lama kelamaan gigi akan rosak, sekali gus membuatkan penampilan kurang sempurna.
Oleh itu menjelang 2012, apa kata anda senaraikan semua tabiat negatif yang memberi kesan kepada kesihatan, kerjaya atau pendidikan seterusnya merangka kepada sesuatu yang lebih positif. Mulakan dengan acara paling mudah iaitu menukar berus gigi setiap tiga bulan kerana jika anda dapat melakukannya anda mampu berubah menjadi individu yang lebih sihat serta bahagia. 
Ini terbukti menerusi kajian dijalankan Persatuan Pergigian Chicago Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan, beribu-ribu bakteria boleh membiak di atas berus gigi berbulu. Ada sesetengah boleh menyebabkan selesema dan virus kudis pada mulut.

Menerusi kajian ini, pakar pergigian menggalakkan rakyat AS menukar berus gigi setiap tiga bulan bagi kesihatan mulut yang optimum, namun hanya 8.6 peratus pengguna mematuhinya manakala yang lain menggantikan berus gigi setiap sembilan bulan. Berbeza dengan rakyat Jepun kerana mereka lebih bijak dan menghargai kesihatan apabila menggantikan berus gigi setiap 3.1 bulan.

Menurut Pakar Pergigian AS, Tom Glass, berus gigi harus dibuang selepas 40 hingga 50 penggunaan. Individu sihat perlu membeli berus gigi baru setiap tiga bulan manakala mereka yang bermasalah gusi, mulut dan mempunyai imunisasi yang lemah perlu menukar berus gigi lebih kerap.

“Mereka yang mempunyai penyakit pernafasan atau penyakit berjangkit perlu menukar berus pada awal penyakit, seterusnya apabila penyakit mereka bertambah baik. Berus gigi pula perlu ditukar setiap hari untuk pesakit yang baru pulih daripada pembedahan kerana pada masa ini, jangkitan kuman adalah lebih tinggi,” katanya.

Ramai tidak tahu berus gigi adalah tempat pembiakan biasa bagi kuman dan kulat kerana sering basah dan boleh tercemar menerusi bakteria di bilik mandi yang datang apabila seseorang mengepam tandas.

Oleh itu, menyimpan berus gigi di tempat kering serta jauh dari tandas adalah cara paling selamat memastikan berus gigi bebas mikro organisma.

Colgate memperkenalkan berus gigi 360 darjah antibakteria yang pertama menggunakan zeolit perak sebagai agen antikuman sehingga 90 hari.

Menerusi kajian klinikal, ia menunjukkan tindakan antibakteria akan kekal pada berus gigi ini selama 90 hari kerana diperbuat daripada bulu yang boleh mengurangkan pertumbuhan bakteria, pada masa sama membersihkan gigi selepas 24 jam berbanding berus gigi yang biasa digunakan.

Ia direka untuk memberi jaminan tambahan kepada individu yang ingin perlindungan lengkap daripada bakteria apabila mereka menjalankan rutin harian memberus gigi dua kali sehari menggunakan teknik yang betul.

Persatuan Pergigian Malaysia juga mengesyorkan menukar berus gigi sekurang-kurangnya setiap tiga bulan mampu menghalang bakteria daripada memasuki mulut.
Ini terbukti selepas tiga bulan penggunaan berus gigi menjadi haus dan lusuh serta kurang berkesan ketika membuang plak.

Bakteria juga boleh tertinggal dan hidup secara semula jadi di dalam mulut selepas menggunakan berus gigi secara berulang-ulang.

Menerusi berus gigi Colgate 360 darjah antibakteria, pengguna tidak perlu bimbang apabila bakteria tidak lagi berada di dalam mulut mereka serta dapat memberus dengan tenang.

Tidak seperti berus gigi lain, Colgate 360 darjah antibakteria mengeluarkan sehingga 90 peratus bakteria dan membersih secara keseluruhan termasuk lidah, dinding pipi dan gusi. Dilengkapi alat pembersih khas lidah pada kawasan tengah yang membantu membuang kotoran secara lebih efektif dan mudah.

Batang pemegang berus juga sangat penting bagi memastikan pemberusan sempurna.
Dulu, bentuk pemegang hanya lurus, panjang dan nipis. Kini bentuknya semakin berubah kepada berliku, lurus tebal dan nipis, mengikut cita rasa pengguna.
Penyelidikan juga menunjukkan bentuk gagang berus penting untuk kumpulan pengguna tertentu.

Orang yang mengalami kecederaan atau kecacatan tangan lebih suka kepada gagang tebal kerana boleh memegang dengan selesa. Pengguna lain pula gemar dengan gagang lebih nipis manakala kanak-kanak memilih pemegang yang gebu dan gemuk.
Berus gigi 360 darjah antibakteria dilengkapi pemegang ergonomik untuk cengkaman kuat bagi memberikan keselesaan ketika memberus gigi.

Bersempena pelancaran berus gigi 360 darjah antibakteria, Colgate turut mengadakan kempen memberus gigi sepanjang Februari ini.

Berus gigi Colgate antibakteria kini boleh didapati di semua farmasi dan kedai terpilih seluruh negara pada harga RM12.90 dan RM19.35 untuk satu dan pek berkembar. Sepanjang Februari, Colgate memperkenalkan harga pengenalan RM9.90 untuk satu pek.
READ MORE - Tukar berus gigi 3 bulan sekali

Susui bayi seawal mungkin

JALINAN...hubungan   ibu dan anak tiada penghujungnya.
JALINAN...hubungan ibu dan anak tiada penghujungnya.
DR WAN MAZIAH...pemberhentian susu  ibu lebih awal dikaitkan dengan risiko si ibu menghidap penyakit kemurungan selepas bersalin.
DR WAN MAZIAH...pemberhentian susu ibu lebih awal dikaitkan dengan risiko si ibu menghidap penyakit kemurungan selepas bersalin.
TIDAK dapat dinafikan segala perancangan penyusuan bayi harus bermula dari peringkat awal iaitu semasa mengandung yang mana si ibu perlu melengkapkan dirinya bukan saja dengan pemakanan seimbang tetapi juga melengkapi emosi diri.
Namun, ramai juga ibu yang sering tertanya-tanya kaedah untuk menghasilkan susu yang banyak supaya tidak perlu dicampur dengan susu formula.
“Pemakanan seimbang yang tinggi kalsium seharusnya diteruskan ketika menyusukan bayi untuk memenuhi keperluan zat dan tumbesaran bayi.

“Malah, si ibu terbabit perlu menyambung pengambilan vitamin prenatal dan minum air yang mencukupi untuk menampung kedua-dua ibu dan anak,” kata Pakar Kanak-Kanak, KPJ Seremban, Dr Wan Maziah Wan Mohamed.

Selain itu katanya, si ibu juga memerlukan waktu rehat yang mencukupi dan perlu sentiasa berada dalam keadaan tenang. Ia mungkin tidak begitu mudah jika si ibu berkenaan perlu juga menjaga anak yang lain oleh itu, sokongan keluarga sangat penting.

Kadangkala si ibu juga perlu mengambil ubat untuk masalah kesihatan lain justeru, mereka seharusnya merujuk kepada doktor untuk memastikan ia selamat digunakan sewaktu proses penyusuan (laktasi).

“Menyusu bayi seawal mungkin (sebaik-baiknya dalam jam pertama selepas bersalin) akan membantu pengeluaran susu lebih cepat dan banyak.

“Ini disebabkan setiap kali bayi menyusu, ibunya akan dirangsang dan pengeluaran hormon prolaktin dan oxytocin akan membantu menambah susu,” katanya.

Oleh itu katanya, lebih kerap bayi menyusu pada peringkat awal, lebih cepat terhasil pengeluaran susu yang mencukupi.

Namun, jika bayi diberi susu formula untuk menampung keperluan bayi pada minggu pertamanya, rangsangan kepada si ibu menjadi kurang dan pengeluaran susu ibu juga akan tergendala.

Malah, manfaat susu ibu untuk memberi perlindungan kepada usus bayi berkenaan juga akan terjejas kerana koloni bakteria baik akan berkurangan.

Di samping itu, Dr Wan Maziah berkata, pemberhentian susu ibu lebih awal ataupun tidak menyusu ibu dikaitkan dengan risiko lebih tinggi untuk si ibu menghidap penyakit kemurungan selepas bersalin (postpartum).

Kemurungan postpartum ialah ketidakseimbangan kimia yang secara amnya berlaku antara dua hingga lima minggu selepas seseorang wanita melahirkan anak.

Tekanan perasaan tahap kedua ini dikategorikan sebagai sederhana, juga dikenali sebagai kemurungan dan biasanya dialami sekitar 10 hingga 15 peratus wanita bersalin.

Masalah kemurungan ini boleh berpanjangan jika tidak dirawat. Selalunya, ia menyerang dalam tempoh pantang atau enam bulan pertama selepas bersalin.

“Antara gejala kemurungan ini adalah rasa sedih berpanjangan, rendah diri dan berasa dia bukan ibu yang baik bagi anak dilahirkan, tidak boleh menumpukan perhatian, letih dan tertekan, kurang selera makan serta sukar tidur malam.

“Namun, masalah ini boleh dirawat melalui perubatan dan terapi jika berjaya dikesan pada peringkat awal. Tetapi paling penting adalah sokongan keluarga terutama suami yang banyak membantu menangani gejala ini daripada berterusan,” katanya.

Baginya, menyusukan bayi dengan susu ibu adalah salah satu langkah bijak yang boleh diambil sepanjang proses tumbesaran anak.

Katanya, banyak kajian dilakukan sama ada menggunakan kaedah epidemiologi dan teknik makmal yang canggih menunjukkan terdapat banyak manfaat terhadap penggunaan susu ibu kepada anak jika ia diberikan sejak awal kelahirannya.

Antaranya merangkumi faedah kesihatan, imunologi, perkembangan dan tumbesaran anak, psikologi serta faktor sosio ekonomi namun begitu, masih ramai golongan ibu yang tidak menyusukan bayi mereka secara khusus.

“Keadaan ini mungkin disebab�kan masih ramai tidak mengetahui atau tidak begitu yakin dengan khasiat susu ibu ataupun disebabkan proses menyusukan anak memerlukan dedikasi dan disiplin yang tinggi daripada kedua-dua ibu bapa.

“Ada golongan ibu yang melihat penyusuan susu ibu hanya dilakukan oleh orang kampung saja lantas mereka enggan meneruskan penyusuan apatah lagi adanya pelbagai faktor kekangan seperti kerjaya,” katanya.

Menurutnya, penyusuan ibu sebaik-baiknya secara eksklusif dilakukan selama enam bulan dan diteruskan hingga satu tahun untuk meraih sebanyak mungkin manfaat daripadanya.

Apakah sebenarnya khasiat susu ibu? Kenapa ia dikenali sebagai makanan terbaik bagi bayi dan digunakan sebagai ‘standard emas’ untuk pembuatan susu formula?

Dr Wan Maziah berkata, susu ibu adalah satu produk ‘hidup’ yang mengandungi pelbagai antibodi, enzim dan hormon yang tidak mungkin mampu dihasilkan secara buatan.

Malah, kandungan susu ibu berkenaan berbeza mengikut individu dan peringkat perkembangan mereka. Disebabkan itu, golongan ibu mengeluarkan susu paling sesuai untuk bayi mengikut kematangan bayi mereka dan kesan daripada penyusuan susu ibu ini akan kekal hingga dewasa.

“Kajian menunjukkan penurunan risiko penyakit akut otitis media, cirit-birit, jangkitan saluran pernafasan yang teruk, dermatitis atopi, asma (kanak-kanak), obesiti, diabetes jenis 1 dan 2, leukemia, sindrom kematian mengejut bayi dan necrotising enterocolitis.

“Malah, tidak dinafikan masih banyak lagi kajian sedang dilakukan untuk mengenal pasti kandungan lain susu ibu dan khasiatnya yang mampu mempengaruhi tumbesaran terbaik bagi bayi,” katanya.

Manfaat penyusuan ibu bukan hanya tertumpu kepada bayi kerana ia membentuk jalinan rapat antara si ibu dan bayi.

Proses berkenaan juga berupaya mempercepatkan pengecutan rahim kepada normal selain boleh mengurangkan berlakunya diabetes jenis 2, osteoporosis, kanser payudara dan kanser ovari.

“Malah, penyusuan ibu juga baik daripada segi sosio ekonomi kerana selain diperoleh secara percuma, ia juga menjimatkan kos rawatan hospital disebabkan anak lebih sihat.

“Anak yang sihat mempunyai minda lebih cerdas serta mampu menjadi insan lebih sempurna, berjaya dan menghasilkan generasi akan datang yang lebih cemerlang,” katanya.

Selepas ibu mula bekerja, disarankan supaya si ibu meneruskan penyusuan susu ibu dengan cara menyimpan perahan susu dalam peti sejuk beku dan digunakan bila perlu ketika waktu bekerja.

Selain itu, tekanan pekerjaan juga boleh mengurangkan pengeluaran susu, namun terdapat ubat yang boleh membantu menambahkan susu tetapi golongan ibu seharusnya mendapat nasihat daripada doktor sebelum mencubanya.

Pengambilan ubatan untuk menambah susu seperti ini harus digunakan sebagai langkah terakhir jika semua ikhtiar yang dilakukan tidak berhasil dan diingatkan, rangsangan terbaik masih daripada bayi yang menyusu badan.

“Terdapat juga keadaan tertentu seperti masalah kesihatan yang memaksa golongan ibu untuk memberi susu formula. Si ibu terbabit perlu memilih susu formula yang tidak membuatkan bayi sembelit atau cirit-birit serta tidak menimbulkan alahan.

“Jika keadaan ini berlaku maka si ibu tidak perlu bersedih kerana tidak mampu memberikan makanan terbaik (susu ibu) kepada bayi kerana bayi masih lagi mampu membesar sebaiknya jika cara dan langkah yang dilakukan mengikut aturan yang betul,” katanya.
READ MORE - Susui bayi seawal mungkin

Sunday, February 19, 2012

Suntik bakteria ke tubuh anak sihat

SAKIT... penderitaan akibat jangkitan bakteria pneumokokal mungkin kekal sepanjang hayat.
SAKIT... penderitaan akibat jangkitan bakteria pneumokokal mungkin kekal sepanjang hayat.
BAGI pasangan yang bakal menimang cahaya mata pertama atau seterusnya, apakah ikrar yang anda buat untuk masa depan permata hati anda itu? Menyediakan insurans kesihatan dan pendidikan, memilih pusat penjagaan dan pra sekolah terbaik atau membelikan pakaian berjenama dan permainan mahal?
Pernahkah anda terfikir untuk berikrar memberikan anak kesayangan anda semua imunisasi yang diperlukannya? Maksud penulis ialah memperuntukkan sedikit wang untuk vaksin tambahan. Mung�kin ada yang bertanya, bukankah kerajaan sudah mengadakan program imunisasi kebangsaan, buat apa hendak berikan vaksin lain pula?
Memang benar, kita mempunyai program imunisasi kebangsaan dan dianggap antara langkah perlindungan terbaik di dunia. Pun begitu, ia masih belum lengkap kerana perlindungan terhadap beberapa penyakit lazim dalam kalangan kanak-kanak belum dimasukkan dalam program berkenaan seperti rangkaian penyakit yang boleh disebabkan oleh bakteria pneumokokal.

Kalau ditanya pada mana-mana ibu bapa, rasanya semua tahu kepentingan vaksin.
Malah kebanyakannya memang mengambil berat terhadap jadual pengambilan vaksin anak kesayangan mereka. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini muncul segelintir ibu bapa yang enggan berbuat demikian atas alasan mahu si anak mempunyai perlindungan semula jadi dengan hujah ‘buat apa menyuntik bakteria ke dalam tubuh anak mereka yang sihat’?
Perunding Pediatrik dan Neonatal, Hospital Pakar Damansara Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, sistem pertahanan badan manusia boleh dibentuk melalui dua cara iaitu imuniti semula jadi dan dengan bantuan vaksin.

Menurutnya memang benar perlindungan yang diperoleh selepas terkena jangkitan itu lebih baik tetapi satu perkara penting yang perlu diketahui ialah jangkitan itu boleh menyebabkan beberapa penyakit teruk yang mungkin membawa kesulitan, kesengsaraan dan paling dikhuatiri ia berakhir dengan kematian.

Bakteria pneumokokal contohnya boleh menyebabkan empat keadaan atau penyakit berbeza - bakteremia (jangkitan bakteria dalam darah), meningitis (jangkitan selaput saraf tunjang atau otak), pneumonia (jangkitan paru-paru) dan otitis media (jangkitan telinga tengah).

Penyakit disenaraikan di atas adalah pecahan penyakit pneumokokal (PnD) yang membimbangkan pakar perubatan kerana ia dikelaskan sebagai pembunuh nombor satu kanak-kanak, terutama pesakit kecil di bawah umur lima tahun. Apa yang lebih membimbangkan ialah ramai ibu bapa tidak menganggap pembunuh senyap dalam kalangan kanak-kanak ini sebagai satu perkara penting.

Imuniti semula jadi bermakna seseorang perlu mendapat jangkitan sesuatu penyakit (sama ada disebab�kan bakteria atau virus). Apabila bakteria atau virus memasuki badan dan membiak, badan akan menghasilkan antibodi untuk melawan serangan mikro organisma berkenaan.

Dalam proses 'perang' itu, individu yang dijangkiti akan mengalami pelbagai gejala penyakit seperti demam, hilang selera makan, ruam, mata menjadi merah, muntah, cirit-birit, keletihan dan berat badan menurun.

Selepas pengalaman yang memeritkan ini, badan individu berkenaan sudah ada pelindung terhadap jenis bakteria atau virus yang me�nyerangnya. Jadi apabila dia dijangkiti bakteria atau virus daripada jenis yang sama untuk kali kedua, individu itu tidak akan mengalami sebarang masalah kesihatan.

Namun, berfikirlah secara rasional, buat apalah kita hendak anak yang masih kecil melalui pengalaman menyakitkan itu jika perlindungan yang sama boleh diberikan oleh vaksin. Vaksin adalah kultur bakteria atau virus yang sudah dilemahkan dan tidak boleh membahagi atau membiak dengan sempurna.

Ia akan disuntik ke dalam badan bayi tetapi jangan risau kerana virus atau bakteria yang diberi itu sangat lemah dan tidak akan menyebabkan masalah kesihatan, tetapi ia sudah cukup untuk memberi isyarat kepada badan supaya menghasilkan antibodi sama baik seperti imuniti semula jadi.

Sebaik badan menghasilkan antibodi, secara automatik ia akan menjadi anggota kekal dalam sistem pertahanan badan. Jika terdedah kepada jangkitan, antibodi ini akan segera memerangi virus atau bakteria yang memasuki badan. Bagi sesetengah vaksin, ia memberi perlindungan selama beberapa tahun dan ada juga sepanjang hayat.

Suntikan vaksin perlu diberikan untuk melindu�ngi kanak-kanak daripada mendapat jangkitan kerana 60 peratus kemasukan ke hospital dan 40 peratus kematian berlaku pada kanak-kanak di bawah 10 tahun. Ini perkara menyedihkan kerana ia boleh dicegah dengan vaksinasi.

Selain itu, vaksinasi juga dapat mengurangkan beban pada kanak-kanak dan ibu bapa mereka serta kos rawatan. Secara purata kanak-kanak yang sakit tidak dapat hadir ke sekolah selama lima hingga enam hari dan ibu bapa pula terpaksa mengambil cuti antara tiga hingga empat hari setiap kali anak sakit.

Kajian mendapati ada lebih 90 jenis bakteria pneumokokal, tetapi hanya 10 peratus yang boleh menyebab�kan penyakit pneumokokal serius di seluruh dunia.
Malangnya, kumpulan 10 peratus inilah yang menyebab�kan kira-kira 155 juta kes baru setiap tahun dan 150 juta kes berlaku di negara membangun. Daripada jumlah ini, sebanyak 15 juta kes dikategorikan sebagai serius yang memaksa kanak-kanak ditahan di hospital dan sedihnya 1.6 juta kes berakhir dengan kematian.


Siapa yang perlu dilindu�ngi?

Menurut Dr Musa, semua kanak-kanak di bawah umur lima tahun berhak mendapat perlindungan vaksin apatah lagi daripada jangkitan bakteria pneumokokal yang menyebabkan kerosakan otak, kehilangan pendengaran dan kematian.

Selain itu, saranan mendapatkan suntikan vaksin pneumokokal ini turut ditujukan kepada kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan harian, mereka yang lemah daya ketahanan badan dan mengalami penyakit kronik seperti kencing manis dan membabitkan penyakit jantung, paru-paru, buah pinggang dan hati.

Kanak-kanak, terutama yang dihantar ke pusat jagaan harian, terdedah kepada jangkitan pneumokokal dan boleh menjadi ejen pembawa serta penyebar bakteria yang berkesan. Kajian menunjukkan kira-kira 60 peratus kanak-kanak prasekolah menjadi pembawa bakteria pneumokokal dan berpotensi tinggi menyebar�kannya kepada rakan sebaya tanpa disedari.

“Pneumokokal ialah punca utama kehilangan keupayaan dan kematian kanak-kanak di bawah lima tahun di seluruh dunia yang boleh dicegah. Penyakit pneumokokal invasif boleh menjadi penyakit paling serius dalam kalangan kanak-kanak kecil.
Paling teruk, ia menyebabkan meningitis (keradangan selaput otak). Akibatnya kanak-kanak yang mendapat meningitis boleh menjadi buta atau pekak, atau mening�gal dunia.

“Sedihnya, penyakit pembunuh ini sering dilupakan. Pada 2008, penyakit ini menyebabkan kematian 8.8 juta kanak-kanak di bawah lima tahun. Satu perlima daripadanya meninggal akibat pneumonia. Malangnya hanya satu daripada lima ibu bapa yang dapat mengenal penyakit ini.

“Kita perlu mendidik ibu bapa dan orang ramai mengenai cara melindungi kanak-kanak daripada penyakit ini kerana kesannya amat buruk. Kaedah pencegahan berkesan perlu disediakan untuk kanak-kanak Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran laman web untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit pneumokokal dan penekanan kepentingan vaksin - www.abc4pneumococcal.com, sebagai lanjutan kepada Kempen Sasarkan Liputan Lebih Luas (ABC) yang menyeru ibu bapa memperjuangkan hak kanak-kanak untuk dilindungi daripada penyakit berkenaan melalui pemvaksinan.

Katanya lagi, apabila memberikan vaksin perlindungan kepada kanak-kanak, seisi keluarga malah masyarakat akan merasa manfaatnya. Ini kerana orang dewasa yang tidak pernah mendapat penyakit kanak-kanak ini ketika kecil atau mereka yang tidak sesuai menerima vaksin (disebabkan masalah kesihatan) berisiko tinggi mengalami jangkitan daripada kanak-kanak yang tidak diberikan suntikan vaksin.

Memberikan vaksin kepada kanak-kanak yang sihat secara tidak langsung akan melindungi orang dewasa, golongan tua dan kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin akibat masalah kesihatan.

Bahkan ia juga akan melindungi kanak-kanak yang tidak boleh menerima suntikan vaksin akibat menghidapi penyakit kronik seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang dan hati.


Jangkitan

Walaupun bakteria pneumokokal turut menjangkiti orang dewasa, kesannya lebih ketara dan teruk pada kanak-kanak kecil. Sehing�ga kini, dianggarkan 1.6 juta orang meninggal dunia setiap tahun akibat jangkitan pneumokokal dan daripada jumlah ini, antara 700 hingga satu juta adalah kanak-kanak berumur kurang lima tahun.

Bakteria pneumokokal mudah merebak melalui batuk dan bersin, kemudiannya menjangkiti saluran pernafasan kanak-kanak lain. Dari sini ia akan memasuki salur darah, merebak ke seluruh badan dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutama pada kanak-kanak di bawah dua tahun kerana badan mereka belum ada antibodi untuk melawan jangkitan pneumokokal.

Dari hidung, bakteria berpindah ke bahagian badan lain melalui aliran darah dan mula menyebabkan masalah kesihatan. Jangkitan bakteria pneumokokal boleh berlaku pada darah dan menyebab�kan keracunan darah (sepsis atau bakteremia), keradangan selaput saraf tunjang atau otak (meningitis), keradangan paru-paru (pneumonia) atau jangkitan telinga tengah (otitis media). Namun penyakit paling banyak direkodkan penyebab kematian kanak-kanak ialah pneumonia.

Bukan semua individu yang ada bakteria ini mengalami gejala penyakit kerana pneumokokal didapati ada pada individu sihat. Kumpulan ini dipanggil pembawa dan mereka mungkin membawa empat jenis (serotip) bakteria berbeza pada satu masa.


Bakteria pneumokokal boleh menyebabkan lima masalah iaitu:
  • Sinusitis - Kanak-kanak mengalami demam, hidung berair dan batuk.

  • Otitis media akut - Pesakit mengalami sakit telinga, demam, pendengaran menjadi tidak jelas. Dalam kalangan bayi atau kanak-kanak kecil, tindakan kerap menarik atau menutup telinga boleh menjadi tanda dia mengalami masalah otitis media.

  • Bakteremia (keracunan darah) - Boleh menyebab�kan pesakit demam panas dan mengalami pelbagai simptom lain.

  • Pneumonia - Pesakit menggigil, kesejukan, batuk, demam dan sesak nafas.

  • Meningitis - Menyebabkan pesakit demam, sakit kepala yang teruk, mual, muntah, leher menjadi tegang dan fotofobia (cuba mengelak melihat cahaya) dalam kalangan kanak-kanak lebih besar. Bayi dan kanak-kanak kecil pula biasanya mengalami demam dan beberapa gejala tidak khusus tetapi kerap.


