Pages

Followers

Pengunjung yang dihormati,sila ambil masa 3 saat untuk klik iklan yang admin pasang sebagai tanda TERIMA KASIH anda.

Dear visitor, please take time 3 seconds to click on the ads that admin install as a sign THANK YOU.

Translate

Wednesday, May 2, 2012

Pilihan terbaik

pix_gal0


SALAM sejahtera, 

DOKTOR, saya berumur 39 tahun dan baru-baru ini disahkan mengandung dua bulan. Apa yang membingungkan saya ialah selain hamil, saya juga menghidap fibroid berukuran agak besar lebih kurang 13 sentimeter.Pada awalnya, saya merancang membuang fibroid, tetapi belum berkesempatan sehinggalah hamil. Tambahan pula, saya mengambil ubat tiroid kerana baru melakukan pembedahan pembuangan tiroid sebiji sehari. Baru-baru ini, darah saya juga naik dan diberi ubat untuk mengawal darah tinggi.Saya sungguh bingung terutama bila doktor bertanya adakah saya mahu hamil atau tidak. Apabila ditanya oleh doktor dengan soalan begitu, saya jadi serba salah, susah untuk menjawab. 

Anak baru seorang, dan sudah berumur lapan tahun. Kalau difikir, siapa tidak mahukan anak? Malah saya pernah jawab dengan doktor, biarlah doktor yang buat pilihan untuk saya. Saya betul-betul bingung doktor, bolehkah saya meneruskan kandungan ini atau tidak? 

AWAK mahu bayi ini atau tidak? Jika saya menjadi puan, saya pun tidak tahu macam mana hendak menjawabnya. Apabila soalan ini diajukan, ia bukan bermakna puan mesti menggugurkan kandungan puan. Ia juga tidak bermakna puan dan bayi 100 peratus tidak akan mengalami apa-apa masalah. 

Apabila begini keadaannya, ia memerlukan perbincangan yang telus antara puan, suami dan doktor yang merawat puan. Keputusan puan dan suami bergantung pada fakta perubatan yang mana risiko-risiko pada puan dan bayi sudah diterangkan. Bagi saya sebagai orang Islam kita perlu berdoa dan bertawakal pada yang Maha Esa bagi menunjukkan jalan terbaik. 
Sebagai doktor, saya akan perjelaskan masalah puan dengan kandungan puan dari sudut perubatan. Saya tidak dapat memberikan kata putus kerana semuanya bergantung kepada puan dan suami. 

Pertamanya, masalah mengandung pada usia lewat. Apabila usia meningkat, kami tidak menggalakkan seseorang wanita untuk hamil lagi. Ini disebabkan beberapa masalah seperti darah tinggi dan kencing manis. Risiko penyakit ini akan tinggi mengikut usia. 

Kedua-dua penyakit ini mempunyai rawatan yang khusus seperti ubat darah tinggi dan suntikan insulin ketika mengandung. Selagi tidak ada bukti-bukti yang komplikasi penyakit-penyakit ini ada pada puan, bermakna semua masih terkawal. Jadi, kami fikir tidak ada sebab kami mencadangkan kandungan ini perlu digugurkan atas sebab perubatan. 

Puan perlu tahu, darah tinggi dan kencing manis boleh menjadi lebih teruk ketika mengandung. Contoh pre eclampsia dan eclampsia boleh terjadi jika seseorang memang sedia ada mempunyai darah tinggi. Jika kencing manis pula, ia sukar dikawal di peringkat akhir kandungan. Puan perlu patuhi semua arahan doktor semasa mengandung walaupun puan perlu dimasukkan wad berbulan lamanya. 

Dengan peningkatan umur juga menyebabkan risiko sindrom Down bayi juga meningkat. Kes bayi sindrom down boleh dikesan seawal sembilan hingga 13 minggu kandungan dengan ujian ultrasound dan darah. Ia agak tepat sehingga 80 hingga 90 peratus. 

Rawatannya hanya satu saja iaitu gugurkan kandungan kecuali seseorang itu tidak ingin lakukan atas sebab tertentu. Ini bermakna puan boleh meneruskan kandungan puan walaupun bayi itu mengalami sindrom Down. Jadi, jika takut ini boleh berlaku, puan lakukan ujian ini. 

Kedua, masalah tiroid ketika mengandung. Sama ada puan mengalami masalah hipertiroid atau sebaliknya, yang penting di sini adalah paras hormon tiroid T4 dan T3 mesti pada paras yang normal. Paras yang tidak normal akan menjejaskan pertumbuhan otak bayi puan. Selagi puan patuhi ubat dan arahan doktor dan aras hormon adalah stabil, kami fikir tidak ada masalah berhubung pertumbuhan bayi puan. 

Ketiga, masalah fibroid dan kandungan. Ada dua kesan iaitu kesan fibroid pada kandungan puan dan kesan kehamilan pada fibroid. Kesan utama adalah fibroid terhadap kandungan puan. Pada peringkat awal kandungan, fibroid boleh menyebabkan kejadian keguguran tinggi, perdarahan dan sakit pada ari-ari. 

Pada pertengahan kehamilan, firoid boleh menyebabkan kesakitan pada perut. Masalah pertumbuhan bayi terbantut dan pendarahan. Pada peringkat akhir kehamilan, fibroid boleh menyebabkan kelahiran pramatang dan kedudukan bayi melintang, senget dan songsang. 

Jika fibroid berada di bahagian bawah rahim, ia boleh menghalang kelahiran secara normal. Ini memerlukan pembedahan caesarean. Selepas bersalin, fibroid boleh menyebabkan perdarahan yang banyak. 

Komplikasi-komplikasi yang saya terangkan diatas adalah antara kemungkinan yang boleh berlaku bukannya mesti berlaku. Di sini puan perlu ambil risiko sedikit dan bagi doktor akan lebih berhati-hati dalam mengendalikan kes seperti ini termasuk pembedahan caesarean. 

Kesan kehamilan pada fibroid adalah akan membesar tetapi kebanyakan akan lembut dan menipis sehinggakan kami sukar mencarinya dengan ultrasound. Oleh itu, banyak kandungan yang mengalami fibroid tidaklah mempunyai masalah yang serius dan ramai yang boleh melahirkan secara normal. 

Apabila fibroid ini membesar akan berlaku pendarahan dalam fibroid. Ini menyebabkan sakit pada bahagian perut. 

Saya terangkan kemungkinan yang boleh berlaku ketika puan mengandung dengan apa yang ada pada puan. Puan perlu pertimbangkan bahawa ini mungkin kandungan puan yang akhir kerana umur dan selama lapan tahun puan menunggunya. 

Jika puan mempunyai risiko begini, saya fikir perlukan rawatan susulan dengan pakar, di hospital besar dan rawatan susulan yang lebih kerap dari orang lain yang tidak mempunyai masalah. 

Selagi puan diselia dengan baik termasuk ujian-ujian darah dan ultrasound, InsyaAllah ia akan berjalan lancar. Patuhi semua nasihat doktor walaupun terpaksa bercuti sembilan bulan. Saya doakan semoga puan selamat, dan buatlah keputusan bersama dengan suami dan doktor puan

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger