Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Sunday, January 29, 2012

Berlatih dulu sebelum berlari

SERIK berlari? Memang saya serik tapi bukan kerana tidak mahu berlari lagi. Tetapi saya serik menyertai acara larian tanpa latihan.
Siapalah yang buat kerja bodoh berlumba tanpa berlatih? Sejak mula terbabit dalam larian jarak jauh mulai pertengahan 2008, saya perhatikan memang ramai sebenarnya yang gemar buat kerja ‘bodoh’ ini. Termasuk saya! 
Kecuali jika mahu sertai acara larian sekadar untuk rekreasi yang menyihatkan, pengalaman yang tidak seberapa selama beberapa tahun ini mengajar saya supaya benar-benar bersiap sedia sebelum menyertai acara perlumbaan larian.

Berlatih, disiplin diri dan macam-macam lagi teori me�ngenai senaman saya peroleh sama ada daripada pembacaan atau nasihat rakan-rakan yang memang kuat berlari. Sayangnya, segala teori dan nasihat yang sangat molek ini cuma saya simpan dalam hati

Apabila sudah dekat hari acara larian, barulah terkial-kial mahu menyarung kasut sukan atau cuba membuat larian untuk jarak yang agak jauh. Memang sukar sekali ketika itu apatah lagi jika setiap kali sesi larian, saya cuma mampu berlari setakat tiga kilometer (km). Jika itu sajalah jarak yang saya selesa, usah bermimpi untuk berlari dengan baik bagi acara 10 kilometer, apatah lagi 21 kilometer.

Catatan untuk jarak 10km saya pun tidaklah sebaik mana. Sehingga artikel ini ditulis, hajat untuk mencapai larian 10km di bawah 70 minit masih belum tercapai. Tetapi berbekalkan pengalaman cetek dalam acara 10km dan 15km yang pernah saya sertai sebelum ini, saya nekad untuk menyertai acara 21km pada satu acara larian pertengahan Mac nanti.

Sewaktu memasang niat itu, saya tahu saya punya cukup masa untuk berlatih.
Benar-benar berlatih!

Sudah dua kali saya mencari pengalaman dalam acara 21km ini. Kali pertama kira-kira dua tahun lalu ketika acara perlumbaan yang diadakan pada malam hari.
Saya fikirkan suhu malam yang sejuk dapat membantu larian tetapi rupanya suhu sekitar mulai menurun hanya selepas jam 11 malam dan ketika itu, saya pun sudah kehabisan tenaga.

Paling tidak boleh dilupa, sekitar kilometer ke-19, entah apa yang merasuk fikiran. Saya seolah-olah mahu menjerit dan berhenti saja, duduk di tepi jalan!
Tetapi memikirkan ia mungkin memalukan diri sendiri apatah lagi tinggal dua kilometer saja, saya pun teruskan jua biarpun sekadar jalan berlenggang sehingga ke garisan penamat.

Untuk acara 21km pada malam hari itu, ramai juga yang jalan berlenggang.
Seingat saya, cuma pada lapan kilometer pertama saja saya beria-ia berpeluh berlari. Selepas jarak itu, peluh mulai mengering kerana saya lebih banyak berjalan. Apatah lagi apabila ada rakan sebelah ajak berbual.

Acara 21km kali kedua untuk saya tahun lalu itu sepatutnya lebih baik berbanding catatan masa larian kali pertama dulu kerana memikirkan saya berlatih ‘lebih’ sedikit daripada cubaan larian pada malam hari dulu.

Kali kedua itu saya cuma mencatat masa tiga jam 25 minit - cuma lima minit lebih cepat daripada cubaan kali pertama dulu. Biarpun kepenatan selepas acara itu tidak seteruk masa kali pertama mencuba, ia tetap mengecewakan.

Jika acara larian sebegini sebenarnya sudah bagus untuk kita melakukan aktiviti menyihatkan, mengapa saya sibukkan catatan masa ini? Saya bukannya atlet profesional yang perlu meraih pingat dan wang kemenangan. Malah tidak mungkin saya kalahkan pelari yang jauh lebih berwibawa yang sesetengahnya datang dari pelbagai pelosok dunia dengan catatan masa membanggakan di peringkat dunia.

Berlari sebenarnya boleh membuatkan kita ketagih! Kalau tidak percaya, sila cuba. Ketagihan berlari saya ini pun bermula secara tidak sengaja. Kebetulan saya mengenali beberapa rakan yang mampu berlari untuk jarak yang jauh tanpa henti.

Itu saja sudah cukup membuatkan saya sering tertanya-tanya namun suatu hari, ketika berjalan di atas treadmill (mesin larian) di gimnasium yang disediakan di pejabat, hati makin tertanya-tanya apabila rakan di sebelah berlari di atas mesin larian itu tanpa henti selama satu jam. Basah lencun orangnya tetapi dia tetap selamba berlari sehingga minit ke-60.

Kagum benar saya ketika itu. Lantas beberapa hari selepas itu, saya pun cuba berlari di atas mesin larian. Mengikut sejarah, tidak pernah saya mencuba larian jarak jauh seumur hidup saya. Acara merentas desa di sekolah dulu antara acara sukan yang tidak saya gemari.

Saya lebih gemar larian jarak dekat seperti acara 200 meter dan selebihnya, pengalaman sukan saya cuma pada beberapa acara sukan lain khususnya sofbol.
Sofbol perlukan kepantasan berlari jarak dekat, bukannya jarak jauh.

Apabila mula bekerja, dunia sukan mulai terus menjauh daripada hidup saya.
Justeru, untuk berlari di mesin larian itu buat pertama kali, saya hanya bertahan tidak sampai lima minit, itu pun pada kepantasan yang agak minimum.

Namun kini saya sendiri tidak menyangka mampu menyempurnakan larian secara purata selama 30 minit setiap sesi. Di kalangan rakan-rakan yang kaki lari, larian setengah jam itu terlalu mudah bagi mereka. Tetapi bagi saya, ia sudah cukup baik mengenangkan tahap disiplin dan stamina wanita 40-an yang tidak menentu ini.

Sebenarnya, kenaikan berat badan akibat usia, juga sesekali tabiat makan membuatkan saya kian mendekati mesin larian. Secara peribadi, saya lebih gemar berlari di luar. Kata seorang rakan, Disember waktu yang baik jika mahu berlari pada waktu malam kerana persekitarannya yang berangin. Memang betul, Disember lalu saya banyak berlari pada waktu malam tetapi kini, mengenangkan jadual kerja seharian dan mahukan waktu tidur yang lebih tetap, saya banyak menghabiskan waktu latihan siang hari di gimnasium.

Sengaja saya sebut perkataan ‘latihan’ kerana sejak dua minggu lalu, saya kuatkan hati untuk benar-benar mendisiplinkan diri. Saya perlu berlari dan berjalan bukit (kerana saya merancang untuk menyertai rakan sepejabat yang lain mendaki gunung pertengahan Februari ini) sebanyak empat kali sesi latihan setiap minggu. Ini seperti saranan jurulatih senaman di gimnasium pejabat, Mohd Hoesni Rahmat.

Latihan yang dirancang jurulatih ini membabitkan larian lima kilometer dan jalan dengan ketinggian mencuram yang kedua-dua berlari dan berjalan ini harus disempurnakan dalam masa satu jam. Agak mencabar untuk saya kerana saya sering berasa ‘berat’ untuk berlari di atas mesin larian itu selama setengah jam.
Berjalan tidak mengapa, berjam-jam berjalan pun saya rasa tidak sesukar berlari setengah jam.

Jika di luar, insya-Allah saya boleh berlari setengah jam tanpa henti tanpa gangguan. Tetapi bagi saya, lari di atas mesin larian perlukan ketahanan mental yang tinggi. Selalunya mental saya memang tidak kuat, ada saja fikiran yang merasuk menyuruh saya berhenti.

Namun memikirkan saya serik untuk berada di atas jalan raya selama tiga jam setengah sehingga tiba ke garisan penamat nanti, saya berusaha juga menjauhkan ‘gangguan’ mental ini. �Sehingga kini, saya masih tidak dapat memenuhi permintaannya untuk menjalani latihan empat kali kerana kekuatan mental saya cuma mampu menggerakkan kaki ke gimnasium tiga kali seminggu.

Rasa bersalah pun ada, justeru setiap kali sesi, saya cuba melakukan senaman lebih daripada sejam, dengan harapan ia mungkin dapat membantu menampung kekurangan disiplin diri.

Sewaktu mula-mula meminta nasihat Hoesni untuk jadual latihan yang teratur, dia meyakinkan saya masih sempat berlatih untuk tempoh dua bulan ini. Cuma kata-katanya tempoh hari buat saya sedikit terganggu.

“Minggu pertama Februari, perlu buat satu jam atas treadmill. Nanti pada awal Mac, dah boleh buat dua jam berlari tanpa henti.” Itu kata-katanya yang semakin menambah risau. Mampukah saya?

  • Artikel ini adalah satu daripada tiga siri membabitkan persediaan latihan penulis untuk menyertai acara larian separa maraton (21 kilometer) pada pertengahan Mac ini.
  • No comments:

    Post a Comment

    Powered By Blogger