    “Kurang pengetahuan mengenai bahaya jangkitan pneumokokal menyebabkan kebanyakan ibu bapa hanya membawa anak mendapat�kan rawatan apabila penyakit makin teruk dan sedihnya, ada yang tidak dapat diselamatkan. Ini kerana kematian boleh berlaku dalam masa lima hari jika pesakit kanak-kanak tidak mendapat rawatan sewajarnya.

    “Pada 2005, seorang ibu membawa anaknya berusia lima bulan yang mengalami demam dan muntah-muntah berjumpa saya. Keadaannya memang kritikal dan selepas 10 jam dimasukkan ke unit rawatan rapi, dia meninggal dunia dalam pangkuan saya! Sedihnya hanya Allah yang tahu. Saya sedih kerana bayi berkenaan meninggal akibat penyakit pneumokokal sedangkan ia boleh dicegah,” katanya.


    Buat pilihan bijak

    Masalah tidak mendapat imunisasi lengkap kebanya�kannya berlaku pada kanak-kanak di negara memba�ngun. Sejarah membuktikan pemberian vaksin mampu mengurangkan kes jangkitan dan kematian kanak-kanak yang berumur kurang lima tahun.

    Malah, program imunisasi juga terbukti dapat menghapuskan virus demam cacar sepenuhnya. Sasaran seterusnya ialah untuk menghapuskan virus poliomyelitis yang menyebabkan penyakit polio dalam beberapa tahun akan datang.

    Apa yang menjadi pole�mik ibu bapa ialah kos untuk vaksin pneumokokal. Harga setiap suntikan vaksin pneumokokal ialah RM200 dan seseorang kanak-kanak memerlukan tiga dos suntikan untuk mendapat perlindungan sepenuhnya.
    Bagaimanapun, jumlah suntikan atau dos ini berbeza mengikut umur kanak-kanak.

    Walaupun harga itu dianggap mahal oleh kebanyakan ibu bapa tetapi jika ibu bapa membuat perancangan rapi dan sanggup mengenepikan keinginan menukar telefon bimbit yang beribu ringgit harganya atau desakan membeli beg tangan berjenama, rasanya ia bukanlah masalah besar.

    Malah ia dikira jauh lebih murah jika dibandingkan kos rawatan yang perlu ditanggung sekiranya anak anda dijangkiti bakteria pneumokokal. Kata Dr Musa lagi, kerjasama dan perjuangan ibu bapa dalam menuntut supaya vaksin ini dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan akan membolehkan harganya dikurangkan ke paras berpatutan.

    Ini bukan mustahil kerana Persekutuan Vaksinasi dan Imunisasi Global (GAVI) menjual vaksin yang serupa di Afrika dengan harga USD1 (RM3) bagi setiap dos!

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penyelidik mendapati bakteria
    pneumokokal menjadi semakin rintang (mempunyai daya ketahanan tinggi) terhadap antibiotik yang biasa digunakan. Ini membuatkan rawatan menjadi lebih sukar dan pesakit perlu ditahan lebih lama di hospital - yang bermakna kos rawatan semakin tinggi.

    Inilah sebabnya apabila ditanya apabila semua orang mendapat perlindungan, bolehkan program imunisasi dihentikan? Dr Musa dengan tegas dan pantas menjawab ‘Tidak’. Ini kerana ia akan memberi perlindungan secara tidak langsung kepada komuniti (termasuk orang dewasa) dan individu yang tidak sesuai diberikan vaksin atas sebab kesihatan atau agama. Malah pemberhentian vaksin akan memberi peluang penyakit ganjil untuk muncul.


    Soalan yang kerap ditanya ibu bapa


    1. Adakah selamat diberikan vaksin pneumokokus dengan vaksin lain dalam senarai imunisasi?

    Ya, selamat dan anda tidak perlu bimbang kerana ia tidak akan mempengaruhi vaksin lain.


    2. Bolehkah vaksin ini mendatangkan kesan sampingan kepada kanak-kanak?

    Vaksin sama seperti ubat lain, ada kesan sampingan tersendiri tetapi kebanya�kan kanak-kanak yang diberikan imunisasi tidak mengalami sebarang masalah. Kesan sampingan yang mungkin dialami anak anda untuk vaksin ini sama seperti vaksin suntikan lain contohnya tanda merah dan bengkak di tempat suntikan atau demam.
    Jangan risau, ini bukan masalah serius dan jika ia berlaku, ia tidak berpanja�ngan.

    Kesan sampingan serius jarang berlaku dengan vaksin moden dan risiko daripada vaksinasi adalah jauh lebih rendah daripada tidak diberikan vaksin.


    3. Adakah benar perlindu�ngan semula jadi selepas dijangkiti adalah lebih baik daripada suntikan vaksin?

    Ya, memang benar perlindungan yang diperoleh selepas terkena jangkitan itu lebih baik tetapi satu perkara penting yang perlu diketahui ialah jangkitan itu boleh menyebabkan beberapa penyakit teruk yang mungkin membawa kesulitan, kesengsaraan dan paling dikhuatiri ia berakhir dengan kematian.


    4. Berapa umur yang sesuai mendapatkan vaksin pneumokokus?

    Vaksin ini dicadangkan untuk bayi dan kanak-kanak kecil iaitu daripada umur dua bulan hingga lima tahun. Umur anak menentukan bilangan dos suntikan yang diperlukan.


    5. Apa keadaan yang tidak membenarkan seseorang kanak-kanak diberikan suntikan vaksin pneumokokus?

    Ada segelintir kanak-kanak yang tidak boleh diberikan vaksin iaitu jika mengalami alahan atau masalah perubatan lain dalam keadaan di mana risikonya melebihi kebaikan.


    6. Bagaimana ibu bapa boleh mengetahui jika |anak mereka mengalami reaksi terhadap vaksin?

    Keadaan alahan atau alergi jarang berlaku. Jika ada, reaksi ini berlaku
    dalam masa beberapa minit atau jam selepas disuntik. Antara gejalanya ialah pernafasan berbunyi, ruam, rasa lemah, pucat, nadinya pantas, pening dan bengkak pada tekak. Jika ini berlaku, segera bawa anak anda berjumpa doktor
  • READ MORE - Suntik bakteria ke tubuh anak sihat

    Senaman angkat berat

    pix_middle
    BAGI mereka yang sudah biasa bersenam, pasti berasa kurang selesa seperti badan dirasakan tidak sihat manakala otak pula seakan lambat berfikir apabila tidak melakukan aktiviti berkenaan.
    Itu mungkin perkara dialami oleh kebanyakan individu yang aktif melakukan senaman sehingga mereka boleh dikatakan ketagih bersenam.
    Pada pandangan mereka, senaman ringan yang dilakukan pada setiap waktu pagi sebelum memulakan kerja juga mencukupi untuk membuatkan mereka bergerak dan berfikir dengan cergas serta cerdas sebelum pergi ke gimnasium pada waktu petang.

    Sedia maklum, faedah yang diperoleh dengan melakukan senaman memang banyak terutama demi menjaga kesihatan tubuh badan. Senaman pula mempunyai pelbagai jenis dan salah satu yang ingin dikupas pada ruangan Sihat Cergas bersama saya pada minggu ini adalah senaman yang lebih dikenali sebagai latihan beban untuk keseluruhan badan.

    Senaman ini lebih popular di kalangan kaum Adam kerana mereka lebih serius dan kuat untuk mengangkat bebanan (pelbagai jenis alat senaman dengan berat berbeza). Selain itu, mereka juga cenderung melakukan latihan ini dengan tujuan mendapatkan bentuk badan yang tegap.

    Latihan beban ini boleh merangsang pembentukan otot terutama di bahagian kaki, lengan tangan, dada dan perut serta sesuai bagi mendapatkan bentuk tubuh sempurna serta seimbang. Pada masa sama, ia membolehkan kita mengurangkan lemak dalam badan.

    Bagaimanapun, kaum Hawa boleh melakukannya dengan mengangkat bebanan yang bersesuaian mengikut keadaan tubuh. Peralatan senaman yang dibekalkan di gimnasium untuk latihan ini banyak dan masing-masing mempunyai kategori berat bebanan yang rasional.

    Jadi, anda harus memilih berat bebanan yang bersesuaian dengan kemampuan diri.
    Jika tidak tahu bagaimana mahu memulakannya, bertanya kepada tenaga pengajar di gimnasium untuk mendapatkan khidmat nasihat serta tunjuk ajar sebagai permulaan.

    Ironinya, golongan wanita selalu mempunyai anggapan bahawa melakukan latihan ini akan menyebabkan badan mereka kelihatan seperti seorang ahli bina badan yang sangat tegap dan otot badan boleh dilihat dengan jelas.

    Kesannya, mereka takut ke gimnasium untuk mencuba latihan ini.

    Ingin saya tekankan, persepsi itu harus dibuang kerana ia tidak mungkin akan terjadi sekiranya anda melakukan latihan dengan tahap bebanan yang sesuai mengikut keadaan tubuh badan anda.

    Bersama saya pada minggu ini ialah atlet bina badan yang aktif, Syed Fazli Syed Ali, yang akan berkongsi mengenai panduan dan kaedah atau teknik melakukan senaman latihan bebanan dengan betul.


    Panduan:
  • Mereka yang pertama kali melakukan latihan bebanan dinasihatkan mendapat bimbingan tenaga pengajar atau jurulatih terutama jika membabitkan peralatan berat seperti pengangkat besi (barbell), dumbell atau trap bar.

  • Latihan bebanan ini bergantung kepada objektif latihan. Jika untuk senaman ringkas, jumlahnya mungkin sedikit dan tertumpu kepada faktor kesihatan berbanding latihan yang lebih berat.

  • Untuk menjalani latihan bebanan, konsep ulangan maksimum perlu diketahui. Ulangan maksimum ialah ulangan yang boleh diangkat oleh pelaku bagi satu beban yang dikenakan sehingga otot atau kumpulan otot yang bekerja mencapai tahap kegagalan otot sementara.

  • Antara kebaikannya, ia bagus untuk kelancaran peredaran darah dalam badan, kardiovaskular, membantu menguatkan tulang dan menurunkan berat badan tetapi ia harus diikuti dengan diet seimbang.

  • Latihan bebanan dilakukan untuk menguatkan bahagian otot dada, bahu, kaki, lengan, punggung dan perut.

  • Bagi latihan pembentukan otot, untuk permulaan seseorang itu boleh hanya melakukan senaman pada otot besar saja seperti dada, belakang, bahagian depan paha dan belakang paha. Bagi setiap otot, latihan boleh dilakukan sebanyak satu atau dua set dan setiap satu set sebanyak 10 atau 15 pengulangan.

  • Satu jam sebelum mula bersenam, pastikan anda hanya mengambil makanan yang tidak terlalu berat. Anda boleh makan sebiji buah pisang dan dua keping roti untuk memberikan anda tenaga bagi mengangkat bebanan.

  • Seelok-eloknya, protein diambil selepas anda selesai melakukan latihan dan bukannya sebelum bersenam. Protein dalam bentuk dua biji telur atau protein padu seperti ikan adalah yang terbaik selain boleh pertimbangkan minuman protein.

  • Semasa bersenam, anda boleh berhenti rehat seketika dan minum minuman bertenaga. Sebaiknya latihan dilakukan dalam tempoh 45 minit atau satu jam.

  • Bagi mereka yang melakukan latihan dengan tujuan mahu membina badan, anda harus berehat selama tiga hari daripada melakukan latihan bagi membiarkan otot turut sama berehat. Ini kerana, otot hanya akan membesar ketika kita sedang berehat.


    Langkah demi langkah:

    1&2) KAKI...untuk menguatkan kaki, luruskan badan sambil kedua-dua tangan memegang sebiji bola. Kemudian, dengan perlahan bengkokkan kaki ke bawah. Tahan, kira sebanyak 15 kali dan lakukannya dua set.

    3&4) TANGAN BELAKANG...bengkokkan kaki kiri sambil tangan menahannya di atas bangku. Tangan sebelah kanan yang memegang dumbell diangkat lurus hingga bahagian pinggang dan hayun ke bahagian belakang secara perlahan-lahan. Tahan dan kira sebanyak 15 kali, buat dalam dua set. Ulangi rutin yang sama untuk tangan kiri.

    5&6) TANGAN DEPAN...luruskan badan dan pegang dumbell untuk dijadikan beban. Dengan perlahan-lahan, bengkokkan tangan ke atas hingga paras bahu. Ulang sebanyak 15 kali, buat dua set bagi menguatkan otot pada bahagian tangan depan.


    Ikuti sambungan siri latihan ini yang akan mengetengahkan latihan bebanan untuk menguatkan bahagian dada, lengan, bahu dan perut.
  • READ MORE - Senaman angkat berat

    Isyarat elektrik terlalu cepat

    pix_middle
    pix_topright 
    MASIH ingatkah bagaimana pantasnya degupan jantung anda tatkala berdiri di depan pintu dewan peperiksaan, ketika menunggu giliran ditemu duga atau saat berhadapan dengan perkara penting?
    Pada masa inilah macam-macam keadaan yang kita rasa - dada berdebar-debar, badan seolah-olah tidak sedap dan berpeluh walaupun duduk dalam bilik berhawa dingin malah ada yang asyik terasa hendak berulang ke tandas.
    Walaupun sekali sekala, namun degupan jantung yang pantas itu membuatkan kita tidak selesa. Degupan jantung akan kembali normal selepas perkara berkenaan berakhir. Tetapi bagi individu yang mengalami masalah fibrilasi atrium (AF), keadaan ini - degupan jantung yang pantas - berlaku sepanjang masa.

    AF ialah gangguan rentak jantung berterusan yang paling lazim dan menjejaskan lebih lima juta penduduk Amerika Syarikat dan enam juta orang di Eropah. Dianggarkan 0.4 peratus penduduk negara kita turut mengalami masalah ini.

    Benar, anggaran membabitkan 0.4 peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara mungkin dianggap kecil tetapi jangan berasa senang hati dulu kerana AF yang mempunyai kaitan rapat dengan pertambahan umur menunjukkan peningkatan kes setiap tahun.

    Perunding Kanan Pulmonari dan Penjagaan Kritikal, Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai, berkata gangguan rentak jantung ini termasuk rentak degupan jantung yang tidak normal, tidak sekata dan sangat cepat iaitu antara 350 hingga 700 degupan seminit sedangkan kadar degupan jantung yang normal ialah antara 60 hingga 100 degupan seminit.

    Bagaimana keadaan ini boleh berlaku? Jantung kita mempunyai empat bilik iaitu dua bilik di bahagian atas (kiri dan kanan) dan dua di bawah. Untuk membolehkan jantung berdegup (dan mengepam darah), ia memerlukan sistem elektrik yang dihasilkan oleh sel dalam bilik kiri atas yang bergerak ke bilik kanan atas.

    Apabila menerima isyarat elektrik, bilik atas akan mengecut dan menolak (mengepam) darah memasuki bilik bawah. Selepas semua darah memasuki bilik bawah dan mendapat isyarat elektrik, baru bilik bawah jantung mengecut dan mengepam darah yang beroksigen keluar dari jantung untuk dihantar ke seluruh badan.

    “Fibrilasi atrium berlaku apabila isyarat elektrik dikeluarkan terlalu cepat, menyebabkan bilik atas mengecut terlalu cepat antara 350 hingga 700 degupan seminit berbanding kadar degupan biasa iaitu 60 hingga 100 degupan seminit dan tidak sekata dengan pengecutan bilik bawah. Dalam erti kata lebih mudah, bilik bawah jantung tidak dapat mengikut rentak kepantasan pengecutan bilik atas.

    “Oleh kerana bilik atas atau atria ini mengecut terlalu pantas, adakalanya darah di dalamnya tidak dipam keluar sepenuhnya, menyebabkan darah tidak mengalir dengan baik. Darah perlu mengalir sepanjang masa. Jika bertakung, sel darah akan melekat sesama sendiri dan membentuk darah beku.

    “Apa yang membimbangkan apabila ketulan darah beku masuk ke dalam salur darah dan membuatkan salur darah berkenaan tersumbat. Penyumbatan biasanya berlaku pada salur darah yang sangat halus dan jika ia membabitkan salur darah ke otak, ia akan menyebabkan serangan otak atau strok. Jika ketulan darah beku ini menyumbatkan salur darah ke jantung, maka seseorang itu akan mendapat serangan jantung,” katanya.

    AF adalah gangguan rentak jantung yang paling lazim. Kajian menunjukkan AF meningkatkan risiko lima kali ganda untuk mendapat strok dan dianggarkan ia bertanggungjawab ke atas 15 hingga 20 peratus daripada 15 juta kes strok di seluruh dunia setiap tahun.


    Mengapa AF menjadi kebimbangan pakar jantung? 

    Seperti yang diterangkan di atas, pesakit AF sangat terdedah dan berisiko tinggi mendapat serangan strok. Strok atau serangan otak adalah penyebab utama kepada kehilangan fungsi otak dalam masa yang sangat singkat.

    Strok boleh dibahagikan kepada dua iaitu iskemia dan pendarahan. Strok iskemia yang mewakili 85 peratus daripada keseluruhan kes berlaku apabila aliran darah tersekat disebabkan kehadiran ketulan darah beku. Kira-kira 15 hingga 20 peratus strok iskemia disebabkan oleh AF manakala strok pendarahan pula terjadi apabila salur darah di otak pecah dan menyebabkan darah terkumpul di otak.

    Di negara kita sebanyak 10,000 kes baru dicatat setiap tahun dan secara purata 40,000 rakyat negara kita meninggal dunia akibat strok saban tahun. Lebih membimbangkan, risiko strok meningkat sejajar pertambahan umur, dikukuhkan dengan tabiat pemakanan tidak sihat, merokok, kurang kawalan penyakit (terutama kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah kolesterol tinggi) serta kurang bersenam.

    Strok berkaitan AF lebih serius dan menyebabkan lebih banyak kematian serta kehilangan keupayaan. Malah pesakit strok akibat AF dikatakan mempunyai kebarangkalian sebanyak 50 peratus meninggal dunia dalam masa setahun selepas serangan. Setiap tahun di seluruh dunia dianggarkan tiga juta orang mengalami strok berkaitan fibrilasi atrium atau satu kes bagi setiap 12 saat.

    Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 2004, strok meragut 5.7 juta nyawa di seluruh dunia, menjadi antara punca utama kematian dan kehilangan upaya di negara maju. Kini dianggarkan lebih 50 juta orang dalam proses pemulihan daripada serangan strok. Beban kewangan akibat strok di seluruh dunia dianggarkan melebihi 38 bilion euro atau RM151 bilion.

    Bagi yang masih kurang jelas, strok biasanya membuatkan pesakitnya lumpuh (separuh atau seluruh badan), terlantar, hilang keupayaan fizikal dan intelektual. Ia adalah penyakit yang dikategorikan sangat membebankan dan menjejaskan kualiti hidup bukan saja kepada pesakit malah seisi keluarga.

    “Mengapa kita perlu bimbang? Satu pertiga daripada pesakit AF dijangka mengalami strok jika tidak mendapatkan rawatan sewajarnya sepanjang hayat. Serangan strok yang berkaitan dengan AF biasanya lebih teruk berbanding strok yang tidak disebabkan oleh AF. Maksudnya, pesakit AF mempunyai risiko mengalami serangan stork yang teruk dan boleh membawa maut.

    “Insiden AF bertambah banyak memandangkan usia penduduk yang semakin meningkat dan kurang usaha untuk menyekat faktor risiko AF,” katanya pada pelancaran ubat Xarelto atau nama generiknya, rivaroxaban anjuran Bayer HealthCare. Rivaroxaban adalah ubat antigumpalan darah oral (ubat makan) untuk melindungi pesakit AF daripada mengalami serangan strok akibat kehadiran darah beku.


    Faktor risiko AF 

    AF biasanya disebabkan masalah kesihatan lain sama ada ia berkaitan dengan jantung atau tidak. Antara masalah jantung yang boleh menyebabkan AF ialah masalah injap dan otot jantung, jantung berlubang atau apabila sistem elektrik jantung mula terjejas.

    Antara punca AF yang tiada kaitan dengan jantung ialah mendapat jangkitan akut contohnya jangkitan paru-paru (pneumonia), kekurangan elektrolit dalam badan, kanser paru-paru, masalah dada yang lain atau embolisme pulmonari (salur darah utama ke paru-paru tersumbat dan paru-paru).


    Pun begitu, penting untuk kita mengetahui faktor risiko AF iaitu:
  • Peningkatan umur (kadar kelaziman AF meningkat dengan pertambahan umur)

  • Lelaki (lebih banyak kes berlaku pada lelaki berbanding wanita)

  • Ada masalah injap jantung

  • Pernah mengalami serangan jantung

  • Wanita yang mengalami masalah kelenjar tiroid

  • Mengalami masalah jantung kongestif (jantung tidak mampu membekalkan darah ke seluruh badan)

  • Menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal

  • Pengambilan alkohol dan rokok yang keterlaluan juga dikaitkan dengan AF


    Gejala AF

  • Berdebar-debar

  • Lesu

  • Sakit dada

  • Pening

  • Pitam

  • Sesak nafas atau nafas menjadi pendek


    Bagaimanapun bukan semua pesakit AF mengalami gejala di atas kerana ada pesakit yang tidak menghadapi sebarang masalah. Inilah sebabnya ada pesakit tidak menyedari masalah ini dan ia hanya dikesan apabila menjalani pemeriksaan kesihatan fizikal atau elektrokardiogram (ECG) bagi tujuan lain.


    AF boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu:

  • Paroksismal - Masalah AF datang dan pergi secara spontan. Ia biasanya tiada kaitan dengan ketidaknormalan struktur jantung, tetapi lebih disebabkan oleh punca yang tiada kaitan dengan jantung seperti yang disenarai di atas. Gejala yang dialami bersifat ringan tetapi ia juga boleh menjadi teruk. Masalah ini berhenti dalam masa seminggu atau tetapi biasanya mengambil masa kurang daripada 24 jam.

  • Tegar atau berterusan - Keadaan di mana AF berlarutan melebihi seminggu. Ia mungkin boleh berhenti sendiri atau dihentikan dengan rawatan.

  • Kekal - Degupan jantung yang pantas berlaku sepanjang masa dan tidak boleh dihilangkan dengan rawatan. Peringkat paroksismal dan tegar boleh berubah kepada kekal jika dibiarkan tanpa rawatan. Tempoh perubahan ini berbeza antara individu, bergantung kepada peringkat yang dialami. Jadi, sasaran rawatan ialah untuk mengawal kadar degupan jantung.


    Pengesanan dan rawatan 

    AF dikesan melalui beberapa cara iaitu:

  • Sejarah perubahan

  • Pemeriksaan klinikal - dalam pemeriksaan ini doktor akan mendengar kadar dan rentak degupan jantung, mendengar bunyi paru-paru bagi mencari tanda kegagalan jantung dan memeriksa tekanan darah serta kadar nadi.

  • Ujian diagnostik seperti ECG, Monitor Holter. Kaedah ECG mudah dan tidak menyakitkan. Ia mengukur aktiviti elektrik jantung dalam tempoh singkat dan sangat berguna untuk mengesan AF. Kaedah Monitor Holter pula merekodkan aktiviti elektrik jantung selama 24 jam atau 48 jam. Dalam kaedah ini, doktor akan melekatkan elektrod yang disambungkan kepada alat perakam mudah alih di dada pesakit.

    Apa yang penting ialah perlu mendapatkan rawatan segera selepas masalah jantung anda diketahui. Rawatan AF kini tertumpu kepada kawalan kadar dan rentak degupan jantung serta pencegahan penggumpalan darah.

    Menurut Dr Jeyaindran, pengawalan kadar dan rentak degupan jantung boleh diurus dengan pengambilan ubat atau penggunaan stimulasi elektrik. Namun kaedah rawatan AF yang paling penting ialah pencegahan penggumpalan darah khususnya bagi pesakit yang mengalami masalah jantung kongestif, pesakit tua, menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi serta pernah mendapat serangan strok. Ini kerana ia dapat melindungi pesakit daripada mendapat serangan strok.

    Kaedah yang digunakan sekarang ialah memberikan ubat warfarin kepada pesakit AF. Warfarin adalah ubat pencair darah. Walaupun ia berkesan tetapi warfarin yang sudah digunakan sejak lebih 50 tahun lalu ada banyak kelemahan.

    Pesakit perlu sentiasa dipantau untuk memastikan dos warfarin yang diterima cukup untuk mencairkan darah mereka. Tetapi ia ada kelemahan kerana warfarin bertindak balas dengan ubat lain dan makanan. Justeru, pesakit perlu mengamalkan diet yang ketat supaya warfarin berkesan.

    “Pesakit yang mengambil warfarin perlu mengamalkan diet yang ketat dan sangat berhati-hati dengan apa yang mereka makan kerana ia bertindak balas dengan makanan dan ubat lain. Selain itu pesakit perlu datang ke hospital supaya doktor boleh mengawasi dan memantau keadaan mereka. Warfarin mengambil tempoh lima hari untuk mencapai kesan antitrombotik atau antipenggumpalan darah.

    “Ini berbeza dengan ubat baru, rivaroxaban yang hanya dimakan sekali sehari untuk mendapatkan kesan yang sama tanpa perlukan pengawasan kerap. Percubaan klinikal global yang dipanggil ROCKET AF membabitkan 14,200 pesakit menunjukkan perubahan ketara di kalangan mereka yang mengambil rivaroxaban berbanding warfarin selain mengurangkan risiko strok dan embolisme sistemik sebanyak 21 peratus,” katanya.

    Kehadiran ubat baru ini akan meringankan kaedah pengurusan dan rawatan AF, walaupun harganya agak mahal. Jika mampu, anda boleh minta doktor menukar ubat yang diambil sekarang kepada rivaroxaban tetapi bagi yang kurang mampu boleh terus bersahabat dengan warfarin selagi ia memberi manfaat seperti diharapkan.
  • READ MORE - Isyarat elektrik terlalu cepat
    Powered By Blogger